Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
“Katakanlah: Al-Quran itu diturunkan oleh (ALLAH) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[1] Al-Quran, umul kitab, ibu kepada segala kitab. Al-Quran, kitab yang diturunkan daripada ALLAH Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana[2]. Al-Quran adalah khazanah agung lagi unggul, memancarkan nur yang menerangi jiwa, mengandungi roh yang menghidupkan batin.
2. Al-Quran ditanzilkan dengan penuh keindahan, memperlihatkan keanggunan bahasa, terukir indah dalam irama yang penuh kebendaliran (fluiditiy); terkandung frasa dalam pelbagai teknik dan gaya, menganyam rapi konsep dan metafora, serta terserlah kekayaan khazanah perbendaharaan kata[3]. Bahasa yang terkandung di dalam Al-Quran indah menawan, berirama, mengalirkan ekspresi tanpa sempadan, halus berseni – lembut menghiris, menyentuh denyut jantung lagi meyakinkan[4]. Keluarbiasaan elemen-elemen estetik, diperhebat dengan kod berangka yang menakjubkan, menunjukkan keseimbangan; antaranya, bilangan perkataan siang (nahar) sama dengan bilangan perkataan ‘malam’ (layl), perkataan yang merujuk ‘syurga’ (al-jannah) sama bilangan dengan perkataan yang merujuk ‘neraka’ (al-nar), perkataan yang menyentuh ‘malaikat’ (malaikah) sama dengan bilangan perkataan yang menyentuh ‘syaitan’; terkandung di dalamnya dua belas perkataan ‘bulan’ (shahr) dan 365 perkataan ‘hari’ (yawn)[5].
3. Al-Quran nyata merupakan satu mukjizat yang tidak terdaya diolah oleh manusia, himpunan kalam suci yang memperkukuhkan keagungan, kebesaran dan kuasa ILAHI. Sesungguhnya Al-Quran memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang melakukan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pahala yang besar[6].
4. Al-Quran ditanzilkan pada abad ketujuh Masihi ketika majoriti masyarakat Arab tidak menguasai kemahiran membaca begitu juga menulis. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam sendiri diriwayatkan memberikan jawapan kepada Jibrail Alaihissalam, Baginda tidak tahu membaca. Kandungan Al-Quran diturunkan ayat demi ayat, secara beransur-ansur untuk dihafal, mengambil masa 22 tahun, 2 bulan, 22 hari sebelum lengkap. Hafalan dan ingatan adalah kaedah yang digunakan oleh masyarakat Arab pada era tersebut untuk memelihara fakta sejarah, salasilah keluarga dan puisi. Pada era tersebut juga, abjad dan huruf Arab masih belum diperkenalkan tanda diakritik dan vokal; dengan itu ketepatan sesuatu sebutan, lebih sahih diperoleh melalui hafalan. Tahap literasi, bentuk abjad dan huruf, ditambah pula dengan kesukaran mendapatkan kertas pada era tersebut, telah menempatkan kaedah lisan dan kaedah hafalan berperanan penting dalam sistem pembelajaran dan penyebaran ilmu. Lantas hafalan merupakan kaedah asal dan kaedah semula jadi untuk mempelajari dan memulihara ayat-ayat Al-Quran sebelum dihimpunkan lengkap bertulis dalam bentuk kitab yang dikenali pada hari ini.
5. Al-Quran terhindar daripada sebarang kecacatan – terpelihara daripada sebarang kesilapan, terlindung daripada sebarang penodaan, terjamin kesahihannya seperti yang dijanjikan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat sembilan Surah Al Hijr bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.[7]
6. Sejak turunnya wahyu pertama, Al-Quran itu terpelihara keasliannya dalam dada-dada para sahabat dan para huffaz. Para huffaz berperanan penting membantu memelihara keaslian dan melindungi kesahihan Al-Quran. Bilangan huffaz yang bertambah ramai, dan kecenderungan semakin ramai ibu bapa begitu juga minat lebih ramai para pelajar di negara ini untuk mengikuti kelas-kelas tahfiz adalah petanda baik. Pada masa ini, terdapat 54 buah pusat dan sekolah yang mengadakan pengajian tahfiz di negeri Perak yang memberi manfaat kepada 4,910 orang pelajar; dilaksanakan di tiga Sekolah Menengah Agama Negeri, di lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan dan di empat puluh enam Sekolah Menengah Tahfiz Swasta. Beta amat mengalu-alukan perancangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir untuk membangunkan Sekolah Menengah Tahfiz di setiap daerah, dengan pembiayaan Kerajaan Beta.
7. Sesebuah kitab suci itu kompleks sifatnya, mengandungi pelbagai lapisan perutusan, bersifat alegori, metafora, dan himpunan maksud yang pluralistik[8]. Kehebatan kitab ini sebenarnya terletak pada lapisan-lapisan perutusan yang tersirat di dalamnya[9]. Al-Quran memiliki keistimewaan karakter dan keunikan format. Allah Subhanahu Wata’ala melalui ayat 114, surah Thaha menyeru manusia untuk memohon supaya ditambahkan ilmu pengetahuan. Allah Subhahu Wata’ala melalui ayat 43 Surah An Nahl dan ayat 7 Surah Al Anbiyaa menyeru manusia untuk bertanya kepada para ilmuwan, perkara-perkara yang mereka tidak ketahui. Mengapakah terkandung di dalam Al-Quran, ayat dan kisah yang diulang-ulang. Mengapakah ayat-ayat tidak disusun berasaskan tema atau secara kronologi menurut urutan diwahyukan[10]. Mengapakah lima ayat pertama yang diwahyukan di Gua Hira, ditempatkan di surah kesembilan puluh enam, sementara ayat terakhir yang diwahyukan, ditempatkan di para tiga surah kelima. Mengapakah surah kesembilan (At Taubah) tidak dimulakan dengan Bismillahi Rahmani Rahim berbanding 113 surah lain, namun kalimah Bismillah tetap berjumlah 114, kerana diulangi dua kali pada permulaan dan pada ayat tiga puluh surah kedua puluh tujuh (Al Naml). Mengapakah dua puluh sembilan surah dimulakan dengan huruf atau kombinasi beberapa huruf[11]; yang tentunya terkandung rahsia dan muslihat di sebaliknya. Segala ini menunjukkan bahawa, di samping terkandung pelbagai jawapan di dalam Al-Quran, terkandung juga pelbagai persoalan yang mencabar minda manusia. Terdapat ratusan ayat Al-Quran yang menyeru manusia agar memanfaatkan akal dan kebijaksanaan. Manusia diseru menggunakan akal dan kebijaksanaan untuk menerokai ilmu dan menguasai pengetahuan.
8. Al-Quran mencabar manusia untuk berfikir, mengimbas (reflect) dan merenung (ponder)[12]. Al-Quran menyeru manusia untuk mengenali dunia agar berupaya menghayati kuasa dan keagungan Penciptanya Yang Maha Agung[13]. Nyatalah Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dihafal tetapi menuntut kepada pemahaman dan penghayatan untuk mengupayakan manusia melihat dunia dengan perspektif baru. Di sebalik mutiara kata-kata yang tersurat, terselindung lapisan-lapisan makna yang tersirat yang menuntut para pembaca membawa minda menyelami dasar ilmu. Al-Ghazali, ahli teologi dan falsafah Islam, pada abad kedua belas menyifatkan Al-Quran itu sebuah lautan luas; dan manusia, di samping mempunyai tanggungjawab melayari permukaannya sejauh mungkin, turut diunjurkan untuk menyelami dasarnya, agar bertemu dengan permata berharga[14].
9. Sesungguhnya Al-Quran telah memperkenalkan dimensi intelek baru dan membuka dimensi budaya baru, membantu mencanai minda serta berperanan sebagai kompas memandu pembentukan adab dan budaya, di samping berfungsi sebagai sumber inspirasi untuk membolehkan umat Islam mencipta tamadun agung dan mencapai mercu kegemilangan. Al-Quran mengandungi teks yang dinamik, merentasi masa yang menuntut setiap generasi mendalami aspek-aspek aplikasi untuk menghadapi dunia yang terus berubah dan untuk memberikan panduan, mengupayakan manusia menangani evolusi dan inovasi pemikiran yang terus berlaku. Ia adalah teks untuk terus berperanan menjernihkan roh manusia agar terus memancarkan cahaya kemanusiaan.
10. Al-Quran, kalam ILAHI; Melalui wahyu yang diterima, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memimpin ummah menemui siratulmustakim. Pemimpin mempunyai tanggungjawab berat untuk memimpin ummah ke jalan yang lurus, jalan yang mendapat keredaan ILAHI agar ummah dilimpahi berkat hidup di dunia, dirahmati ihsan di alam barzakh, dikurniakan kemudahan pada hari kebangkitan serta dianugerahkan nikmat syurga selepas selesai timbangan amal.
11. Firman ALLAH dalam ayat 207 Surah Al-Baqarah bermaksud;
“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan[15]”
Pada hari kebangkitan, beban tanggungan pemimpin amatlah berat kerana kesanggupannya menerima amanah. Setiap perkataan dan segala perbuatannya akan dihitung dan ditimbang. Kerana itu Al-Quran menegaskan sifat-sifat utama yang wajib dimiliki, diperlihatkan dan diamalkan oleh manusia terutama di kalangan mereka yang telah bersedia menjadi pemimpin, menyentuh aspek-aspek integriti, jujur, ikhlas dan luhur; mengamalkan sifat seorang hamba yang mengabadikan sepenuh jiwa raga bertuankan ALLAH Subhanahu Wata’ala, dan sama sekali menjauhkan diri daripada tergelincir aqidah hingga ke peringkat sanggup menghambakan jiwa raga kepada kebendaan, bertuankan insan lain, bersekutu dan bersubahat merestui perbuatan mungkar.
12. Pemimpin yang melaksanakan pimpinan dan pemerintahan yang adil lagi saksama, jujur, ikhlas dan amanah, senantiasa menegakkan yang makruf dan menentang yang batil, sesungguhnya telah memenuhi perintah dan amanah ALLAH dan mereka wajib ditaati, selaras dengan seruan yang terkandung dalam ayat 59 Surah An Nisaa yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah ALLAH dan ta’atilah Rasul (Nya), dan orang-orang yang memegang kekuasaan di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada ALLAH (Al-Quran) dan Rasul (sunah Nabi), jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagi mu) dan lebih baik akibatnya[16]”.
13. Ayat-ayat ALLAH jangan sekali dipersendakan hingga ke peringkat boleh memesongkan akidah manusia hingga berlaku amalan kesetiaan yang songsang. Seruan ALLAH untuk mentaati orang-orang yang memegang kuasa hendaklah dikaitkan dalam konteks dan ketegasan pemegang kuasa menegakkan yang makruf – menentang yang batil, kerana Allah secara nyata menegaskan, dalam keadaan berlakunya kelainan pendapat, maka ummah wajib kembali kepada Al-Quran dan Sunah Rasul selaras dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bermaksud;
“Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya, ia itu: Kitab Allah dan Sunah Nabi Nya.[17]”
14. Diriwayatkan oleh Abu Dawud akan sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bermaksud:
“Jikalau ALLAH inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka ALLAH memberikan bangsa itu pemimpin yang baik…”
Dengan keberkatan dan kebesaran Al-Quran, sama-samalah kita pohonkan semoga ALLAH Subahanahu Wata’ala merahmati hidup ummah dan watan dengan memberikan kita para pemerintah dan pemimpin, Sultan dan Raja, Wazir dan Menteri, Imam dan Hakim serta ulama dan umara yang teguh serta kukuh imannya, berpegang kepada prinsip menegakkan yang makruf – menentang yang batil; mudah-mudahan akan terbina sebuah watan, sebuah negara bangsa yang mendapat nikmat kemurahan rezeki pemberian ILAHI dengan ummahnya menunjukkan sifat-sifat tawaduk lagi bersyukur kerana negerinya baik, aman dan makmur, BAIDATUN, TAIYIBATUN, WARABUN GHAFUR, menurut yang digambarkan dalam ayat 15, Surah Saba.
15. Beta menzahirkan tahniah kepada para peserta yang telah mencapai tahap kecemerlangan penghafazan Al-Quran. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri dan semua pihak yang telah secara bersama, berganding tenaga dan berganding usaha melaksanakan tugas, memenuhi tanggungjawab, menjayakan majlis yang dilangsungkan di negeri Perak pada tahun ini. Semoga segala tenaga dan usaha yang telah dicurahkan, diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai amal yang akan diberikan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.
16. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan penutupan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ketiga puluh tujuh.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
- Al-Quran, Al Furqaan (25:6). ↑
- Al-Quran, Al Djaatsijah (45:2) ↑
- Bassam Saeh, The Miraculous Language of the Quran: Evidence of Divine Origin, (London: The International Institute of Islamic Thought, 2015), v. ↑
- Ibid, 5. ↑
- Ibid., 5 dan 7. ↑
- Al-Quran, Al isra’ (17:9) ↑
- Al-Quran: Al Hijr (15:9) ↑
- Ziauddin Sardar, Reading the Quran: The Contemporary Relevance of the Sacred Text of Islam, (London: Hurst & Company, 2015), 10 ↑
- Mona Siddiqui, , How To Read the Quran, (London: Granta Books, 2007), 104 ↑
- Mona Siddique, 23. ↑
- Mona Siddiqui13 ↑
- Ziauddin, 10 ↑
- Ingrid Mattson, The Story of The Quran: Its History and Place in Muslim Life, (Sussex: Wiley-Blackwell, 2nd Edition, 2013), 231. ↑
- Al-Ghazali, The Jewels of the Quran, edited by Laleh Bakhtiar, (Chicago: Great Books of the Islamic World, 2009), 11 ↑
- Al-Quran, Al-Baqarah (2:207) ↑
- Al-Quran; An Nisaa (4:59) ↑
- Riwayat Imam Malik. ↑