Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1427 Hijrah Dan Majlis Penyampaian Hadiah Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah, tuhan semesta alam. Tuhan yang telah mengutus seorang Rasul Junjungan untuk memandu manusia ke jalan yang diredai. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para Ulama dan para Tabiin.

  1. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul dan Majlis Penyampaian Hadiah Menghafaz Al-Quran bagi tahun 1427 Hijrah peringkat negeri Perak Darul Ridzuan.
  2. Acara sambutan Maulidur Rasul merupakan satu tradisi bagi masyarakat Islam di Malaysia sebagai tanda memperingati kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, insan pilihan Allah Subhanahu Wa Ta’ala; insan yang telah memenuhi amanah sebagai penyeru kebenaran dan melaksanakan tanggung jawab sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam.
  3. Baginda telah mengembangkan ajaran menyeru manusia berpegang kepada prinsip ketuhanan yang esa. Bahawa manusia dan seisi alam ini adalah makhluk yang dicipta oleh kuasa yang maha besar. Oleh itu manusia perlu ada pegangan ketuhanan, mengakui dan menjunjung perintah Yang Maha Mencipta. Bahawa kehidupan di dunia akan melalui pelbagai ujian dalam proses menuju kehidupan yang lebih abadi. Peringatan sedemikian akan meletakkan manusia untuk senantiasa insaf akan adanya hari kebangkitan dan kehidupan semula pasca dunia.
  4. Pegangan kepada prinsip asas ini menjadi gagasan untuk membina mekanisme kawalan dalaman bagi setiap diri manusia. Bahawa manusia wajib berniat baik – berpekerti mulia, berlaku adil – bersifat amanah. Bahawa manusia memiliki tanggung jawab kepada Kuasa Yang Mencipta dan tanggung jawab kepada setiap makhluk ciptaan ILAHI merangkumi haiwan dan unggas di darat, kehidupan di air begitu juga alam persekitaran kehidupan. Manusia merupakan semulia makhluk, dikurniakan akal, diangkat ke taraf khalifah. Perlunya ada keharmonian hubungan, antara makhluk dengan Pencipta, antara makhluk sesama makhluk, dan antara makhluk dengan persekitaran, sebagai pra-syarat kepada pembinaan tamadun yang agung lagi gemilang.
  5. Tamadun Islam menjadi agung – terjulang gemilang, kerana adanya keseimbangan pembangunan dari segi roh – dari segi mental, dari sudut fizikal – dari sudut material, selaras dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam. Dengan menyedari tanggung jawab terhadap ILAHI manusia tidak akan melakukan kezaliman ke atas diri sendiri, terhadap makhluk dan kehidupan lain serta terhadap bumi dan alam semesta. Tanggung jawab sosial manusia menjadi tinggi dengan mengamalkan prinsip kawalan diri yang penuh disiplin. Manusia dianugerahkan akal untuk membolehkan manusia berfikir secara rasional, bersifat dan berlaku adil. Akal disubur dan diperkaya dengan mendalami dan memahami ilmu, menghargai dan menguasai ilmu. Berbekalkan kekayaan ilmu, manusia seterusnya berupaya melakukan lebih banyak kebaikan selaras dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 104, Surah Ali Imran, mafhumnya;

Dan wajib ke atas kamu daripada kalangan orang-orang yang berilmu, menyeru manusia kepada kebaikan, mengajak mereka melakukan perkara yang makruf, dan mencegah mereka dari melakukan kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang mencapai kemenangan di sisi Allah”

  1. Alhamdulillah pimpinan negara pada hari ini amat memberikan penekanan kepada aspek pembangunan insan dalam merangka program pembangunan negara. Ekonomi dunia pada hari ini pula diasaskan kepada pengetahuan. Membangunkan insan dan membangunkan ekonomi berpaksikan pengetahuan sebenarnya bukan perkara baru di dalam Islam. Aspek pembangunan manusia dan pembangunan pengetahuan adalah teras utama yang diunjurkan oleh Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam. Keberkesanan saluran komunikasi yang berlaku antara Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dengan Allah Subhanahu Wata’ala dan di antara Baginda dengan umat manusia telah memungkinkan berlakunya proses penyampaian dan penyebaran ilmu secara luas. Pengenalan kepada kalam, tulisan dan bacaan memudahkan berlakunya proses berkomunikasi secara berkesan.
  2. Program pembangunan manusia dan pembangunan pengetahuan perlu diperlengkap dengan rangka kerja bertindak secara berkesan untuk benar-benar dapat mencatatkan kejayaan hingga berupaya melimpahkan kesejahteraan kepada umat manusia dan seluruh kehidupan makhluk. Program pembangunan itu juga perlu diagih manfaatnya secara seimbang kerana agihan kemakmuran dan kekayaan yang tidak seimbang tidak memenuhi prinsip keadilan yang dianjurkan oleh Islam. Keharmonian hubungan antara manusia dan kestabilan pemerintahan dalam negara akan lebih terjamin dengan adanya kesaksamaan pembangunan dan kesaksamaan agihan kemakmuran dan kekayaan negara. Manusia perlu diperkasakan dengan membina kekuatan minda dan kekuatan daya fikir.
  3. Pengetahuan sebagai sumber penting ekonomi masih belum dikuasai di peringkat optimum oleh umat Islam. Al-Quran adalah kitab yang mengandungi begitu banyak khazanah ilmu yang tersirat untuk manusia mendalami rahsianya seperti yang diseru dalam ayat 2, Surah Ibrahim, mafhumnya;

“Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepada engkau (ya Muhammad) supaya engkau keluarkan manusia daripada kegelapan (kejahilan) kepada cahaya (petunjuk)”

  1. Beta bergembira dengan usaha-usaha yang dijalankan untuk melahirkan hafiz. Namun Beta harap, pengajian Al-Quran tidak harus tertumpu kepada soal hafalan dan soal menyempurnakan bacaan. Usaha membongkar rahsia yang terkandung di dalam kitab suci ini lebih perlu diberikan perhatian. Beta percaya masih banyak rahsia di dalam Al-Quran yang masih belum terbongkar terutama yang berkaitan dengan sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan, angkasa dan maritim. Untuk itu institusi Islam amat perlu memenuhi tanggung jawab fardhu kifayah memperuntukkan geran dan melakukan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) komponen-komponen sains dan teknikal yang terkandung di dalam Al-Quran untuk kesejahteraan umat dan dunia sejagat.
  2. Kegiatan ekonomi, penguasaan kepakaran, bentuk kerjaya, reka bentuk, reka cipta serta produk yang dihasilkan dan dikuasai oleh umat Islam adalah cerminan kepada kehebatan dunia Islam dan tamadun Islam. Risalah Islam yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam adalah untuk memerdekakan manusia dari sebarang pengabdian melainkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Umat Islam secara individu dan secara kolektif perlu mencapai taraf kemerdekaan jiwa dan kemerdekaan minda. Jiwa dan minda merdeka akan hanya dicapai apabila umat Islam memiliki kekuatan menyeluruh, memiliki cukup sumber untuk memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini. Untuk itu, sambutan memperingati ulang tahun keputeraan Baginda, hendaklah dijadikan hari bagi seluruh umat Islam mencekalkan azam – memperbaharui usaha, menyemaikan semangat untuk membina dan membangunkan barisan umat yang berjiwa merdeka.
  3. Sebelum mengakhiri titah ini, sebagai lafaz kasih dan tanda sayang kepada Rasul terpilih, marilah dengan penuh rasa penghargaan, dibacakan Suratul Fatihah, semoga bacaan itu nanti, diterima sebagai amal yang mendapat ganjaran ILAHI dan disampaikan ganjaran tersebut kepada Roh Baginda, para keluarga dan sahabat Baginda serta sekalian para Tabiin dan Ulamak. Al Fatihah.

Wabillahi Taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

 

%d bloggers like this: