Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun Hijrah 1433.

3. Peristiwa Hijrah adalah ketentuan ILAHI yang berlaku melalui perjalanan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, berpindah dari Mekah ke Medinah. Perjalanan tersebut tidak sekadar perjalanan zahiriah, tetapi adalah titik permulaan era baru. Perjalanan tersebut menyuntik semangat kesungguhan, ketabahan, kecekalan dan keyakinan yang tinggi di kalangan penganut Islam akan kebenaran risalah ajaran yang disampaikan oleh Baginda. Peristiwa Hijrah telah menunjukkan contoh kekuatan ummah yang dapat dibina melalui ukhuwah persaudaraan yang berjaya dijalin di antara dua pihak, ia itu pihak Ansar Medinah dengan pihak Muhajirin Mekah. Hijrah adalah peristiwa yang telah membawa perubahan, mencipta pembaharuan dan mencetuskan transformasi. Peristiwa Hijrah mengandungi pelbagai muslihat pengajaran untuk diselami oleh umat manusia. Enam dari pengajaran yang Beta pilih untuk dijadikan renungan bersama adalah:

Pertama: Pentingnya menerima realiti, memahami realiti dan melakukan tindakan berasaskan realiti. Junjungan Besar kita, menerima realiti bahawa Baginda menghadapi tentangan yang semakin hebat, tentangan yang menghalang usaha-usaha Baginda untuk menyebarkan risalah Islam. Baginda menerima realiti bahawa penduduk Mekah menjadi semakin ekstrem menentang risalah Islam, setelah kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan setelah kembalinya ke Rahmatullah Siti Khadijah, isteri Baginda. Baginda menerima realiti bahawa penganut Islam semakin sukar untuk beribadah, malah mereka diancam, dihina, diseksa dan dibunuh. Baginda nyata tidak menafikan realiti cabaran dan sama sekali tidak berada dalam sifat sangkalan atau denial.

Kedua: Sebagai Rasul dan kekasih ALLAH, Baginda sebenarnya mendapat sebesar-besar rahmat perlindungan. Baginda boleh diselamatkan untuk di angkat ke langit seperti dalam contoh Allah menyelamatkan Nabi Isa Alai Wassalam, begitu juga dalam contoh ALLAH memberikan perlindungan kepada Nabi Ibrahim Alai Wassalam dari dibakar oleh api yang membara. Perlindungan dari ALLAH Subhanahu Wata’ala pastinya lebih kebal dan lebih hebat dari kawalan seribu tentera. Namun ALLAH telah menetapkan peranan yang berlainan untuk Baginda, peranan untuk dikaitkan dengan cabaran yang bakal dihadapi oleh umat di akhir zaman. Untuk itu, Baginda sama sekali tidak berlagak angkuh meski berada pada status yang tinggi di sisi ALLAH. Baginda tidak berlagak degil lalu memilih opsyen untuk melakukan Hijrah.

Ketiga: Sifat kesetiaan dan sifat bertanggung jawab seorang pemimpin terhadap pengikut. Kesediaan berundur dan melakukan Hijrah adalah dalam semangat Baginda yang senantiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan ummah. Baginda tidak lari ke Medinah mendahului pengikut yang masih ramai berada di Mekah. Malah Baginda adalah yang terakhir meninggalkan Mekah setelah berpuas hati bahawa semua pengikut Baginda telah pun selamat.

Keempat: Contoh jalinan kerjasama dengan bukan Islam. Abdullah bin Areeqat yang menjadi pemandu untuk membantu perjalanan Baginda bukan beragama Islam. Abdullah bin Areeqat sebenarnya boleh mendapat hadiah lumayan jika beliau bersifat belot lalu menyerahkan Baginda kepada pihak Quraish. Tetapi Abdullah walaupun tidak menganut Islam, membuktikan sifat jujur dan setia kepada janji dan tugas dan tidak berpaling tadah. Membuktikan Islam mengharuskan jalinan kerjasama dengan bukan Islam dalam semangat jujur, serta selagi yang bukan Islam tidak melakukan perkara-perkara yang mengkhianati Islam.

Kelima: Misi berteraskan kebenaran, walau betapa berat dan perit sekalipun, bila dilaksanakan secara tabah – secara gigih, bila dilaksanakan secara yakin dengan bertawakal kepada kuasa Yang Esa, akan mendapat rahmat – mendapat keredaan dari ALLAH Subhanahu Wata’ala. Penghijrahan yang Baginda lakukan bersama pengikut, menghadapi pelbagai ujian, bermula dari pengorbanan terpaksa meninggalkan harta benda, sumber rezeki, kampung halaman dan pekerjaan di bumi Mekah, merantau ke Medinah untuk memulakan penghidupan baru. Namun misi melakukan penghijrahan tersebut adalah untuk menegakkan kebenaran kalimah tauhid, atas keyakinan untuk menjunjung perintah yang diwahyukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, akhirnya Baginda dan pengikut Baginda dianugerahkan kemenangan gemilang.

Keenam: Apabila dua kumpulan Islam, puak Ansar dan puak Muhajirin memilih untuk bersatu, perpaduan Islam bertambah kukuh, dan kekuatan Islam bertambah hebat memungkinkan kejayaan yang lebih besar untuk memperjuangkan Islam dapat dicapai.

4. Enam pengajaran tersebut sangat relevan dijadikan rujukan dalam menghadapi senario semasa, lebih-lebih lagi untuk dijadikan pedoman oleh para pemimpin. Setiap hasrat dan usaha yang mahu dilakukan hendaklah dirancang berasaskan premis realiti yang tepat. Tanpa fakta yang tepat, hasrat yang diimpikan dan usaha yang dirintis, tidak akan mencapai matlamat. Sering kali berlaku kecenderungan untuk pemimpin dilindungi dari realiti sebenar. Malah ada kalanya, lebih tinggi status seseorang pemimpin, bertambah jauh dan bertambah terpisahlah dia dari realiti di bumi nyata, baik dianya seorang Raja, seorang Presiden, seorang Wazir atau seorang Menteri. Malah jurang di antara kebenaran dan kepalsuan bertambah luas, jika pemimpin dipagari oleh individu-individu yang berkepentingan. Mereka memilih cerita kejayaan dan menyembunyikan sebarang kegagalan. Mereka adalah sokong yang membawa rebah. Pemimpin diulit mimpi riang sedangkan realiti yang berlaku sangat berlainan. Lalu semakin banyak pemimpin melakukan kesilapan, kerana keputusan yang dirumuskan dan arahan yang dikeluarkan, disandarkan kepada premis yang palsu.

5. Dinamik yang berlaku di Tunisia, di Mesir, di Libya, di Syria dan di pelbagai negara di serata dunia, termasuk sejarah kejatuhan Kerajaan-Kerajaan terdahulu hendaklah dijadikan pedoman. Oleh itu, amat penting untuk pemimpin pada setiap masa benar-benar memahami realiti yang berlaku untuk dapat berpijak di bumi nyata. Malah pemimpin yang arif seharusnya berasa aneh jika terlalu banyak cerita kejayaan yang dilaporkan dan jika terlalu tinggi pujian yang di sampaikan. Pemimpin yang arif sepatutnya lebih berminat untuk mengetahui kegagalan yang berlaku supaya setiap kelemahan dapat segera diperbaiki dan sebarang kesilapan dapat segera diperbetulkan. Insaflah akan pesanan orang tua-tua, semut mati kerana gula. Cerita kejayaan dan kata pujian adalah satu madat atau satu addiction di minda manusia yang amat cepat mempengaruhi manusia untuk bersifat angkuh, menjadi terlalu selesa – cepat bermegah melaungkan kejayaannya. Madat tersebut berpotensi besar menjatuhkan pemimpin.

6. Pemimpin yang arif akan lebih berminat kepada kebenaran dan memiliki keyakinan – memiliki keberanian untuk menegakkan kebenaran betapa besar tentangan yang perlu dihadapi. Menegakkan kebenaran itu adalah tanggung jawab yang sangat dituntut oleh ILAHI kerana Islam adalah agama yang menganjurkan kebenaran. Pemimpin yang cekal, yakin dan berani untuk menegakkan kebenaran terutama dalam mempertahankan kalimah tauhid serta menegakkan syariat dan mempertahankan kesucian Islam, akan mendapat rahmat dan perlindungan ILAHI, martabat dan makamnya insya-ALLAH akan diangkat dan dimuliakan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.

7. Mempertahankan kesucian Islam dari dinodai dan melindungi umat Islam dari dipengaruhi oleh ajaran dan fahaman lain adalah tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu secara perundangan menurut Fasal-fasal tertentu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Raja-Raja Melayu mempunyai tanggung jawab berat terhadap ALLAH, kepada negara dan terhadap ummah. Dalam menyempurnakan amanah berat tersebut, Raja dan ummah wajib bersama, dan ummah pula wajib bersatu. Perkara-perkara menyentuh kesucian Islam akan terus dapat kita pertahankan dan Raja-Raja akan terus dapat memberikan perlindungan kepada ummah selagi kita kekal bersama dan ummah kukuh bersatu.

8. Setiap kali terbitnya bulan Muharam, umat Islam mengadakan sambutan Hijrah. Niat untuk melakukan perubahan – hasrat untuk melakukan penambahbaikan – rancangan untuk melakukan transformasi tidak mungkin tercapai melalui retorik, melalui janji, melalui ikrar dan melalui ucapan, tanpa disusuli dengan pergerakan zahir – pergerakan batin, diperkukuhkan dengan kesungguhan langkah – dibuktikan dengan ketegasan tindakan; baik dalam usaha membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf sosioekonomi ummah, membanteras jenayah, memerangi rasuah, menambah baikkan sistem penyampaian perkhidmatan.

9. Majlis seumpama ini adalah saat untuk setiap ummah melakukan pemeriksaan dalaman, mengukur kesungguhan langkah – menyukat ketegasan tindakan, yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu dalam semangat dan hasrat mahu melakukan penambahbaikan. Perayaan Maal Hijrah, sehari dalam setahun tidak membawa erti tanpa penghayatan – tanpa keyakinan yang bersungguh untuk membina sebuah negara sejahtera serta mendapat keampunan ILAHI ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’ seperti yang telah digambarkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 15 Surah Saba.

10. Semoga kepimpinan ummah dan kepimpinan negara dikurniakan oleh Mu Ya ALLAH kepada kalangan Hamba Mu yang memiliki sifat-sifat amanah, ikhlas dan jujur serta di hati mereka senantiasa tersemai rasa kasih, rasa sayang, rasa belas, rasa ihsan terhadap ummah yang diamanahkan berada di bawah pimpinan mereka.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: