Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, yang mengurniakan darjat dan kebesaran, amanah dan tanggung jawab, di kalangan para hamba Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 152 dapat berlangsung pada petang ini.
3. Institusi Raja adalah satu kelangsungan sistem berkerajaan dan bernegara di bumi ini. Ketika meneliti kandungan memorandum Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Penggubalan Perlembagaan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, Sir Ivor Jenning berulang kali bertanyakan peguam yang mewakili Raja-Raja Melayu mengenai kesediaan Raja-Raja Melayu berkorban menyerahkan sebahagian besar kuasa dan autonomi Negeri untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan Tanah Air serta penubuhan sebuah Negara Persekutuan berpaksikan sistem pemerintahan yang berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Sesungguhnya pendirian Raja-Raja Melayu itu sangat penting diambil ingatan kerana melalui jiwa besar Raja-Raja Melayu, pembentukan sebuah Negara Persekutuan yang merdeka telah dipermudahkan laluannya. Namun Raja-Raja Melayu amat peka akan tanggung jawab utama terhadap nusa dan watan, lalu mengamanahkan dalam bentuk wasiat perkara-perkara berkaitan agama Islam, Raja-Raja Melayu, tanah simpanan Melayu, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
4. Meskipun konsep Raja Berperlembagaan menggariskan bidang kuasa Raja adalah berpandukan nasihat pimpinan Kerajaan pilihan rakyat, namun Raja Pemerintah masih memiliki kuasa budi bicara tertentu. Raja ada kewajipan untuk memenuhi tanggung jawab tunggak keadilan melalui mekanisme semak dan imbang, demi memastikan keadilan tidak tercicir tetapi dilaksanakan secara saksama, memastikan yang lemah mendapat perlindungan – yang teraniaya diberikan pembelaan. Raja Pemerintah juga adalah payung penyatuan berperanan menyatukan warga yang terdiri dari pelbagai agama – pelbagai kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa; di samping itu warga juga memiliki latar belakang sosial dan ekonomi yang berbeza serta turut terbahagi dalam kumpulan politik yang bersaing.
5. Dalam konteks Negeri Perak Darul Ridzuan, tugas dan tanggung jawab besar lagi luas Raja Pemerintah di bantu oleh instrumen Dewan Negara serta Orang Besar Negeri. Dewan Negara bukan sekadar institusi ceremonial demikian juga kewujudan Orang Besar Negeri. Dewan Negara begitu juga Orang Besar, memiliki tugas-tugas khusus mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Dewan Negara Perak ditubuhkan berpandukan Fasal 57 (LVII) hingga Fasal 76 (LXXVI), Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Fasal-Fasal berkaitan memperincikan secara lengkap aspek-aspek lantikan, prosiding mesyuarat, peranan dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Dewan Negara dan ahli Dewan. Ahli Dewan Negara begitu juga Orang Besar Negeri wajib memahami Fasal-Fasal berkaitan yang terkandung di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, supaya setiap seorang berupaya memenuhi amanah dan tanggung jawab secara lebih berkesan -secara lebih berkeyakinan – secara lebih credible.
6. Pemahaman terhadap bidang kuasa Raja Pemerintah dan Orang Besar Negeri, amatlah penting difahami untuk memastikan tindak tanduk ahli Dewan Negara demikian juga Orang Besar ketika melaksanakan tanggung jawab senantiasa diasaskan kepada premis undang-undang. Ia menjadi semakin penting dalam menghadapi konstituen rakyat yang semakin celik huruf dan semakin berpendidikan luas.
7. Interaksi yang berlaku ketika menilai calon-calon yang memohon untuk mengisi kekosongan jawatan Orang Besar memberikan maklum balas penting kepada Beta akan tahap fahaman di kalangan calon-calon, mengenai sejarah dan peranan institusi Raja Pemerintah serta institusi Orang Besar Negeri. Jika di kalangan waris keturunan Orang Besar Negeri sendiri, amat terbatas pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai institusi Raja, secara logiknya, warga pada umumnya, terutama di kalangan generasi muda, tentunya memiliki pemahaman dan pengetahuan yang jauh lebih kabur atau mungkin juga memiliki sifar pengetahuan. Berkemungkinan sebahagian besar warga pada hari ini, melihat Raja dari lensa sempit, menganggapnya sekadar institusi ceremonial yang tidak ada peranan signifikan; dan mungkin juga semakin ramai yang beranggapan Institusi Raja tidak lagi relevan dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
8. Keadaan kurang fahaman ini wajib diperbetulkan. Aspek pengisian pengetahuan dan memberikan kefahaman mengenai Institusi Raja hendaklah difikirkan. Warga tidak boleh dipersalahkan berfahaman terbatas sedemikian, jika selama hari ini, program melibatkan Raja Pemerintah yang dianjurkan lebih berwajah dan bersifat ceremonial. Mungkin pada hari ini, perlu difikirkan komponen pengisian fahaman sebagai sebahagian dari program yang perlu dianjurkan dalam merangka acara-acara yang melibatkan Raja Pemerintah, termasuk ketika merancang acara-acara sambutan bersempena ulang tahun hari keputeraan. Program yang dapat meningkatkan apresiasi dan fahaman generasi muda dan anak-anak sekolah terhadap Institusi Raja hendaklah diterokai dan dirintis; dianjurkan secara lebih berkesan dan berupaya memberi impak yang signifikan.
9. Perjalanan yang jauh dimulakan dengan langkah pertama. Sebagai langkah permulaan ke arah penambahbaikan, Setiausaha Dewan Negara hendaklah mengaturkan sesi taklimat, khususnya kepada ahli Dewan Negara, Orang Besar, merangkumi Toh Muda yang baru dilantik, mengenai perkara–perkara berkaitan sejarah, salasilah dan susur galur Kesultanan Perak, adab dan adat, peranan dan fungsi, serta peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Negara berkaitan Institusi Raja Pemerintah, Institusi Ketua Negara dan Ketua Negeri, Majlis Raja-Raja dan subjek-subjek lain yang berkaitan, agar mereka yang telah diperkenankan lantikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, dilengkapkan dengan pengetahuan asas lalu membolehkan mereka berada dalam kedudukan yang berupaya memberikan penerangan yang tepat berhubung institusi yang mereka wakili.
10. Untuk rekod Dewan Negara, dengan ini dimaklumkan bahawa atas kapasiti sebagai Financial Ambassador, Malaysia International Islamic Finance, Beta akan berangkat ke Oman memenuhi undangan untuk menzahirkan titah utama atas tajuk “Developing a viable model of Islamic Banking: Malaysian Model and its relevance to financial sector reform” di Oman Islamic Economic Forum anjuran Edbiz Consulting dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bank Pusat Oman yang akan berlangsung dari 1 hingga 2 Mei 2013. Dari Oman, atas kapasiti sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Oxford Centre of Islamic Studies, Beta selanjutnya akan berangkat dan berada di Istanbul dari 2 hingga 4 Mei 2013 memenuhi undangan dari Presiden Republik Turki, Presiden Abdullah Gul sempena program menghargai dan mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai oleh Oxford Centre For Islamic Studies. Kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala Beta pohonkan petunjuk dan bimbingan untuk dapat menyempurnakan kedua-dua misi tersebut dan berkat doa restu Paduka Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Paduka Bonda Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun beserta ahli-ahli Dewan Negara, mudah-mudahan perjalanan dan misi Beta mendapat berkat, rahmat dan kejayaan.
11. Semoga mesyuarat Dewan Negara kali ke 152 mendapat petunjuk dan bimbingan dari ILAHI jua. Amin Ya Rabul Alamin.
Wabillahi taufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.