Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahi Rahmani Rahim
Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 24hb. Jun 2008, ketika merasmikan Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Kedua Belas, memperingatkan lima (5) perkara menyentuh Islam:
Pertama: Islam adalah agama yang diberikan pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara, diiktiraf sebagai agama rasmi dengan diberikan keistimewaan dan perlindungan di dalam negara.
Kedua: Islam adalah tunjang utama dalam pembentukan minda dan budaya khususnya di kalangan orang Melayu.
Ketiga: Islam menganjur umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak bermusuh dengan penganut agama lain selagi kemuliaan Islam tidak dipersendakan, selagi umat Islam tidak dihina dan selagi hak umat Islam tidak dicerobohi.
Keempat: Perkara menyentuh agama tidak wajar diuji dan dicabar kerana isu agama sangat sensitif dan sangat menyentuh emosi, boleh menjejaskan ketenteraman awam hingga ke peringkat boleh mencetuskan perang saudara.
Kelima: Masjid dan surau adalah rumah suci Allah dan hendaklah bebas dari pengaruh mana-mana fahaman politik kepartian; demi menjamin perpaduan ummah, masjid dan surau tidak harus dijadikan pentas untuk menjalankan kempen-kempen politik kepartian.
2. Beta telah disembah maklumkan bahawa kebelakangan ini telah mula berlaku kegiatan-kegiatan berunsur politik di masjid dan surau di negeri Perak Darul Ridzuan. Antaranya:
- Khutbah Jumaat yang disampaikan tidak mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Perak.
- Terdapat khutbah yang mengetepikan doa kesejahteraan untuk Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
- Orang-orang yang tidak mendapat tauliah telah dibenarkan membaca khutbah di masjid-masjid termasuk orang-orang dari luar kariah dan dari luar negeri Perak.
- Orang-orang politik dari parti politik tertentu mula mengadakan ceramah dan tazkirah di masjid-masjid dan surau-surau di negeri Perak Darul Ridzuan.
- Ceramah dan tazkirah berunsur kempen politik memburukkan pihak tertentu atau kumpulan tertentu mula berlaku di masjid dan surau di negeri Perak Darul Ridzuan.
3. Beta telah disembah maklumkan dan menerima aduan bahawa kejadian-kejadian ini telah mula memberikan rasa tidak selesa kepada para jemaah yang datang ke masjid dan surau untuk melakukan ibadat dan di kalangan majoriti jemaah yang tidak berminat terlibat dalam kegiatan-kegiatan politik berunsur kepartian. Ada jemaah yang hari ini memilih berpindah bersembahyang Jumaat ke masjid lain kerana tidak senang dengan perkembangan tidak sihat yang sedang berlaku di masjid-masjid dalam kariah mereka. Perkembangan ini amatlah tidak sihat dan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana jika dibiarkan berlarutan, berkemungkinan menjadi pencetus kepada berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.
4. Orang Besar-Orang Besar adalah wakil Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan di daerah masing-masing. Orang Besar-Orang Besar perlulah menjadi telinga dan mata kepada Duli Yang Maha Mulia mengawasi kegiatan-kegiatan agama Islam di daerah masing-masing lalu memberikan nasihat dan turut melaporkan ke pengetahuan Beta apabila berlakunya perkara-perkara tidak betul berkaitan agama; demikian juga dengan aktiviti-aktiviti yang berlangsung di masjid. Orang Besar-Orang Besar hendaklah sebolehnya menunaikan solat Jumaat dalam Jajahan masing-masing agar dapat mendampingi ahli-ahli kariah secara lebih dekat di daerah masing-masing.
5. Perkara Kedua yang Beta ingin bincangkan adalah berkaitan Pegawai-pegawai masjid di negeri Perak. Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid adalah tertakluk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak dan perkara-perkara yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah. Kaedah tersebut telah menetapkan bahawa pelantikan Jawatankuasa Kariah hendaklah dicadangkan oleh Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu setelah berunding dengan Orang Besar Jajahan lalu dikemukakan kepada Majlis melalui Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam. Beta telah juga disembah maklumkan oleh Orang Besar-Orang Besar Jajahan bahawa proses mengemukakan senarai Jawatankuasa Kariah Masjid kali ini telah tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Antara perkara yang telah tidak dihormati merangkumi:
- Pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) memberi fakta tidak benar dengan mengatakan bahawa senarai yang dikemukakan kepada Orang Besar hanyalah sekadar menghormati institusi Raja kerana kuasa lantikan terletak kepada Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Agama.
- Surat Pengerusi Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan Negeri Perak Darul Ridzuan bertarikh 26hb. Mei 2008 yang mendakwa bahawa Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan telah perkenan melantik Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Seluruh Negeri Perak. (Ini adalah tidak benar kerana Beta belum pun lagi memberikan perkenan)
- Oleh sebab nama Beta telah disalah gunakan, surat tersebut mahu tidak mahu telah digunakan oleh Pentadbir-Pentadbir Agama untuk mendesak, mempengaruhi malah mengelirukan Orang Besar-Orang Besar menurunkan tanda tangan secara serta-merta kepada senarai nama Jawatankuasa yang dikemukakan kepada mereka tanpa mereka diberikan cukup masa untuk menyemak dan meneliti senarai nama yang dikemukakan. (Perbuatan tersebut bolehlah dianggap tidak menghormati status Orang Besar Jajahan sebagai wakil Sultan dan sangatlah bercanggah dengan kehendak enakmen dan sama sekali tidak boleh diberikan restu)
- Senarai yang dikemukakan kepada Orang Besar-Orang Besar Jajahan mengandungi nama orang yang di luar kariah, orang yang ada rekod polis, orang yang ada masalah rumah tangga, orang yang telah uzur, orang yang telah meninggal dunia; juga terdapat nama yang bertindih, serta ada pula senarai yang tidak dilengkapi dengan wakil Imam, belia dan wanita.
6. Berdasarkan maklum balas dan laporan yang telah disembah maklumkan, pada hemat Beta, senarai yang dipersembahkan kepada Beta dalam urusan melantik Jawatankuasa Kariah kali ini telah tidak memenuhi proses dan prosedur yang telah ditetapkan. Oleh itu, perkara ini hendaklah dinilai semula dan sehingga Beta berpuas hati dengan senarai yang dikemukakan, Jawatankuasa Kariah yang sedia ada hendaklah meneruskan tugas dan tanggung jawab mereka.
7. Beta wajib memberikan peringatan bahawa Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama Negeri. Raja Pemerintah memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam. Raja Pemerintah berada di atas politik kepartian, bersikap bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh atau kepentingan politik kepartian. Justeru itu lantikan Ahli Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid haruslah berpegang kepada semangat dan prinsip yang tidak bersandarkan pengaruh politik kepartian.
8. Pegawai Agama dalam melaksanakan amanah dan tanggung jawab urusan agama Islam hendaklah bebas dari politik kepartian atau pengaruh mana-mana pemimpin dan kumpulan politik. Urusan Agama Islam sama sekali tidak harus dibenar untuk dipolitikkan. Masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk mengadakan kegiatan politik. Masjid dan surau hendaklah menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan ummah. Oleh itu sebarang kegiatan yang boleh memecah belahkan ummah tidaklah boleh dibenarkan berlaku dalam masjid dan surau.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
********************