Majlis Santapan Tengah Hari Sempena Perasmian Seminar “Bahasa Rojak: Kecelaruan Penggunaan Bahasa”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya juga, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke majlis santapan tengah hari sempena Seminar “Bahasa Rojak: Kecelaruan Penggunaan Bahasa”.

3. Seminar ini membuktikan bahawa usaha memelihara keindahan bahasa Melayu terus diberikan perhatian oleh para pejuang dan pencinta bahasa. Penguasaan bahasa dan pemeliharaan mutu bahasa, merupakan salah satu syarat utama dalam proses peningkatan peradaban manusia. Bahasa itu menunjukkan bangsa dan bahasa itu adalah jiwa kepada bangsa. Bahawa sejarah sesuatu bangsa itu termaktub dalam bahasanya. Bahawa perkembangan tamadun sesuatu bangsa dari segi keupayaan dan pencapaian intelek, tergambar dalam bahasa yang digunakan. Bahasa turut mencerminkan adab tertib, etika dan etiket bangsa dalam sesuatu peradaban.

4. Ahli-ahli falsafah dalam peradaban Barat dan Timur, serta dalam peradaban Islam dan bukan Islam memberi perhatian utama kepada urusan menguasai bahasa dan memelihara mutu bahasa. Mereka berupaya menerangkan kejadian alam budaya dan alam kosmos serta perilaku manusia secara teratur melalui penggunaan jalan bahasa yang tertib dan pemilihan kata yang sesuai dengan konsep dan mesej yang disampaikan. Sesuatu pemikiran itu laksana mutiara bernilai di dasar minda. Mutiara bernilai tersebut perlu diungkapkan melalui jalan bahasa yang teratur dan pemilihan kata yang sesuai agar ia dapat difahami dengan jelas.

5. Pertemuan bangsa dan bahasa dari peradaban yang berbeza telah berlaku sejak berkurun lamanya. Globalisasi masyarakat manusia telah lama berlaku. Globalisasi itu menjadi begitu disedari hari ini disebabkan tahap kelajuan yang begitu pantas berikutan dengan penciptaan teknologi komunikasi dan maklumat yang begitu canggih. Lalu berlakulah proses pengaruh mempengaruhi antara budaya termasuk aspek bahasa pada kadar kelajuan penyerapan yang begitu pantas.

6. Perkembangan ini bukan fenomena baru yang dihadapi oleh bahasa Melayu. Pada hakikatnya elemen pengaruh mempengaruhi telah memperkayakan bahasa Melayu hingga menjadikan bahasa Melayu bahasa yang dinamik, bahasa yang hidup dan terus berkembang. Bahasa Melayu, menghadapi gelombang pertama peradaban luar apabila alam peradaban Melayu dikunjungi oleh peradaban India. Pertemuan ini membawa banyak konsep abstrak berhubung falsafah hidup melalui perkataan-perkataan yang berakar dari bahasa Sanskrit.

7. Gelombang kedua peradaban luar yang dihadapi oleh alam Melayu datangnya dari peradaban Islam-Arab. Gelombang ini membawa lebih banyak konsep abstrak yang menggambarkan lunas-lunas kepercayaan ketuhanan, adab dan akhlak. Meskipun gelombang kedua berteraskan ciri-ciri peradaban Islam mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu, namun ia tidak menghapuskan konsep-konsep yang telah bertapak dari gelombang pertama, malah terkandung penggunaan perkataan Sanskrit yang sesuai dalam pengajaran adab dan akhlak Islam.

8. Pengaruh Barat berasaskan peradaban Yunani dan Romawi Kuno terkandung dalam gelombang ketiga. Pengaruh dalam gelombang ketiga lebih bersifat kebendaan seperti yang diperlihatkan dalam konsep perniagaan, perdagangan, sains dan teknologi. Alam peradaban Melayu memperlihatkan karakter dinamik, berupaya menyerap, mengubahsuai dan memanfaatkan pengaruh dari ketiga-tiga gelombang tersebut secara tersusun lagi harmonis, hingga menjadikan bahasa Melayu itu bahasa yang tidak jumud; malah bahasa Melayu berupaya mencapai ke tahap berperanan sebagai bahasa pengantar pelbagai bidang ilmu, merangkumi ilmu-ilmu agama, sains sosial, sains tulen, teknologi, ekonomi, perdagangan dan perindustrian.

9. Bahasa Melayu hidup subur, terpelihara melalui alam sasteranya dan pada ketika yang sama memperlihatkan kekuatan daya kreatif untuk menjadi perantaraan bahasa penyampaian ilmu merangkumi pelbagai pengajian profesional, antaranya di bidang undang-udang, perakaunan, perubatan, kejuruteraan, seni bina. Segala-galanya ini tercapai kerana para pejuang bahasa telah memperlihatkan keterbukaan, keberanian, kecekalan dan kesungguhan membantu perkembangan bahasa Melayu menjadi bahasa yang hidup dan kekal relevan sepanjang waktu.

10. Bahasa Melayu adalah bahasa perantaraan umum yang berakar di bumi ini; bahasa yang dipertuturkan oleh lebih 300 juta manusia, merupakan antara sepuluh bahasa yang teramai penuturnya di dunia. Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan bahasa perdagangan di era Kesultanan Melayu Melaka.

11. Sejak abad ke-13 bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa kerajaan- kerajaan Melayu-Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang, bahasa komunikasi dan bahasa pengembangan agama Islam di Nusantara. Bahasa Melayu telah berkembang sejak ratusan tahun sebagai lingua franca perdagangan dan sosial. Ia menjadi medium pengantara yang merentas sempadan etnik dan sempadan geografi. Bahawa bahasa Melayu sebagai identiti orang Melayu tidak mungkin dapat dikikis. Bahasa Melayu diberi pengiktirafan sebagai bahasa kebangsaan negara selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia termaktub kukuh dalam Perlembagaan negara berasaskan kepada sejarah sosiopolitik bahasa Melayu itu sendiri.

12. Bahasa Melayu telah berjaya dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan 50 tahun yang lalu. Perjuangan menobatkan bahasa Melayu telah melalui perjalanan yang panjang dan memakan masa yang lama. Raja-raja Melayu dalam mesyuarat Durbar pada tahun 1903 telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.[1] Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai puncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar mahkamah di negara ini.

13. Bahasa itu adalah salah satu komponen yang memberikan identiti bukan hanya kepada bangsa tetapi kepada negara. Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara, tidak wajar dijadikan hiasan sahaja; tidak ada maknanya jika hanya termaktub dalam satu perenggan dalam perlembagaan negara. Bahasa Melayu itu perlu diberi nyawa- diberi nafas, disuntik dengan nilai dan harga. Oleh itu negara harus arif melakukan perimbangan bijaksana supaya warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia bersifat global.

14. Kejayaan memberikan martabat kepada bahasa Melayu dalam sebuah negara bangsa merdeka telah di perkukuhkan dengan kejayaan menyuntik nilai kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu diterima dan dipraktikkan sebagai bahasa pentadbiran rasmi negara. Bahasa Melayu telah dipertingkatkan martabatnya apabila berjaya berfungsi sebagai bahasa perantaraan ilmu. Bahasa Melayu telah menjadi instrumen penting sebagai bahasa perhubungan yang dapat menyatupadukan warga. Pencapaian tersebut adalah hasil dari usaha gigih lagi bersungguh dari kalangan pejuang bahasa. Para pejuang bahasa secara arif melakukan adukan secara sistematis dan artistik menggabung, menerima pakai dan mengubahsuai bahasa Melayu dari bahasa dan peradaban lain hingga berjaya memperkayakan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Ratusan ribu jam manusia (man-hour) telah diabadikan dalam usaha memastikan bahasa Melayu berkembang dinamik berupaya memenuhi fungsi sebagai bahasa pentadbiran, berupaya berfungsi sebagai bahasa ilmu dan berupaya berperanan sebagai bahasa menyatupadukan warga.

15. Dewan Bahasa dan Pustaka berserta para petugas di institusi ini amatlah besar jasa dan peranannya dalam perjuangan memartabatkan dan memberi nilai kepada bahasa warisan bangsa ini. Pastinya pengorbanan dan sejarah itu tidak seharusnya disia-siakan. Pastinya bangsa Melayu tidak rela bahasanya menerima nasib yang berkemungkinan pupus dan terkubur satu hari nanti.

16. Pada ketika negara di ambang menyambut ulang tahun 50 tahun kemerdekaan, pastinya bangsa Melayu wajib mempertahankan martabat dan kedaulatan bahasa ini supaya terus mempunyai nilai dan harga. Di institusi bersejarah ini, para pejuang bahasa hari ini sekali lagi berkumpul. Dalam membicarakan isu-isu berkaitan pencemaran bahasa, wajib dikunjungi dan disentuh isu pokok akan kedudukan dan nilai bahasa dalam negara bangsa yang setengah abad menyambut kemerdekaan. Memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian dari semangat perjanjian merdeka. Semangat itu wajib terus dihidupkan, obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa.

17. Semoga seminar ini dalam usaha mengolah cara dan merumuskan usaha untuk memelihara ketertiban, keindahan dan keharmonian bahasa, turut juga mengulangi ketegasan mempertahankan warisan milik bangsa yang telah diberikan darjat dan kedudukan; turut mengingatkan negara dan bangsa supaya dalam usaha mengejar yang baru, jangan sampai ke peringkat keciciran khazanah yang sedang dikendong. Dalam merintis usaha untuk menjamin tidak berlaku kecelaruan penggunaan bahasa, minda negara lebih penting diselamatkan dari bersifat celaru.

18. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan kesyukuran merasmikan seminar ‘Bahasa Rojak: Kecelaruan Penggunaan Bahasa’.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

********************

 

  1. Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan Dalam Perlembagaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, 22
%d bloggers like this: