Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-160

Agenda 3: Perkara Berbangkit:

Perkara yang boleh Tuanku sentuh daripada Minit Mesyuarat Dewan Negara ke 159.

Perkara 7: Jawatankuasa Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Untuk memperkemas dan melengkapkan susunan dan komposisi Jawatankuasa; Beta dengan ini menetapkan:

  1. Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri berperanan sebagai Timbalan Pengerusi.
  2. Timbalan Setiausaha (Pentadbiran) Kerajaan Negeri berperanan sebagai Setiausaha Bersama.
  3. Tambahan Ahli-ahli Jawatankuasa:
  4. Ketua Polis Perak
  5. Panglima Briged.
  6. Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri
  7. Pengarah Penerangan Negeri
  8. Pengarah Penyiaran Negeri
  9. Pengarah Jabatan Agama Islam
  10. Pengarah Pelajaran Negeri.

Agenda 4: Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan.

  1. Beta menzahirkan ucap takziah kepada keluarga Toh Muda Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera atas kembalinya ke Rahmatullah, Encik Mohd. Razalli bin Dato’ Seri Haji Ibrahim pada 15 Jun 2014. Marilah sama-sama kita membaca surah Al-Fatihah memohon rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut khusus kepada roh Allahyarham.
  2. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada:
    1. Duli Yang Teramat Mulia Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa yang kini bergelar Raja Muda Perak.
    2. Duli Yang Amat Mulia Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah yang kini bergelar Raja Di Hilir Perak.
    3. Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Menteri Paduka Tuan yang baru, Encik Mohd. Isa bin Dato’ Haji Wan Mohd. Razali dan mengalu-alukan keahlian beliau sebagai ahli Dewan Negara Perak.
  3. Adalah diharapkan akan senantiasa terjalin hubungan harmoni di antara institusi istana dengan institusi rakyat berasaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; dengan semangat saling menghormati bidang dan batas kuasa masing-masing.
  4. Beta perlu menarik perhatian setiap seorang penyandang jawatan Bakal Sultan dan Raja Bergelar berhubung bidang dan batas kuasa seperti yang termaktub dalam Perkara XXXII Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan Bahagian Kedua yang menggariskan;

Petikan:

Perkara XXXII: Maka seorang Waris Negeri (dikecualikan Raja Pemerintah tetapi termasuk Bakal Sultan dan Raja-Raja Yang Bergelar) tidak berkuasa sekali-kali mengambil bahagian dalam hal ehwal Negeri atau Kerajaan ini dikecualikan hanya dengan titah perintah Duli Yang Maha Mulia dalam Mesyuarat, dan jua tidak boleh dia mengganggui dalam hal ehwal yang sedemikian itu:

  1. Memandangkan penyandang gelaran Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar masih dalam usia kanak-kanak yang masih belum baligh atau belum cukup dewasa, keahlian Yang Teramat Mulia Raja Azlan Muzzaffar Shah sebagai ahli Dewan Negara Perak, Beta tetapkan untuk ditangguhkan sehingga beliau mencapai usia 18 tahun atau pada tarikh yang Beta akan tentukan kemudian, menurut mana yang berkenaan.
  2. Beta turut mengingatkan Orang-orang Besar dan Ahli-ahli Dewan Negara untuk turut menunjukkan contoh teladan yang baik terutama dalam rangkaian kerja dengan jentera pentadbiran supaya akan senantiasa terjalin hubungan harmoni.
  3. Beta mengingatkan diri Beta, Bakal-bakal Sultan, Raja-Raja Bergelar, Orang-orang Besar dan Ahli-ahli Dewan Negara akan pentingnya diberikan perhatian dan hendaklah sensitif kepada pendedahan media terutama media baru, yang boleh memberikan gambaran negatif terhadap Institusi Kesultanan akibat perbuatan salah laku oleh mana-mana pihak. Apatah lagi dalam menghadapi rakyat yang semakin terpelajar dan lebih kritikal.
  4. Beta perlu mengingatkan Orang-orang Besar bahawa gelaran Orang Besar adalah gelaran yang dikurniakan oleh Paduka Seri Sultan. Orang Besar Sultan adalah institusi awam. Oleh itu dalam acara dan majlis yang dihadiri atas nama Orang Besar, adalah tidak sesuai untuk Orang Besar memakai pakaian seragam mana-mana badan beruniform yang meletakkan taraf Orang Besar berada di bawah atau tertakluk kepada perintah Pegawai Kanan badan-badan beruniform yang berkaitan.
  5. Anugerah Dato’ Seri Diraja adalah anugerah tertinggi di Negeri Perak. Gelaran ini hendaklah diutamakan (take precedent) di kalangan individu yang telah dianugerahkan dengan gelaran tersebut, terutama apabila berada di Negeri Perak dan ketika menghadiri acara-acara di Istana dan di Negeri Perak, melainkan di kalangan individu yang telah mendapat gelaran TUN daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
  6. Ahli-ahli Dewan Negara ada tanggung jawab penting kepada Raja Pemerintah. Mulai sekarang, hendaklah dijadikan amalan bagi setiap ahli Dewan Negara yang meninggalkan negara untuk memaklumkan kepada Pejabat Beta dan kepada Setiausaha Dewan Negara, tempoh berada di luar negara dan saluran perhubungan ketika berada di luar negara.
  7. Beta akan meneliti semula keperluan peranan pelbagai Jawatankuasa Dewan Negara; dan akan melakukan beberapa rombakan menurut keperluan semasa; dan akan turut melakukan rombakan keahlian menurut kesesuaian peranan.
  8. Jawatankuasa Pertabalan hendaklah segera mengadakan mesyuarat. Hendaklah turut ada program-program berunsur agama, intelek dan keilmuan dalam acara yang disusun sempena Pertabalan Beta; juga perlu ada program yang melibatkan kumpulan mahasiswa, pelajar dan belia serta masyarakat pelbagai kaum. Perbelanjaan untuk Istiadat Pertabalan hendaklah mengambil ingatan keadaan kewangan negeri dan tidak mencerminkan pembaziran dan perbuatan bermegah-megah. Bajet untuk acara pertabalan hendaklah terlebih dahulu dipersembahkan bagi mendapat perkenan Beta.
%d bloggers like this: