Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wababarakatuh.
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta kepada para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta bersama Paduka Adinda Raja Puan Besar dan Paduka Anakanda Raja Azlan Muzzaffar Shah, dapat bersama dengan kerabat Diraja Perak, di Istana Iskandariah, pada malam penuh berkat, ketika umat Islam di seluruh dunia dalam suasana menyambut kebesaran Aidiladha. Beta bersama Raja Puan Besar amat berbesar hati dan amat menghargai, kesudian anggota kerabat menerima undangan ini. Beta amat memahami bahawa anggota kerabat sekalian tentunya menghadapi cabaran untuk melakukan perjalanan ke Kuala Kangsar dalam suasana kesibukan lalu lintas di lebuh raya, bersempena sambutan Aidiladha. Sesungguhnya kehadiran anggota kerabat memperlihatkan semangat kekeluargaan yang tinggi, kukuh tersemai dalam sanubari masing-masing. Beta menyampaikan salam dari Paduka Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah dan Paduka Bonda Raja Permaisuri Bainun kepada seluruh anggota kerabat yang hadir.
3. Kesultanan Melayu Perak memiliki sejarah yang panjang dan jalinan kerabat yang ramai lagi luas. Anggota kerabat turut mencipta pelbagai kejayaan dan mencipta pelbagai kegemilangan dalam pelbagai bidang kerjaya yang diceburi. Namun kejayaan dan kegemilangan yang telah dicapai tidak sama sekali menghapuskan kepada ikatan keluarga, kepada akar asal usul keturunan, kepada talian darah yang mengalir di dalam setiap batang tubuh kita. Perjumpaan sebegini, dengan sambutan anggota kerabat yang sungguh menggalakkan, akan dapat membawa kita kembali bersama menghargai semangat serumpun – ikatan seperdu, bersandarkan semangat sirih pulang ke gagang, pinang pulang ke tampuk; bagaikan air yang tidak boleh dicincang, berlalu biduk – kiambang bertaut.
4. Institusi Raja Melayu adalah sebahagian dari sejarah negara ini. Institusi Raja Melayu adalah identiti utama kepada negara bangsa Malaysia. Institusi ini telah diasaskan dan didaulatkan oleh nenda moyanganda kita di masa lalu. Kebijaksanaan dan kearifan nenda moyanganda kita memimpin telah memakmurkan bumi ini, telah membolehkan terbangunnya sebuah negeri berdaulat dan terbentuknya sebuah negara persekutuan yang merdeka. Keadilan dan kesaksamaan pemerintahan nenda moyanganda kita dahulu telah menjadikan bumi negara ini subur dan makmur hingga menjadi pilihan kepada pedagang-pedagang luar untuk menetap dan bernegeri di sini dan menerima untuk hidup di bawah payung naungan pemerintahan nenda moyanganda kita. Ketulusan hati dan kekudusan diri nenda moyanganda kita dahulu, telah mengupayakan Islam berkembang di bumi ini, dan kita hari ini adalah sebahagian dari penganutnya yang turut pada malam ini merayakan sambutan Aidiladha. Kita adalah pewaris kepada legasi agung, legasi mulia, legasi berdaulat yang ditinggalkan oleh nenda moyanganda kita.
5. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang bertakhta pada sesuatu era pemerintahan, adalah pemelihara kepada institusi tersebut, adalah pemelihara kepada adat dan budaya bangsa Melayu, adalah pelindung utama kepada kesucian agama Islam di bumi ini, dengan di sokong oleh pelbagai struktur formal kepada institusi. Di samping institusi yang formal, anggota kerabat yang telah mencipta pelbagai kejayaan dan kegemilangan adalah satu pemanjangan, berperanan sebagai duta yang telah meningkatkan keharuman dan menambah nilai kepada kemuliaan institusi yang telah lama berakar dan bertradisi di bumi ini. Tidak boleh dinafikan bahawa kejayaan dan kegemilangan yang dicipta oleh anggota kerabat, turut memberikan kebanggaan kepada institusi Diraja; turut membantu memberikan perspektif yang positif akan imej dan nama baik institusi Diraja. Pada masa yang sama, sebarang kesilapan, sebarang kecemaran dan sebarang ketelanjuran kata dan laku, apatah lagi yang bercanggah dengan undang-undang, etika hidup, nilai moral dan nilai agama, dari mana-mana anggota kerabat, akan turut memberikan implikasi negatif terhadap institusi Diraja.
6. Dalam suasana warga di negara ini dan penghuni di maya ini yang semakin literate, ditambah dengan teknologi maklumat yang begitu maju, institusi Diraja, termasuk Raja Pemerintah yang bertakhta, anggota keluarga Diraja dan kaum kerabat amat terdedah kepada pemeriksaan dan penilaian umum. Era Raja mengetahui segala-galanya, bijak segala-galanya, betul segala-galanya dan berkuasa mutlak atas segala-galanya, telah berakhir. Darjat Raja Pemerintah dan kemuliaan institusi Diraja kini dinilai dari segi citra dan sifat kearifan, kebijaksanaan, keadilan dan kesaksamaan seseorang Raja Pemerintah. Ahli-ahli kerabat berada dalam kedudukan boleh membantu mengukuh dan memperteguh institusi Diraja dengan menyampaikan pandangan dan maklum balas secara konstruktif dari masa ke masa, baik secara individu begitu juga secara kumpulan, demi menjamin kelangsungan dan kerelevanan institusi Diraja sepanjang masa – sepanjang zaman.
7. Semoga perjumpaan kita di malam ini berjaya menyuntik semangat baru dan pola hubungan yang lebih akrab di antara anggota kerabat, agar yang jauh didekatkan, agar yang dekat dieratkan, agar yang erat diakrabkan. Semoga pertemuan kita di malam ini mendapat keberkatan dan rahmat ILAHI; Amin Ya Rabul Alamin.
ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR, ALLAH HU AKBAR,
WALILLAH HIL HAM.
SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.