PENGHIJRAHAN RASULULLAH SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM MENJADI PEMANGKIN KE ARAH MEMACU GENERASI MADANI
Sama-sama kita lafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat ILAHI kerana kita terus diberikan usia untuk dapat melangkah masuk ke tahun 1438 Hijrah, dilimpahkan pula rahmat, dengan dikurniakan kesihatan yang baik berserta rezeki. Ketika melangkah masuk gerbang 1438 hijriah, sewajarnya umat Islam mengambil ‘ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Sesungguhnya peristiwa hijrah itu telah membawa manusia lebih mengenal Tuhannya, serta lebih memahami maksud dan matlamat hidup yang hakiki.
2. Hijrah dalam pengertian yang mendalam, merupakan asas menjana semangat untuk sentiasa bersedia melakukan pengorbanan. Hijrah melambangkan keimanan dan keyakinan seorang hamba terhadap Penciptanya. Hijrah telah berjaya merubah keadaan, daripada jiwa menghambakan diri kepada manusia lain, kepada minda merdeka yang mengabdikan diri semata-mata kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Hijrah telah berjaya merubah situasi, daripada kemelaratan kepada kesenangan, daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kekecohan kepada keamanan;[1] bertepatan dengan firman ALLAH yang bermaksud :
“Dan ingatlah ketika kamu (yakni para Muhajirin) masih sedikit jumlahnya, lagi tertindas di bumi (Mekah), dan kamu takut orang-orang (Mekah) akan menculik kamu, maka Dia (ALLAH) memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan jadikanNya kamu kuat dengan pertolongan Nya dan diberiNya kamu rezeki yang baik agar kamu bersyukur.”[2]
3. Penghijrahan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam membuktikan proses pengislahan dan perubahan perlu direncanakan dalam mencari kekuatan dan kemenangan. Hijrah berperanan cukup berkesan dan penting bukan sekadar terhadap perkembangan gerakan kebebasan, tetapi turut menjadi pelindung keyakinan, demi mengukuhkan azam dan cita-cita untuk mencapai matlamat dan sasaran perjuangan. Kerana itu ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan pengiktirafan besar kepada mereka yang berhijrah berlandaskan firmanNya yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan ALLAH, mereka itulah yang mengharapkan rahmat ALLAH. ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang.”[3]
4. Hijrah telah menyediakan landasan kepada pelaksanaan beberapa strategi politik, sosial dan pertahanan.[4] Diantara kejayaan terbesar ialah penggubalan perlembagaan negara secara bertulis yang pertama iaitu Perlembagaan Madinah ketika pembentukan negara Islam pertama. Melalui pembentukan negara Islam ini, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam berjaya menunjukkan contoh pentadbiran sebuah negara yang aman lagi harmoni, selamat lagi sejahtera, makmur lagi bahagia berpandukan kepada hukum Allah yang selanjutnya membolehkan Islam tersebar dan dapat diterima secara lebih jitu dan luas.
5. Kuasa pemerintahan berperanan sangat penting untuk memberi kekuatan melaksanakan dakwah Islamiah. Dengan terbangunnya negara Kota Madinah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah berpeluang memperkenalkan model ‘Cara Hidup Islam’ dalam pemerintahan. Dari perspektif Islam, manusia adalah khalifah ALLAH, wakil ALLAH di muka bumi. Berdasarkan kuasa yang diwakilkan kepadanya, manusia dikehendaki memenuhi amanah dan melaksanakan tugas berpandukan hukum dan batas yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[5]
6. Apabila tauhid menjadi dasar dan prinsip sesebuah negara, nilai-nilai keadilan, nilai-nilai persaudaraan akan dihayati sepenuhnya. Manusia akan insaf bahawa mereka semua adalah hamba di sisi Allah; tidak harus ada sifat ketuanan, sifat riak, sifat angkuh, sifat takbur di antara mereka. Dengan meletakkan diri sebagai hamba Allah, rasa persamaan ini akan menanamkan semangat persaudaraan yang penuh dengan kasih sayang.[6]
7. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah melaksanakan sistem pentadbiran yang telah berjaya membina sesebuah negara Islam yang rukun dan makmur meskipun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya, berlandaskan undang-undang yang berpaksikan kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala.
8. Akhlak yang baik dan sifat amanah adalah ciri yang sangat dipentingkan. Hak-hak asasi manusia dihormati seperti yang terkandung dalam perjanjian dan piagam yang dimeterai bersama, selaras dengan larangan ALLAH Subhanahu Wata’ala agar hamba Nya, tidak mencela, mencaci, menghina, menuduh, berprasangka, serta mencari dan membuka keaiban terhadap saudaranya yang lain, baik yang seagama atau yang berlainan agama.[7] Saidina Umar Al-Khattab Radiallahuanhu pernah memberikan sesuatu yang diambil daripada baitulmal kepada seorang peminta sedekah Yahudi dengan alasan bahawa dia juga manusia yang perlukan perhatian dan ihsan manusia lain.
9. Dalam peristiwa hijrah terkandung tiga elemen yang menjadi asas kepada nilai persaudaraan yang tinggi di kalangan Muhajirin Mekah dan penduduk Ansar Madinah. Pertama, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menetapkan manusia perlu membina hubungan yang kuat dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala melalui pegangan tauhid dan akidah. Kedua, pegangan tauhid dan akidah yang kukuh, telah melangsungkan penetapan hubungan sesama Muslimin, membawa kepada elemen ketiga, mengharmonikan hubungan sesama manusia dari kalangan mereka yang tidak seagama.[8]
10. Selepas mempersaudarakan puak Muhajirin dan puak Ansar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah menetapkan beberapa peraturan di antara umat Islam dan puak bukan Islam dengan mengambil kira kepentingan dan tidak merugikan kedua-dua pihak. Fokus utama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ialah menjurus kepada keamanan dan ketenteraman hidup, yang tidak pula menyekat kebebasan mereka melakukan sesuatu, dalam lingkungan toleransi dan kehormatan sesama manusia berteraskan prinsip Islam.
11. Kepimpinan misali yang ditampilkan oleh Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah berjaya menawan hati masyarakat Madinah untuk mempertautkan ukhuwah yang padu. Ukhuwah yang padu adalah elemen terpenting untuk membina kekuatan sesebuah negara. Semangat persaudaraan yang diperlihatkan di antara puak Ansar dan puak Muhajirin amat luar biasa. Sebagai contoh, Sa’ad bin Sabi’ daripada puak Ansar telah berkata kepada ‘Abdul Rahman bin ‘Awf, daripada puak Muhajirin, bahawa beliau adalah orang terkaya di kalangan puak Ansar. Beliau sangat gembira jika dapat berkongsi sebahagian daripada hartanya. ‘Abdul Rahman bin ‘Awf amat menghargai pelawaan dari saudaranya itu, namun dengan penuh hormat menolak tawaran yang diberikan, di sebaliknya, beliau mohon agar Sa’ad bin Sabi’ dapat menunjukkan kepadanya jalan ke pasar agar beliau dapat mencari keuntungan dengan usahanya sendiri. Begitu juga keadaannya dengan tuntutan saudara-saudara Muslim Ansar yang lain kepada Rasulullah agar kebun-kebun mereka dapat dibahagikan secara saksama kepada puak Muhajirin, tetapi Baginda menolaknya, kerana tidak mahu membebankan mereka. Malah, Baginda mencadangkan agar kaum Muhajirin bekerja di kebun-kebun milik kaum Ansar, dan keuntungan yang diperolehi bolehlah dibahagi sama rata sesama mereka.[9]
12. Kisah-kisah yang tercatat menunjukkan bahawa nilai-nilai persaudaraan dan ukhuwah yang dimiliki oleh kaum Muhajirin dan kaum Ansar menjadi asas untuk menyatukan umat Islam. Kaum Ansar meletakkan asas iman dan kecintaan kepada ALLAH dan Rasul Nya mengatasi segala tuntutan nafsu dan dunia. Manakala di pihak Muhajirin, mereka tidak bersifat oportunis dan tamak mengambil kesempatan daripada kebaikan dan keikhlasan kaum Ansar ini. Kepada kaum Muhajirin, kebaikan perlu diterima setimpal dengan usaha balas yang perlu diusahakan. Gambaran persaudaraan yang mulia ini telah dirakamkan oleh Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wassalam melalui sabda yang bermaksud :
“Dari Anas bin Malik Radiallahuanhu, dari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, Baginda bersabda, “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.”[10]
13. Pengukuhan ilmu dan pengetahuan perlu menjadi teras kekuatan jiwa insan. Peristiwa hijrah turut membuktikan bahawa pusat penyebaran ilmu dan perkembangan intelektual adalah nadi kepada kewujudan generasi madani, iaitu masyarakat yang maju dari sudut pemikiran, spirituil dan kebendaan. Perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ketika sampai ke Madinah bukan sekadar mendirikan tetapi membangunkan masjid. Masjid pada era Baginda dan pada era para sahabat, bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat, malah berperanan lebih luas, berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan perkembangan intelektual ummah. Masjid juga berperanan sebagai pusat penyatuan umat, berjaya menjalinkan hubungan rapat di antara satu puak dengan puak yang lain, hingga terkikis unsur-unsur asabiah yang menjadi punca kepada permusuhan dan perpecahan. Bahkan, masjid juga menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Madinah.
14. Hijrah telah menghasilkan kejayaan besar pembentukan sebuah negara yang menjadi platform terlaksananya syariat ALLAH, terbentuknya akhlak mulia, terpupuk nilai persaudaraan sejagat, tersemai dan tumbuh subur pepohon ilmu serta nilai-nilai intelek, yang menjadi pemangkin, terciptanya era kegemilangan Islam.
15. Sematkan rasa penuh kesyukuran di atas nikmat yang dikurniakan ALLAH kepada kita dan negara selama ini dan mohonlah pada Nya agar kita dilimpahkan rahmat Allah yang berkekalan dan berpanjangan sehingga ke hari kebangkitan. Namun, perlu disedari bahawa rahmat ini perlu diawasi dengan penuh ketaatan terhadap segala syariat ILAHI. Jangan dilanggar sempadan larangan yang telah ditetapkan oleh Nya, apatah lagi kembali menyusur kesesatan setelah cahaya keimanan disirnakan. Sekiranya tersasar dan berada dalam kesulitan, selusurilah kembali sinar petunjuk kebenaran yang terpelihara melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Berdoalah kepada ILAHI agar kuasa pemerintahan diamanahkan kepada kalangan hamba Nya yang bersifat amanah lagi jujur, agar ummah dapat hidup dalam sejahtera, aman dan makmur. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan terus memayungi kehidupan manusia baik di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.
16. Ya Allah Ya Rabbulalamin, Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam demikian juga kepada para keluarga, para sahabat Baginda, para Tabiin dan dikalangan mereka yang telah sama-sama melakukan hijrah, dan dikalangan mereka yang membantu menjayakan hijrah.
- Hamid Naseem Rafiabadi, Hijra-A Turning Point In Islamic Movement, (Delhi: Adam Publishers & distributors, 1995), 2-3. ↑
- Al-Qur’an, Al-Anfal (8:26) ↑
- Al-Qur’an, al-Baqarah (2 :218) ↑
- Hamid Naseem Rafiabadi, 3. ↑
- Golam W.Choudhury, The Prophet Muhammad, (Kuala Lumpur: WHS Publications Sdn. Bhd., 2nd Edition, 1994), 71. ↑
- Yusuf Al-Qardawi, Pengertian Tauhid, diterjemahkan oleh Abdul Majid bin Abdullah, (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1987), 118. ↑
- Ibid, 41. ↑
- Muhammad Al-Ghazali, Feqh al-Sirah, (Kaherah: Dar Al-Shorouk, 2000), 135. ↑
- Abdul Hameed Siddiqui, The Life of Muhammad, (Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 1999), 146. ↑
- Sahih Bukhari, Kitab Al-Iman, hadith no 13, (Cairo:Maktabah Salafiah, 1400H, Jld.1), 21 / Sahih Muslim, kitab Al-Iman, Jld.1, 49. ↑