Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, yang mengurniakan darjat dan kebesaran, amanah dan tanggung jawab, di kalangan para hamba Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Negara kali ke 151.
3. Dewan Negara yang bersidang pada hari ini merakamkan ucap takziah kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Noraini Jane binti Tan Sri Kamarul Ariffin serta Yang Teramat Mulia Raja Kechil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah dan keluarga atas kemangkatan Yang Teramat Mulia Raja Kechil Sulung Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 30hb. Mac 2012. Sewajarlah Dewan ini mengambil ingatan atas peranan yang telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Ashman Shah semasa Almarhum itu menjadi ahli Dewan ini dan semasa berperanan sebagai Raja Kechil Bongsu, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Sulung Negeri Perak Darul Ridzuan. Semoga roh Almarhum senantiasa dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wata’ala, dan semoga keluarga Almarhum turut dilimpahkan segala ketenangan dan ketabahan dalam menghadapi setiap dugaan dari ILAHI.
4. Institusi Raja adalah sebahagian dari sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu ini. Institusi Raja Melayu memiliki peranan unik lagi tersendiri dalam sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Struktur dan peranan Institusi Raja jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan begitu juga di dalam Perlembagaan Negeri; dalam erti kata lain kewujudan dan peranan institusi Raja itu telah dikanunkan secara sahih. Institusi Raja terus kekal berfungsi sebagai payung negeri tempat rakyat dapat bernaung, berperanan sebagai titik penyatuan dalam kepelbagaian, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tunggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan.
5. Dewan Negara ini diwujudkan dengan struktur dan peranan yang juga jelas digariskan di dalam Perlembagaan Negeri. Ia bukan sekadar satu institusi ceremonial; sekadar memenuhi adat dan melengkapkan upacara. Orang Besar-Orang Besar Negeri berserta ahli-ahli Dewan Negara adalah satu komponen kepada institusi yang mewarisi tradisi dan sejarah yang telah begitu lama berakar di bumi Melayu ini. Kemuliaan institusi Raja perlu didukung secara bersama. Oleh itu, ahli-ahli Dewan Negara wajarlah melaksanakan peranan secara bijak lagi berhemah untuk memberi erti dan makna kepada institusi Raja Melayu. Ahli-ahli Dewan Negara, hendaklah melihat diri masing-masing sebagai batang tubuh yang telah diberikan amanah, kepercayaan dan penghormatan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bagi memenuhi tanggung jawab tertentu. Tindak tanduk ahli-ahli Dewan Negara tidak terlepas dari mempengaruhi persepsi warga terhadap institusi Raja, lebih-lebih lagi di kalangan Orang Besar yang diberikan tanggung jawab sebagai Orang Besar Jajahan. Kehadiran Orang Besar di jajahan masing-masing secara fizikal adalah satu keperluan – satu kemestian. Berdampinglah seerat dan serapat mungkin dengan rakyat Duli Yang Maha Mulia, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat merentasi sempadan agama, kaum dan politik; berperanan sebagai jambatan penghubung antara rakyat dengan istana.
6. Kedudukan Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama Islam kekal pada setiap era, termasuk pada era kolonial Inggeris dan penjajahan Jepun. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam jelas termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Untuk itu, Orang Besar Jajahan hendaklah memberikan tumpuan, mengambil berat dan menghadirkan diri dalam aktiviti dan kegiatan berkaitan Islam di Jajahan masing-masing. Orang Besar Jajahan hendaklah menunaikan solat Jumaat dalam Jajahan masing-masing, sebaik-baiknya, setiap Jumaat berusaha bersolat Jumaat dari kariah ke kariah, agar dapat mengenali seramai mungkin rakyat Duli Yang Maha Mulia di Jajahan masing-masing. Orang Besar Jajahan hendaklah segera bertindak menyembahkan ke pengetahuan Beta, sebarang perbuatan menyalahgunakan masjid untuk tujuan politik yang dilakukan oleh mana-mana kumpulan politik baik yang berada di dalam kerajaan begitu juga yang tidak berada di dalam kerajaan. Kesucian masjid dari dicemari oleh aktiviti politik kepartian wajib dipertahankan setiap masa. Kumpulan politik yang sedang menguasai Kerajaan tidak mempunyai imuniti atau kelebihan untuk membolehkan mereka menyalah gunakan masjid untuk menganjurkan program politik. Malah mereka sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik dengan tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
7. Hendaklah dijadikan pedoman dan dijadikan ingatan bahawa Raja dan takhta berada di atas politik kepartian. Orang Besar hendaklah berwaspada dan berhati-hati dalam perkataan dan tindak tanduk supaya tidak memberikan gambaran salah akan peranan institusi Raja dan takhta serta penglibatan Orang Besar. Orang Besar-Orang Besar hendaklah mencerminkan pendirian berkecuali dan tidak terlibat secara langsung dalam program-program yang secara ketara dianjurkan atas nama parti politik dan bermatlamatkan politik kepartian. Senario politik semasa di dalam negara memerlukan takhta dan Orang Besar bijak melakukan tafsiran dan bijak melakukan tindakan supaya institusi istana dan institusi Orang Besar dapat mempertahankan imej berkecuali dan kekal berada di atas politik kepartian. Institusi Istana perlu dipelihara berperanan sebagai payung negeri untuk dapat diterima dan dapat berperanan secara berkesan sebagai institusi penyatuan dalam kepelbagaian; sementara institusi Orang Besar hendaklah mengambil peranan sebagai orang tua yang memiliki hikmah, berupaya membantu merungkai kekusutan bila berlaku di kalangan ummah.
8. Semoga mesyuarat Dewan Negara yang berlangsung pada petang ini mendapat petunjuk dan bimbingan dari ILAHI jua. Amin Ya Rabul Alamin.