Majlis Titah DiRaja Anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka

‘BAHASA JIWA BANGSA’

Basmalah & Salam

Opening of Speech

Dengan penentuan ILAHI juga, Beta sekali lagi dapat berangkat memenuhi undangan, institusi yang berperanan penting, melindungi dan mempertahankan salah satu tunggak jati diri bangsa. Tahun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencapai usia enam puluh tahun penubuhannya. Bahasa Melayu mempunyai hubungan sejarah yang panjang dengan kesultanan Melayu. Dewan juga mempunyai hubungan sejarah dengan istana Raja Melayu. DBP ditubuhkan hasil daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada bulan September 1956. Resolusi Kongres telah diserahkan kepada Menteri Pelajaran yang mewakili kerajaan, bertempat di Istana Besar, Johor Bahru. Acara perasmian bangunan DBP, yang berlangsung pada 25 Syaaban 1381 bersamaan 31 Januari 1962, merupakan peristiwa pertama selepas merdeka, kesemua sembilan Raja Melayu berangkat hadir dalam satu Majlis. Perkenan Beta, menerima undangan Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah satu tanggung jawab seorang Raja Pemerintah kepada bangsanya, dan kepada institusi yang bertanggungjawab memenuhi salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu, di samping, mengekalkan tradisi, peranan istana dengan perkembangan bahasa Melayu.

2. Hari ini, dianggarkan terdapat tujuh ribu bahasa masih dituturkan di seluruh dunia.[1] Sepuluh daripada bahasa-bahasa tersebut dipertuturkan oleh lebih tiga perpuluhan enam (3.6) bilion penduduk dunia. Bahasa Melayu, bahasa perantaraan umum yang berakar di bumi ini, tergolong dalam kumpulan sepuluh bahasa tersebut, dipertuturkan oleh lebih tiga ratus juta manusia. Bahasa Melayu telah didaulatkan dan berdaulat semenjak dua ribu tahun lalu apabila wujudnya pelbagai kerajaan Melayu awal, antaranya Funan, Champa atau Kembayat Negara sehingga ke zaman kerajaan dan kesultanan Melayu Pasai, Perlak, Inderagiri, Melaka, Johor serta Johor-Riau, Patani, Brunei dan Aceh.[2] Kedaulatan Bahasa Melayu berasal usul, didaulatkan oleh raja-raja dan rakyat Melayu di Alam Melayu.[3]

3. Bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu, menjadi tonggak tamadun, digunakan dalam segenap lapangan kehidupan, merangkumi pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan.[4] Dalam zaman Kesultanan Melayu, untuk kali pertamanya, bahasa Melayu mempunyai tulisan yang benar-benar luas penggunaannya, tulisan Jawi yang didasarkan pada aksara Arab; sehingga muncul tradisi bahasa Melayu persuratan, yang menjadi asas bahasa Melayu baku.[5] Bahasa Melayu, berkembang sebagai lingua franca, medium pengantara yang merentas sempadan kaum dan sempadan geografi. Kehebatan bahasa Melayu pada abad keenam belas, dirakamkan oleh sarjana Belanda, Francois Valentijin dengan kata-kata berikut:

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya, tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi, bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina”[6]

4. Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa adalah jiwa kepada bangsanya. Bahasa itu sebahagian daripada roh bangsanya, mencerminkan sejarah, adab tertib, etika dan etiket bangsa dalam sesuatu peradaban. Perkembangan tamadun sesuatu bangsa, daripada segi keupayaan dan pencapaian intelek, tergambar dalam bahasa yang digunakan. Perbendaharaan kata sesuatu bahasa, menggambarkan khazanah tamadun, hubungan silang budaya yang berlaku, kisah-kisah pengembaraan, sifat-sifat keterbukaan, dinamisme, kemajuan dan tahap kemahiran teknologi, sesuatu bangsa, pada sesuatu masa. Bahasa-bahasa utama di dunia memiliki adukan perbendaharaan kata daripada pelbagai bahasa. Bahasa Melayu juga, melalui diplomasi, perdagangan dan agama, telah mengasimilasikan perkataan daripada pelbagai kaum di gugusan Kepulauan Melayu, serta perkataan-perkataan dari Barat dan Timur, Arab, Parsi, Portugis, Inggeris, China dan India. Elemen pengaruh mempengaruhi telah memperkayakan bahasa Melayu, menjadikannya, bahasa yang dinamik, bahasa yang hidup, bahasa yang terus berkembang.

5. Status sesuatu bahasa dalam sesebuah negara, berkait rapat dengan kuasa pemerintahan dan kuasa politik. Apabila Kesultanan Melayu hilang takhta, bahasanya juga kehilangan tempat. Penjajahan, telah mengubah status bahasa Melayu di bumi ini. Dasar penjajah, yang tidak memberikan ruang kepada bahasa Melayu berperanan dalam urus tadbir negeri; menjadi salah satu punca, peribumi tertinggal jauh ke belakang. Kemudahan pendidikan yang disediakan dalam bahasa Melayu, dihadkan pada peringkat sekolah rendah, dengan kurikulum sekadar membolehkan anak Melayu, tahu membaca, menulis dan mengira, di samping tahu berkebun dan bertukang kayu. Akibatnya, majoriti anak Melayu berakhir sebagai petani dan tukang kayu; jika ada yang bekerja dengan kerajaan, mereka ditawarkan jawatan, penolong kerani, drebar dan peon pejabat. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, dalam ucapan sulung, atas nama Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 26 Februari 1957, antara lain menyebut:

“Saya berani berkata terus terang bahawa pada masa yang sudah-sudah, masyarakat kita dan kerajaan tidak memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap bahasa Melayu dan penulis Melayu. Akibatnya, hari ini, sangat sukar hendak mencari dan memilih orang-orang berkebolehan dalam segala lapangan yang dikehendaki oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, ia itu daripada pengarang hingga jurutaip”.[7]

6. Pada era pasca Perang Dunia Kedua, berlaku gerakan rakyat di seluruh dunia, menuntut kemerdekaan tanah air. Kesedaran politik yang mendorong perjuangan rakyat untuk mencapai kemerdekaan, turut menyalakan kesedaran tentang pentingnya kedudukan bahasa. Tuntutan untuk bahasa Melayu, dikembalikan bersemayam di takhta asalnya, merupakan antara agenda utama pengisian kemerdekaan. Perjuangan menobatkan bahasa Melayu, telah melalui perjalanan yang panjang dan mengambil masa yang lama. Raja-Raja Melayu sejak mesyuarat Durbar pada tahun 1903, telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.[8] Semasa menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, Raja-Raja Melayu telah menetapkan tujuh wasiat, salah satu daripadanya menyentuh bahasa:

“Kami tetapkan BAHASA KEBANGSAAN ialah BAHASA MELAYU”.

7. Titah wasiat Raja-Raja Melayu serta tuntutan rakyat diberikan jaminan oleh pimpinan politik negara. Ketika berucap, dalam perhimpunan rakyat melafazkan Ikrar Bahasa Kebangsaan, pada 22 Julai 1961, Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) telah memberikan komitmen berikut:

“….Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan suka mengambil peluang ini untuk membuat pengakuan, bahawa selagi kami, memegang kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka kami tidak akan undur setapak jua pun untuk mempertahankan Bahasa Kebangsaan yang tunggal, bagi negeri ini dan untuk melaksanakan pemakaiannya dengan sepenuh-penuhnya, manakala sampai tempoh yang telah ditentukan oleh Perlembagaan itu”[9]

8. Timbalan Perdana Menteri, Tun Haji Abdul Razak bin Hussein (Allahyarham), semasa berucap dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1966 di daerah Kelang, memberi jaminan bahawa Bahasa Kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negara ini pada tahun 1967.[10]

9. Bila kata gagal dikota, bila janji tidak ditepati, para pejuang bahasa terasa amat kecewa. Apabila pucuk pimpinan negara, memperlihatkan sikap kurang bersungguh, melaksanakan dasar Bahasa Kebangsaan, para pejuang bahasa menyifatkan pemimpin mempersendakan mereka. BARISAN BERTINDAK BAHASA KEBANGSAAN telah digerakkan. Pada 3 Mac 1967, bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, dua ribu nasionalis bangsa, mewakili seratus dua puluh pertubuhan Melayu telah berhimpun. Peristiwa tersebut dikenali sebagai peristiwa ‘api dan air mata’; api kemarahan bangsa Melayu, air mata keharuan yang dititiskan oleh Syed Nasir Ismail (Allahyarham Tun). Peristiwa tersebut turut dirujuk, ‘keranda 152’. Ucapan Dato’ Haji Mohd. Asri Haji Muda ketika membahaskan Rang Undang-undang Bahasa (1967) di Parlimen pada 4 Mac 1967, disifatkan sebagai pidato bersejarah yang kemudiannya dinamakan ‘Rakyat Menggugat’.[11] Sasterawan Negara, Usman Awang (Allahyarham) mengakhiri puisi berjudul, ‘Malam itu di Balai Budaya’ dengan bait berikut:

Malam itu juga

Parlimen jadi petanda

Memenggal leher BAHASA”.

10. Isu bahasa, mempunyai pengaruh kuat, menentukan jatuh bangun seseorang tokoh politik ketika itu. Susulan daripada isu bahasa, populariti Yang Teramat Mulia Tunku menurun, terutama keyakinan di kalangan orang Melayu. Barisan pimpinan negara, juga pimpinan UMNO, membaca mesej rakyat secara tepat, lalu melakukan langkah-langkah pembetulan. Semasa berlangsungnya perjumpaan yang diaturkan oleh Abdullah Ahmad (Allahyarham Tan Sri), Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, di antara Tun Haji Abdul Razak dengan wakil-wakil BARISAN BERTINDAK BAHASA KEBANGSAAN, Tun Haji Abdul Razak (Allahyarham) ketika berucap, memberi jaminan bahawa Kerajaan tetap menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang tunggal.[12] Wakil BADAN BERTINDAK BAHASA KEBANGSAAN, Yahya Ismail, semasa berucap menyatakan bahawa BADAN BERTINDAK berpegang kepada semangat Fasal 152, Perlembagaan Negara, dan akan tetap memberikan sokongan kepada Kerajaan selagi Kerajaan berpegang teguh pada janji keramat Perlembagaan; BADAN BERTINDAK, bukan memusuhi Kerajaan, tetapi menentang mereka yang bersifat anti cita-cita nasional, dan menentang mereka yang tidak yakin dengan kekuatan bahasa ibunda sendiri”.[13]

11. Keberanian Syed Nasir Ismail (Allahyarham Tun), melayakkan Syed Nasir dinobatkan dengan gelaran Panglima Bahasa. Walaupun Syed Nasir, rapat dengan Yang Teramat Mulia Tunku, dilantik oleh Tunku ke jawatan Pengarah DBP, dan ketika itu, bertanggungjawab (accountable) kepada Menteri Pelajaran, segala hubungan dan kaitan tersebut tidak menjadikan Syed Nasir insan bisu, menikus takut. Syed Nasir cekal bersuara, bersuara dengan lantang, bersuara secara tegas – secara berani. Syed Nasir menulis surat kepada semua jabatan kerajaan, mendesak jabatan-jabatan kerajaan, bertindak tegas, tidak melayan sebarang surat yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

12. Semangat pejuang bahasa, menjulang bagaikan api dituang minyak, apabila Datuk Abdul Rahman Ya’akob (Allahyarham Tun Datuk Patinggi) dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam tahun 1969. Semasa wawancara di radio, secara tegas beliau mengarahkan pegawai-pegawai supaya memasukkan ke dalam bakul sampah, surat-surat yang dihantar ke jabatan kerajaan, jika tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Surat pertama yang menerima nasib dimasukkan ke bakul sampah, ialah surat yang dialamatkan kepada beliau, daripada National Union of the Teaching Profession (NUTP). Bahasa Melayu akhirnya mencapai tahap, berperanan sebagai bahasa pengantar pelbagai bidang ilmu. Segalanya tercapai kerana para pejuang bahasa telah memperlihatkan sifat-sifat ketegasan, keberanian, kecekalan dan kesungguhan.

13. Bahasa Melayu berjaya dikembalikan di persada yang sememang miliknya. Pejuang bahasa pula, tidak sekadar berperanan sebagai kumpulan pendesak, berslogan dan berdemonstrasi, tetapi tampil ke hadapan, menyahut cabaran, mengambil tanggungjawab untuk memperlengkapkan bahasa Melayu agar dapat memenuhi peranan sebagai bahasa kebangsaan negara. Dewan Bahasa dan Pustaka, amat besar peranan dan jasanya kepada bangsa dan negara, memenuhi amanah untuk memartabatkan dan memberi nilai kepada bahasa warisan bangsa ini.

14. Ratusan ribu jam manusia, didedikasikan kepada usaha memastikan bahasa Melayu berkembang dinamik, berupaya memenuhi fungsi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan bahasa menyatupadukan warga. Para pejuang bahasa, secara gigih – secara komited, dengan bijak lagi arif, melakukan adukan secara sistematis dan artistik, menggabung, menerima pakai, mengubahsuai, mencipta istilah, hingga berjaya memperkayakan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Lebih enam ratus ribu (600,000) istilah dihasilkan dan sistem ejaan diselaraskan.[14] Penerbitan penting diterjemahkan dan buku-buku dalam bahasa Melayu diterbitkan. Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai puncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar mahkamah di negara ini.

15. Negara sedang melangkah ke usia enam puluh tahun kemerdekaannya. Generasi pra Merdeka, ramai yang telah kembali ke Rahmatullah; bilangan generasi pasca Merdeka juga semakin kecil. Kini lahir generasi baru dalam persekitaran dunia yang sangat berbeza. Generasi baru melihat dan mentakrif peranan bahasa dari perspektif yang sangat berbeza, bebas daripada sebarang ikatan emosi. Generasi baru, melihat bahasa, hanyalah medium komunikasi, tanpa menghiraukan aspek sejarah dan dimensi jati diri bangsa. Generasi baru, dewasa dalam era komunikasi global, era inovasi teknologi serta era penemuan saintifik berlaku begitu pantas, era hubungan perniagaan dan hubungan profesional antara muka di teater antarabangsa, semakin berlaku. Dunia kini disifatkan sebagai desa buana. Bahasa yang diucap oleh ramai warga dunia, bahasa yang lebih lebar dan luas penyebarannya, semestinya memiliki nilai lebih tinggi, memiliki kelebihan politik, kelebihan ekonomi, kelebihan perdagangan, kelebihan akademik dan kelebihan budaya.

16. Pada hakikatnya, bahasa Inggeris adalah bahasa yang memiliki segala kelebihan. Tidak ada bahasa di dunia ketika ini, yang mencapai tahap perkembangan dan dinamisme setanding dengan bahasa Inggeris.[15] Walaupun dari segi perangkaan penutur, bahasa Inggeris berada di tangga kedua, di bawah bahasa Mandarin, tetapi bahasa Inggeris berjaya merentasi sempadan geografi yang lebih luas, dipertuturkan di seratus lima belas (115) negara.[16] Pencerakinan artikel dalam Wikipedia, menunjukkan artikel berbahasa Inggeris tiga kali ganda melebihi artikel yang ditulis dalam bahasa kedua paling popular, ia itu bahasa Jerman, sementara artikel dalam bahasa Perancis berada di tempat ketiga.[17] Pada pertengahan tahun lapan puluhan, perkataan Inggeris, Air Mail, telah menggantikan perkataan Perancis, Par Avion, dalam bahasa rasmi pengurusan pos antarabangsa.[18] Bahasa Perancis pernah menjadi lingua franca di Eropah pada zaman pertengahan. Pada tahun 2001, the International Civil Aviation Organization menerima cadangan untuk bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa komunikasi penerbangan.[19]

17. Bahasa Inggeris berkembang luas apabila Inggeris muncul sebagai kuasa dunia paling berpengaruh setelah kejatuhan Perancis, pada era imperialisme. Ketika puncak keagungan kuasanya, Inggeris menguasai hampir satu perempat bumi ini dan bahasa Inggeris diguna pakai, sebagai lingua franca di seluruh Empayar Inggeris. Peranan bahasa Perancis bertambah kecil, susulan Peristiwa Pembelian Louisiana 1803. Disebabkan kekurangan dana untuk membiayai peperangan dengan Inggeris, Napoleon Bonaparte telah menjual wilayah milik Perancis di Amerika Utara. Penjualan tersebut, memudahkan Amerika Syarikat, menggantikan bahasa Perancis dengan bahasa Inggeris sebagai lingua franca, di semua jajahan terlibat. Kerana nafsu mahu meluaskan kuasa, Napoleon, bukan sahaja kehilangan wilayah milik Perancis, tetapi Perancis, turut hilang pengaruh bahasa dan pengaruh budaya di bumi Amerika. Kerana terdesak memerlukan dana, Amerika Syarikat memperoleh wilayah baru, dengan harga amat rendah, tiga sen seekar (menyamai nilai lima puluh sen seekar mengikut kadar mata wang hari ini), membolehkan Amerika, berkembang dari persisiran Atlantik sehingga ke pesisiran Pasifik tanpa perlu mengangkat senjata menentang Perancis.[20] Peristiwa salah percaturan Napoleon, wajar dijadikan pengajaran, agar bangsa kita dalam suasana terdesak, jangan sama sekali menggugurkan yang sedang dikendong, kerana mengejar sesuatu yang belum pasti dapat.

18. Apabila Inggeris kehilangan status sebagai kuasa paling berpengaruh pasca Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat yang baru membuktikan kepada dunia, kuasa bom atomnya, muncul sebagai kuasa besar terbaru. Amerika Syarikat juga, adalah negara yang lingua francanya, bahasa Inggeris. Senario yang terus membantu perkembangan serta dominasi bahasa Inggeris ke serata dunia.

19. Dalam tempoh seratus tahun terakhir, teknologi baru telah membolehkan produk budaya dihasilkan dengan skala besar, serta disebarkan dengan lebih mudah dan cepat ke kawasan yang lebih luas. Dalam tempoh lima tahun pertama abad kedua puluh, muncul pelbagai ciptaan baru dalam dunia hiburan, seperti piring hitam, radio dan filem, diikuti televisyen, video, CD dan DVD, serta permainan video. Produk-produk tersebut amat berpengaruh dan berperanan besar menjadi platform mengembang dan mempopularkan bahasa Inggeris. Kini, teknologi Internet mengupayakan bahasa Inggeris menembusi sempadan negara ciptaan manusia dan sempadan alam semula jadi, ciptaan tuhan, seperti Gunung Himalaya dan Padang Pasir Sahara.[21]

20. Sejak terbinanya perpustakaan purba di Alexandria, pada abad ketiga sebelum Masihi, manusia telah mengimpikan untuk memilik perpustakaan yang dapat menghimpunkan pelbagai pengetahuan, mengandungi pelbagai buku daripada seluruh dunia. Hari ini Internet telah memenuhi impian tersebut. Pada tahun 2004, Google mengumumkan Google Library Project, rancangan mewujudkan pangkalan data buku berbentuk digital. Sejak daripada era Sumeria yang menggunakan papan batu, sehingga ke tahun 2015, manusia telah menerbitkan 320 juta buku, 750 juta makalah, 25 juta lagu, 500 juta imej, 500,000 filem, tiga juta video dan 100,000 juta halaman Web awam.[22] Dunia hari ini telah disifatkan sebagai syurga pengetahuan dan utopia maklumat. Usaha gigih sedang dilakukan untuk merakamkan segala penerbitan tersebut secara digital. Ibu kepada segala perpustakaan, dalam masa yang singkat akan berada dalam kocek manusia; perpustakaan yang sangat demokratik sifatnya, menyediakan bahan bacaan kepada setiap orang yang berhasrat mendapatkannya. Kandungan perpustakaan ini, dibangunkan dalam bahasa Inggeris.

21. Dilema menghadapi kemaraan dan pengaruh bahasa Inggeris di alami oleh setiap negara. Negara-negara Eropah menanggung kesakitan yang lebih awal. Pengajian ekonomi berkembang subur di beberapa wilayah di Eropah. Senario pengajian ekonomi berubah setelah The Wealth of Nations, karya Adam Smith diterbitkan dalam bahasa Inggeris, yang berkembar dengan kuasa ekonomi Inggeris diikuti kemudiannya dengan kuasa ekonomi Amerika Syarikat. Pada awal abad kedua puluh, ekonomi, menjadi bidang pengajian sains sosial yang lebih banyak dikendalikan dalam bahasa Inggeris.[23] Nasib yang menimpa ahli ekonomi Poland, Michal Kalecki (1899 -1970) adalah contoh paling memilukan. Michael Kalecki, pada tahun 1933, telah. mengasas dan kemudiannya menerbitkan artikel sangat bersejarah mengenai Principle of Effective Demand; Kalecki langsung tidak mendapat sebarang pengiktirafan, kerana penemuannya diterbitkan dalam bahasa Polish, berbanding sanjungan yang diberikan kepada ahli ekonomi British, John Maynard Keynes, kerana menghuraikan penemuan asas Kalecki, dalam penerbitan berbahasa Inggeris berjudul, The General Theory of Employment, Interest and Money.[24]

22. Negara dan bangsa ketika ini sedang menghadapi cabaran mengolah formula yang dapat mengimbangkan hasrat untuk mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan dengan keperluan melahirkan masyarakat dwi bahasa. Generasi dewasa, bertanggungjawab mengolah dasar dan menyediakan program yang dapat memenuhi harapan generasi muda. Perdagangan semakin mengambil tempat utama dalam pentas hubungan antarabangsa. Kelajuan dan kecepatan adalah kriteria amat penting, dalam menentukan fasa bertindak dalam desa buana.

23. Bangsa kita tidak harus tertinggal dan tidak harus dibiarkan menjadi penonton dalam kerancakan aktiviti yang sedang pesat berlaku dalam desa buana. Bangsa kita perlu melahirkan sumber manusia yang dapat menguasai dan mengendalikan urusan-urusan di peringkat antarabangsa. Kita wajib, dan kita bertanggungjawab membangunkan barisan peguam, akauntan, pakar kewangan dan perbankan, saintis dan teknolojis yang berupaya mewakili, berhujah, mempertahankan kepentingan kita dalam rundingan dan urusniaga di peringkat antarabangsa. Alhamdulillah, kesedaran ini, ada dalam jiwa bangsa kita. Bangsa kita juga mengakui dan menerima hakikat, pentingnya anak Melayu itu menguasai bahasa Inggeris. Perselisihan yang berlaku adalah dari segi kaedah dan pendekatan. Pejuang bahasa tidak boleh menerima pendekatan membakar kelambu kerana hendak membunuh nyamuk. Bahasa kebangsaan tidak harus dijadikan mangsa untuk dipinggirkan kerana kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah yang kurang efektif.

24. Orang Melayu jangan melatah sepanjang masa. Dasar dan kaedah yang baik tidak terhasil dalam keadaan latah. Anak Melayu bukannya tikus belanda, untuk dijadikan bahan eksperimen sepanjang masa. Kaedah membolehkan bangsa menguasai bahasa Inggeris hendaklah diformulasikan secara betul. Dasar mudah digubal, tetapi sebelum sesuatu idea dijadikan dasar, wajiblah diteliti secara terperinci mekanisme perlaksanaannya. Selamilah sesuatu masalah secara mendalam, agar bertemu dengan mutiara penyelesaian yang lebih berkesan. Pesanan orang tua, menyikat gunakan sisir, meraut gunakan pisau, menyalai gunakan asap, memanggang gunakan bara.

25. Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh memperingatkan, bahasa ialah khazanah suatu bangsanya yang paling tua, tercipta oleh moyang sesuatu bangsa, dan dibina kata demi kata, frasa dan ungkapan, oleh leluhur lelaki dan perempuan, moyang nelayan dan petani, moyang peramu di hutan dan juga moyang di rumah yang mengasuh anak dan memasak di tanah. [25] Bahasa memberikan identiti bukan hanya kepada bangsa tetapi kepada negara. Bahasa Melayu sudah dijadikan bahasa kebangsaan di empat buah negara; bahasa Melayu itu, tumbuh di Nusantara ini, dan melukis jiwa, nilai dan falsafah manusia di sini.[26] Bahasa yang dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan negara, tidak wajar dijadikan sekadar hiasan; tidak ada maknanya, jika hanya termaktub dalam satu perenggan, dalam Perlembagaan Negara. Bahasa Melayu itu wajib disuntik dengan nilai, diberi nyawa – diberi tempat.

26. Abdullah Munsyi, seorang pengarang dan pemikir yang bukan pun berdarah Melayu dalam pengenalan kepada sejarah Melayu mencatatkan:

“barang siapa yang tiada mengendahkan bahasanya seperti kelakuan orang Melayu itu, maka itulah tinggal dalam bodoh dan menjadi bangsa yang kecil adanya. Maka jikalau engkau hendak mengetahui akan sebab barang siapa yang membuangkan bahasanya itu, maka akan menjadi bangsa kecil dan hina, maka inilah sebabnya”.[27]

27. Negara harus bijaksana melakukan perimbangan, demi memastikan warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia bersifat global. Ketika menerima hakikat, pentingnya warga terutama orang Melayu menguasai bahasa yang lebih sejagat agar bangsa dapat diperkayakan dengan ilmu dan kemahiran, berhati-hatilah dengan kaedah yang dipilih agar yang dikendong tidak berciciran. Jangan nanti, bangsa menjadi Pak Kadok, menang sorak – kampung tergadai. Jangan dinafikan hakikat, bahawa kejayaan meramaikan bilangan kelas menengah Melayu berlaku selepas Dasar Perlaksanaan Kebangsaan dilaksanakan sepenuhnya. Anak-anak desa, yang bersarapan pisang goreng dan ubi rebus, nasi lemak dan pulut kukus, jarang sekali terdedah kepada bahasa Inggeris, betapa berat bagi mereka untuk memahami konsep-konsep baru, jika diajar dalam bahasa yang asing. Jangan ditidakkan, dapatan UNESCO, bahawa bahasa yang paling baik dan efisien untuk mendapatkan ilmu ialah bahasa ibunda.[28] Ambil iktibar akan maksud yang terselindung di sebalik ayat empat Surah Ibrahim:

Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka…”[29]

28. Bangsa Melayu dan bahasa Melayu ialah bangsa dan bahasa di bumi merdeka ini. Keris yang tersisip di pinggang, gunakan jangan untuk menusuk rusuk sendiri, memungkinkan satu hari nanti, bangsa sekali lagi berlinang air mata, mengiringi jenazah bahasanya yang sudah dikafan dalam keranda, sedang menuju tanah pusara, dikorbankan atas nama pembangunan, atas nama teknologi, atas nama modenisasi, atas nama globalisasi.

29. Keadaan kelihatan bertambah songsang, mengingatkan kita kepada lirik lagu ‘Dunia sudah terbalik, pemudi berbaju belang, pemuda berbaju batik’ Pada satu masa, atas dorongan semangat kemerdekaan yang memuncak, pelbagai Pihak Berkuasa Tempatan telah menukar nama-nama jalan daripada nama tokoh-tokoh penjajah kepada para pemimpin tempatan. Hari ini, perkara yang terbalik sedang berlaku, semakin banyak kawasan perumahan, taman-taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, dinamakan dengan bahasa Inggeris. Hari ini, Pihak Berkuasa Tempatan bagaikan mangli, melihat papan tanda-papan tanda yang meminggirkan bahasa kebangsaan. Hari ini, syarikat-syarikat gergasi, berkaitan kerajaan, yang diterajui oleh mereka yang bernama Melayu, turut mempamerkan sikap, tidak menghormati bahasa kebangsaan, malah tidak juga menunjukkan sokongan bersungguh kepada badan-badan yang berjuang untuk terus mendaulatkan bahasa kebangsaan.

30. Betapa malangnya bangsa, melihat nasib bahasa Melayu, bagai serba tak kena, dalam dunia korporat dan dalam era globalisasi, bagaikan terbang di sayap pencarian, bagaikan mengemis di bumi sendiri. Demikian kemungkinan bahasa Melayu untuk tinggal dalam lipatan sejarah. Bahasa yang berkemungkinan kehilangan nilai ilmu, nilai pentadbiran dan nilai komersial.

31. Bahasa Melayu itu berakar di bumi ini. Bahasa Melayu itu, pada era pra merdeka telah secara semula jadi menjadi alat perpaduan di kalangan penduduk di bumi ini; bahasa Melayu itu pada era pasca merdeka telah berperanan memberikan identiti dan jati diri bangsa. Dasar Bahasa Kebangsaan adalah antara tonggak penting proses pembinaan negara bangsa – menjadi asas jati diri dan citra negara bangsa; termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Negara.

32. Orang Melayu mempunyai pilihan ketika sedang dilambung ombak globalisasi. Apa pun, jangan keputusan dirumuskan ketika kepala masih pening dan fikiran sedang berpusing kerana kesan dilambung ombak globalisasi. Orang Melayu tidak sepatutnya gundah dengan globalisasi. Ombak globalisasi telah lama sampai di pantai kita. Pada era Kesultanan Melayu, Melaka adalah tempat pertembungan budaya timur dan barat, tempat pertembungan budaya, dan pelabuhan perdagangan; lapan puluh bahasa dan dialek dipertuturkan di Melaka, pelbagai agama turut sampai ke Melaka. Namun setelah menganut Islam, orang Melayu kukuh dengan pegangan agamanya, orang Melayu kekal meneruskan adat dan budayanya, bahasanya kekal sepanjang masa – sepanjang zaman.

33. Ketika pantai dilanda hempasan ombak globalisasi, barang dijauhkan bangsa daripada menghadapi nasib, benang habis – kain tak jadi, jarum patah – baju tak siap. Bangsa hendaklah pandai memilih guru, berguru jangan pada yang dungu – bertanya jangan pada yang jahil, bertanyalah pada belalang, jika nak tahu luasnya padang, bertanya pada siput, kalau nak tahu banyaknya teluk, bertanya pada helang, kalau nak tahu tingginya langit, bertanya pada yu, kalau nak tahu dalamnya laut; belayar dengan nakhoda – berjalan dengan yang tahu, berkata dengan yang pandai, supaya Melayu itu tidak nanti memasang pelita pada tengah hari, mencari bayang pada waktu malam; Melayu itu, hendaklah berupaya menapis yang keruh – mengambil yang jernih, membuang yang bengkok – mengambil yang lurus; Melayu itu kalau berladang biar menjadi – kalau bersawah biar berpadi.

34. Pemimpin Melayu juga, jangan begitu cepat mencurah air daripada tempayan, kerana mendengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat, yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan; yang masih tinggal Melayu pada dirinya, hanyalah secara luaran, pada nama, pada bentuk rupa serta warisan biologi yang terkandung dalam DNA dirinya, sedangkan minda, roh, semangat dan jiwanya bukan sahaja tidak lagi Melayu, malah memandang rendah kepada Melayu. Hayatilah bait-bait yang terkandung dalam salah satu puisi yang dinukilkan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh:

Melayu itu tanahmu

bangsa dan negerimu

kau besar dan raja padanya

di pelabuhan kita seluruh dunia bertemu

bahasa kita difikirkan, adat kita akarnya di sini.

35. Bahasa kebangsaan, walaupun dianggap tidak mempunyai nilai antarabangsa, adalah bahasa yang bukan sahaja mampu melindungi pertalian sejarah, ia juga amat afdal untuk mendukung identiti nasional[30]. Memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan. Semangat itu wajib terus dihidupkan, obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa. Tidak ada pihak yang boleh memadam status bahasa Melayu di bumi ini, melainkan kalangan orang Melayu yang terlebih internasional sifatnya, lantas tidak langsung menjiwai dan menghayati warisan sejarah bangsanya. Jangan sekali bersifat tulah, di sebaliknya, junjunglah titah wasiat Raja-Raja Melayu yang telah menyerahkan kuasa negeri kepada pemerintahan Persekutuan.

‘MAJU BAHASA – MAJULAH BANGSA; BAHASA JIWA BANGSA’

Ending of Speech

  1. James R. Hurford, The Origins of Language: A Slim Guide, (Oxford: Oxford University Press, 2014), 16.
  2. Zainal Abidin Borhan, “Kedaulatan Bahasa Melayu”, dalam Kami Bantah DLP, (Kuala Lumpur: GAPENA dan Persatuan Penterjemah Malaysia, 2016), 36.
  3. Ibid.
  4. Awang Sariyan, Tamadun Melayu dan Tamadun China Berwacana: Soroton Sejarah dan Gagasan, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014), Ibid. 19.
  5. Ibid.
  6. Nik Safiah Karim et al., Tatabahasa Dewan, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 14.
  7. Meneliti Jejak: Membaharui Babak, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2012), 2.
  8. Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan Dalam Perlembagaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 2002, 22.
  9. Chenderamata: Pembukaan Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1962), 5.
  10. Meneliti Jejak, Membaharui Babak, 75.
  11. Awang Sariyan, ed.; Keranda 152: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, (Kuala Lumpur, Persatuan Linguistik Malaysia, 2002), 10
  12. Yahya Ismail, “Perjuangan Mu Disanjung: BARISAN BERTINDAK BAHASA KEBANGSAAN”, dalam Buku Cenderamata Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka ke 40, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)
  13. Ibid
  14. Hassan Ahmad, “Tugasnya Semakin Mencabar Selepas 40 Tahun”, dalam Buku Cenderamata Khas Ulang Tahun Dewan Bahasa Dan Pustaka Ke-40, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1996)
  15. Philip Gooden, The Story of English: How the English Language Conquered the World, (London: Quercus, 2011), 8.
  16. Ibid, 10.
  17. Ibid.
  18. Minae Mizumura, The Fall of Language In The Age of English, (New York: Columbia University Press, 2015), 55.
  19. Philip Gooden. 11.
  20. Minae Mizumura, 59.
  21. Ibid. 41-42.
  22. Ibid. 162-163.
  23. Ibid. 96.
  24. Ibid.
  25. SN Muhammad Haji Salleh, “Perpaduan Melalui Pemisahan: Bahasa Melayu 2016”, dalam KAMI BANTAH DLP, 100.
  26. Ibid. 103
  27. Ibid. 105
  28. SN Muhammad Haji Salleh, 102.
  29. Al-Quran, Surah Ibrahim ( 14:4)
  30. Teo Kok Seong, “Bahasa Melayu Pupus Jika Tiada Pengurusan Baik”, dalam KAMI BANTAH DLP, 122.
%d bloggers like this: