TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH AL-MAGHFUR-LAH
MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1444
PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
TARIKH: 1 MUHARRAM 1444H / 30 JULAI 2022 (SABTU);
JAM: 10.00 PAGI
TEMPAT: CASUARINA@MERU, IPOH.
‘KESELAMATAN MAKANAN: PENGHIJRAHAN VISI – PENGHIJRAHAN MISI’
Dalam bahasa yang mudah ‘hijrah’ bermaksud berpindah, meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain. Dalam sejarah Islam, kumpulan umat Islam pertama yang melakukan hijrah ialah dua belas orang lelaki dan perempuan Muslimin yang berhijrah selama tiga bulan ke Habsyah, pada tahun 615 Masihi, disebabkan penganiayaan melampau yang dilakukan oleh Quraisy Mekah.
2. Namun, istilah ‘hijrah’ biasanya merujuk kepada perjalanan umat Islam bersama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Perpindahan secara fizikal yang berlaku, merupakan peristiwa yang sangat penting dalam sejarah Islam. Berbeza dengan penentangan yang dihadapi daripada masyarakat Quraisy Mekah, masyarakat Madinah menyambut dan menerima ajaran Islam dengan semangat terbuka; membolehkan ajaran Islam disebarkan secara lebih berkesan lagi meluas. Peristiwa hijrah Mekah – Madinah memberikan impak sangat bermakna, dianggap titik tolak kegemilangan Islam, lalu ditandakan melalui pengenalan Tahun Hijrah dalam takwim Islam.
3. Hijrah sebenarnya tidak sekadar proses perpindahan secara fizikal dari tempat ke tempat. Yang lebih penting dihalusi ialah berlakunya perubahan daripada keadaan yang kelam ke keadaan yang ceria, daripada keadaan yang tertindas kepada suasana yang bebas, daripada jiwa dan minda yang terkongkong kepada jiwa dan minda merdeka. Hijrah mengubah pemikiran jumud kepada pemikiran baharu yang lebih dinamik.
4. Hijrah hendaklah dilihat dengan lensa yang lebih luas, ditafsirkan sebagai satu strategi, kesediaan bersedia keluar meninggalkan persekitaran kehidupan sedia ada, berpindah ke persekitaran baharu yang lebih kondusif, terkandung elemen-elemen peralihan dan anjakan untuk membuka lembaran baharu; juga membolehkan diperkenalkan pendekatan yang lebih teratur, tersusun dan sistematik untuk mencipta kejayaan dalam persekitaran baharu.
5. Hijrah membuktikan semangat berani berpindah meninggalkan fahaman lama dan bersedia menyerap idea baharu, melakukan pengubahsuaian, mengadaptasi cara kerja baharu. Hijrah memperlihatkan semangat kental yang tidak cepat mengaku tewas dan mempamerkan kegigihan tidak mudah berputus asa. Hijrah membuktikan ketabahan mahu mencapai matlamat. Peristiwa hijrah memberi panduan kepada ummah mengenal erti pengorbanan dan kejayaan.
6. Dengan ketentuan Allah Subhanahu Wata’ala, kita dikurniakan usia untuk melangkah ke Tahun Hijrah 1444. Dalam tempoh empat tahun kebelakangan, antara Tahun Hijrah 1440 ke Tahun Hijrah 1444, dunia secara umum dan negara kita secara khusus, menyaksikan pelbagai peristiwa geopolitik, politik, ekonomi dan sosial, merangkumi krisis dan konflik, pertukaran kepimpinan dan peralihan kuasa pemerintahan serta pelbagai malapetaka akibat pertukaran iklim, pemanasan global, bencana alam dan serangan virus Covid-19. Segala peristiwa yang terhampar dan setiap kejadian yang berlaku, jangan hanya ditonton dengan mata kasar tetapi hendaklah dilihat dengan mata hati agar difahami yang tersirat, dijadikan pencabar minda untuk berfikiran secara lebih analitis, kritis dan kreatif.
7. Tarikh 1 Hijrah 1444, hendaklah dijadikan titik tolak meningkatkan azam – meningkatkan usaha, melakukan pembukaan minda, menyalakan semangat peralihan dan menyemarakkan semangat perubahan. Hari ini hendaklah dijadikan hari memeriksa dan mengaku kealpaan dan kecuaian lalu, lantas bertekad untuk tidak meneruskan pemikiran dan cara kerja yang sama sehingga terus mengulangi kesilapan yang serupa.
8. Hari ini hendaklah dijadikan hari kita bijak mengenal pasti dan berani mengakui ancaman besar yang sedang melanda ummah, dan menghentikan sikap masih mahu menafikan kewujudan gajah yang tersergam di hadapan mata. Hari ini, hendaklah dijadikan hari menyuntik kesedaran ummah mengenal pasti ancaman semakin kritikal yang sedang melanda ummah, lalu memikirkan strategi berkesan secara bersungguh untuk menangani ancaman yang boleh menyebabkan ummah menanggung penderitaan dalam skala yang besar.
9. Ummah sewajibnya menyedari atau jika masih alpa, wajib disedarkan dengan ancaman yang sedang melanda dunia ketika ini. Dunia sedang menghadapi ancaman keselamatan makanan. Krisis keselamatan makanan semakin meruncing. Dunia sedang menghadapi keadaan kekurangan makanan yang sangat membimbangkan. Belum pun selesai menghadapi kesan berlarutan akibat pandemik Covid-19 yang tercetus tiga tahun lalu, dunia sedang membayar harga yang mahal susulan perang Rusia – Ukraine. Kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan sahaja menyebabkan harga melonjak naik, tetapi juga memberi risiko lebih buruk kepada manusia. Pada tahun 1970, Henry Kissinger menyatakan, “Kawali minyak dan kamu akan mengawal negara, kawali makanan dan kamu akan mengawali rakyat”. Makanan kini sudah dijadikan senjata peperangan. Dunia bakal menghadapi krisis kelaparan yang belum ada duluan sebelum ini. Dilaporkan ketika ini, setiap hari satu perlapan daripada tujuh bilion penduduk dunia tidak mempunyai makanan yang cukup.
10. Makanan ialah keperluan sangat asas manusia dan faktor penentu kepada kestabilan negara. Dalam konteks negara kita, keselamatan makanan bermakna kita mempunyai bekalan makanan secukupnya untuk memenuhi keperluan harian 32 juta orang penduduk, secara tetap, mampu dibeli dengan harga yang berpatutan, berkhasiat atau berada dalam keadaan yang baik.
11. Negara kita berada dalam status defisit bekalan makanan. Import makanan pada tahun 2020 mencecah 55.5 bilion ringgit berbanding 33.8 bilion ringgit eksport.[1] Defisit perdagangan produk makanan negara meningkat daripada satu bilion ringgit pada tahun 1990 kepada 11 bilion ringgit pada tahun 2010, dan 21.7 bilion ringgit pada tahun 2020.[2]
12. Untuk memenuhi keperluan domestik, dalam setahun Malaysia mengimport lapan puluh lapan (88) peratus daging kambing bernilai 879 juta ringgit, tujuh puluh enam (76) peratus daging lembu bernilai 2.2 bilion ringgit, mangga bernilai 87.9 juta ringgit, kelapa bernilai 266 juta ringgit, walaupun pokok kelapa begitu mudah tumbuh dan berbuah di bumi ini. Kita juga mengimport kopi, bawang, kentang, sotong, susu segar, kubis bulat, cili dan halia.
13. Malaysia hanya menghasilkan tujuh puluh (70) peratus beras, enam puluh enam (66) peratus buah-buahan dan empat puluh lapan (48) peratus sayur yang kita perlukan.[3] Pada tahun 2020, Malaysia mengimport beras bernilai 620 juta dolar Amerika, meletakkan negara kita sebagai pengimport sembilan terbesar di dunia.[4] Pengalaman tiga tahun dilanda pandemik Covid-19, menyerlahkan status kritikal kekurangan bekalan makanan dalam negara, dan negara perlu mendapatkan pertolongan negara lain untuk memastikan kita memiliki bekalan makanan secukupnya.
14. Loceng amaran telah berbunyi, lampu isyarat telah berkelip apabila rakyat berasa resah gelisah mengalami situasi kekurangan bekalan telur, ayam, sayur dan minyak masak. Harga bahan-bahan makanan, terutama bahan-bahan import, diramalkan terus meningkat akibat gangguan rantaian bekalan selepas tercetusnya perang Rusia – Ukraine, di samping penurunan nilai ringgit.
15. Ayat 47-49 Surah Yusuf bermaksud:
“…Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih.
Kemudian akan datang pula sesudah itu, tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil”[5]
16. Seruan berjimat, seruan menyimpan dengan bijaksana, juga seruan mempersiapkan diri menghadapi malapetaka yang terkandung dalam Surah Yusuf memberikan pengajaran penting dan amat relevan dalam senario yang sedang melanda dunia ketika ini. Nabi Yusuf Alaihissalam memperingatkan ummah melakukan persediaan, menyediakan payung sebelum hujan; peringatan yang perlu diserapkan dalam minda ummah. Ummah hendaklah bijak mentafsir ancaman yang sedang melanda, dan pantas menyusun gerak kerja yang tepat.
17. Ayat 47 ke-49 Surah Yusuf kini dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah keselamatan makanan. Atas kebimbangan kemungkinan berhadapan situasi kekurangan bekalan makanan, negara-negara pengeluar mula meningkatkan stok simpanan. Negara China sebagai contoh, merupakan penyumbang utama bekalan gandum, beras dan jagung dunia, kini telah mengurangkan eksport bagi tujuan menambahkan stok simpanan sehingga ke paras yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.[6] India mengambil langkah memberhentikan eksport gandum kerana mengutamakan keselamatan makanan di negara mereka setelah pengeluaran terjejas akibat pemanasan global.[7] Sebelum tercetusnya peperangan, Ukraine mengeksport hasil pertanian sekitar 6 juta tan sebulan ke Timur Tengah, Asia dan Afrika, melalui pelabuhan negaranya, tetapi kini hanya mampu mengeksport dua puluh (20) peratus daripada jumlah tersebut[8] setelah, Rusia bertindak menyekat laluan perkapalan yang membawa bahan-bahan eksport dari Ukraine ke pasaran global.
18. Malaysia berada diambang bahaya keselamatan bekalan makanan. Usaha-usaha perlu dilakukan secara bersungguh dan berfokus untuk mengurangkan import. Langkah-langkah strategik perlu diperkenalkan untuk mewujudkan petani generasi baharu, meluaskan kawasan tanaman makanan, dan menggalakkan pengeluaran melalui kaedah moden walaupun di atas tanah bersaiz kecil.
19. Pada tahun 1974, Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) melancarkan Rancangan Buku Hijau bertujuan mengekang kebergantungan keterlaluan terhadap bahan makanan import. Rancangan Buku Hijau ialah satu gagasan penting untuk mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan kepentingan sektor lain. Malangnya wawasan keselamatan makanan yang dirintis oleh Tun Abdul Razak turut dikuburkan bersama jasad Tun Abdul Razak. Gagasan yang terkandung dalam Rancangan Buku Hijau wajar dikunjungi, disuntik nafas baharu dan dihidupkan semula.
20. Ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1970, sektor pertanian di negara kita menghasilkan tiga puluh (30) peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, menurun sepuluh perpuluhan lima (10.5) peratus pada tahun 2000, dan terus menurun tujuh perpuluhan empat (7.4) peratus dalam tahun 2020, dengan sumbangan empat puluh lapan (48) peratus bernilai 52 bilion ringgit subsektor pertanian makanan.
21. Perangkaan tahun 2020 menunjukkan lima perpuluhan tiga (5.3) juta hektar tanah di negara kita ialah tanah pertanian. Namun atas perkiraan komersial, hanya sembilan ratus ribu (900,000) hektar menyamai tujuh belas (17) peratus digunakan untuk menghasilkan makanan, baki empat perpuluhan dua (4.2) juta hektar, menyamai lapan puluh tiga (83) peratus digunakan untuk tanaman kontan (cash crop) komoditi kelapa sawit dan getah. Sedarilah! duit dalam tangan tidak bermakna jika makanan berada dalam genggaman orang lain. Kita akan kebuluran jika orang tidak mahu menjual. Era makanan murah telah berakhir. Jika tiada langkah serius dilaksanakan dengan segera, kita akan menghadapi suasana darurat makanan. Oleh itu perlu difahami falsafah yang tersirat di sebalik konsep jelapang padi dalam masyarakat Melayu.
22. Insan yang bersyukur, ialah insan yang menghargai kurniaan rezeki Ilahi yang berada di hadapan matanya. Allah Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan ummah di negara ini dengan kekayaan sumber semula jadi, tanah yang luas lagi subur, iklim yang menggalakkan, dan hujan sepanjang tahun; faktor-faktor yang memiliki unsur-unsur kesempurnaan (tahsiniyat) untuk mempermudah ummah berusaha menghasilkan bahan makanan. Ummah wajib berhijrah daripada terlalu mengharapkan bantuan kerajaan, dengan memulakan usaha untuk menambah pengeluaran makanan. Hendaklah dihidupkan budaya untuk setiap isi rumah berusaha menghasilkan satu jenis tanaman makanan.
23. Syarak menuntut agar dilaksanakan ikhtiar mempromosikan kebajikan ummah, memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta benda. Setiap urusan agama hendaklah dibina atas perkara-perkara tersebut dan hanya memeliharanya sahajalah, membolehkan segala urusan individu dan masyarakat berjalan baik. Bagi memelihara nyawa, Allah Subhanahu Wata’ala mewajibkan makan dan minum, hatta dalam keadaan darurat yang memudaratkan nyawa, ummah diharuskan memakan bahan makanan yang asalnya haram.
24. Permintaan makanan tiga puluh dua (32) juta orang penduduk Malaysia ialah permintaan harian yang berterusan. Perlu ada gerakan besar-besaran untuk memenuhi keperluan bekalan makanan. Rakyat hendaklah disedarkan. Rakyat hendaklah dibawa bersama, membantu menangani memenuhi keperluan bekalan makanan. MAIPK dan JAIPK mentafsirkan, usaha menghindari manusia daripada kebuluran disebabkan keputusan makanan, sebagai satu tanggungjawab utama fardu kifayah selaras dengan semangat maqasid syariah. Justeru itu, sambutan Maal Hijrah 1444, memilih tema untuk menyedarkan ummah mengenai subjek keselamatan makanan, dengan hasrat dapat menggerakkan ummah bergiat aktif mengusahakan program menghasilkan makanan.
25. Langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Jabatan Agama Islam Perak menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan merupakan perintisan usaha baharu di luar daripada norma budaya kerja biasa, satu langkah penghijrahan yang strategik. Gandingan tenaga MAIPK dan JAIPK, bersama Jabatan Pertanian, wajib diberikan sokongan oleh pelbagai pihak. Sokongan kewangan, memenuhi tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB INC) dan Perbadanan Kemajuan Islam Negeri Perak Sendirian Berhad (PSB), membantu membiayai program menghasilkan makanan yang diusahakan oleh masjid, surau, tahfiz dan sekolah, amatlah bermakna dan sungguh mendorongkan. Semoga lebih banyak badan berkanun, GLC dan pihak swasta, tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan dan bantuan untuk membiayai projek-projek menghasilkan makanan. Para belia hendaklah menawarkan diri – menawarkan pimpinan, membangunkan program briged muda petani moden. Beta menghargai sambutan masjid, surau, pusat tahfiz dan sekolah, bergerak aktif mengusahakan pelbagai program penghasilan makanan. Program menghasilkan makanan hendaklah terus diperluaskan dan dijadikan program tetap oleh setiap masjid dan surau di negeri Perak. Masjid dan surau hendaklah berada di barisan hadapan di setiap mukim dan kampung, memberikan sebaik contoh teladan, mendorong dan membimbing masyarakat setempat, melaksanakan ibadah fardu kifayah menghasilkan makanan.
26. Sama-sama kita semaikan niat, disusuli azam mahu melaksanakan program keselamatan makanan, melakukan penghijrahan visi – penghijrahan misi, dengan matlamat menjadikan negeri Perak sebagai jelapang keselamatan makanan. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala kita pohonkan petunjuk dan hidayah mengurniakan kita kejayaan.
-
Ku Seman Ku Hussain, “Makanan kita di tangan orang”, Utusan Malaysia, 23 Mei 2022, 16. ↑
-
Fatimah Mohamad Arshad, “New green revolution needed”, New Straits Times, 7 January 2013, 18. ↑
-
NST Leader, “Food, a big think”, Nes Straits Times, 6 May 2020, 2. ↑
-
Mohd. Azlan Bakar, “Apabila makanan habis…”, Utusan Malaysia, 9 Mei 2022, 2. ↑
-
Al-Quran, Surah Yusuf (12:47-49) ↑
-
Budiman Mohd Zohdi, “Krisis makanan fenomena dunia”, Sinar Harian, 22 Jun 2022, 17.A ↑
-
Norkumala Awang, “Ambil ibrah kisah Nabi Yusuf atasi krisis sekuriti makanan”, Berita Harian, 26 Mei 2022, 12. ↑
-
Ibid. ↑