Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1440 Hijrah/2018 Masihi.

 

“MENYANTUNI UMAT MEMBAWA RAHMAT”

 

 

Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat pertama dan kedua Surah al-Jumuáh, bermaksud:

 

“Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih kepada ALLAH Yang Maha Menguasai, Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.  Dialah yang telah mengutus di kalangan orang yang Ummiyin, seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH, dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab ALLAH (Al-Quran) dan Hikmah.  Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”[1]

 

  1. Acara sambutan Maulidur Rasul, dianjurkan di negara ini oleh Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dihadiri bersama oleh Ketua Negara dan Ketua Kerajaan, para pemimpin dan rakyat jelata, berstatus acara rasmi; satu keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

  1. Sambutan Maulidur Rasul tidak memadai dianjurkan, jika sekadar, satu sambutan untuk merayakan hari ulang tahun keputeraan seorang insan bertaraf Rasul, yang telah pun wafat hampir 1430 tahun lalu. Sambutan Maulidur Rasul, sebaiknya, disambut dengan program-program berunsur pengisian dan memberikan makna, yang mengandungi peringatan kepada ummah akan risalah yang telah disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, selaras dengan firman ALLAH Subhanahu Wata’ala bermaksud:

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”[2]

 

  1. ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ dipilih sebagai tema sambutan, dengan hasrat mahu menyemarakkan roh ‘Rahmata Lil Alamin’, roh yang menegaskan bahawa Islam ialah agama perdamaian, penuh dengan kelembutan serta kasih sayang, dan sama sekali tidak mengizinkan dilakukan perbuatan-perbuatan berunsur kekerasan, keganasan dan kebencian; di sebaliknya Islam sangat menegaskan amalan toleransi, amalan saling hormat-menghormati, amalan bekerjasama dan amalan belas kasihan sesama makhluk.

 

  1. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam ialah seorang murabbi, atau pendidik yang paling berjaya, sementara pengalaman hidup Baginda laksana dewan kuliah yang luas, menghamparkan pengajaran. Dalam majlis memperingati ulang tahun tarikh keputeraan Baginda, prinsip-prinsip kepimpinan Baginda sebagai Ketua Negara dan pemimpin ummah, yang telah berjaya mengangkat martabat ummah mencapai persada keagungan, wajib dikunjungi, diambil iktibar dan dijadikan pedoman oleh pemimpin semasa.
  2. Bahawa kesejahteraan sesuatu bangsa, dan kemakmuran sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan akal bicara seseorang pemimpin. Ulama besar, umara yang berwibawa dan peniaga yang jujur, akan lahir dalam negara yang pemimpinnya memiliki sifat takwa, serta menghayati kebesaran ILAHI.  Jika pemimpin senantiasa insaf akan tanggungjawab lebih besar kepada ALLAH Maha Pencipta, akan sejahteralah hidup ummah – akan makmurlah negara.  Khazanah negara akan diurus secara telus, sumber negara akan diagihkan secara saksama, dan kekayaan negara tidak akan dibazirkan.  Kepentingan majoriti ummah akan lebih diutamakan. Sesungguhnya, kerinduan terhadap pimpinan yang lebih bertanggungjawab kepada ummah dan watan, yang bersih daripada rasuah, yang tidak menyalahgunakan kuasa, dan yang tidak menyelewengkan amanah, kini lantang disuarakan, terutama oleh golongan muda, golongan terpelajar dan golongan yang lebih terdedah kepada pelbagai sumber maklumat.

 

  1. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam diiktiraf memiliki sifat al-Amin, iaitu sifat yang boleh dipercayai. Baginda tegas menegakkan kebenaran dan cekal melaksanakan keadilan. Pemerintahan Baginda teguh berpegang kepada hukum, menegur setiap kesalahan, mencegah setiap kemungkaran walaupun melibatkan anggota keluarga dan sahabat terdekat.  Baginda tidak terpesona dengan kemewahan dunia, jauh sekali tergoda untuk membina kekayaan diri dan kekayaan famili.  Tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan Baginda, di sebaliknya, orang yang telah sedia kaya, mengorbankan kekayaan mereka untuk menyokong perjuangan Baginda.  Baginda mengotakan apa yang dikata, Baginda tidak berpura-pura – tidak bersandiwara, Baginda tidak melakonkan watak untuk dianggap jujur, tetapi Baginda sesungguhnya bersifat jujur.  Ketika wafat, Baginda tidak meninggalkan kekayaan material untuk diwarisi, yang ditinggalkan oleh Baginda ialah ajaran dan amalan baik, supaya dijadikan panduan dan pedoman dalam usaha membina kehidupan ummah yang sejahtera, kehidupan ummah yang mendapat keredaan, mendapat berkat dan mendapat rahmat ILAHI.

 

  1. Berpandukan petunjuk ILAHI, Baginda berjaya menggubal dasar politik Daulah Islamiah[3], menyusun struktur pemerintahan dan struktur politik baharu di samping memperkenalkan kerangka ekonomi dan kerangka sosial untuk pembangunan ummah. Ketika merangka penubuhan Negara Kota (City-State) Madinah, aspek keamanan dan perpaduan diberi fokus, merangkumi hubungan umat sesama Islam, hubungan umat Islam dengan bukan Islam, serta hubungan dengan kaum Yahudi.  Baginda memformulasikan Perjanjian Yathrib yang menggariskan gagasan keamanan antara pelbagai puak dan suku kaum, berteraskan prinsip kerjasama dan keselamatan bersama.[4]

 

  1. Baginda berjaya mengasaskan satu kesatuan daripada elemen yang pelbagai, bermula dengan kejayaan menyatukan puak Ansar dan Muhajirin hingga kepada pembentukan kesatuan ummah di Semenanjung Arab. Perselisihan, pertembungan dan pertumpahan darah yang sering berlaku di kalangan kabilah, berjaya ditangani dengan memberi perhatian kepada dua elemen utama yang ditegaskan oleh Islam, ia itu semangat persaudaraan dan semangat kesaksamaan; bahawa manusia ciptaan ILAHI adalah sama, yang membezakan mereka di sisi ALLAH adalah tahap keimanan dan takwa; dan seorang pemimpin hanya wajib dipatuhi selagi ia tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan perintah ALLAH.

 

  1. Perjanjian Yathrib telah memperkenalkan doktrin dan menjadi gagasan jalinan kerjasama keamanan dan keselamatan bukan sahaja sesama Islam, antara Islam dan bukan Islam dalam sebuah negara, malah merentasi antara negara yang berlainan agama. Menggubal sesuatu piagam merupakan satu permulaan. Yang lebih penting ialah kesediaan menghormati dan menerima pakai piagam yang digubal.  Piagam yang telah diterima pakai, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalan, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa.  Oleh itu, pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bertentangan.  Kerana itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mengamalkan budaya syura, untuk membolehkan pelbagai pandangan dan kelainan pendapat disuarakan, dihujahkan dan kemudiannya diterokai titik pertemuan.

 

  1. Dalam usaha memperkenalkan Daulah Islamiah, Baginda tidak terlepas menghadapi pelbagai dugaan. Baginda berhadapan dengan persekitaran yang baharu di Madinah.  Madinah mengandungi tatarajah sosial berpaksikan pelbagai kuasa.[5]  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam tidak terlepas daripada menghadapi elemen-elemen perebutan kuasa, perasaan cemburu, iri hati, serta sifat tamak.  Malah ketika itu ada pihak yang memeluk Islam kerana melihat kesempatan untuk memperoleh kuasa, dan ruang untuk dapat berdamping dengan kuasa.[6]  Baginda berhadapan dengan budaya hipokrasi – Baginda berhadapan dengan kumpulan munafik.

 

  1. Surah pertama yang diturunkan di Madinah, Surah al-Baqarah, surah terpanjang dalam al-Quran mengandungi 286 ayat. Di bahagian awal surah tersebut, terkandung tiga belas ayat, khusus menyentuh aspek hipokrasi yang diistilahkan sebagai golongan munafik.  Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran, menghuraikan bahawa empat ayat permulaan Surah al-Baqarah menyentuh golongan mukmin,[7] diikuti dengan dua ayat menyentuh golongan kafir,[8] sementara 13 ayat, daripada ayat 8 hingga ayat 20, mengisahkan golongan munafik,[9] menghuraikan sikap khianat dan pengucapan bercabang.  Sepanjang hayat dan hingga ke penghujung hayat, Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman yang dicetuskan oleh budaya hipokrasi dan golongan munafik.  Surah al-Munaafiquun yang diturunkan di Madinah, mengisahkan sifat buruk orang-orang munafik, antaranya bersifat pendusta, bersumpah palsu, sombong, kikir dan tidak menepati janji.[10]

 

  1. Budaya hipokrasi melemahkan tiang integriti kerana berlakunya amalan pepat di luar rencong di dalam, kerana membenarkan gunting selesa dalam lipatan. Sesungguhnya, sebahagian besar masalah ummah pada hari ini, berpunca daripada ketiadaan integriti, terutama apabila ketiadaan integriti itu dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.  Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini, berpunca daripada krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur – secara tidak telus. Malah turut berlakunya perebutan kuasa, kerana kuasa dilihat sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan keluarga dan kekayaan kroni.

 

  1. Setelah berjaya membina pemerintahan berlandaskan Islam, Baginda berulang kali bersabda akan kebimbangan terhadap sifat dan amalan pemimpin pada masa hadapan. Antara perkara yang terkandung dalam Khutbah Wida’, khutbah terakhir yang disampaikan di Arafah pada 9 Zuhijah tahun kesepuluh Hijrah, Baginda menyentuh aspek integriti dan aspek akauntabiliti terhadap ummah dan terhadap ALLAH Subhanahu Wata’ala; Baginda menyeru:

 

“Wahai manusia, seperti mana kamu anggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang sebagai amanah suci.  Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak…

 

Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan Mu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.”[11]

 

  1. Baginda tidak sekadar mengungkap kata-kata, tetapi kata-kata yang diungkap itu, ialah cerminan kepada kepimpinan berintegriti tinggi yang menjadi prinsip amalan Baginda. Baginda insaf bahawa Baginda juga tidak terlepas daripada pandangan ILAHI, malah turut dinilai oleh para pengikut, justeru itu amat wajib Baginda mengamalkan sebaik-baik contoh teladan.  Hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari, mencatatkan bahawa pada ketika mula menghadapi keuzuran, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, bahawa Baginda tidak bimbang akan kemungkinan ummah menolak keesaan ALLAH yang satu, tetapi Baginda lebih bimbang bahawa selepas kewafatan Baginda, berlakunya pertelingkahan ummah kerana merebut kekayaan.[12]  Kebimbangan Baginda merupakan satu ramalan tepat.   Selepas kewafatan Baginda, ummah walaupun kelihatan kekal berpegang kepada Tuhan yang satu, tetapi berpecah belah kerana faktor-faktor pangkat, kuasa, kekayaan dan afiliasi.

 

  1. Peperangan Uhud meninggalkan kesan penting kepada Baginda. Sikap mementingkan harta, dipengaruhi sifat tamak dan gelojoh, mendorong sebahagian tentera Islam melupakan tanggungjawab hakiki yang ditugaskan.  Akibatnya, tentera Islam yang telah mencapai kemenangan awal, tewas kepada tentera Quraish.  Baginda bimbang terhadap pengaruh keduniaan memperdayakan manusia; kerana manusia boleh lupa kepada ALLAH, apabila berhadapan dengan nikmat dunia; harta yang melimpah ruah berpotensi memesongkan manusia daripada garis kebenaran, tarikan kemewahan berpotensi membawa kebinasaan dan kemusnahan seperti yang disabdakan:

 

“Demi ALLAH, bukan kemiskinan yang menakutkan aku terhadap kamu sekalian selepas ini.  Tetapi aku takut jika dilimpahkan rezeki keduniaan kepada kamu sebagaimana yang telah dilimpahkan kepada orang sebelum kamu, yang akibatnya kamu akan berlumba-lumba sebagaimana mereka berlumba-lumba.  Maka, menjadi lalai dan rosaklah kamu sebagaimana mereka telah mengalami kelalaian dan kerosakan.”[13]

 

  1. Kebimbangan Baginda menjadi realiti, berdasarkan sejarah kejatuhan kepimpinan Islam, seperti yang berlaku terhadap Kerajaan Umawiyah, Kerajaan Abbasiyyah dan Kerajaan Uthmaniyyah, disebabkan faktor-faktor perebutan kuasa, pergolakan politik, rasuah dan kemewahan melampau, sehingga muncul kumpulan dan gerakan menjatuhkan pemerintah.

 

  1. Pemimpin yang tidak amanah – pemimpin yang tidak berintegriti, akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara. Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil dan melalui kaedah yang meragukan.  Kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak (instant).  Kekayaan material secara mendadak, tanpa dilengkapi kekayaan minda, kekayaan intelek, kekayaan ilmu dan kekayaan rohani, merupakan kekayaan palsu, yang sangat sementara sifatnya, sekadar melahirkan budaya bermewah-mewah – bermegah-megah, serta budaya yang melakukan banyak pembaziran.  Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, kadar penyeludupan, kadar jenayah dan kadar rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.  Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan.

 

  1. Negara yang mendapat keredaan, berkat dan rahmat ILAHI, akan dilimpahkan kemakmuran – dilimpahkan kesejahteraan, serta dilindungi daripada bencana dan malapetaka; malah buminya disuburkan dan diperkaya dengan pelbagai sumber, sementara warganya hidup rukun, aman lagi damai, dan pimpinan negara diamanahkan dalam kalangan insan yang ikhlas lagi bertakwa; lalu akan dirahmati ummah di negara tersebut kerana hati pemimpinnya memiliki rasa belas – rasa ihsan kepada warganya, di samping roh pemimpinnya menghayati perintah ILAHI seperti yang digambarkan dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bermaksud:

 

“Jika ALLAH inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka ALLAH memberikan bangsa itu pemimpin yang baik…”

 

  1. Kepada Mu Ya ALLAH, hamba-Mu memohon, anugerahkan sekalian hamba Mu di bumi ini, dengan pemimpin yang baik; pemimpin yang dibantu dengan barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, serta diperlengkap dengan para peniaga yang jujur lagi amanah; sama-sama membangunkan kehidupan yang harmoni, sama-sama membangunkan sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI, ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABUN GHAFFUR’ seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Surah Saba.

 

  1. Ya ALLAH, cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas Junjungan kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semoga selawat kami diterima oleh Mu dan disampaikan kepada Baginda; semoga kami dimudahkan mendapat syafaat Baginda, pada hari menghadapi pengadilan di Padang Mahsyar nanti. Amin, Ya Rabul Alamin.

[1] Al-Quran, Surah Al-Jumuáh, (62:1-2)

[2] Al-Quran, Surah Adz-Dzaariyaat (51:55)

[3] Al-Quran dan Terdjemahannya, (Djakarta: Lembaga Penjelenggara Penterdjemah Kitab SutjiAl-Quran, 1970) Muqaddimah, 81.

[4] Golam W. Choudry, The Prophet Muhammad: His Life and Eternal Message, (Kuala Lumpur: WHS Publications Sdn. Bhd. 1993) 64.

[5] Tariq Ramadan, The Messenger: The Meaning of the Life of Muhammad, (London: Penguin Books, 2007), 91.

[6] Ibid.

[7] Al-Quran, Surah Al-Baqarah (2:2-5)

[8] Ibid, (2:6-7)

[9] Ibid, (2:8-20)

[10] Al-Quran, Surah Al-Munaafiquun (63:1-8)

[11] Petikan dari terjemahan Khutbah Wida’

[12] Tariq Ramadan, 204.

[13] Sahih Bukhari (Kitab A-Riqaq) no 6425 & Sahih Muslim (Kitab Al-Zuhd wa Al-Raqaiq) no2961.

%d bloggers like this: