Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
2. Maha Suci ALLAH! Maha Besar ALLAH! dengan rahmat daripada Nya jua, kita dihimpunkan pada hari Jumaat, penghulu segala hari, dalam bulan Ramadan yang berkat untuk mengimarahkan Rumah ALLAH, yang dinamakan Masjid Muhammadiah. Pembinaan Masjid ini telah dirintis usahanya secara bersama oleh Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Tasek Jaya bersama Persatuan Cina Muslim Cawangan Ipoh. Pada 8 Oktober 2009, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah memberikan sumbangan dua juta ringgit di bawah peruntukan zakat asnaf mualaf, membantu membiayai perbelanjaan pembinaan masjid ini. Jawatankuasa Masjid telah mencapai kata sepakat membina masjid ini dengan reka bentuk seni bina Cina. Ia bukan satu-satunya Masjid di negara ini yang dibina dengan reka bentuk seni bina Cina. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang, Kelantan dan sebuah lagi yang telah dibina di Negeri Sembilan turut mempunyai reka bentuk seni bina Cina; dilaporkan bahawa sebuah lagi masjid bercirikan seni bina Cina, sedang dirancang untuk dibina di Kuala Lumpur[1].
3. ALLAH Subhanahu Wata’ala mencipta manusia berbangsa-bangsa, bersuku-suku seperti yang terkandung dalam ayat 13 Surah Al-Hujurat, agar manusia saling mengenali. Umat Islam hendaklah arif mentafsir ciptaan ILAHI ini. Kepelbagaian kaum, budaya dan bahasa di kalangan umat manusia membuktikan Islam sejagat (universal) sifatnya. Ciptaan ILAHI yang pelbagai ini wajib diterima sebagai bukti kekayaan ILAHI. Ciptaan ILAHI yang pelbagai ini wajib difahami; diselami rahsia yang terselindung, dimanfaatkan rahmat yang terkandung di sebaliknya. Kepelbagaian kaum, budaya dan bahasa hendaklah ditafsirkan sebagai aset yang berupaya memperkayakan modal sosial (social capital) ummah. Sesungguhnya Islam menerima dan mengizinkan kepelbagaian budaya – kepelbagaian bahasa yang diamalkan oleh kaum yang begitu pelbagai. Perkembangannya tidak boleh disekat – tidak harus dihalang, selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh itu, persepsi ummah terhadap Islam jangan disempitkan.
4. Setiap kaum mempunyai nilai budaya. Setiap kaum dibenarkan menyambut peristiwa penting, begitu juga menganjurkan sambutan hari-hari kebesaran Islam bersandarkan amalan budaya masing-masing asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Dakwah Islam akan lebih mudah diterima, pengajaran Islam akan lebih diberikan apresiasi, jika dilakukan melalui perantaraan bahasa serta kaedah budaya yang dapat difahami oleh masing-masing kaum. Islam adalah agama untuk seluruh ummah, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 107, Surah al-Anbiya:
“ Dan Kami tidak mengutus Engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”[2]
Diperkukuhkan dengan ayat 28 Surah Saba bermaksud:
“ Kami tidak mengutus Engkau (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”[3]
5. Kajian yang dilakukan dalam tahun 2010, menunjukkan terdapat satu perpuluhan lima tujuh (1.57) bilion penganut Islam di serata dunia. Penganut Islam merupakan dua puluh tiga peratus (23%) daripada komposisi penduduk dunia, meletakkan Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia[4]. Berasaskan Laporan PEW 2010, terdapat dua puluh tiga perpuluhan tiga (23.3) juta umat Islam di Negara China, sementara sumber-sumber lain menganggarkan terdapat lebih lima puluh (50) juta penganut Islam di Negara China, angka yang lebih tinggi daripada bilangan umat Islam di kalangan mana-mana negara Arab di Asia Barat.
6. Islam telah sampai ke China melalui pedagang Arab dan Parsi pada era pemerintahan Khalifah Islam ketiga[5]. Sayidina Uthman Ibn ‘Affan Radiallahuanhu telah menghantar Sa’d Ibn Abi Waqqas mengetuai delegasi ke China pada tahun 650 Masihi[6]. Maklumat mengenai Islam sampai ke Istana Dinasti Tang pada era pemerintahan Maharaja Tai Tsung.[7] Setelah menyelidik, Maharaja Tsung merumuskan terdapat unsur-unsur persamaan di antara nilai-nilai yang terkandung di dalam Islam dengan nilai-nilai falsafah Confucius, lalu membenarkan Islam dikembangkan di China[8].
7. Islam berkembang secara aman di China. Di kalangan orang China, Islam dirujuk dengan istilah Yisilan Jiao bermaksud Agama Suci atau Pure Religion. Masjid Huaisheng, masjid tertua di China, telah dibina di bandar Guangzhou, menggabungkan elemen-elemen seni bina Islam dengan seni bina Dinasti Tang, menghasilkan aura simetri seni bina Islam – China (an aura of Islamic – Chinese symmetrical architecture). Seni bina Masjid Huaisheng telah mempertemukan dua tamadun, tamadun Islam dan tamadun China. Kitab Al-Quran bertulisan tangan yang dibawa oleh orang Arab pada abad kelapan ke Negara China, masih kekal disimpan dengan baik, diwariskan daripada generasi terdahulu kepada generasi semasa. Usaha menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa China telah dirintis seawal abad kelapan.
8. Guangzhou adalah hab perdagangan penting di Selatan China ketika itu, bertambah makmur pada era Dinasti Song antara tahun 960 ke-1279. Jawatan penting Ketua Pengarah Perkapalan di Pelabuhan Guangzhou, sering kali diamanahkan kepada orang Islam berasaskan sifat penganut Islam yang memperlihatkan disiplin tinggi serta sikap mematuhi undang-undang dan peraturan.[9]
9. Masyarakat Cina Muslim memiliki perkembangan sejarah yang lama di bumi Malaysia; bermula dengan ketibaan Laksamana Cheng Ho di Melaka dan Alam Melayu di antara tahun 1405 ke-1433, serta sejarah penempatan kumpulan etnik Hui Hui di Terengganu, suku kaum Koay (Koay Clan) di Pulau Pinang, dan suku kaum Tiangjin Hui Hui di Sabah. Dalam tahun 1770, Song Shilin, seorang Cina Muslim dilaporkan telah membina Masjid Besar di Kampung Ulu, Melaka, dengan seni bina Cina dan penggunaan sebahagian bahan-bahan binaan yang dibawa dari Negara China[10]. Reka bentuk Masjid Besar di Kampung Ulu Melaka telah mempengaruhi reka bentuk pembinaan masjid-masjid di Melaka ketika itu. Perangkaan rasmi pada tahun 2010, mencatatkan terdapat empat puluh dua ribu (42,000) Cina Muslim di Malaysia; seribu tiga ratus enam puluh tujuh (1,367) berada di Perak[11]; sementara para penyelidik menganggarkan bilangan sebenar masyarakat Cina Muslim di Malaysia, melebihi 60,000 orang[12].
10. Masyarakat Cina Muslim berupaya memenuhi peranan besar untuk memberikan gambaran Islam yang tepat kepada masyarakat Cina. Pada umumnya, masyarakat Cina bukan Islam di Malaysia mempunyai fahaman kabur terhadap inti pati sebenar ajaran Islam. Ahli-ahli Persatuan Cina Muslim Malaysia, yang boleh bertutur dalam bahasa Cina dan lebih rapat hubungan budaya dan hubungan sosial dengan masyarakat Cina, berupaya berperanan sebagai jambatan komunikasi untuk mengurangkan jurang salah faham di kalangan komuniti Cina Malaysia terhadap Islam.
11. Salah faham agama boleh membawa kepada salah tafsiran, berpotensi mencetuskan konflik, juga perselisihan. Konflik dan perselisihan yang dibiarkan berlarutan berpotensi merebak hingga berkemungkinan mencetuskan suasana berkrisis – suasana berkonfrontasi. Konflik, perselisihan, krisis dan konfrontasi antara agama, jika dibiarkan berlarutan berpotensi menjadi faktor yang boleh menjejaskan keharmonian, keamanan, ketenteraman serta kestabilan masyarakat dalam sesebuah negara; untuk itu ia tidak boleh dibenarkan berlaku, malah tidak harus dicetuskan oleh mana-mana pihak, dan jika berlaku, amat wajib dihentikan segera.
12. Semoga Masjid Muhammadiah dapat memenuhi peranan dua serampang; pertama: membantu meningkatkan kefahaman bukan Islam terutama di kalangan masyarakat Cina akan ajaran Islam yang sebenar, kedua: meningkatkan kefahaman umat Melayu Islam, bahawa Islam itu amat luas lagi terbuka, bersifat sejagat (universal), mengandungi pelbagai komponen kaum, budaya dan bahasa, disatukan melalui kalimah tauhid menerima keesaan ALLAH, dengan berpegang kepada Syahadah ‘LAILAHAILLALLAH – MUHAMMAD RASULULLAH.
13. YA ALLAH, dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Hamba-Mu ini mengisytiharkan Masjid ini dinamakan MASJID MUHAMMADIAH. YA RAHMAN! YA RAHIM! hamba-Mu memohon agar Engkau limpahkanlah segala rahmat – segala keberkatan kepada ahli-ahli kariah Masjid ini, dibukakan pintu hati mereka untuk senantiasa mahu mendampingi, mengimarah dan memakmurkan Masjid ini, dan jadikanlah Masjid ini sebagai tempat yang berjaya membina ukhuwah serta persaudaraan di kalangan para Hamba-Mu. Amin, Ya Rabul Alamin.
PARA TETAMU ALLAH YANG DIKASIHI
Awal pagi ini, negara dilanda dengan berita tragedi sedih. Pesawat Sistem Penerbangan Malaysia, MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan berkecai ditembak jatuh di Shakhtarsk, timur Ukraine. Mangsa-mangsa bukan sahaja terdiri daripada warga Malaysia, malah terdiri daripada warga pelbagai negara. Ia berita buruk; Ia berita yang amat mengejutkan; Ia berita pilu yang amat menyayat hati, berita amat mendukacitakan, berita terlalu pahit untuk dimamah oleh anggota keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa tragedi.
Beta percaya pimpinan negara sedang mengusahakan yang terbaik untuk menangani tragedi ini. Beta menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa tragedi ini. Sama-sama kita berdoa kepada ILAHI agar anggota keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat-saat yang sangat hiba ini.
Ya ALLAH, Engkau ringankan tanggungan kepiluan mereka, Engkau anugerahkan mereka kekuatan menghadapi dugaan berat Mu ini, Engkau kurniakan sebaik-baik ganti kepada apa yang telah Engkau ambil kembali. Sebagai tanda simpati kita kepada mereka, marilah kita bertafakur, memohon sebaik-baik doa dari Yang Maha Mencipta di samping membacakan Surah Al-Fatihah, agar apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh-roh para Muslimin dan Muslimat yang telah kembali ke Rahmatullah di dalam tragedi ini.
- Berita Harian: Masjid Cina Mercu Keunikan Islam (http://www.bharian.com.my/articles/MasjidCinamercukeunikansyiarIslam/article/) ↑
- Al-Quran: Surah al-Anbiya (21-107) ↑
- Al-Quran: Surah Saba (34:28) ↑
- Turmoil in the world of Islam (http://www.deccanchronicle.com/140614/commentary-op-ed/article/turmoil-world-islam) ↑
- Mohammed Khamouch, “Jewel of Chinese Muslim’s Heritage”, Foundation for Science Technology and Civilisation, June 2005, Manchester: FSTC Limited, 2005, 4 ↑
- Ibid. ↑
- Iibid, 5 ↑
- Ibid. ↑
- Ibid, 14 ↑
- Baojun, Yusuf Liu, Admiral Zeng He (1371-1433): The Great Muslim Envoy Of China (2004), Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia. ↑
- Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010-2011. ↑
- Seng, Ann Wan, Temubual, Pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Kuala Lumpur, 6 Oktober 2011. ↑