Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun Hijrah 1434.

3. Peristiwa Hijrah yang berlaku 1434 tahun lalu, tidak sekadar melibatkan pergerakan fizikal penduduk Mekah berpindah ke Madinah. Lebih utama dari penghijrahan fizikal tersebut adalah berlakunya penghijrahan minda, penghijrahan budaya, penghijrahan struktur sosial dan penghijrahan tata cara mengurus tadbir negara. Peristiwa Hijrah adalah peristiwa yang berjaya memerdekakan minda dan selanjutnya memerdekakan insan dari budaya perhambaan. Bahawa pengabadian diri itu hanyalah kepada ALLAH Yang Maha Esa.

4. Peristiwa Hijrah telah memungkinkan terbentuknya Piagam Madinah, memperkenalkan tata urus negara yang lebih adil lagi saksama hingga di terima pakai di kawasan geografi yang lebih luas. Islam terbukti memiliki struktur yang kamil atau sempurna. Kerajaan Islam Madinah adalah Kerajaan contoh yang mengamalkan keadilan, kesederhanaan, berimbang lagi harmoni. Penduduk Madinah terdiri dari pelbagai kaum merangkumi penduduk bukan Islam. Kerajaan Islam Madinah membuktikan kesempurnaan Islam menyusun atur kehidupan masyarakat sehingga berjaya membina peradaban agung dalam sejarah kemanusiaan.

5. Pentadbiran Islam di Madinah telah menjadikan bumi Madinah sebagai bumi yang dirahmati ILAHI, dilimpahkan nikmat dan rezeki, dikurniakan kesejahteraan sebagai negeri yang baik dan diampuni ALLAH Subhanahu Wata’ala (BALDATUN TOYYIBATUN WA RABBUN GHAFFUR)[1] selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 15 Surah Saba. Demikian kejayaan Pemerintahan Islam yang tercipta berikutan peristiwa Hijrah untuk dijadikan contoh teladan dan contoh sebutan. Amatlah tidak bertepatan dan berunsur memperkecil, merendah dan menghina Islam jika ada kalangan yang memetik contoh-contoh kegagalan dan kelemahan dari negara-negara yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada sifat dan amalannya. Islam itu sempurna sifat dan kandungannya. Islam tidak wajar dijenamakan dengan imej negatif terhadap apa juga kecacatan yang berlaku kerana yang melakukan kecacatan ke atas Islam itu adalah umat manusia.

6. Hari ini, 1.2 bilion umat Islam di serata dunia memperingati tarikh bersejarah peristiwa Hijrah. Acara-acara menyambut tahun Hijrah dianjurkan baik secara formal yang melibatkan penyertaan pembesar negara ataupun secara tidak formal yang dianjurkan secara kumpulan, secara keluarga mahupun secara individu. Sering kali acara-acara sambutan, lebih bercorak festival bentuknya, sekadar melangsungkan acara; sedikit sekali yang berjaya menerapkan fahaman akan falsafah yang terkandung di sebalik peristiwa hijrah, sedikit sekali yang berjaya mendalami pengertian di sebalik peristiwa hijrah. Oleh itu acara yang dianjurkan tinggal dalam bentuk perayaan dan tidak mencapai tujuan, gagal memberikan impak besar kepada individu begitu juga kepada ummah untuk berani melakukan penghijrahan, terutama penghijrahan minda dan penghijrahan sikap.

7. Umat Islam tertinggal dalam era renaisans, era pembaharuan, era kebangkitan kerana kegagalan umat Islam melakukan penghijrahan minda dan penghijrahan sikap. Umat Islam tercicir dalam revolusi industri lalu tersisir dari mendapat sebarang manfaat kerana umat Islam gagal melakukan penghijrahan dari era pertanian ke era industri. Teknologi mesin cetak diperkenalkan di Eropah pada abad kelima belas dan menjadi salah satu alat dan saluran penting penyebaran ilmu. Tafsiran jumud yang dilakukan oleh umat Islam menyebabkan umat Islam tidak melakukan penghijrahan secara lebih awal untuk menerima pakai teknologi tersebut. Teknologi mesin cetak hanya di terima oleh umat Islam melalui Empayar Ottoman pada tahun 1728, kelewatan lebih dua ratus tahun selepas teknologi tersebut diperkenalkan.

8. Penghijrahan teknologi terus berlaku. Teknologi baru terus direka cipta. Setiap hari dunia diperkenalkan dengan hasil reka cipta baru. Majoriti umat Islam masih berada di belakang bukan sahaja di peringkat reka cipta malah dari segi pendedahan dan akses kepada teknologi baru. Hari ini, meskipun ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat kekayaan minyak dan mineral kepada sebahagian umat dan negara Islam, dua puluh peratus penduduk dunia yang terdiri dari umat Islam, hanya berupaya menghasilkan lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia. Umat Islam wajib dibantu mendapat akses kepada teknologi baru. Umat Islam wajib dipermudahkan untuk melakukan penghijrahan kepada ekonomi berpaksikan pengetahuan dan berpaksikan perkhidmatan.

9. Hijrah adalah peristiwa yang memberikan pengajaran bahawa kejayaan yang besar boleh tercapai dengan adanya keyakinan dan komitmen melakukan kaedah dan pendekatan baru; ia memerlukan keberanian melakukan perubahan – ia memerlukan ketabahan melakukan pengorbanan – ia memerlukan kesanggupan meninggalkan tata cara lama yang sudah tidak lagi relevan dan amat perlu diubahsuai.

10. Hijrah tidak hanya terbatas kepada urusan agama. Hijrah sebenarnya berlaku dalam pelbagai bidang hidup. Penghijrahan teknologi pertanian dan ternakan telah melahirkan petani moden yang dapat meningkatkan produktiviti melalui kaedah pengeluaran lebih saintifik. Hari ini, penghijrahan teknologi peperangan telah memberikan kelebihan kuasa ketenteraan kepada negara yang memiliki pesawat udara canggih dan memiliki kuasa nuklear hingga negara-negara tersebut dianggap kuasa besar dunia. Penghijrahan teknologi penerokaan sumber telah memberikan kelebihan kepada kumpulan yang menguasai teknologi berkenaan. Pada hari ini, teknologi telah memungkinkan hijrah berlaku pada kelajuan yang amat pantas. Bahawa dinamik hijrah itu berlaku sepanjang masa – berlaku dalam pelbagai perkara – berlaku di serata maya.

11. Sejarah turut menunjukkan bahawa antara punca kejatuhan empayar dan kejatuhan pemerintahan adalah kegagalan di peringkat pimpinan untuk melakukan penghijrahan secara bijaksana dalam mengurus tadbir sesebuah empayar atau negara. Perlu disedari, bahawa penghijrahan itu umumnya mula tercetus sebagai idea di dalam minda dan aktif bergerak di dalam minda. Minda yang aktif adalah minda yang banyak berfikir, minda yang sering mencetuskan pemikiran baru – pemikiran yang menuntut kepada perlunya dilakukan penghijrahan.

12. Hasrat melakukan penghijrahan yang berlegar di minda warga perlu diamati, diselami dan difahami, lalu dilakukan tafsiran secara tepat lagi objektif. Masalah akan tercetus, apabila berlakunya jurang yang luas di antara tahap penghijrahan yang diharapkan berlaku di minda warga dengan tahap penghijrahan yang sedia dilakukan oleh pemimpin. Jurang hijrah akan berlaku jika pemimpin gagal membaca secara tepat dan gagal bertindak secara cepat tentang bahasa-bahasa penghijrahan yang diungkap dan disuarakan oleh warga. Oleh itu, ungkapan yang disuarakan, perlu dicari maknanya dari kamus yang betul, supaya dapat difahami maksud yang terkandung, terutama bahasa yang begitu sering diungkapkan oleh generasi muda. Ungkapan dan tuntutan tersebut mungkin memerlukan kaedah dan pendekatan baru yang perlu diterokai dan diadaptasi. Hijrah bukan sahaja melibatkan komponen fizikal – komponen material. Komponen emosi yang menggerakkan jantung dan menggerakkan nadi, adalah komponen lebih penting yang perlu diberikan perhatian.

13. Program menyeru ummah melakukan hijrah tidak sepatutnya berlaku hanya sekali dalam setahun. Satu tahun adalah tempoh yang lama. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku dalam tempoh satu tahun; terlalu banyak perubahan yang diperkenalkan dalam tempoh satu tahun. Agar ummah tidak ketinggalan dari berupaya mengikuti kelajuan perubahan yang begitu pesat berlaku, hijrah hendaklah disemaikan dalam hati sanubari ummah untuk dijadikan budaya amalan harian. Hijrah adalah budaya yang wajib disemai dan diamalkan, dan dijadikan budaya hidup individu dan budaya tata urus institusi. Umat Islam hendaklah berani melakukan penghijrahan, terutama penghijrahan minda, penghijrahan sikap dan penghijrahan sifat, lalu berjaya membawa perubahan hingga dapat terbangunnya potensi ummah, menjadi ummah yang dinamik lagi progresif, dihormati lagi disegani.

14. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan memberikan kita petunjuk dan hidayah, kekuatan dan keberanian melakukan penghijrahan demi masa hadapan ummah yang lebih gemilang lagi cemerlang.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran, Saba’: 34:15.
%d bloggers like this: