Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1436H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sambutan Maulidur Rasul, dianjurkan dengan tujuan memperingati ulang tahun hari keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; Rasul dan pesuruh Allah yang telah diturunkan wahyu kepada Baginda untuk membimbing manusia mengenai konsep tauhid, ALLAH YANG ESA, bahawa tiada tuhan yang wajib disembah melainkan ALLAH. Baginda telah memenuhi amanah menyampaikan risalah Islam, di samping membuktikan bahawa Islam adalah agama yang lengkap mengandungi segala panduan untuk mengurus tadbir alam semesta secara harmoni. Acara sambutan Maulidur Rasul hendaklah dipenuhi dengan program-program yang dapat memberikan peringatan berkesan kepada dunia hari ini akan hikmah dan kebijaksanaan kepimpinan Baginda membina tamadun yang agung serta kejayaan Baginda merangka tata cara hubungan harmoni sesama manusia, merentasi sempadan agama dan kaum.

2. Islam mula diperkenalkan dengan lima ayat Surah Al-Alaq yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam pada malam 17 Ramadan – malam yang dikenali sebagai Lailatul-Qadar, ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hiraa’.

Tiga perkara utama terkandung dalam lima ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan itu[1]:

Pertama: Allah, Tuhan sekalian alam, Maha Esa – Maha Kuasa, wajib diingati –wajib dipatuhi dalam segala keadaan.

Kedua: Manusia diciptakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dalam sebaik-baik keadaan, diberikan pelbagai keistimewaan berbanding makhluk-makhluk lain.

Ketiga: Nikmat ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada manusia melalui pena dan tulisan.


3. Seruan terhadap Islam mula diamalkan oleh seorang insan, bernama Muhammad bin Abdullah, yang telah diangkat ke taraf Rasul lalu diamanahkan tanggung jawab besar untuk menyebarkan Islam. Ajaran Islam diperkenalkan dalam persekitaran penduduk Mekah yang tidak bersedia menerimanya, malah memberikan tentangan yang kuat. Usaha menyebarkan Islam mengambil masa yang lama, menghadapi ujian getir, berhadapan pelbagai tentangan, menyaksikan pelbagai pengorbanan.

4. Diriwayatkan selama dua tahun setengah sesudah menerima wahyu pertama, barulah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam menerima wahyu kedua, diturunkan ketika Baginda sedang berselimut[2] terdiri dari ayat 1 hingga ayat 7 Surah Al Muddatstsir bermaksud:

“Wahai orang yang berselimut; Bangunlah dan berilah peringatan! Besarkanlah (nama) Tuhan mu; bersihkanlah pakaian mu; jauhilah perbuatan maksiat; janganlah kamu memberi kerana hendak memperoleh yang lebih banyak; Dan hendaklah kamu bersabar untuk memenuhi perintah Tuhan mu”[3]

5. Bermula dari seorang pengikut, Islam berkembang menjadi agama yang kini dianuti oleh lebih 1.6 bilion penduduk di serata dunia; dan Islam pernah mencipta era kegemilangan, ketika ummah berpegang teguh kepada firman ALLAH yang termaktub di dalam Al-Quran di samping menghayati dan mengamalkan Sunah Rasul. Pencapaian sesuatu kejayaan bergantung kepada keberkesanan kaedah pelaksanaan. Untuk mencipta kejayaan, setiap inisiatif wajib dikembarkan dengan kaedah pelaksanaan yang realistik; kaedah pelaksanaan yang diformulasikan dengan mengambil kira segala kemungkinan yang bakal dihadapi, terutama antisipasi menghadapi bantahan – menghadapi tentangan. Formula pelaksanaan yang realistik akan menerima realiti bahawa tidak ada perkara yang akan diterima seratus peratus; justeru itu amat perlu dirangka gerak kerja yang memikirkan pentingnya ditangani aspek-aspek keharmonian, kerjasama dan toleransi dalam senario yang mempunyai pelbagai kelainan – pelbagai perbezaan.

6. Berpandukan petunjuk ILAHI, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah berjaya merangka inisiatif yang memperlihatkan hikmah kebijaksanaan seorang pemimpin, berupaya membaca secara tepat situasi yang perlu ditempuhi lalu merangka formula yang berupaya menangani situasi terutama untuk melembutkan bantahan dan mengatasi tentangan.

7. Tiga tahun lamanya Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam melakukan dakwatul afraad, ia itu melakukan dakwah Islamiah secara seorang demi seorang secara bersembunyi dari rumah ke rumah[4] sehingga diturunkan ayat 94 Surah Al Hidjr,[5] bermaksud;

Maka sampaikanlah oleh mu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepada mu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik”.[6]

8. Fasa pertama mengembangkan Islam berhadapan dengan senario tentangan yang sengit. Gerak langkah ditumpukan kepada usaha mendapatkan penerimaan dan membina keyakinan ummah kepada kalimah tauhid, KEESAAN ILAHI, bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam menghadapi ujian yang amat berat; Baginda dihina dan dicerca; pengikut Baginda diancam, diugut, diseksa, dianiaya malah dibunuh.

9. Ketika berhadapan tentangan yang begitu memuncak, Baginda diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala menjalani Israk dan Mikraj; perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis, selanjutnya diangkat ke langit ketujuh dan Sidratul Muntaha. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, sebelas tahun sesudah Baginda diangkat menjadi Rasul. Peristiwa Israk dan Mikraj telah menyuntik kekuatan batin Baginda untuk menghadapi musibah. Peristiwa Israk dan Mikraj meningkatkan kekuatan iman dan azam Baginda untuk tekad memperjuangkan cita-cita luhur menyeru umat manusia menerima Islam. Fasa pertama mengembangkan Islam di Mekah berlangsung selama tiga belas tahun.

10. Fasa kedua, bermula setelah berlakunya Peristiwa Hijrah ke Yathrib, kota yang dikenali dengan nama Madinah pada hari ini. Perjalanan Baginda dari Mekah menuju Yathrib merentasi padang pasir yang luas dan cuaca yang amat panas. Perjalanan Baginda mengambil masa lapan hari untuk sampai ke Quba, sepuluh kilometer daripada Yathrib. Baginda berehat empat hari di Quba; dan dalam tempoh masa tersebut Baginda mendirikan masjid. Masjid Quba adalah masjid pertama yang didirikan dalam sejarah Islam. Pada hari Jumaat, 12 Rabiulawal Tahun pertama Hijrah (bersamaan 24 September 622 Masihi), ia itu pada ulang tahun hari keputeraan Baginda, Baginda memasuki Yathrib; dan pada hari tersebut Baginda mendirikan Solat Jumaat yang pertama dalam sejarah Islam dan menyampaikan khutbah.[7] Yathrib diubah namanya kepada Madinatun Nabij bermaksud ‘Kota Nabi’ dan selanjutnya disebut Madinah.[8]

11. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dengan petunjuk ILAHI telah berjaya menggubal dasar politik Daulah Islamiah,[9] menyusun struktur pemerintahan dan struktur politik baru di samping memperkenalkan kerangka ekonomi dan kerangka sosial untuk pembangunan ummah di bumi Madinah. Ketika merangka penubuhan Negara Kota Madinah, aspek keamanan dan perpaduan diberikan fokus, merangkumi hubungan sesama umat Islam, hubungan umat Islam dan bukan Islam serta hubungan dengan kaum Yahudi. Baginda telah memformulasikan Perjanjian Yathrib yang menggariskan gagasan keamanan di antara pelbagai puak dan suku kaum berteraskan prinsip kerjasama dan keselamatan bersama.[10] Perjanjian tersebut mengakui, menjamin dan menetapkan hak agama dan budaya setiap pihak.

12. Baginda telah berjaya mengasaskan satu bentuk kesatuan daripada elemen yang pelbagai, bermula dengan kejayaan menyatukan puak Ansar dan Muhajirin hingga kepada pembentukan kesatuan ummah di Semenanjung Arab. Perselisihan, pertembungan dan pertumpahan darah yang sering berlaku di kalangan kabilah, berjaya dihentikan dengan memberi perhatian kepada dua elemen utama yang ditegaskan oleh Islam ia itu semangat persaudaraan dan semangat kesaksamaan; bahawa manusia ciptaan ILAHI adalah sama, yang membezakan mereka di sisi Allah adalah tahap keimanan dan takwa; dan seseorang pemimpin di dunia ini, hanya wajib dipatuhi selagi ia tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan perintah ILAHI.

13. Perjanjian Yathrib telah memperkenalkan doktrin dan menjadi gagasan jalinan kerjasama keamanan dan keselamatan bukan sahaja sesama Islam, antara Islam dan bukan Islam dalam sebuah negara, malah merentasi hubungan di antara negara-negara yang berlainan agama. Gagasan kerjasama keamanan dan keselamatan tersebut dapat dianggap sebagai pelopor, satu perintisan, satu miniature, kepada ideal penubuhan League of Nations, pasca Perang Dunia Pertama pada tahun 1919 dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pasca Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.[11]

14. Menggubal sesuatu piagam adalah satu permulaan. Yang lebih penting adalah kesediaan menerima pakai Piagam yang telah digubal. Piagam yang telah diterima pakai pula, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalannya, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa. Oleh itu pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bercanggah.

15. Islam membenarkan umatnya bersuara, bersifat kritikal dan umat Islam diseru untuk memiliki keberanian menegakkan kebenaran dan ketegasan mempertahankan keadilan. Umat Islam diseru memenuhi tanggung jawab moral, menggunakan daya intelek kurniaan ILAHI untuk mencetuskan cadangan dan pandangan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah. Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi kebebasan tersebut wajib dikembarkan dengan tanggung jawab.[12] Islam menegaskan pentingnya diamalkan budaya syura dalam sistem pentadbiran untuk membolehkan pandangan dan pendapat disuarakan; Islam juga menganjurkan kesediaan mendengar dan menganalisis secara rasional hujah dan pendirian yang berbeza untuk membolehkan keputusan yang dirumuskan dicapai secara kolektif selaras dengan semangat yang terkandung dalam ayat 159 Surah Ali’ Imran bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepada mu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut mu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari keliling mu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap mu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan). Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada Nya”.[13]

16. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam mengamalkan syura kerana budaya bermesyuarat adalah salah satu dari dasar pemerintahan yang dianjurkan oleh Islam berdasarkan ayat 38 Surah Asy-Syura, bermaksud:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.”[14]

17. Islam menegaskan bahawa pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang. Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran – bertiangkan keadilan selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 24 Surah Saad”

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan mu Khalifah di bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan ALLAH. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan ALLAH akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hasil perhitungan”.[15]

18. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah menunjukkan contoh teladan pentadbiran negara Islam pertama di dunia, pentadbiran yang menjunjung prinsip pemerintahan berpaksikan undang-undang yang bersumberkan Al-Quran. Negara Islam bukannya satu matlamat, Negara Islam tidak terbentuk sekadar menamakannya sebagai Negara Islam, tetapi Negara Islam adalah satu kaedah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan yang melakukan amal makruf dan menegah kemungkaran, rakyatnya hidup dalam suasana damai lagi rukun, saling bekerjasama – saling menghormati; bersatu dan berpadu mempertahankan kedaulatan watan, meluhurkan piagam atau perlembagaan negara serta mendaulatkan undang-undang untuk memastikan berlakunya keadilan agar negara dilimpahi ILAHI dengan rahmat keamanan dan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.

19. Negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam mengutamakan keadilan. Keadilan adalah faktor yang akan menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin. Sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak hanya dinikmati oleh umat Islam malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam. Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial.[16] Rumusannya Perlembagaan Madinah menetapkan bahawa setiap insan tanpa mengira pegangan agama, tanpa mengira amalan budaya dijamin hak asasi masing-masing.

20. Amalan toleransi agama diperlihatkan secara terang lagi nyata ketika Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersetuju menandatangani perjanjian dengan para rahib di biara St Catherine berhampiran Bukit Sinai pada tahun 627.[17] Perjanjian tersebut tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan kemuliaan sifat Baginda, memancarkan cahaya toleransi. Perjanjian tersebut memberi jaminan bahawa umat Islam akan memberi perlindungan keselamatan kepada para penganut Kristian, gereja, biara dan tempat kediaman paderi-paderi. Mereka tidak akan dikenakan cukai secara tidak adil, biskop dan rahib tidak akan diusir, penganut Kristian tidak akan dipaksa menukar agama, tidak ada gereja boleh dimusnahkan untuk tujuan membina masjid atau perumahan orang Islam. Umat Islam tidak dihalang malah dibolehkan menghulurkan bantuan untuk memperbaiki gereja dan biara penganut Kristian; dan perbuatan demikian tidak dihukum secara melulu telah menggelincirkan akidah umat Islam.

21. Allah telah menciptakan dunia ini dengan penganut agama yang pelbagai. Firman ALLAH dalam ayat 118 dan 119 Surah Hud, bermaksud;

“Dan kalaulah Tuhan mu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan mu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia…”[18]

22. Sesungguhnya Perjanjian yang telah dimeterai oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam memberikan hak – memberikan keistimewaan yang belum pernah wujud dan tidak pernah terfikir di kalangan penduduk pada abad ketujuh. Ia adalah dokumen sejarah yang telah mendahului zaman; dokumen sejarah yang boleh dijadikan bahan bukti kepada dunia bahawa Islam tidak sama sekali menindas agama lain. Dokumen perjanjian tersebut membuktikan pegangan, pendirian dan amalan seorang pemimpin yang memiliki pandangan luas – berkonsep terbuka, yakin atas kekuatan diri, yakin bahawa umat Baginda tidak akan tergugat iman – tidak akan tergelincir akidah hanya disebabkan kesediaan menjalinkan kerjasama dengan bukan Islam.

23. Semasa mengadakan perundingan dengan delegasi Kristian Najran pada tahun 631 Masihi di dalam masjid di Madinah, Baginda telah membenarkan anggota delegasi Kristian Najran bersembahyang di dalam masjid. Perundingan Baginda dengan Kristian Najran mengambil masa yang lama terutama mengupas subjek yang menyentuh Nabi Isa Alaihissalam (Jesus); dan Allah Subhanahu Wata’ala telah memberikan petunjuk kepada Baginda dengan menurunkan ayat 59 hingga ayat 61 Surah Ali Imran. Susulan daripada penurunan ayat tersebut, delegasi Kristian Najran tidak lagi mempertikaikan status Baginda. Perjanjian dimaktubkan di antara Baginda dengan Kristian Najran yang mengandungi unsur-unsur yang sama dengan perjanjian yang termaktub di biara St Catherine; bahawa penganut Kristian tidak akan diganggu malah diberikan perlindungan meneruskan amalan agama Kristian dan budaya Najran; kerja-kerja biskop dan rahib tidak diganggu, dan gereja tidak diroboh.

24. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam memberikan mesej jelas bahawa Islam adalah agama yang harmonis, agama yang mengutamakan hubungan persaudaraan, agama yang mementingkan elemen kasih sayang. Islam menganjurkan wujudnya hubungan kasih sayang antara Yang Maha Pencipta dengan makhluk yang dicipta, dan hubungan kasih sayang sesama makhluk ciptaan ILAHI. Setiap surah di dalam Al-Quran melainkan Surah At Taubah dimulakan dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, kalimah tersebut ditemui dua kali di dalam Surah An Naml; kalimah yang menyatakan sifat-sifat ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani; sifat-sifat yang mencerminkan kasih sayang Pencipta kepada ciptaan Nya lalu mengurniakan pelindung begitu juga pertolongan.

25. Sepanjang hayat, Baginda senantiasa mempamerkan sifat kasih mengasihani sesama insan, menghormati perbezaan pegangan agama dan amalan budaya. Baginda memilih menggunakan pendekatan diplomasi dalam menyelesaikan konflik dan percanggahan pendapat sesama ummah dan antara ummah.

26. Tutur kata dan tindak tanduk Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam mencerminkan watak kesederhanaan. Baginda berpegang kepada order politik yang berakarkan semangat berkhidmat – semangat berkorban. Baginda sama sekali tidak mahu diberikan sebarang keistimewaan; Baginda sama sekali tidak meletakkan diri lebih mulia dari orang lain; Baginda teguh berpendirian bahawa kemuliaan itu hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Baginda tegas menegakkan prinsip keadilan dan senantiasa memperingatkan gabenor-gabenor di serata wilayah bahawa pada hari kebangkitan nanti, pemimpin yang mendapat ihsan daripada Allah Subhanahu Wata’ala adalah pemimpin yang adil.

27. Baginda meninggalkan contoh teladan yang amat wajib dijadikan ikutan terutama ketika ummah ketika ini kelihatan semakin kabur pandangan dan semakin tersasar haluan. Islam yang Baginda anjurkan, Islam yang Baginda amalkan berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang disenangi dan mahu didampingi dan bukan Islam yang ditakuti dan mahu dijauhi. Baginda telah meninggalkan sebaik-baik modul pemerintahan terutama keberkesanan mengurus konflik dan mengendalikan perselisihan antara agama antara kaum atas sifat Baginda yang menghayati firman ALLAH seperti terkandung dalam Surah Al-Maa’idah ayat 48 bermaksud;

“……..Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing. Dan kalaulah ALLAH menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal salih). Kepada ALLAH jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisih padanya.”[19]

Demikian juga penghayatan Baginda pada ayat 13 Surah Al-Hujurat, bermaksud;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)…”[20]

28. Bumi yang kita berpijak ini didiami oleh warga pelbagai agama – pelbagai kaum, pelbagai budaya – pelbagai bahasa. Bumi yang kita pijak ini memiliki segala komponen perbezaan dari segi agama, kaum, budaya dan bahasa untuk mementaskan teater persengketaan. Alhamdulillah bumi ini dikurniakan dengan watak-watak dan penulis-penulis skrip yang tidak memilih untuk mementaskan teater persengketaan. Melalui hikmah kebijaksanaan pemimpin terdahulu, elemen-elemen yang pelbagai itu berjaya digabung dan dicantumkan hingga terbinanya sebuah negara Malaysia, merdeka lagi berdaulat, aman lagi tenteram, makmur lagi sejahtera. Bumi Malaysia telah sekalian lama dikurniakan nikmat ILAHI dengan keamanan dan ketenteraman, kemakmuran dan kesejahteraan, kekayaan hasil bumi dan terlindung daripada bencana besar dan malapetaka.

29. Namun ummah perlu mengambil peringatan akan firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Anfaal ayat 53 bermaksud;

“ Balasan yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar Maha Mengetahui”[21]

30. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, menerima tanggung jawab memimpin ummah dalam persekitaran umat manusia yang berpuak, bersuku-suku dan berkabilah; tidak ada elemen penyatuan, tidak ada Perlembagaan bertulis untuk dijadikan rujukan, namun melalui hikmah kebijaksanaan Baginda, umat manusia telah dapat didamaikan untuk hidup secara rukun hingga ke tahap berjaya disatukan. Negara ini kita warisi berlatar belakangkan persekitaran yang warganya telah berjaya mencapai kata muafakat untuk hidup dalam semangat toleransi, menghormati perbezaan dan menerima kelainan. Semangat permuafakatan yang telah diasaskan dan dicapai oleh barisan pemimpin kita ketika membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat hendaklah terus dihormati. Sebarang tuntutan – sebarang perbuatan yang bercanggah dengan semangat permuafakatan tersebut, wajib ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan sebuah negara merdeka yang warganya menerima dan menghormati perbezaan, hidup berpadu, rukun lagi damai.

31. Bersyukurlah atas nikmat kurniaan ILAHI kepada bumi dan negara kita selama ini, semoga ia berkekalan dengan setiap kita berusaha untuk tidak melakukan perbuatan yang menunjukkan penderhakaan terhadap Allah Subhanahu Wata’ala, dengan setiap kita berusaha untuk tidak menengkari Sunah Rasul. Dalam keadaan ummah bagaikan menghadapi kegelapan, suluhlah mata hati dengan sinaran cahaya daripada nur yang terkandung daripada kalam-kalam ALLAH yang terhimpun di dalam Al-Quran, dalam suasana ummah kelihatan semakin tersasar arah, kembalilah merujuk kepada kompas haluan yang tersusun di dalam Sunah Rasul.

32. Ya Allah Ya Rabul Alamin, Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam sebagai rahmat dan selawat yang akan menyelamatkan kami daripada pelbagai jenis huru-hara dan kemusnahan.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, (Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1980), 1703
  2. Al-Quran Dan Terjemahannya, (Kuala Lumpur: Pustaka Antara 1977), 63.
  3. Al-Quran, Al-Muddatstsir (74:1-7)
  4. Al-Quran dan Terdjemahannja, (Djakarta: Lembaga Penjelenggara Penterdjemah Kita Sutji AlQuran, 1971), “Muqaddimah”, 73.
  5. Ibid 74
  6. Al-Quran, Surah Al-Hidjr (15:94)
  7. Al-Quraan Dan Terdjemahnya, (Djakarta: Lembaga Penjelenggara Penterdjemah Kitab Sutji Al Quraan, 1970) Muqaddimah, 81.
  8. Ibid.
  9. Ibid.
  10. Golam W. Choudhury, The Prophet Muhammad: His Life and Eternal Message, (Kuala Lumpur: WHS Publications Sdn. Bhd. 1993), 64.
  11. Ibid.
  12. Golam W. Choudhury, 78.
  13. Al-Qurah, Surah Ali’ Imran (3:159)
  14. Al-Quran, Surah Asy-Syura (42:38)
  15. Al-Quran, Surah Shaad, (38:26)
  16. Golam w. Choudhury, 75
  17. The Spirit of the Quran, in Choudhury, 161.
  18. Al-Quran: Surah Hud (11:118-119)
  19. Al-Quran, Surah Al-Maaidah (5:48)
  20. Al-Quran, Surah Al-Hujurat (49:13)
  21. Al-Quran, Surah Al-Anfaal (8:53)
%d bloggers like this: