Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1435 Hijrah Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Dan Perasmian Masjid Ghufraniah

“Al-Quran: Mutiara Berharga Untuk Insan”

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

2. Sama-sama kita melafazkan kalimah SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH WALAILA HAILALLAH, lafaz kesyukuran setingginya ke hadrat ILAHI kerana dengan penentuan dari Nya jua, kita telah dihimpunkan di Majlis ini dalam suasana tiga kemuliaan; pertama: Majlis ini berlangsung dalam bulan Ramadan yang penuh berkat, kedua: Majlis ini berlangsung diambang 17 Ramadan, tarikh amat bersejarah, tarikh yang telah dipilih oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala mula menurunkan ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim melalui Malaikat Jibrail Alai Wassalam, untuk disampaikan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, dan ketiga: Majlis ini berlangsung di perkarangan Rumah ALLAH, Masjid Ghufraniah. Semoga Majlis ini dan setiap seorang yang hadir untuk mengimarahkannya akan dilimpahkan sebesar – besar rahmat ILAHI.

3. Ayat dua hingga ayat empat Surah Ad-Dhukan bermaksud:

“ Demi Kitab (Al-Quran) yang menjelaskan.[1] Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.[2] Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.[3]

4. Al-Quran adalah kalam ILAHI, himpunan wahyu bersumberkan ALLAH Subhanahu Wata’ala; ayat enam (6) Surah Al Furqaan bermaksud:

Katakanlah: Al-Quran itu diturunkan oleh (ALLAH) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.[4]

5. Kandungan Al-Quran menyentuh subjek-subjek yang luas lagi komprehensif: Pertama: memperingatkan pelbagai sejarah masa lalu, mengandungi pelbagai pelajaran daripada kisah para Nabi terdahulu; Kedua: menggariskan panduan dan pedoman hidup kepada manusia yang dicipta dari tanah, dan kelahiran manusia, bermula dari setitik benih menjadi segumpal darah, terbentuknya janin di dalam rahim, lalu ditiupkan roh, agar manusia itu insaf dan kekal bersifat seorang hamba yang takwa, terhindar daripada godaan Iblis laknatullah; dan Ketiga: peringatan kematian, membayangkan pelbagai gambaran masa hadapan, alam barzakh, hari kebangkitan dan penghakiman, nikmat syurga dan azab neraka.

6. Al-Quran kitab agung – kitab istimewa, memiliki segala hikmah, tersusun dalam bahasa yang indah, sempurna lagi seimbang dari segi bilangan huruf, perkataan dan kalimah. Bacaannya dibolehkan untuk dialun dengan tujuh cara. Al-Quran terhindar daripada sebarang kecacatan – terpelihara daripada sebarang kesilapan, terlindung daripada sebarang penodaan; terjamin kesucian dan kesahihannya seperti yang dijanjikan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat sembilan (9) Surah Al Hijr bermaksud:

“ Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.[5]

7. Pujangga Islam terkemuka, Muhammad Iqbal, menasihatkan umat Islam dengan kata-kata:

Bacalah Al-Quran seolah-olah ia diturunkan kepada mu.”

Al-Quran sememangnya diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk umat manusia. Al-Quran bukan sekadar wajib dibaca, malah wajib difahami, wajib dihayati, wajib dijadikan landasan pegangan serta sumber rujukan utama – dijadikan kompas memandu manusia mentadbir urus kehidupan makhluk dan alam semesta; dengan keinsafan bahawa setiap perkataan yang diucapkan dan setiap perbuatan yang dilakukan akan dicatat oleh Malaikat yang bertugas, dijadikan bahan bukti di Mahkamah Pengadilan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar. Setiap kata yang diucap, setiap perbuatan yang dilakukan, tidak akan terlepas daripada akauntabiliti, bukan sahaja di peringkat duniawi, malah lebih berat dan sama sekali tidak dapat dilindungi di peringkat ukhrawi.

8. Sesungguhnya pemerintahan dan pentadbiran berlandaskan Al-Quran, adalah pemerintahan dan pentadbiran yang mengandungi roh takwa, berupaya menyemaikan nilai-nilai ketelusan, keikhlasan, kejujuran dan integriti yang tinggi di dalam jiwa seseorang hamba ketika melaksanakan tanggung jawab sesama insan, begitu juga ketika menyempurnakan amanah ALLAH Subhanahu Wata’ala. Pemerintahan dan pentadbiran yang diasaskan kepada roh Al-Quran, Insya Allah dapat membangunkan ummah dan watan yang senantiasa mendapat rahmat, keredaan dan lindungan ILAHI.

9. Begitulah kehebatan mukjizat, berbentuk sebuah kitab yang ditinggalkan kepada ummah oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Namun mukjizat seagung ini, begitu sedikit mendapat apresiasi untuk dihayati dalam kehidupan duniawi pada hari ini, menepati gambaran yang terkandung dalam ayat tiga puluh (30) Surah Al Furqaan bermaksud:

“ Berkatalah Rasul: Ya Tuhan ku, sesungguhnya kaum ku menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang tidak diacuhkan.[6]

10. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur, mengambil masa 22 tahun, 2 bulan, 22 hari. Al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur, ada hikmahnya dan ada tujuannya, untuk memastikan setiap wahyu yang disampaikan benar-benar difahami – benar-benar dihayati, lantas diserap di dalam diri lalu diamalkan. Malah cara Al-Quran diajar pada era tersebut, turut dilakukan secara beransur-ansur. Ibn Shaybah dan Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Abdullah al-Salami berkata:

“ Sahabat yang mempelajari Al-Quran daripada Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam pernah menasihati kami dengan berkata: sesungguhnya kami mengambil ayat Al-Quran daripada Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam sebanyak sepuluh ayat pada setiap pertemuan. Kami tidak akan berpindah kepada ayat-ayat lain sehinggalah bacaan kami diperbetulkan oleh Baginda. Tidak cukup sekadar itu sahaja, kami turut memahami ayat-ayat berkenaan dan seterusnya beramal dengannya.”

11. Alhamdulillah, pada hari ini, umat Islam di Malaysia, pada umumnya ada kesedaran dan menerima hakikat akan pentingnya anak-anak dibimbing untuk boleh membaca Al-Quran. Pada umumnya juga, anak-anak tamat atau khatam membaca Al-Quran sebelum mencecah usia baligh. Sayang sekali, pengajian Al-Quran di kalangan peratusan besar anak-anak berakhir di peringkat tamat membaca tiga puluh juzuk. Hanya sebahagian kecil yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat menghafal. Bilangan yang benar-benar memahami, menghayati dan berupaya memberikan apresiasi sehingga ke peringkat menerapkan roh Al-Quran dalam budaya kerja dan budaya hidup, jauh lebih kecil.

12. Kaedah mengajar dan kaedah belajar Al-Quran yang diamalkan oleh majoriti umat ketika ini, mungkin antara faktor yang menyebabkan kurangnya pemahaman dan penghayatan serta kurang terserlah aspek apresiasi dan aplikasi roh Al-Quran di dalam hidup insan. Anak-anak diasuh sekadar boleh membaca, anak-anak didorong berlumba untuk segera dapat dikhatamkan. Ada yang digarap potensinya hingga diangkat ke status Qari dan Qariah terkenal kerana kehebatan cara bacaan dan merdu suaranya. Ada yang berupaya menghafal ayat-ayat untuk kegunaan bersolat dan berzikir, hatta ada yang mendapat rahmat menghafal seluruh kandungan Al-Quran. Jika mutiara berharga yang terkandung di dasar Al-Quran itu mahu ditemui untuk dijadikan pakaian insan, amatlah perlu pengajaran Al-Quran memberikan tumpuan lebih utama kepada aspek fahaman, penghayatan, apresiasi dan amalan. Sewajarnya ummah bersedia dan berani melangkah ke hadapan, melakukan pembaharuan dan perekayasaan kaedah pengajaran, memperkenalkan pendekatan baru pembelajaran Al-Quran, agar roh Al-Quran berjaya disemaikan di dalam jiwa ummah dan ummah menghargai Al-Quran sebagai sumber utama rujukan untuk dijadikan panduan.

13. Pengajaran dan pembelajaran Al-Quran hendaklah mengatasi peringkat ritualisme. Pengajian dan pembelajaran Al-Quran hendaklah merentasi tahap bacaan dan tahap hafalan. Pengajian dan pembelajaran Al-Quran hendaklah menegaskan aspek-aspek pemahaman, penghayatan, apresiasi dan aplikasi. Pengajian dan pembelajaran Al-Quran tidak harus terhenti selepas tamat membaca tiga puluh juzuk, tetapi hendaklah disemaikan budaya mempelajari Al-Quran sepanjang waktu – sepanjang hayat. Semoga pemahaman dan penghayatan kepada inti pati Al-Quran akan memberikan ummah hidayah dan hikmah melahirkan Muslimin dan Muslimat sejati yang dapat membawa ummah dan watan senantiasa dilimpahi keredaan dan rahmat ILAHI.

14. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, dengan mengangkat kalimah kesyukuran ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala, Beta mengisytiharkan sambutan NUZUL Al-QURAN peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan serta perasmian MASJID GHUFRANIAH.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran: Ad-Dukhaan (44:2)
  2. Al-Quran: Ad-Dukhaan (44:3)
  3. Al-Quran: Ad-Dukhaan (44:4)
  4. Al-Quran: Al Furqaan (25:6)
  5. A—Quran: Al Hijr (15:9)
  6. Al-Quran: Al Furqaan (25:30)
%d bloggers like this: