Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wataala yang telah mengutus seorang Rasul, untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.[1] Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam itu suri teladan yang baik bagi mu (ia itu) bagi orang yang mengharap (rahmat) ALLAH dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut nama ALLAH.[2] Selawat dan salam kesejahteraan ke atas Baginda, juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
2. Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam diputerakan pada dua belas Rabiulawal. Kejayaan utama Baginda adalah menegakkan prinsip tauhid keesaan ILAHI, bersandarkan kalimah syahadah LAILA HA IL LALLAH; bahawa tidak ada tuhan melainkan ALLAH, menjunjung prinsip yang terkandung dalam ayat 14 Surah Thaahaa yang bermaksud:
“Sesungguhnya Aku ini adalah ALLAH, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingat Aku”[3]
3. Risalah Islam yang disampaikan oleh Baginda berkembang pesat dan terus berkembang selepas kewafatan Baginda. Risalah Islam tersebar luas ke serata dunia; bilangan umat Islam kini mencecah 1.8 bilion.
4. Berasaskan pengiraan tahun Hijrah, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam telah wafat 1423 tahun yang lalu. Meskipun Baginda telah wafat, saban tahun, pelbagai acara terus dilaksanakan untuk memperingati tarikh keputeraan Baginda. Sambutan tarikh keputeraan Baginda mula dianjurkan secara meriah sejak tahun 969 Masihi oleh Kerajaan Fatimiah di Mesir dalam hasrat memperingatkan ummah akan peranan seorang tokoh agung untuk dijadikan contoh ikutan.
5. Dalam menghadapi senario semasa dunia, demikian juga dalam mengamati senario setempat, ada dua aspek kepimpinan Baginda yang sangat wajar dikunjungi dan diberikan perhatian; pertama: kepimpinan berintegriti, kedua: hubungan harmoni antara agama, kaum dan budaya.
6. Aspek pertama: Kepimpinan berintegriti: Baginda memiliki sifat kepimpinan yang unggul lagi sejagat; amanah, jujur, ikhlas, berdisiplin, berkorban dan komited. Meskipun Baginda berstatus Rasul, Baginda mencerminkan sifat rendah diri, menganggap diri Baginda bertaraf hamba di sisi Tuhan Maha Pencipta. Ayat 110 Surah Al Kahfi diturunkan untuk dijadikan pegangan Baginda dalam menghadapi tuntutan dari pihak-pihak yang mahu Baginda memperlihatkan tanda-tanda keajaiban sebagai bukti kerasulan Baginda. Ayat 110 Surah Al Kahfi bermaksud;
Petikan;
“ Katakanlah: ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: “bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu hanya Tuhan yang Esa…”[4]
7. Baginda amat menyedari bahawa Baginda sendiri bukan sahaja tidak terlepas dari pandangan ILAHI, malah Baginda turut dinilai oleh para pengikutnya; justeru itu amat wajib bagi diri Baginda mengamalkan dan mempamerkan sebaik-baik contoh teladan.
8. Khutbah terakhir Baginda dirujuk sebagai Khutbah Wida’; disampaikan di Arafah, pada 9 Zulhijah Tahun Kesepuluh Hijrah. Berasaskan kajian dan penyelidikan, Khutbah Wida’ disampaikan kepada 144,000 jemaah; dengan kaedah penyampaian yang amat unik dalam era yang belum ada teknologi pembesar suara dan amplifier. Kata-kata Baginda diucapkan berperingkat-peringkat, lalu disambut dan diulang oleh mereka yang berada di sekeliling Baginda, seterusnya di sambut dan diulang lagi, lapisan demi lapisan di kalangan jemaah, sehingga sampai kepada setiap jemaah yang berhimpun di Padang Arafah ketika itu. [5]
9. Antara perkara yang terkandung dalam Khutbah wida’ adalah aspek integriti serta aspek akauntabiliti terhadap ummah dan terhadap ALLAH Subhanahu Wataala; Baginda menyeru:
Petikan:
“Wahai manusia, seperti mana kamu anggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak…
…Ingatlah, bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan Mu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu…”
10. Baginda tidak sekadar mengungkapkan kata-kata, tetapi kata-kata yang diungkapkan itu adalah cerminan kepada kepimpinan berintegriti tinggi yang menjadi prinsip amalan Baginda. Banyak kisah yang dapat dipetik untuk dijadikan contoh akan sifat integriti tinggi Baginda, terutama dari segi tidak memberikan keistimewaan kepada anggota keluarga dan kenalan terdekat.
11. Diriwayatkan bahawa puteri Baginda Siti Fatimah Az Zahra berserta menantu Baginda Sayidina Ali Karramallahu wajhah pernah memohon mendapatkan keistimewaan dari Baginda untuk meringankan tanggungan kehidupan harian keluarga mereka; setidak-tidaknya dikurniakan seorang abdi memandangkan Baginda sering dihadiahkan dengan abdi. Baginda tegas menjawab bahawa keadaan mereka tidak melayakkan mereka diberikan sebarang keistimewaan memandangkan terdapat lebih ramai orang yang berkeadaan lebih daif dari mereka. Perhatian Baginda lebih tertumpu untuk membela nasib golongan miskin dan hamba abdi. Tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan Baginda, di sebaliknya orang yang telah sedia kaya, mengorbankan kekayaan mereka untuk menyokong perjuangan Baginda. Baginda mengotakan apa yang Baginda kata, Baginda tidak berpura-pura – Baginda tidak bersandiwara; Baginda tidak melakonkan watak jujur tetapi Baginda sesungguhnya bersifat jujur.
12. Menangani sifat berpura-pura dan budaya hipokrasi adalah dugaan paling awal yang dihadapi oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam ketika mula bertapak di Medina. [6] Ia memberikan pengalaman baru kepada Baginda. Pengalaman amat berlainan dengan pengalaman yang Baginda tempuhi ketika berada di Mekah. Usaha mengembangkan Islam di Mekah berhadapan dengan musuh dan suasana permusuhan secara terang dan terbuka. Ketika di Mekah, insan yang memilih untuk memeluk Islam melakukannya atas dasar aqidah yang tulen, sedia berkorban, cekal menghadapi penghinaan, teguh menghadapi tekanan.
13. Di sebaliknya, Medina mengandungi tata rajah sosial berpaksikan pelbagai kuasa.[7] Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam terpaksa berhadapan dengan elemen-elemen perebutan kuasa, perasaan cemburu, iri hati serta sifat tamak sesama manusia. Malah ada pihak yang memeluk Islam kerana melihat kesempatan untuk memperoleh kuasa dan ruang untuk dapat berdamping dengan kuasa.[8] Baginda ketika itu berhadapan dengan budaya hipokrasi – berhadapan dengan kumpulan munafiq. Surah pertama yang di turunkan di Medina, Surah Al Baqarah mengandungi tiga belas ayat yang khusus menyentuh aspek hipokrasi yang diistilahkan sebagai golongan munafiq. Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran menghuraikan bahawa empat ayat permulaan Surah Al Baqarah menyentuh golongan Mu’min,[9] diikuti dengan dua ayat menyentuh golongan Kafir,[10] sementara tiga belas ayat, dari ayat 8 hingga ayat 20, mengisahkan golongan Munafiq,[11] menghuraikan sikap khianat dan pengucapan bercabang. Al-Quran jelas memperingatkan kerosakan yang boleh dilakukan oleh golongan Munafiq ini seperti yang terkandung dalam maksud ayat 11 dan 12 Surah Al-Baqarah;
“ Dan bila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat kerosakan di Muka bumi, mereka menjawab ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.
Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar”.[12]
14. Perlakuan munafiq yang dilakukan oleh Abdullah ibn Ubayy ketika menghadapi Perang Uhud sebagai contoh, telah menjejaskan kekuatan dan strategi tentera Islam. Angkatan perang Quraish berjumlah lebih tiga ribu orang. Tentera Islam hanya berjumlah seribu orang. Dalam saat yang sangat kritikal ketika perjalanan menuju ke Uhud, Abdullah ibn Ubayy memilih untuk berpisah dan membawa tiga ratus anggota tentera di bawah arahan beliau meninggalkan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, mengakibatkan bilangan tentera Islam menjadi bertambah kecil kepada tujuh ratus orang.[13]
15. Sepanjang hayat dan hingga ke penghujung hayat, Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman kepada ummah yang dicetuskan oleh budaya hipokrasi dan golongan munafiq. Surah Al Munaafiquun yang diturunkan di Medina mengisahkan sifat buruk orang-orang munafiq, antaranya bersifat pendusta, bersumpah palsu, sombong, kikir dan tidak menepati janji.[14] Ayat 4 dari surah tersebut bermaksud:
Petikan:
“ Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka;…”[15]
16. Hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari mencatatkan bahawa pada ketika mula menghadapi keuzuran kesihatan, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah bersabda, bahawa Baginda tidak bimbang akan kemungkinan ummah menolak keesaan ALLAH yang satu, tetapi Baginda lebih bimbang bahawa selepas kewafatan Baginda, berlakunya pertelingkahan ummah kerana merebut kekayaan.[16] Kebimbangan Baginda sebenarnya adalah satu ramalan tepat, akan suasana yang akan berlaku selepas Baginda wafat; bahawa ummah walaupun kekal berpegang kepada Tuhan yang satu, tetapi mereka akan berpecah belah kerana faktor-faktor pangkat, kuasa, kekayaan dan afiliasi, hingga ummah menyisihkan semangat persaudaraan.
17. Budaya hipokrasi melemahkan tiang integriti kerana berlakunya amalan pepat di luar rencong di dalam, kerana membenarkan gunting selesa di dalam lipatan. Sesungguhnya, sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca dari ketiadaan integriti terutama apabila ketiadaan integriti itu dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa. Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca dari krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur – secara tidak telus. Malah turut berlakunya perebutan kuasa adalah kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan famili, kekayaan kroni.
18. Aspek Kedua: Hubungan harmoni antara agama, kaum dan budaya. Keindahan alam cipta ILAHI ini adalah kerana kandungannya yang pelbagai, baik dari segi haiwan, unggas dan burung, kehidupan laut serta tumbuhan yang dicipta; demikian pula dengan manusia seperti yang digambarkan dalam ayat 13 Surah Al-Hujuraat yang bermaksud;
Petikan:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal…..”[17]
19. Kebijaksanaan menggubal formula yang dapat menjalinkan hubungan harmoni di antara umat manusia yang telah ALLAH ciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku amat penting untuk mewujudkan dunia dan negara yang aman, tenteram, makmur lagi sejahtera. Ia amat relevan dalam konteks negara kita yang dikurniakan dengan warga pelbagai agama, kaum, bahasa dan budaya. Komponen untuk mewujudkan keharmonian telah dilaksanakan dengan bijak lagi tertib sepanjang hayat dan sepanjang kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam; begitu juga oleh para sahabat yang menghayati roh kepimpinan Baginda. Dalam menangani konflik dan krisis yang melibatkan penganut dan kaum yang berlainan, Baginda tidak mengamalkan diskriminasi tetapi teguh berpegang kepada prinsip keadilan, berpandukan seruan yang terkandung dalam ayat 8, Surah Al Maa-idah yang bermaksud;
Petikan:
“ Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana ALLAH, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian mu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.[18]
20. Baginda menghormati individu yang mengamalkan agama lain. Untuk sekian lamanya, Baginda ditemani dan dibantu oleh seorang Pemuda Yahudi dan Baginda tidak pernah memaksa Pemuda tersebut untuk menukar agama, hingga di saat Pemuda itu menghadapi nazak, barulah Pemuda tersebut meminta izin dari bapanya untuk memeluk Islam atas pilihan Pemuda itu sendiri. Diriwayatkan juga, Baginda bangun berdiri, menghormati usungan jenazah seorang Yahudi yang melintasi Baginda.
21. Terdapat banyak peristiwa yang memperlihatkan berlakunya jalinan kerjasama baik di antara Baginda dengan bukan Islam yang diasaskan atas semangat saling menghormati perbezaan pegangan agama. Um Salamah bersama anak yang terpisah dengan suaminya telah dibantu dan dilindungi oleh Uthman ibn Talhah, seorang bukan Islam untuk sampai ke Medina. Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu telah mendapatkan perkhidmatan Abdullah ibn Urayqat, seorang Badawi bukan Islam sebagai pemandu, membantu menunjukkan jalan ketika Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam melakukan hijrah.
22. Diriwayatkan, empat belas pemimpin agama Kristian dari Najran bertemu dan berhujah dengan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam atas perkara berkaitan dengan agama Kristian, Nabi Isa Alaihissalam dan Islam. Rombongan tersebut dilayan dengan hormat dan mesra. Perbincangan berlaku dalam suasana saling menghormati akan perbezaan tafsiran dan pegangan masing-masing. Setelah berakhir rundingan, rombongan dari Najran memohon izin untuk menunaikan sembahyang. Baginda mengizinkan mereka bersembahyang di dalam masjid meskipun terdapat reaksi bantahan di kalangan sahabat. Demikian hikmah pekerti Baginda menghormati fahaman agama lain yang disandarkan kepada komponen ilmu, keikhlasan dan keinsanan.[19]
23. Malah, ketika umat Islam di bumi Mekah menghadapi pelbagai penderitaan akibat perbuatan zalim puak Quraisy, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam telah menganjurkan pengikut Baginda berundur dari bumi Mekah, berlindung buat sementara waktu di Abyssinia. Meskipun Raja Abyssinia beragama Kristian, Raja tersebut bersifat adil dan membenarkan pengikut Baginda menetap di negaranya untuk mengamalkan ajaran Islam. Umat Islam menetap di Abyssinia selama hampir lima belas tahun sebelum menyertai Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam di Medina selepas berlakunya peristiwa Hijrah.[20]
24. Adab dan tertib menghormati agama lain diperlihatkan juga oleh para sahabat. Ketika Syaidina Umar Al-Khattab, Radiallahuanhu, berada di Jerusalem, beliau menolak saranan untuk melakukan solat di dalam Gereja Holy Sepulcher, kerana bimbang berkemungkinan memberikan mesej yang salah kepada umat Islam di kemudian hari sehingga bertindak ganas tanpa rasional meruntuhkan gereja untuk digantikan dengan masjid.
25. Ajaran Islam, bersumberkan Al-Quran dan Hadis, turut diperkaya dengan komponen intelek pelbagai tamadun dari Lembah Mediterranean, Parsi, Turki, Sepanyol, India, China dan dalam konteks negara kita merangkumi tamadun Melayu yang sedia berakar di Gugusan Kepulauan Melayu. Pada hakikatnya, Islam adalah khazanah merangkum pelbagai tamadun, berjaya menyatukan segala kepelbagaian.
26. Raja Melayu di bumi ini, menerima Islam dengan apresiasi akan nilai-nilai murni sejagat yang sangat relevan dengan persekitaran Kota Melaka yang kosmopolitan karakternya. Islam diterapkan dalam sistem pemerintahan yang bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah, ia itu kitab ALLAH, Al-Quran. Islam terbukti di dalam kanun dan adat istana, dijadikan asas rujukan perundangan. Raja Melayu diiktiraf sebagai Ketua Agama Islam.
27. Demikian tradisi dan status Islam di bumi ini. Status Islam dan Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam tidak pernah dicabar oleh warga dan dagang senteri, hatta oleh pemerintahan penjajah baik Inggeris mahupun Jepun. Tradisi dan status tersebut dikekalkan dan merupakan sebahagian dari perjanjian kemerdekaan ketika Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka.
28. Persetujuan yang dicapai antara pemimpin agama, pemimpin kaum dan pemimpin politik dengan Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan tradisi dan status Islam di dalam negara serta diletakkan di bawah lindungan Raja Melayu adalah magna carta, satu kontrak sosial yang tersirat; sementara memaktubkan status agama Islam, sebagai agama negara dalam Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan adalah kontrak sosial yang tersurat.
29. Perkara-perkara utama mengenai Islam tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan pelbagai peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan, serta perkara-perkara yang tertera di dalam pelbagai Akta Persekutuan dan Enakmen Negeri, demi memastikan tujuan sebenar penggubalan undang-undang yang dilakukan, tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak hingga menidakkan umat Islam, perlindungan dan hak yang nyata milik mereka.
30. Meskipun Islam berstatus istimewa di bumi ini, Raja Melayu, para ulama dan umat Islam, senantiasa menghayati peringatan yang terkandung di dalam Al-Quran, di samping mengambil iktibar akan contoh teladan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dari segi adab dan tertib mengendalikan urusan dengan agama lain. Raja Melayu, ulama Islam dan umat Islam tidak menindas, menghina atau memperkecilkan agama lain. Malah mana-mana perbuatan ekstrem yang cuba dilakukan oleh mana-mana pihak akan dibanteras secara tegas dan pantas. Umat Islam diasuh untuk menghormati amalan agama-agama lain dan pada lazimnya akan menghindarkan diri dari membuat ulasan secara terbuka terhadap pegangan, kepercayaan, amalan, acara atau ritual agama-agama lain. Malah, hak untuk agama-agama lain, turut dijamin di dalam Perlembagaan Negara.
31. Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh Islam kelihatan mula dilanggar, malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam atau dalam ucapan-ucapan memetik contoh-contoh tidak tepat untuk melukiskan imej Islam secara negatif. Perbuatan ini, bukan sahaja telah melanggar adab resam beragama secara aman dan harmoni malah adalah perbuatan yang memiliki unsur-unsur menghina agama Islam. Tatasusila menghormati agama Islam dan perasaan umat Islam wajar dipatuhi sebagaimana contoh teladan toleransi dan hormat yang telah diperlihatkan oleh umat Islam di bumi ini terhadap agama-agama lain selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat tiga hingga ayat enam Surah Al Kafirun:
“ Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untuk mu lah agama mu, dan untuk ku lah agama ku”.[21]
32. Perbuatan merendahkan agama Islam, begitu juga perbuatan merendahkan agama lain, perbuatan untuk memperlihatkan siapa yang lebih Islam, siapa yang lebih Kristian, siapa yang lebih Buddha dan siapa yang lebih Hindu; perbuatan menjadi jaguh kepada mana-mana isu agama atas tujuan mendapat laba politik, adalah perbuatan yang tidak diasaskan kepada roh agama yang sebenar dan berkemungkinan besar akan menjadi perosak kepada hubungan harmoni antara agama. Isu agama hendaklah ditangani dalam semangat dan roh agama, di kalangan ulama dan mereka yang arif dalam ilmu agama masing-masing, bertujuan dan berhasrat untuk mencari penyelesaian dan bukan secara mensensasikan isu agama untuk mendapat laba politik.
33. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam senantiasa menegaskan bahawa keadilan adalah prasyarat kepada keamanan. Sikap menghormati pihak lain, betapa sekali perbezaannya akan meningkatkan kemuliaan seseorang insan. Malah ummah harus bijak menganalisis mengapa Baginda memilih kalimah seruan yang merangkumi seluruh manusia, ia itu kalimah, Ya Aiyuhan Nas, bermaksud Wahai Manusia, yang diulang lima kali ketika menyampaikan Khutbah Wida’; yang membayangkan bahawa seruan Baginda ditujukan kepada seluruh umat manusia sejagat. Khutbah Wida’ diakhiri dengan amanat:
Petikan:
“ Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapan ku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kata ku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba-Mu”
34. Seruan Baginda, perbuatan Baginda, sikap diam Baginda memiliki nilai-nilai sejagat merentasi sempadan agama, kaum dan wilayah. Sifat-sifat mulia dan luhur yang sejagat, yang turut dihargai dan terkandung dalam pelbagai agama, kaum dan budaya. Selaras dengan seruan yang terkandung dalam Khutbah Wida’, adalah menjadi tanggung jawab umat di era ini untuk terus menyampaikan seruan Baginda kepada manusia sejagat. Dalam semangat sedemikian, nilai-nilai sejagat tersebut wajar diperluaskan mesejnya merentasi umat manusia yang lebih luas, merentasi pelbagai agama, kaum dan budaya.
35. Mesej Baginda yang sejagat sifatnya boleh dijadikan mesej kemanusiaan sejagat. Dalam semangat sedemikian, di masa hadapan, para penganjur sambutan Maulidur Rasul wajar berfikiran di luar kotak, dengan wawasan lebih luas untuk merintis usaha, memanjangkan mesej Baginda kepada umat manusia sejagat. Dalam semangat sedemikian, ada baiknya difikirkan di masa akan datang, agar acara sambutan memperingati hari ulang tahun keputeraan Baginda tidak sekadar eksklusif untuk umat Islam, tetapi difikirkan acara yang dapat memberi ruang partisipasi kepada orang-orang bukan Islam. Semoga melalui program sedemikian, fahaman terhadap Islam dapat ditingkatkan dan nilai-nilai luhur kemanusiaan dan keinsanan yang sejagat dapat didukung bersama; nilai-nilai kemanusiaan dan keinsanan sejagat yang subur sepanjang masa – segar sepanjang zaman. Jika acara sambutan memperingati ulang tahun keputeraan Baginda dapat direncanakan secara bijak lagi inovatif, ia dapat menjadi instrumen menyatupadukan warga, ia dapat menjadi forum bermakna untuk meningkatkan kefahaman yang lebih meluas terhadap nilai-nilai kepimpinan dan nilai-nilai keharmonian hubungan antara agama; ia akan dapat membantu meningkatkan kefahaman insan secara lebih menyeluruh terhadap Islam.
36. Semoga niat dan hasrat yang luhur lagi murni mendapat petunjuk dan restu ILAHI.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
- Al-Quran, Surah Al Anbiyaa (21:107) ↑
- Al-Quran, Surah Al Ahzab (33-21) ↑
- Al-Quran, Surah Thaahaa (20:14). ↑
- Al-Quran, Surah Al Kahfi (18:110) ↑
- Tariq Ramadan, The Messenger: The Meaning of the Life of Muhammad, (London: Penguin Books, 2007), 196. ↑
- Tariq Ramadan, 91. ↑
- Ibid. ↑
- Ibid. ↑
- Al-Quran, Surah Al Baqarah (2:2-5) ↑
- Ibid (2:6-7) ↑
- Ibid (2:8-20) ↑
- Al-Quran, Surah Al-Baqarah (2:11-12) ↑
- Tariq Ramadan, 122. ↑
- Al-Quran, Surah Al Munaafiquun, (63: 1-8) ↑
- Al-Quran, Surah Al Munaafiquun, (63: 4) ↑
- Tariq Ramadan, 204. ↑
- Al-Quran, Surah Al-Hujuraat (49:13) ↑
- Al-Quran, Surah Al Maa-Idah (5:8) ↑
- Tariq Ramadan, 117. ↑
- Tariq Ramadan, 62 ↑
- Al-Quran: Surah Al-Kafirun 3-6. ↑