“PIMPINAN POLITIK DAN PENTADBIR: DUA SAYAP JENTERA PENTADBIRAN”
Salam sejahtera.
Beta dan Raja Permaisuri, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff, Kerajaan Negeri, serta rakyat Pulau Pinang, atas sambutan meriah lagi mesra, yang diberikan kepada Beta berdua. Pulau Pinang bukanlah tempat asing dalam hidup Beta. Paduka Bonda Beta, berasal dari Pulau Pinang; Beta pula diputerakan di Pulau Pinang dan melalui kehidupan awal di Pulau ini. Majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ini, memberikan ruang kepada Beta berdua, dapat bertemu dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Pulau Pinang.
- Tanggungjawab utama sesebuah kerajaan, ialah untuk memakmurkan negara dan menyejahterakan hidup rakyat. Kejayaan sesebuah kerajaan, bergantung pada sikap dan budaya kerja para anggota dan pegawai yang diamanahkan mengurus tadbir sesebuah kerajaan. Rekod kejayaan pencapaian kerajaan di negara ini, dihasilkan melalui komitmen, kesungguhan dan keikhlasan anggota pentadbiran dan para pegawai awam, menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Dengan itu, pembangunan dapat berlaku secara pesat, kemiskinan berjaya ditangani secara berkesan, kemakmuran negara berupaya diagihkan secara saksama untuk dinikmati oleh majoriti rakyat jelata.
- Pimpinan politik dan penjawat awam merupakan dua sayap penting dalam pentadbiran kerajaan. Oleh itu, jalinan kerjasama dan persefahaman dalam semangat saling menghormati – saling menasihati – saling mempercayai, hendaklah dijadikan budaya kerja antara pimpinan politik dengan penjawat awam.
- Para penjawat awam ada tanggungjawab kenegaraan yang wajib dipenuhi. Penjawat awam turut bertanggungjawab melindungi kepentingan negara dan kepentingan rakyat. Penjawat awam wajib menyuarakan sebaik-baik nasihat, dan memberikan sebaik-baik ulasan kepada pimpinan politik, akan peraturan dan pelbagai instrumen kawalan yang perlu dihormati. Penjawat awam hendaklah berperanan sebagai penstabil (stabilizer) yang profesional lagi neutral, ketika menghadapi tafsiran politik yang berbeza; supaya nasihat dan ulasan yang disuarakan, bersifat rasional lagi objektif, demi melindungi kepentingan jangka panjang negara dan rakyat.
- Para penjawat awam hendaklah, mengambil iktibar dan menghayati peringatan yang pernah ditegaskan oleh Tun Abdul Razak (Allahyarham), Perdana Menteri Malaysia kedua, agar barisan pentadbir dan teknokrat, berpegang kepada prinsip kejujuran, tegas lagi berani menyuarakan yang hak, selaras dengan nasihat yang terkandung dalam ucapan yang bertemakan “ROAD TO NATIONHOOD;”
Petikan, “As civil servants, I hope you will stand up to us politicians, and not allow yourselves to be dominated by us. Because in a true democracy, the civil servants have a duty to perform. The future of our country’s democratic way of life is dependent on you[1]”
- Para penjawat awam berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah, meletakkan Malaysia sebagai negara yang gemilang dan dihormati, dengan berperanan secara efektif mengharumkan nama negara, menjadikan diri, sebahagian daripada pentadbir dan teknokrat yang jujur. Perdana Menteri pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) dalam salah satu ucapan menyatakan:
Petikan: “If you think you are rich there are many richer than you, if you think you are clever there are more people cleverer than you. But if you think you are honest, then you are among the few, and in this instance, it is best to be among the few[2]”
- Semoga saudara saudari akan dilimpahkan oleh ILAHI kekuatan untuk menjadi para pentadbir yang jujur, tegas menegakkan kebenaran dan menghindarkan diri daripada terjebak dengan sebarang kemungkaran. Semoga saudara saudari akan berdiri sebagai pohon yang kukuh tidak bergoyang, ketika menghadapi pelbagai ujian, baik dalam bentuk tekanan, begitu juga dalam bentuk sogokan. Semoga urusan negara diamanahkan kepada orang-orang yang beriman dan berprinsip, memiliki semangat jitu tidak akan menyalahgunakan jawatan dan kuasa. Semoga rakyat hidup bersatu dan maju; semoga rahmat bahagia, tuhan kurniakan.
[1] Terjemahan; Sebagai Pegawai Awam, Saya harap anda akan bersedia berhadapan dengan pemimpin politik dan tidak membenarkan anda didominasi oleh kami kerana dalam demokrasi yang tulen, pegawai awam ada tanggungjawab untuk dilaksanakan. Masa hadapan hidup berdemokrasi di negara kita, bergantung kepada anda.
[2] Terjemahan: “Jika anda fikir anda kaya, terdapat lebih ramai orang yang lebih kaya; jika anda fikir anda bijak, terdapat lebih ramai orang yang lebih bijak; tetapi jika anda fikir anda seorang yang jujur, maka anda tergolong dalam kalangan bilangan yang kecil, dalam keadaan pada hari ini adalah lebih baik berada dalam golongan yang kecil tersebut”