‘MENGHAYATI BUDAYA INTEGRITI’
Assamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat dan turut diberikan peranan mengisi acara sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2008 yang berlangsung di bandar Kuching Sarawak. Semoga acara-acara yang dilangsungkan, akan dapat merealisasikan hasrat untuk membina rumpun warga yang berintegriti. Usaha-usaha untuk meningkatkan integriti perlu terus ditingkatkan hingga integriti itu menjadi satu budaya yang dihayati sepenuhnya – menjadi darah dan daging, menjadi identiti urus tadbir di negara ini, hingga negara Malaysia dihormati di mata dunia kerana warganya memiliki dan mengamalkan nilai-nilai integriti yang unggul lagi terpuji, baik dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, baik dalam urusan perniagaan begitu juga dalam budaya berpolitik.
3. Integriti bukanlah teori baru, konsep baru, ciptaan baru atau penemuan baru. Ia adalah prinsip asas yang tidak boleh diketepikan; ia adalah satu kemestian; ia adalah komponen yang perlu dimiliki – ia adalah karakter yang wajib diamalkan di tahap yang meyakinkan; ia adalah pra syarat dalam menentukan tadbir urus yang bersih, cekap dan amanah; ia adalah gagasan untuk mendukung budaya pentadbiran yang telus, adil lagi saksama; ia adalah tunggak kekuatan membina tamadun yang agung.
4. Keruntuhan empayar, kemusnahan takhta, kehancuran negara dan kejatuhan pemimpin sering kali disebabkan oleh amalan dan perbuatan yang mengetepikan integriti. Krisis dan kemelut yang melanda beberapa kerajaan serta pelbagai institusi kewangan dan organisasi perniagaan berpunca dari kegagalan memberi perhatian dan kegagalan mengamalkan budaya yang berlandaskan integriti.
5. Dalam rekod sejarah Kesultanan Melayu, integriti adalah akar dasar yang menentukan darjat dan daulat seseorang Raja, kebesaran dan kemuliaan sesebuah takhta, keagungan dan kehebatan sesebuah kerajaan. Integriti adalah faktor yang mempengaruhi tahap kekayaan dan tahap pencapaian kemakmuran sesebuah negara. Di era kegemilangan Kesultanan Melayu, integriti amat diutamakan dalam rangkaian hubungan takhta, pembesar negeri, dagang dan senteri, kerana itu Nusantara Melayu menjadi makmur, terkenal sebagai pusat perdagangan, pusat pertemuan budaya, pusat perkembangan ilmu dan pusat terbinanya tamadun.
6. Integriti menjadi lebih relevan apabila Raja-Raja di Nusantara Melayu menganut agama Islam dan diberikan pengiktirafan dan peranan sebagai Ketua Agama, di samping berfungsi sebagai Ketua Kerajaan dan Ketua Negara. Islam mempengaruhi dan mencorakkan pendekatan pemerintahan Raja-Raja, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Undang-undang Melaka[1] menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab. Islam menjadi kompas panduan kepada pembentukan moral dan jati diri, lalu ditempatkan di peringkat teratas dalam kehidupan Raja dan umat Melayu. Tuntutan agama Islam amat ketara dalam deskripsi Raja Melayu.[2] Digambarkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al Nafis, bahawa fungsi utama penyandang gelaran raja adalah untuk menjunjung hukum Allah di muka bumi; bahawa krisis akan terjadi jika perintah Allah diingkari, dan apabila Raja memerintah mengikut hawa nafsu.[3]
7. Peringatan Raja dan pembesar negeri, demikian juga kepada pewaris takhta disandarkan dan dikaitkan akan pentingnya takwa, akan keadilan, akan hari kebangkitan, akan tanggung jawab sesama ummah. Dirakamkan dalam Sulalat al Sulatin (Perteturan Segala Raja-Raja) akan dialog antara Bendahara Paduka Raja dengan Sultan ‘Alauddin, ketika Baginda menziarahi Bendahara Paduka Raja yang sedang tenat sakit. Bendahara Paduka Raja secara ikhlas dan berani berdatang sembah dengan kata-kata berikut:
‘Adapun tuanku, pada perasaan patik, dunia ini luputlah daripada genggaman patik, melainkan negeri akhiratlah semata patik harap. Hendaklah jangan tuanku dengar-dengaran akan sembah orang yang tiada sebenarnya, jikalau tuanku dengarkan sembah orang yang demikian itu akibatnya tuanku menyesal. Yang kehendak nafsu jangan tuanku turutkan, karena banyak raja-raja yang dibinasakan Allah Ta’ala kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya’[4]
Petikan dari Sulalat-al Salatin.
Kata-kata nasihat tersebut adalah satu unjuran pandangan penuh ikhlas seorang Bendahara kepada Sultannya. Nasihat tersebut amatlah tepat, demi menjamin Raja terus dimuliakan di takhta pemerintahan.
8. Sultan ‘Alauddin ketika dalam kegeringan sebelum mangkat, bertitah memperingatkan anakanda Baginda:
‘Hai anak ku,ketahuilah oleh mu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya. Hai anak ku, yang hidup ini sedia akan mati jua sudahnya, melainkan iman seperti itulah yang kekal selamanya. Adapun peninggalan ku ini hendaklah anak ku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anak ku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepada mu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksa baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya leher mu….’[5]
Petikan Sulalat al-Salatin
9. Dalam Hikayat Raja Pasai, Sultan Malikul Mahmud sebelum mangkat telah meninggalkan wasiat kepada Sultan Ahmad berbunyi,
‘Hai anak ku, cahaya mata ku dan buah hati ku, baik-baik engkau memelihara dalam Kerajaan mu ini akan segala pekerjaan amar Allah dan amar Rasulullah ………,
Hai anak ku, jangan tiada engkau turut seperti pesan ku ini; dan jika pada satu pekerjaan hendaklah engkau mesyuarat dengan segala menterinya yang tuha-tuha dan jangan segera engkau berbuat sesuatu pekerjaan hingga baiklah mesyuarat mu dengan segala menteri hulubalang mu…. Dan perbanyak oleh mu sabar mu pada segala pekerjaan yang tiada patut pada syarak dan jangan engkau meniayai dan membinasakan segala hamba Allah tiada dengan sebenarnya,…….karna dunia ini negeri yang fana tiada akan kekal adanya, akhirat juga negeri yang baka..’[6]
Petikan Hikayat Raja Pasai
10. Prinsip teguh yang mengutamakan integriti, diperkukuhkan pula dengan pegangan agama, telah mencorakkan sistem semak dan imbang terhadap kuasa Raja. Kuasa Raja dan kedudukan Raja tidak dipertikaikan selagi Raja memperlihatkan sifat-sifat yang dapat dihormati, tidak menyeleweng serta mematuhi perintah-perintah dan hukum-hukum yang telah dimaktubkan.
11. Catatan Tun Seri Lanang yang terkandung dalam Sulalat al Salatin memuatkan pelbagai peristiwa yang mempunyai unsur moral, agama dan pedagogi dalam urus tadbir Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.[7] Terkandung kisah-kisah kezaliman raja dan golongan bangsawan, dan bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan negerinya; keangkuhan pula berakhir dengan kejatuhan, pegawai yang jujur akan disanjung – bahawa negeri lebih penting daripada peribadi dan kerakusan yang menceroboh hak orang lain akhirnya membinasakan diri sendiri.[8] Sulalat al Sulatin menggariskan secara nyata sifat-sifat manusia terpilih yang harus dicontohi, kelemahan dan kejadian yang merosakkan manusia dan negeri. Tidak kurang pula ruang yang diberikan kepada persoalan hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan berperadaban.[9]
12. Kejatuhan Raja dan kerajaan, di masa lampau berpunca dari amalan-amalan yang mengetepikan integriti, kerana tindak tanduk yang dipengaruhi nafsu tamak kuasa – tamak harta, kerana didorong sifat sombong – sifat bongkak, kerana dikuasai rasa hasad – rasa dengki. Betapa dorongan nafsu memperlihatkan perilaku kurang etika Raja Melaka, mencolek Tun Teja yang sudah bertunang untuk dilarikan ke Melaka dijadikan isteri; betapa Raja Melaka menzalimi seisi keluarga Bendahara hanya kerana mahu merampas Tun Fatimah yang telah diperisterikan oleh Tun Ali, betapa Raja Melaka kerana keangkuhan mahu mengatasi raja-raja lain berhasrat memperisterikan Puteri Gunung Ledang yang salah silah kejadiannya bukan dari keturunan manusia.
13. Dalam menegakkan prinsip integriti, terkandung saluran komunikasi dua hala antara Raja dan rakyat, selaras dengan semangat perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, yang melakarkan ‘magna carta’ Melayu bertuankan Raja, bersandarkan konsep keadilan sejagat yang dimanifestasikan melalui kata-kata ‘Raja Adil-Raja Disembah’. Bahawa Raja wajib berpegang kepada prinsip integriti yang tinggi untuk menjamin kesetiaan rakyat. Raja-Raja perlu insaf bahawa jawatan berkembar dengan kuasa; dan kuasa disertai dengan tanggung jawab; bahawa setiap mereka yang memiliki kuasa sebenarnya sedang melalui proses ujian akan sifat-sifat murni, amanah, jujur, ikhlas, adil dan saksama.
14. Hikayat Aceh mengisahkan bagaimana Raja-Raja dan kadi-kadi juga segala hulubalang bermesyuarat lalu mencapai kata sepakat menurunkan Sultan Seri Alam dari takhta Kerajaan kerana sifat boros Baginda; demikian juga tindakan yang dilakukan kepada Sultan Zainal Abidin apabila Baginda bersifat zalim.[10] Di Melaka, Sultan mengambil keputusan pahit menitahkan putera kesayangan Baginda dikeluarkan dari negeri Melaka apabila Bendahara Paduka Raja berdatang sembah tidak akan bertuankan Raja Muhammad kerana Raja Muhammad telah membunuh anak Bendahara.
15. Raja adalah Ketua Kerajaan dan Ketua Negara dan dalam konteks Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu juga bertanggung jawab sebagai Ketua Agama. Takhta itu adalah satu institusi. Kerana itu Raja tidak boleh bertindak bersendirian; jauh sekali dari bersifat bersultan di mata – beraja di hati. Dalam memperkukuhkan amalan berintegriti, Raja perlu melakukan konsultasi, mengadakan rundingan, mendapatkan pandangan dan dengan pemikiran terbuka menilai setiap nasihat secara rasional – secara objektif, secara adil – secara saksama.
16. Sejarah juga menunjukkan bahawa takhta dan kerajaan jatuh disebabkan Raja dan pemimpin mendapat salah nasihat atau dipagari oleh individu-individu yang mempunyai pelbagai kepentingan diri dan kepentingan peribadi; terdapat juga pembesar istana yang pecah amanah – pembesar istana yang tidak bertanggung jawab, pembesar istana yang dengki dan tamak, pembesar istana yang menyalah gunakan nama baik Raja. Sejarah juga merakamkan peristiwa-peristiwa penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta, ada yang mengambil kesempatan ketika berteduh di bawah naungan payung Raja dan terdapat pula di kalangan Raja yang tidak memiliki kekuatan untuk menyingkirkan kumpulan sedemikian seperti yang dihadapi oleh Nicholas II, Raja (Tsar) Rusia yang terakhir. Akhirnya kerajaan menjadi lemah, kuasa hilang – bangsa dijajah. Kerana itu Abu Hamid al Ghazali melalui tulisan yang terkandung dalam Nasihat al-Muluk (Counsel for Kings) telah menasihatkan pemimpin agar bukan sahaja memastikan dirinya berlaku adil, tetapi turut memastikan agar para pegawai dan orang bawahannya juga memiliki sifat yang sama.[11]
17. Segala peristiwa lalu yang telah berlaku haruslah diambil iktibar dan dijadikan pengajaran sewaktu memenuhi amanah mengurus tadbir institusi dan negara. Malang sekali, walaupun dunia begitu kaya dengan himpunan dan khazanah sejarah berkaitan dengan punca kejatuhan kepimpinan dan kerajaan, sedikit sekali yang mempelajari dan mengambil iktibar supaya tidak mengulanginya pada ketika mereka diamanahkan dengan kuasa; kerana itu sejarah buruk terus berulang, harapan dan janji sedikit sekali yang dapat dikota, setelah kuasa dimiliki di tangan.
18. Bagaimana pula rupa bentuk ‘magna carta’ yang harus dihormati dalam sistem kerajaan berlandaskan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen agar kuasa rakyat dan peranan takhta dapat saling melengkapi, berusaha membina budaya integriti yang dapat dipertahankan.
19. Raja bukanlah sekadar monumen hiasan yang kaku – tanpa nyawa – tanpa jiwa; sekadar pelengkap memenuhi adat beraja-rakyat bersultan; sekadar simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian; sekadar hadir memenuhi acara dan istiadat. Raja bukan dari kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Segala yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja-raja. Tanggapan bahawa Raja adalah semata-mata institusi ‘ceremonial’ kepada negara adalah satu tanggapan cetek, tanggapan kuno, tanggapan primitif, tanggapan yang merugikan negara; kerana negara telah menyediakan peruntukan undang-undang dan peruntukan kewangan mewujudkan institusi Raja. Untuk itu institusi Raja harus dipastikan berperanan dan berfungsi, memberi sumbangan produktif lagi konstruktif kepada negara bangsa. Raja berada di tempat istimewa, berpeluang memberikan pandangan bernas untuk mempengaruhi dan menentukan arah haluan negara bangsa secara positif – secara konstruktif, melalui kata-kata nasihat dan pandangan, melalui galakan dan dorongan, melalui peringatan dan teguran.
20. Raja adalah sebahagian dari institusi negara yang dapat berperanan positif memperkukuhkan sistem demokrasi dengan melaksanakan tanggung jawab semak dan imbang; berfungsi sebagai penimbang tara yang bebas bagi cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman; serta menjadi sumber rujukan ketika berlakunya krisis. Raja dapat berfungsi sebagai mekanisme pengimbang memelihara kestabilan negara dan memperlindungkan kebajikan warga, memastikan kelangsungan keadilan, sekali gus meningkatkan integriti kerajaan dan memperkukuhkan amalan demokrasi di dalam negara.
21. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa. Raja ada tanggung jawab secara perlembagaan, tanggung jawab tersebut perlu dilaksanakan dengan bijaksana agar dapat membantu membina sebuah negara yang berintegriti tinggi.
22. Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat; namun Raja tidak harus sama sekali memberi perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.
23. Pandangan, pemerhatian dan teguran Raja dalam urus tadbir negara menyentuh soal integriti, merangkumi keadilan, perundangan, kehakiman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan agihan kemakmuran, adalah dengan hasrat untuk memperteguh kerajaan, agar kerajaan Baginda merupakan kerajaan yang stabil, mendapat kepercayaan rakyat, kukuh lagi aman, teguh lagi bersatu, makmur lagi sejahtera.
24. Demi memastikan bahawa integriti Raja tidak dipersoalkan dan takhta kekal dihormati, Raja harus senantiasa bijaksana lagi arif, menguasai pengetahuan, memahami persekitaran dan perubahan yang sedang berlaku serta memiliki barisan kumpulan penasihat terdiri dari pakar-pakar serta ilmuwan dalam bidang-bidang yang relevan untuk membolehkan Raja memenuhi peranan secara berintegriti dan dapat melakukan keputusan yang bijak, tepat, adil lagi saksama.
25. Integriti akan pupus bukan hanya disebabkan perilaku seorang Raja atau pemimpin atasan. Ia turut berlaku disebabkan mereka yang bertanggung jawab memagari pemimpin tidak memiliki kekuatan lalu gagal memperbetulkan yang salah. Masalah yang sama turut berlaku di era pemerintah berlandaskan demokrasi,. Paul H. Doglas dalam Ethics in Government membuat ulasan berhubung kepimpinan seorang Presiden dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi – sistem republik. Paul H. Doglas menyifatkan Abraham Lincoln sebagai seorang tokoh politik yang mulia di dalam sejarah Amerika Syarikat. Meskipun Douglas memuja Lincoln, namun beliau tidak dapat menutup hakikat bahawa di bawah Lincoln rasuah yang teruk berlaku begitu ketara di hampir setiap jabatan kerajaan.[12] Lincoln dilapurkan ada kalanya bukan sahaja meletakkan individu tertentu ke sesuatu jawatan yang beliau sendiri tahu bahawa mereka yang mendapat amanahnya itu akan memperkayakan diri sendiri, tetapi menggunakan orang-orang yang tidak jujur demi mencapai matlamat yang dianggapnya baik[13].
26. Oleh itu warga perlu disemai dengan jati diri yang sejati – punya maruah – punya harga diri, tidak boleh dijual beli – tidak boleh menggadai diri, disebabkan harta – disebabkan gilakan kuasa. Amatlah malang jika warga begitu mudah kehilangan integriti, hilang pedoman – hilang panduan, mudah terpesong kerana ulitan janji manis, lalu mengejar yang belum pasti hingga keciciran yang sedang dikendong. Betapa malangnya warga, tergoyang iman – tergoncang aqidah, mencurahkan air di tempayan kerana mendengar guruh di langit. Akan tergadailah ketuanan negara bangsa, jika ada di kalangan pemimpin dan warga yang bersifat pepat di luar rencong di dalam, lain di mulut – lain di hati. Mereka adalah kumpulan yang tidak memiliki sebarang integriti, bagaikan gunting dalam lipatan, laksana api membakar sekam, bersedia menggadai maruah bangsanya – bersedia merelakan bangsanya berdagang di bumi sendiri. Untuk membina warga yang berintegriti, warga perlu disedarkan – warga perlu dipertajam minda supaya dapat menilai antara intan dan kaca, supaya memiliki kekuatan dalaman yang cekal setia dan kekal taat kepada prinsip-prinsip utama perjuangan dan kehidupan.
27. Dalam usaha menyuburkan benih integriti hingga menjadi pepohon yang segar dalam sanubari setiap insan, kekuatan dalaman perlu dibina; keberanian menyuarakan kalam kebenaran hendaklah disuburkan. Semangat Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang mempamerkan ketegasan harus dijadikan teladan; dalam sopan dan santun, dengan tertib dan adab, Tun Perak berdatang sembah kepada Sultan bahawa tidak akan bertuankan Raja Muhammad, kerana telah membunuh anakanda beliau. Sultan juga berpegang kepada integriti yang tinggi melandaskan keputusan bersandarkan keadilan walaupun melibatkan darah daging Baginda, menjatuhkan hukum menghantar putera kesayangan Baginda keluar dari bumi Melaka. Bendahara Paduka Raja Tun Perak juga secara halus mengingkari titah Sultan dengan tidak melaksanakan hukuman bunuh kepada Hang Tuah kerana berpendirian titah Sultan tidak adil lalu titah Sultan perlu disanggah.
28. Dua peristiwa tersebut adalah manifestasi kekuatan mengendalikan secara tertib lagi beradab, urusan yang rumit lagi kusut, tanpa mengorbankan prinsip, berpandukan amalan budaya Melayu penuh bersopan, memastikan rambut tidak putus, tepung juga tidak berkocak. Hendaklah dijadikan pedoman akan hikmah Bendahara Paduka Raja memastikan bahawa prinsip keadilan kekal terjamin walaupun menghadapi seorang Raja yang berkuasa. Negara memerlukan ratusan, malah ribuan warga yang bersemangat sedemikian jika Pelan Integriti Nasional mahu dicapai sepenuhnya.
29. Bahawa pengisian Pelan Integriti Nasional lebih rumit dari proses merangkanya; dan gunung lebih curam perlu didaki berbanding dengan usaha awal ketika merintis dan menubuhkan Institut Integriti Malaysia. Program pengisian memerlukan kekuatan dalaman untuk menjayakannya, ia memerlukan kecekalan usaha, ia memerlukan langkah berani seorang pendekar, berpegang kepada semangat membujur lalu melintang patah; patah sayap bertongkat paruh, namun gunung tetap didaki. Integriti akan tercapai jika tersemai di jiwa semangat berani melakukan yang hak – jika tertanam di hati kegigihan menegakkan yang benar, ia memerlukan kecekalan dan kesediaan melaksanakan keadilan meskipun menyentuh darah daging sendiri, Ia memerlukan kekuatan menerima hakikat – menerima realiti betapa pahit sekalipun.
30. Semoga segala usaha yang dirintis mendapat petunjuk, bimbingan, hidayah dan panduan ILAHI.
Wabillahi taufik – walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***********************
- Teks abad ke 14. ↑
- Virginia Matheson Hooker, Kajian dan Pengenalan, Raja Ali Haji, Tuhfat al Nafis, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998) xvi ↑
- Ibid ↑
- Muhammad Haji Salleh, Pengenalan kepada Sulalat al-Salatin: Karangan Tun Seri Lanang, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997), xxvi ↑
- Ibid 152. ↑
- Russell Jones, Kajian dan pengenalan Hikayat Raja Pasai, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Penerbit Fajar Bakti, 1999), 33-34. ↑
- Muhammad Haji Salleh, xxvi ↑
- Ibid ↑
- Ibid ↑
- Teuku Iskandar, Kajian dan pengenalan Hikayat Aceh, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, 2001) 30-31 ↑
- Dipetik dari tulisan Wan Mohd. Nor Wan Daud, ‘Integriti Dan Mas’uliah Dalam Kepimpinan’ dalam Integiriti Politik di Malaysia, (Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia 2007) 39. ↑
- Ibid ↑
- ibid ↑