Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1425 Hijrah / 2004 Masehi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji milik Allah, tuhan semesta alam. Tuhan yang telah mengutus seorang Rasul Junjungan untuk memandu manusia ke jalan yang lurus. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para Ulama dan para Tabiin.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1425 Hijrah bersamaan tahun 2004 Masehi peringkat negeri Perak Darul Ridzuan.

3. Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam adalah sebaik-baik kejadian, semulia-mulia makhluk; seorang Rasul yang telah diangkat martabat dengan segala kemuliaan, seorang Pesuruh Allah yang telah menyempurnakan tanggung jawab melaksanakan amanah dengan penuh ikhlas, sabar, tekun dan taqwa. Baginda melalui pelbagai ujian, Baginda menempuhi pelbagai dugaan. Namun Baginda berjaya mengatasi setiap ujian – setiap dugaan, menyempurnakan tanggung jawab besar yang diamanahkan oleh Tuhan Rabbul Jalil, menegakkan kalimah tauhid, bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Baginda meletakkan asas budaya bernegara, berkerajaan dan bermasyarakat berlandaskan kebenaran, berlandaskan perundangan, berpandukan garis panduan yang telah diwahyukan oleh Allah Subhanahu Wataa’la.

4. Baginda telah wafat 1415 tahun Hijri yang lalu. Namun risalah yang telah Baginda sampaikan terus tersebar luas dan umat Muhammad terus bertambah. Baginda terus diingati dengan segala kemuliaan dan penghormatan. Risalah yang disampaikan terus menjadi pegangan dan anutan, merentasi sempadan negara dan sempadan politik, merentasi sempadan bangsa dan sempadan bahasa, merentasi sempadan budaya dan sempadan geografi. Makam Baginda diziarahi sepanjang masa, dikunjungi oleh umat dari serata dunia. Selawat dan salam memohon kesejahteraan ke atas Baginda diucapkan di hujung setiap lidah umat yang menerima risalah ajaran Baginda.

5. Demikian ikatan rohani yang terjalin di antara umat yang menerima risalah yang disampaikan oleh Baginda. Demikian keyakinan yang terbina di atas kewibawaan kepimpinan Baginda. Baginda merupakan pemimpin agung, penghulu kepada ummah, terus mendapat kemuliaan, disebut di lidah – tersemai di hati. Perkataan dan perbuatan Baginda adalah sunnah, menjadi penyuluh – menjadi panduan kehidupan, dijadikan rujukkan – dijadikan sandaran, memandu manusia menuju kebenaran – mencapai kejayaan, dalam mencari keredaan ILAHI – dalam menuju ‘As Siraatul Mustaqim’

6. Pemerintahan Islam dan tamadun Islam berkembang dengan segala kegemilangan, menjadi pegangan masyarakat pelbagai kaum – pelbagai bangsa, pelbagai budaya – pelbagai bahasa. Kehebatan Islam dicapai melalui kewibawaan kepimpinan yang dipelopori oleh Baginda – berani menegakkan kebenaran – tegas menentang kemungkaran. Baginda adalah contoh teladan terbaik melaksanakan kepimpinan yang amanah, kepimpinan yang ikhlas, kepimpinan yang jujur, kepimpinan yang adil.

7. Demikian kejayaan dan kegemilangan yang berjaya dicipta melalui kepimpinan yang berkesan, kepimpinan yang berlandaskan kebenaran, kepimpinan yang berteraskan perundangan. Bahawa kepimpinan itu adalah satu amanah, satu ujian dari ILAHI kepada insan yang telah diangkat menjadi pemimpin, amanah untuk mentadbirkan negara, mentadbirkan kerajaan, mentadbirkan pemerintahan; amanah untuk menguruskan kesejahteraan manusia – untuk menguruskan sumber negara, untuk menghindarkan pembaziran, untuk mengagihkan kekayaan secara adil – secara saksama.

8. Kerana itu pemerintahan yang berlandaskan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan senantiasa mendapat berkat dan rahmat dari ILAHI; rakyat hidup secara aman lagi harmoni, rukun lagi damai, negara pula dilimpahkan kemakmuran dan kesejahteraan, dikurniakan daulat dan kemuliaan. Di sebaliknya, pemimpin yang menyimpang dari melaksanakan hukum secara adil dan saksama, melaksanakan tanggung jawab berdasarkan pertimbangan peribadi – berlandaskan sentimen dan emosi diri, beraja di mata – bersultan di hati, berakhir dengan segala bentuk kepincangan, mencetuskan pelbagai huru-hara, negara musnah – rakyat derita.

9. Pemimpin berperanan utama dalam menentukan kesejahteraan dan penghidupan pengikut. Oleh itu, mereka yang telah terpilih menjadi pemimpin, biar apa gelarannya, baik Raja mahupun Presiden, baik Menteri mahupun Jeneral, baik Ulama mahupun Umarak, baik Pendeta mahupun Guru, baik suami mahupun bapa, baik isteri mahupun ibu, hendaklah senantiasa menginsafi bahawa kedudukan dan jawatan adalah satu amanah besar, satu tanggung jawab, yang menjadi faktor penentu yang boleh membawa kesejahteraan atau kesengsaraan. Tanggung jawab seorang pemimpin senantiasa dinilai oleh pengikut ketika di dunia dan akan diadili oleh ILAHI di hari perhitungan.

10. Kepimpinan Rasul Sallallahu Alai Wassalam berdiri kukuh atas prinsip keadilan. Keadilan lebih terjamin jika tugas diserahkan kepada mereka yang benar-benar ahli dalam menguruskan sesuatu tanggung jawab. Keadilan dapat dicapai jika prinsip kebenaran senantiasa disanjung. Kerana itu Rasul Sallallahu Alai Wassalam senantiasa menyeru kepada kebenaran – senantiasa menegakkan kebenaran. Keadilan dapat dicapai jika ada keberanian untuk menerima kebenaran betapa pahit sekalipun.

11. Sistem ‘syura’ yang diperkenalkan oleh Junjungan Besar kita adalah satu mekanisme yang membolehkan berlakunya perbincangan secara terbuka, kerana perbincangan secara terbuka membolehkan kebenaran dapat disampaikan. Sistem syura adalah satu mekanisme semak dan timbang dalam sesuatu urusan; pemimpin boleh menegur dan boleh pula ditegur. Dan keadilan itu menjadi lebih kukuh jika pemerintahan senantiasa disandarkan dan mengutamakan kepada perundangan dan sistem perundangan pula perlulah dilaksanakan secara telus oleh jemaah hakim yang cekal mengutamakan kebenaran dan kukuh kepada prinsip menegakkan keadilan.

12. Demikian parameter yang telah digariskan oleh Rasul Sallallahu Alai Wassalam yang boleh dijadikan panduan dan rujukan dalam urusan berkerajaan dan bernegara. Parameter tersebut terbukti membantu mencipta era kegemilangan Islam dalam urusan berkerajaan dan bernegara hingga terbinanya sebuah Empayar Islam yang agung lagi dihormati, menjadi paksi utama geo-politik dunia, merentas dari Benua India ke Lautan Atlantik dan hingga kini kekal sebagai Empayar terbesar dalam sejarah politik dunia.

13. Sambutan memperingati hari keputeraan Rasul Sallallahu Alai Wassalam ini, tentulah memberi erti dan memberi makna kepada ummah, jika ia dijadikan sebagai waktu dan ketika, membawa umat Islam menilai, membuat pengukuran serta melakukan penelitian terhadap tahap pencapaian dan keselarian antara corak dan budaya kepimpinan yang sedang diamalkan baik di peringkat negara, di peringkat jentera pengurusan dan pentadbiran, di peringkat masyarakat, di peringkat keluarga dan di dalam diri setiap insan.

14. Peneropongan diri seperti ini berkemungkinan memberikan kesedaran yang lebih bererti dan lebih bermakna jika pemimpin bersedia menerima hakikat bahawa masih terdapat jurang yang jauh antara pendekatan yang dilaksanakan oleh kepimpinan di serata dunia Islam hari ini dengan cara kepimpinan yang telah dilaksanakan oleh Rasul Sallallahu Alai Wassalam dan para Sahabat Baginda.

15. Sehubungan itu, bersempena peringatan hari yang bersejarah ini, dengan penuh keinsafan Beta mengingatkan diri, di samping menyeru sekalian umat Islam, untuk mengambil iktibar, untuk menghayati, lalu bertekad dan berazam mengamalkan corak kepimpinan yang pernah di amalkan oleh Baginda Rasul Sallallahu Alai Wassalam. Corak kepimpinan yang mengabadikan diri secara tulus lagi penuh takwa kepada Tuhan yang Esa. Corak kepimpinan yang berlandaskan kepada undang-undang yang dilaksana dan dikuatkuasakan secara adil – secara saksama. Corak kepimpinan yang mengutamakan kepentingan ummah. Corak kepimpinan yang ikhlas, jujur, amanah dan telus; bebas dari rasuah, jauh sekali dari menyalah gunakan kuasa, terhindar dari melakukan kezaliman dan penganiayaan.

16. Semoga setiap kita mendapat petunjuk dan bimbingan ILAHI untuk dapat menjejak langkah Baginda dan terpilih menjadi kalangan yang memperoleh syafaat dari Baginda.

17. Sempena memperingati ulang tahun hari keputeraan Baginda, sebagai lafaz kasih dan tanda sayang kepada Rasul terpilih, marilah dengan penuh rasa penghargaan, dibacakan Suratul Fatihah, semoga bacaan itu nanti, diterima sebagai amal yang mendapat ganjaran ILAHI dan disampaikan ganjaran tersebut kepada Roh Baginda, para keluarga dan sahabat Baginda serta sekalian para Tabiin dan Ulamak. Al Fatihah.

Wabillahi Taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

 

%d bloggers like this: