Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, yang mengurniakan darjat dan kebesaran, amanah dan tanggung jawab, di kalangan para hamba Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.
2. Dewan Negara yang bersidang pada petang ini merasakan satu kehilangan dengan ketiadaan Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Dr. Haji Jalaluddin bin Abd. Rahim yang telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Khamis, 9 Januari 2014 bersamaan 7 Rabiulawal 1435 Hijrah. Dalam mendukung amanah sebagai Ahli Dewan Negara Perak, Dato’ Seri Dr. Haji Jalaluddin telah menyempurnakan dan melaksanakan tanggung jawab secara komited serta merupakan seorang insan yang disegani, disayangi, lagi dihormati. Allahyarham semasa hayatnya senantiasa mempamerkan sifat-sifat yang mudah didampingi, peramah, mudah berkawan dan bersedia menghulurkan pertolongan. Allahyarham memperlihatkan sifat kesetiaan yang tinggi terhadap Raja Pemerintah dan amat memelihara tata adab serta kesopanan untuk memuliakan dan mendaulatkan institusi Raja Berperlembagaan.
3. Pemergian yang telah ditentukan oleh ILAHI ini adalah satu kehilangan lebih besar terutama sekali kepada waris, anggota keluarga dan sahabat handai. Ahli-ahli Dewan Negara Perak merakamkan ucap takziah kepada Yang Amat Berbahagia Datin Seri Aniah binti Dato’ Hashim serta anggota keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka diberikan ketabahan menghadapi saat duka dan hiba ini dengan penuh keredaan di samping meningkatkan ketakwaan. Semoga segala khidmat bakti Allahyarham diterima sebagai amal yang turut diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh, begitu juga pada hari kebangkitan. Ahli-ahli Dewan Negara turut merakamkan ucap takziah kepada Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan, Dato’ Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti dengan kembalinya ke Rahmatullah ayah beliau pada 27 Februari 2014. Semoga roh kedua-dua Allahyarham ditempatkan di kalangan roh-roh para solihin. Al-Fatihah.
4. Persidangan Dewan Negara kali ini turut mengalu-alukan keanggotaan Yang Di Hormati Toh Raja Diraja, Dato’ Abdul Rahim bin Mohamad Nor yang telah diperkenankan untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara Bukan Rasmi sejak 18 Januari 2014. Yang Dihormati Dato’ Abdul Rahim adalah antara pegawai dan Orang Besar yang mempunyai rekod perkhidmatan yang lama dengan institusi Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan, bermula sebagai juruiring kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, berperanan sebagai Setiausaha Sulit Baginda, dan diperkenankan lantikan sebagai Orang Besar Enam Belas dengan gelaran Toh Raja Diraja. Pengalaman beliau amat relevan untuk membolehkan beliau memenuhi peranan dan tanggung jawab Ahli Dewan Negara.
5. Pada 21 Februari 2014, Mahkamah Tinggi mendapati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Yang Berhormat Karpal Singh yang didapati bersalah atas tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 6 Februari 2009.
6. Kebelakangan ini semakin terdengar suara yang secara terbuka mencabar peruntukan tertentu undang-undang negara, bersikap melanggar adat dan adab, mempersendakan Institusi Kesultanan di negara ini. Institusi Kesultanan Melayu berhadapan dengan cabaran lebih besar untuk meletakkan institusi tersebut di persada persepsi yang diterima secara positif lagi supportif , dihormati oleh rakyat sebagai institusi yang kekal relevan – kekal berfungsi. Usaha mencapai hasrat tersebut hendaklah difikirkan secara bijak dengan melaksanakan program-program yang berupaya merapatkan hubungan Raja dengan rakyat agar fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Kesultanan dapat ditingkatkan.
7. Untuk itu program-program yang melibatkan Raja Pemerintah hendaklah dirangka dan diolah agar dapat memberi pengertian dan mengisi makna serta berupaya memberikan impak dan keberkesanan. Program-program jangan sekadar hanya berwajah ceremonial, dianjurkan dan dihadiri oleh lingkungan audiens yang sama lagi terbatas. Program-program yang tidak dirancang secara bijak bersifat permukaan. Program-program sedemikian tidak produktif dan gagal memenuhi falsafah dan matlamat ia dianjurkan. Malah ia merupakan satu pembaziran sumber, tenaga, masa dan kewangan kerana tidak mendatangkan sebarang nilai tambah mahupun pulangan.
8. Oleh itu, program-program yang melibatkan Raja Pemerintah, bermula dengan program-program sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada tahun ini, perlu diolah secara bijaksana, disuntik dimensi baru – disegarkan dengan kandungan lebih dinamik, ditiupkan roh yang menghidupkan, agar dapat merapatkan tautan hubungan di antara Raja dengan rakyat, mengimbangkan di antara protokol dengan imej kemesraan Raja Pemerintah terhadap rakyat. Ia memerlukan perekayasaan semula beberapa perkara dari segi komposisi tetamu yang diundang, begitu juga susun atur tempat duduk agar Raja tidak kelihatan bersemayam terlalu jauh dengan audiens, diapit orang-orang yang sama serta melihat wajah yang serupa.
9. Program-program yang dianjurkan di peringkat daerah, sewajarnya memberi peluang kepada lebih ramai tetamu di peringkat daerah mengenali Raja dan Raja juga berpeluang mengenali mereka. Untuk itu, Ketua-ketua Jabatan di peringkat Negeri memadai dijemput secara selektif – secara bergilir agar ruang yang lebih dapat diberikan kepada tetamu di peringkat daerah. Komposisi tetamu menghadiri acara di peringkat negeri begitu juga daerah, hendaklah berimej pelbagai kaum. Wakil-wakil sektor swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO), wakil-wakil pelbagai agama; persatuan-persatuan kebajikan, belia, sukan dan pelajar, perkhidmatan beruniform, Pengetua, Guru Besar dan guru-guru serta penghulu hendaklah dimasukkan dalam senarai jemputan, agar lebih ramai konstituen berpeluang berinteraksi dengan Raja Pemerintah. Wakil-wakil pelbagai agama dan kaum, swasta, NGO serta badan-badan sukarela, secara bergilir-gilir hendaklah turut dimasukkan dalam senarai jemputan, agar mereka berpeluang menghadiri acara-acara yang berlangsung di Istana Iskandariah.
10. Selaras dengan langkah berjimat cermat Kerajaan, aspek kos hendaklah dikawal dan diberikan perhatian serius agar rakyat tidak tersalah anggapan terhadap Institusi Raja. Kemeriahan sesuatu acara hendaklah menekankan aspek partisipasi rakyat, dimeriahkan kerana kehadiran rakyat dengan perbelanjaan yang sederhana lagi berpatutan. Komponen yang tidak substantif, komponen yang dianggap sebagai membazir, tidaklah perlu diadakan, selaras dengan ajaran Islam yang mencegah rezeki kurniaan ILAHI daripada dibazirkan untuk tujuan bermewah dan bermegah.
11. Demi menjamin kelangsungan dan kefahaman rakyat jelata akan peranan serta relevansi Institusi Raja, perekayasaan pendekatan amat perlu diperkenalkan agar terjalin rasa kasih – rasa sayang – rasa hormat rakyat kepada Raja Pemerintah. Semoga Institusi Raja kekal relevan, difahami dan mendapat apresiasi serta penerimaan positif rakyat.
12. Semoga mesyuarat Dewan Negara yang berlangsung pada petang ini mendapat petunjuk dan bimbingan dari ILAHI jua. Amin Ya Rabul Alamin.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.