Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1436H/2014M

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Opening of Speech

2. Peristiwa Hijrah mengandungi pelbagai falsafah yang tersirat di sebalik apa yang tersurat. Peristiwa Hijrah adalah bukti nyata dan contoh hidup, kepatuhan dan kesungguhan seorang Rasul, menjunjung tanggung jawab berat yang telah diamanahkan ke atas diri Baginda, berusaha dan memikirkan kaedah juga strategi paling efektif untuk melaksanakan perintah ILAHI, mengembangkan ajaran Islam dan mentadbir urus kehidupan insan dan kehidupan alam berteraskan wahyu.

3. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama. Peristiwa Hijrah adalah langkah pertama menempa sejarah kejayaan umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam mencipta era baru – membina peradaban baru; menterjemahkan wahyu kepada realiti dengan terbinanya sebuah Negara Kota Madinah atau the City State of Madinah.

4. Empat teras utama terserlah dalam Kerajaan Islam Madinah;[1]

Pertama: Organisasi dan pengurusan.

Kedua: Pendidikan dan penyelidikan.

Ketiga: Penyatuan dan kegunaan tanah.

Keempat: Jalinan kerjasama dan pendirian tidak bergantung pada pihak lain (self- reliance).

5. Pendaki yang berjaya sampai ke puncak gunung yang tinggi adalah pendaki yang berupaya secara tepat membaca setiap garis topografi yang tertera di atas peta serta memahami setiap liku – setiap cabaran yang perlu ditempuhi merangkumi aspek-aspek ketinggian dan kecerunan gunung, kelajuan angin, iklim dan kehidupan persekitaran. Pemimpin yang berjaya menangani cabaran adalah pemimpin yang berupaya mentafsir senario semasa secara tepat lalu memperkenalkan preskripsi pendekatan yang relevan. Ketika berlakunya Hijrah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam berhadap persekitaran baru – budaya baru – penduduk baru. Kerana itu, antara tindakan awal yang dilakukan oleh Baginda ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.[2] Bancian tidak hanya terbatas membanci bilangan penduduk dari segi pecahan jantina, kaum dan usia, tetapi merangkumi aspek-aspek guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Data-data yang dikumpulkan dijadikan asas untuk merancang dan membangunkan sistem dan corak pemerintahan Negara.

6. Dalam merangka formula sesebuah pemerintahan, maklumat yang tepat lagi terperinci, terutama mengenai profil penduduk merupakan komponen penting, demi memastikan program yang diformulasikan menepati keperluan serta bersesuaian dengan idealisme, budaya, keperluan, komposisi serta taburan penduduk setempat dan semasa. Nyatalah, Baginda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam membangunkan pemerintahan dan mengolah kerangka urus tadbir negara berpaksikan ummah ataupun berkonsepkan ‘people centric’ .

7. Madinah ketika itu hanya didiami oleh sepuluh ribu penduduk. Umat Islam adalah umat minoriti; gabungan kaum Ansar Madinah berserta kaum Muhajirin Mekah hanya sekitar ratusan orang.[3] Hampir lima puluh peratus penduduk Madinah terdiri daripada keturunan Yahudi yang terpecah kepada sepuluh puak; sementara keturunan Arab terbahagi kepada dua belas kabilah.[4] Penduduk Arab di Madinah pula tidak sehebat Arab Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan, serta mempunyai struktur politik yang tersusun.

8. Pada hakikatnya, Negara Islam pertama di Kota Madinah dibangunkan atas dukungan rakyat pelbagai agama – pelbagai kaum – pelbagai puak – pelbagai kabilah dengan kumpulan minoriti Islam diberikan kepercayaan berada di puncak sistem pemerintahan. Ia diperoleh melalui kebijaksanaan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam merangkaikan kerjasama, menyatukan penduduk daripada pelbagai pegangan dan fahaman agama, latar belakang sejarah, status ekonomi serta kaum dan kabilah. Baginda berjaya memupuk hubungan harmoni, menyemaikan sifat saling menghormati, mempamerkan sifat toleransi, merangkaikan hubungan kerja yang produktif serta merangka strategi tanggung jawab pertahanan untuk menghadapi musuh.

9. Perlembagaan Madinah adalah Perlembagaan bertulis yang pertama di dunia, mengandungi 52 Perkara, berteraskan prinsip ‘Satu Pemerintahan – Satu Perundangan’,[5] menempatkan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam sebagai kuasa tertinggi kehakiman, perundangan dan eksekutif, sementara Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam meletakkan diri Baginda bertaraf seorang hamba dan pesuruh ALLAH, teguh berpegang kepada prinsip, hanya ALLAH yang memiliki sumber kuasa. [6]

10. Para ilmuwan merumuskan bahawa Perlembagaan Madinah terbahagi kepada dua komponen. Komponen pertama: mengenai hubungan di antara umat Islam sesama Islam yang berjaya dicapai dalam tahun pertama berlakunya Hijrah, terkandung dalam Perkara 1 sehingga Perkara 23; sementara komponen kedua: menyusul selepas kejayaan tentera Islam dalam Peperangan Badar, menyentuh prinsip hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi. Kejayaan umat Islam dalam Peperangan Badar menjadi titik peralihan pengiktirafan kaum Yahudi terhadap umat Islam. Peperangan Badar telah melakarkan imej kekuatan umat Islam, meletakkan umat Islam berada dalam status yang disegani, digeruni lantas dihormati lalu mendorong kaum Yahudi untuk menandatangani perjanjian kerjasama dengan umat Islam, menjalinkan perikatan dan persetujuan perlindungan. Perlembagaan Madinah turut memberi jaminan bahawa kalangan bukan Islam diberikan kebebasan beragama. Bagi sebuah Negara Kota dengan sepuluh ribu penduduk, dan secara relatif tidak berhadapan dengan isu-isu yang kompleks pada era tersebut, Perlembagaan Madinah yang mengandungi 52 Perkara, adalah Perlembagaan yang sangat terperinci lagi komprehensif. Terkandung di dalamnya semangat-semangat kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati, serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum dan kabilah.

11. Apakah DNA kekuatan yang ada pada pimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam hingga membolehkan terbangunnya sebuah Negara Islam. Jawapannya terletak kepada penerimaan kepimpinan dan kebijaksanaan pemimpin. Kejayaan menggerakkan pengikut untuk berhijrah, disusuli kejayaan menubuhkan Negara Kota Madinah, adalah hasil daripada kebijaksanaan seorang pemimpin agung yang berjaya memancarkan keikhlasan niat, kejujuran hasrat, kesungguhan usaha serta ketinggian integriti, diperlengkap dengan wawasan besar; lalu mendapat sokongan jitu para sahabat yang turut memiliki sifat-sifat ikhlas, jujur dan berintegriti, juga sedia mengorbankan harta benda, hatta nyawa masing-masing untuk memenuhi tuntutan ILAHI.

12. Apakah rahsia kekuatan yang ada pada ummah, berjaya menyinarkan syiar Islam hingga tersebar luas ke serata dunia. Kekuatan ummah dibina daripada minda terbuka, bersedia menerima pembaharuan – bersedia melakukan perubahan – bersedia melaksanakan perintah serta teguh mempertahankan kesucian ajaran Islam. Umat Islam ketika itu, berjiwa besar, berpandangan luas, bersifat sederhana dan yakin pada diri. Umat Islam ketika itu, menolak suara-suara ekstrem, menerima kepelbagaian, menghormati perbezaan dan tidak bersifat homo genik. Ummah yang berlainan pandangan dan berlainan budaya tidak cepat dijatuhkan hukum, disisih dan dipinggirkan; di sebaliknya, setiap perbezaan ditangani secara rasional – secara berdialog, selaras dengan tamadun keilmuan yang berusaha untuk membantu ummah menemui cahaya kebenaran, lalu terbina satu kekuatan ummah yang bersatu dan berpadu, memiliki kegagahan, bertenaga menyebarkan syiar Islam dan mengangkat martabat ummah.

13. Hijrah berlaku pada tahun 622 Masihi. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam memimpin Kerajaan Islam Madinah sehingga Baginda wafat dalam tahun 632 Masihi. Dalam tempoh sepuluh tahun pemerintahan Baginda, hampir seluruh Semenanjung Arab berada di bawah pemerintahan Islam. Selepas kewafatan Baginda, Islam terus berkembang ke serata dunia, di samping berjaya mengasaskan pelbagai kemajuan pada pra Zaman Pertengahan (pre-medieval) begitu juga pada Zaman Pertengahan (medieval times). Kehebatan pimpinan Islam tidak terbatas dalam bidang agama. Pada era pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab Radiallahuanhu, Nizart-al Nafia, ia itu Jabatan Kejuruteraan Awam telah ditubuhkan. Jabatan tersebut telah menyiapkan kajian feasibility lengkap dengan pelan untuk membina terusan menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah, menyamai Terusan Suez yang dibina pada tahun 1859.[7] Rancangan tersebut tidak dilaksanakan atas faktor-faktor keselamatan. Di sebaliknya, Terusan Ameer-ul-Mu’meneen sepanjang 69 batu telah berjaya dibina dalam tempoh enam bulan menghubungkan Sungai Nile dengan Laut Merah.[8]

14. Selama tiga belas abad, antara tahun 632 Masihi sehingga tahun 1924 Masihi, Islam berkembang pesat ke serata dunia dan umat Islam kukuh berpadu di bawah satu pemerintahan. Malangnya perebutan kuasa yang berlaku sesama ummah selepas itu, sedikit demi sedikit melemahkan pimpinan Islam. Sistem Khalifah Islam musnah kerana pihak-pihak yang taksub berebut kuasa tergamak melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dan untuk mengekalkan kuasa. Kesetiaan kepada perintah ILAHI dan kepentingan ummah disisir. Kesetiaan beralih daripada memenuhi tuntutan wahyu kepada kepentingan kabilah dan kepentingan individu; akibatnya faktor perpaduan yang merupakan tunjang kekuatan politik ummah hancur berkecai.[9] Lalu berlaku vakum kepimpinan di kalangan ummah. Vakum ini sedikit demi sedikit membuka jendela untuk di isi oleh kuasa Barat, sedikit demi sedikit elemen-elemen sekularisme menggantikan prinsip dan nilai Islam dalam tatacara urus tadbir ummah.

15. Ummah berpecah – ummah terpisah dalam kabilah kepimpinan yang berasingan, bersaingan malah bermusuhan. Permata berharga KESATUAN UMMAH SEJAGAT akhirnya hilang. Ummah kehilangan platform penyatuan yang pernah menempatkan ummah di mercu kegemilangan. Hari ini, perpaduan dan penyatuan ummah hanya dapat ditonton ketika ummah berhimpun untuk menunaikan umrah dan haji di kota Mekah. Pada Ogos 1969, ummah di serata dunia dikejutkan dengan tragedi Masjid Al-Aqsa dibakar. Ummah tercari-cari instrumen untuk bertindak. Setelah dua bulan berlalu, pada Oktober 1969, dua puluh empat negara Islam mengadakan persidangan di Rabat. Pada Mac 1970, Menteri Luar negara-negara Islam mengadakan perjumpaan di Jeddah merumuskan penubuhan Organisation of the Islamic Conference (OIC); hari ini dianggotai oleh 56 negara Islam. Idea penubuhan OIC dicetuskan 44 tahun lalu. Sehingga kini, kesatuan ummah hanyalah satu ilusi – satu mirage yang menjanjikan harapan dan meletakkan impian untuk mengembalikan kehebatan ummah yang pernah dimiliki pada era keagungan Islam.

16. Ummah tidak harus mengulangi kesilapan dahulu; yang perlu dibayar dengan kos yang tinggi, kerana takut atau kerana disekat berhijrah dari era pertanian ke era industri lalu tercicir daripada menyertai Revolusi Industri disebabkan tafsiran sempit sebahagian pihak zaman silam; mendirikan dinding pengadang, memagar umat Islam daripada terdedah kepada teknologi baru. Akibatnya, Teras keempat Kerajaaan Islam Madinah, ia itu self –reliance tidak dapat dipenuhi menyebabkan sumber kekayaan anugerah ILAHI tidak dapat dioptimumkan manfaatnya. Negara-negara Islam memiliki dua per tiga sumber minyak dunia, menghasilkan dua per tiga keluaran minyak sawit dunia, 70 peratus pengeluaran getah dunia, 67 peratus rempah dunia, 75 peratus jut dunia, dan 50 peratus fosfat (phospate) dan bijih timah dunia.[10] Di samping itu negara-negara Islam juga adalah antara pengeluar terbesar kapas, teh, kopi, uranium, manganese, cobalt dan pelbagai bahan mineral lagi.[11] Dukacitanya, kekayaan kurniaan ILAHI ini, gagal diterjemahkan untuk mengangkat martabat negara Islam berada di puncak kecemerlangan dan ummah berada di puncak kegemilangan.

17. Melakukan hijrah dipelopori oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Berhijrah adalah satu sunah. Amalan hijrah tidak harus berhenti, malah perlu diteruskan sepanjang hidup insan, kerana hijrah itu adalah satu kaedah pendekatan untuk melakukan perubahan – untuk melakukan penambahbaikan, dan hijrah bukannya matlamat terakhir. Setiap hari, sepanjang tempoh satu tahun di antara satu Muharam 1435 hingga satu Muharam 1436, penghijrahan teknologi berlaku. Manusia daripada pelbagai latar belakang yang memiliki pelbagai idea dan pelbagai aspirasi semakin terangkai melalui teknologi elektronik, yang telah berjaya merangkumkan fungsi komputer, GPS, kamera, video, projektor, televisyen, perakam suara dan pelbagai fungsi lagi dalam satu telefon bimbit yang kecil. Penyebaran dan perkongsian maklumat semakin berlaku. Syarikat Ericsson meramalkan menjelang tahun 2017, liputan mobile internet akan dapat dinikmati oleh 85 peratus penduduk dunia.[12] Perkembangan teknologi membuka pelbagai ruang dan peluang baru.

18. Dunia global ketika ini adalah dunia yang berada dalam era teknologi maklumat. Ekonomi dunia hari ini adalah ekonomi yang berpaksikan pengetahuan. Dunia global adalah milik mereka yang berupaya melakukan penghijrahan, bijak dan cekap mentafsirkan fakta – merumuskan data secara kritis – secara analytical. Dunia global sedang dilanda arus digital yang memperkenalkan budaya baru – menghidupkan tamadun baru, mempengaruhi struktur keluarga dan struktur sosial, struktur ekonomi dan struktur perdagangan, struktur profesion dan struktur pekerjaan. Walaupun ketika ini, 36 peratus tenaga kerja dunia masih berada dalam sektor pertanian tetapi mereka hanya memberi sumbangan 6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Dunia berbanding 31 peratus yang disumbangkan oleh sektor industri dan 63 peratus oleh sektor perkhidmatan.[13] Dalam tempoh satu tahun yang lalu, 300,000 ribu Dolar transaksi urus niaga berlaku setiap minit secara talian. Bilangan pengguna yang melakukan urus niaga secara talian terus meningkat. Diunjurkan transaksi urus niaga secara talian akan meningkat daripada 1.5 trilion Dolar dalam tahun 2013 kepada 3.2 trilion Dolar dalam tahun 2017.[14]

19. Pada tahun 1804, penduduk dunia berjumlah satu bilion, meningkat kepada dua bilion pada tahun 1927, enam bilion pada tahun 1999 dan 7.2 bilion dalam tahun 2013; diunjurkan meningkat kepada 9.6 bilion dalam tahun 2050.[15] Demografi dan kepadatan penduduk semakin berubah dari segi struktur usia, jangka hayat begitu juga lokasi penempatan. Di serata dunia, desa semakin sepi, penghijrahan berlaku secara besar-besaran, bandar kini semakin padat. Bilangan penduduk semakin bertambah sedangkan sumber semakin berkurangan untuk menampung keperluan terutamanya sumber tenaga, sumber air dan sumber makanan. Keperluan makanan dan keperluan air telah diletakkan sebagai agenda keselamatan dunia. Langkah-langkah pembaharuan amat perlu segera dilaksanakan dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan untuk mengimbangkan bekalan dengan permintaan, di samping memastikan ekologi dunia dipelihara sebaik mungkin dan tidak dimusnahkan melalui perancangan pembangunan yang tidak lestari lagi memusnahkan.

20. Perubahan demografi yang berlaku dan penghijrahan teknologi yang berlaku pada kadar kelajuan yang begitu pesat, tidak hanya menghamparkan peluang baru tetapi turut dikembari dengan cabaran baru. Setiap satunya mencetuskan cabaran yang memerlukan berlakunya penghijrahan kaedah urus tadbir dunia. Ironinya, ketika masyarakat dunia kelihatan dirangkaikan melalui teknologi komunikasi, sikap tidak toleran semakin membuak, melahirkan kumpulan-kumpulan yang berfikiran fanatik dan cauvinis atas nama agama, mazhab, kaum ataupun kumpulan, bertindak secara ekstrem, melahirkan gerakan terrorist bertindak ganas – bertindak militan, semakin menimbulkan konflik – semakin mencetuskan konfrontasi antara agama, mazhab, kaum dan kumpulan.

21. Masyarakat awam semakin menuntut untuk berperanan lebih dominan dalam menentukan tata urus tadbir negara. Ketelusan dan keterbukaan menjadi norma yang semakin dituntut dan perlu dipenuhi. Tuntutan hak asasi, kebebasan bersuara, hak berpolitik atas nama demokrasi meletus di serata dunia. Dunia sedang menyaksikan gerakan massa yang semakin meningkat, beralih daripada retorik kepada tindakan-tindakan yang lebih radikal, mencabar sistem politik, sistem ekonomi dan sistem sosial di setiap negara. Isu-isu yang dibangkitkan berpotensi besar mencetuskan konflik dan mencetuskan revolusi berformat baru; ia telah dan sedang berlaku di beberapa negara dan berkemungkinan sampai di persisiran pantai lebih banyak negara lagi.

22. Order lama pemerintahan semakin rendah nilai mata wangnya (currency). Order baru menuntut kepada kemahiran pimpinan menangani kontradiksi serta bersifat inclusive untuk membolehkan berlakunya engagement. Ia adalah cabaran besar kepada setiap pemimpin, setiap kerajaan dan setiap negara di serata dunia. Cabaran bertambah berat kerana komposisi warga berusia remaja semakin bertambah; terdiri dari kalangan yang semakin terpelajar – semakin terdedah kepada makluman dan mereka tidak ada ikatan emosi – ikatan sentimen dengan sejarah lampau. Senario ini menuntut kepada perlunya dilakukan penghijrahan kaedah mentadbir urus negara dan mentadbir urus dunia.

23. Sewajarnya ummah pada hari ini disuntik kesedaran. Sewajibnya ummah pada hari ini mendalami dan menghayati pengajaran besar yang terkandung di sebalik peristiwa hijrah. Hijrah tidak berkesudahan dengan perpindahan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dari Mekah ke Madinah. Semangat hijrah wajib dihidupkan dan terus dihidupkan. Hijrah wajib dijadikan sumber inspirasi untuk memberanikan insan merentasi sempadan baru – menerokai wilayah baru, melakukan inovasi – bersifat kreatif. Dalam menghadapi era perubahan yang berlaku pada tahap kelajuan yang demikian pesat, risiko besar yang dihadapi oleh ummah adalah penangguhan yang terlalu lama untuk berhijrah hingga terlalu lewat melakukan pembaharuan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan nur menunjukkan kita menemui jalan yang diredai dan memberikan kita kekuatan dan keberanian berhijrah menuju jalan yang diredai ILAHI.

24. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Muhammad Ahsan, “Globalization and the underdeveloped Muslim world: a case study of Pakistan”, dalam Islam Encountering Globalization, ed Ali Mohammad, (London: RoutledgeCurzon, 2002), 180
  2. Ibid.
  3. Muhammad Hamidullah, The First Written Constitution in the World (3rd.ed), Lahore: SH. Muhammad Ashraf, 1981, 9-10.
  4. Ibid 10
  5. Ibid 17
  6. Ibid 18
  7. Muhammad Ahsan, 181.
  8. S.A. Hussain, The Glorius Caliphate (Lakhnow: Islamic Research and Publications, 1997).
  9. Muhammad Ahsan, 181
  10. G. Sarwar, Islam: Belief and Teachings, (London: Muslim Educational Trust, 1994), 203
  11. Ibid.
  12. The Millennium Project – 15 Global Challenges – Challenge 6.
  13. The Millennium Project – 15 Global Challenges – Challenge 7.
  14. “10 Key Trends to Watch for 2014” (Trend 1 to 5), (Strategy Dynamics Global Limited), www.globaltrends.com 2013
  15. The Millennium Project – 15 Global Challenges-Challenge 3.
%d bloggers like this: