Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; demikian juga kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada para tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat di Majlis Santapan Malam, meraikan para peserta Hari Sastera kali ketiga belas. Kehadiran para penulis di Istana Iskandariah pada malam ini, laksana pinang pulang ke tampuk – laksana sirih pulang ke gagang. Dalam sejarah peradaban Melayu, penulis mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan istana. Penulis berkembang dan dewasa dalam persekitaran istana. Lalu terhasillah karya-karya agung berbahasa Melayu dari istana, ditulis oleh pembesar istana; mengisahkan perihal tanggung jawab Raja menguruskan negara – mengisahkan ketinggian adat dan kekayaan budaya Melayu yang terdapat di istana. Malah, ketinggian adat dan kekayaan budaya bangsa itu begitu terserlah melalui perantaraan dan penggunaan bahasa yang indah lagi halus – cantik lagi berseni, di beza dan dikhususkan pemakaiannya di antara Raja, pembesar dan rakyat.
3. Di samping menjadi pusat pemerintahan dan pusat pentadbiran, Istana Raja Melayu itu adalah juga pusat perkembangan Islam, pusat pertumbuhan ilmu, pusat pembangunan intelek dan pusat pembinaan budaya. Karya agung, ‘Sulalat al-Salatin’, ditulis oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612; sebuah karya yang dihasilkan, bermula dari titah Raja. Bertitahlah Sultan Abdullah,
‘Bahawa Beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala Raja-Raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu, syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya”[1]
Petikan dari Sulalat al-Salatin, karangan Tun Seri Lanang.
4. ‘Misa Melayu’ yang dihasilkan oleh Raja Chulan, mengisahkan negeri Perak semasa pemerintahan lapan orang Sultan bermula dari Sultan Perak kesepuluh, Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1636 sehingga tarikh kemangkatan Sultan Perak ketujuh belas Paduka Seri Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda pada tahun 1786.[2] ‘Misa Melayu’, menjadi sumber utama sejarah negeri Perak, merakamkan urusan pemerintahan, merangkumi aspek politik, geografi, sosial dan ekonomi. ‘Misa Melayu’, sebuah karya, dihasilkan penulisannya atas titah Sultan kepada Raja Chulan yang ketika itu telah dilantik sebagai Raja Muda.
5. Sesungguhnya dua karya tersebut adalah antara pelbagai karya yang telah dihasilkan oleh para penulis di zaman silam. Karya besar yang merupakan khazanah bernilai kepada bangsa Melayu untuk dapat memahami sistem beraja dan sistem berkerajaan di alam Melayu; betapa Sultan selaku Yang Di Pertuan Negeri merupakan lambang perpaduan dan berkuasa di dalam negeri; betapa bangsa Melayu itu telah lama memiliki tamadun – memiliki budaya berkerajaan, secara teratur dan amat tersusun. Penulisan yang dihasilkan itu bukan sahaja membolehkan generasi terkemudian memahami sejarah bangsa, malah penulisan tersebut, dijadikan rujukan memandu bangsa, menghidupkan tamadun yang begitu tinggi nilai adatnya, begitu kaya budayanya dan begitu indah lagi halus bahasanya.
6. Demikian peranan penting dan jasa besar penulis kepada negara bangsanya. Melalui penulisan, penulis telah membina jambatan penghubung antara generasi, merangkaikan generasi terdahulu dengan generasi terkemudian. Adat dan budaya bangsa di hari semalam, dari era Kerajaan Melayu Melaka, dirakamkan dengan lengkap – penuh teliti untuk tatapan generasi di hari ini dan di hari muka. Adat dan budaya yang masih subur – kekal segar sepanjang waktu – sepanjang masa; memberikan identiti kepada bangsa Melayu, kepada warga Malaysia dan kepada negara bangsa.
7. Sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja, istana, dan penulis telah sama-sama melalui proses evolusi yang rancak. Putaran evolusi bertambah ligat dengan berlakunya secara pesat perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Pengaruh dunia global terhadap sesuatu warga dan sesebuah negara bangsa menjadi semakin mudah. Perkembangan peralatan dalam teknologi penulisan, teknologi rakaman, teknologi elektronik dan teknologi percetakan, menjadikan dunia lebih terdedah. Perkembangan teknologi tersebut turut memudahkan generasi hari ini untuk merakamkan dalam bentuk penulisan mahupun dalam bentuk rakaman, peristiwa-peristiwa dan proses evolusi budaya yang sedang berlaku. Hari ini, terdapat lebih ramai bilangan terpelajar, lebih ramai anggota masyarakat yang memiliki keupayaan dan menguasai literasi. Bermakna, bangsa Melayu di hari ini memiliki potensi melahirkan lebih ramai karyawan yang boleh mengikuti jejak langkah Tun Seri Lanang dan jejak tapak Raja Chulan. Mereka perlu tampil ke muka, merakamkan peristiwa hari ini melalui karya yang tinggi nilai sejarahnya, nilai sasteranya dan nilai faktanya, supaya hasil karya mereka dapat dijadikan khazanah peninggalan berharga bagi generasi akan datang.
8. Dalam tempoh 48 tahun negara mencapai kemerdekaan, institusi Raja Melayu turut melalui proses evolusi untuk diselaraskan dengan semangat Perlembagaan Negara, berteraskan sistem kerajaan, Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Penyesuaian dan perimbangan peranan antara takhta dan suara rakyat telah melalui proses evolusi yang dinamik. Bagaimana tradisi dan modenisasi telah mencari kata sepakat – menemui titik perimbangan. Betapa penting permuafakatan kata serta perimbangan kuasa terus dipelihara dalam simfoni penuh harmoni; demi menjamin lambang perpaduan rakyat dan lambang kedaulatan negara itu kekal terpelihara; di samping menentukan identiti negara bangsa tidak akan kehilangan. Betapa pentingnya untuk bangsa Melayu itu dapat berfikiran tenang dan berdada lapang, memastikan tindakan diambil secara bijaksana betapa besar sekalipun krisis yang dihadapi, agar tepung tidak berkocak dan rambut pula tidak putus. Semoga yang dikendong tidak berciciran, sedang yang dicari masih belum pasti.
9. Para penulis memiliki peranan untuk memastikan identiti negara bangsa dan lambang perpaduan rakyat ini dapat terus terpelihara. Istana dan Raja Melayu itu adalah sebahagian dari adat dan budaya Melayu. Para penulis yang mewakili barisan intelek dan inteligensia bangsa, dengan ketajaman pena – dengan instrumen penerbitan yang dimiliki, dapat memenuhi peranan merangkaikan hubungan sihat antara Raja dengan rakyat dan rakyat dengan Raja. Para penulis juga dengan penguasaan bahasa dan kebijaksanaan merangkaikan kata, berupaya menyampaikan pandangan secara bersopan – secara beradab, memastikan Raja bertindak adil lagi bijaksana agar rakyat terus menjalin tali kasih – berpegang kepada sumpah setia, bahawa ‘Raja Adil – Raja Disembah’.
10. Tema Hari Sastera kali ini dan topik-topik perbincangan yang dipilih, memperlihatkan kecenderungan GAPENA mendalami pertalian dan peranan istana dalam membina tamadun dan budaya bangsa. Semoga inti pati perbincangan didokumentasikan secara lengkap supaya menjadi satu peninggalan khazanah untuk generasi di hari muka. Semoga perjalanan acara Hari Sastera Ketiga belas, mendapat petunjuk dan bimbingan ILAHI.
11. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta sukacita mengisytiharkan perasmian Hari Sastera kali ketiga belas.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**************
- Tun Seri Lanang, ‘Sulalat al-Salatin’, Dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997, ms xv. ↑
- Raja Chulan Raja Abdul Hamid, ‘Misa Melayu’, Pengenalan oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali, Yayasan Penataran Ilmu, Kuala Lumpur, 1994, ms 45. ↑