Mesyuarat Dewan Negara Perak Ke-165

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Opening of Speech

Sejak kebelakangan ini, perbuatan menganugerahkan gelaran Dato’ Seri dan Dato’ secara komersial dilaporkan semakin dilakukan. Dilaporkan bahawa majlis penganugerahan telah dianjurkan di dewan atau hotel tertentu. Beta telah disembah maklumkan akan aktiviti sedemikian oleh Kerajaan Negeri, Orang Besar Negeri, Pegawai dan kakitangan Pejabat Sultan dan Polis Diraja Malaysia. Beta juga mengikuti laporan-laporan yang didedahkan oleh pihak media. Berdasarkan laporan-laporan yang telah disembah maklumkan serta perbincangan yang diadakan, penemuan-penemuan berikut telah dirumuskan:

  1. Aktiviti ini sahih berlaku.
  2. Aktiviti dilakukan oleh beberapa individu dengan mencipta Darjah Gelaran tertentu, ditawarkan kepada orang ramai dengan mengenakan bayaran.
  3. Penerima dianugerahkan ketinggian Darjah Gelaran mengikut harga yang sedia dibayar, Darjah yang membawa gelaran Dato’ Seri diletakkan harga yang lebih tinggi daripada Darjah yang membawa gelaran Dato’.
  4. Aktiviti ini semakin berkembang dan semakin dikomersialkan untuk meraih keuntungan.
  5. Para pembeli Darjah diberikan kad keahlian dan surat khas yang menjamin bahawa mereka memiliki imuniti serta mendapat perlindungan untuk tidak boleh diambil atau dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa jika mereka melakukan kesalahan-kesalahan yang melanggar undang-undang tertentu.
  6. Para pembeli Darjah juga diberikan lambang untuk diletakkan pada kenderaan yang menjamin kenderaan mereka mendapat keistimewaan dan imuniti apabila berada di jalan raya.

2. Aktiviti yang dilakukan antara lain telah mencetuskan perkara-perkara berikut:

  1. Mencemarkan Institusi-institusi Raja, Istana dan Kerajaan kerana mewujudkan Darjah tersendiri yang tidak mendapat pengiktirafan rasmi Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
  2. Mempersendakan Darjah Kebesaran yang sahih dan status para penerima anugerah Darjah yang sahih.
  3. Menyalahgunakan nama dan kemuliaan Darjah untuk tujuan komersial.
  4. Menipu penerima yang membeli Darjah.
  5. Memberikan persepsi salah bahawa seseorang pemegang Darjah Kebesaran dibenarkan tidak menghormati undang-undang kerana mendapat imuniti daripada tindakan penguatkuasaan.

3. Adalah dengan ini ditegaskan bahawa aktiviti berkenaan adalah satu penipuan. Polis Diraja Malaysia telah menghadap dan menyembahkan laporan aktiviti sedemikian secara terperinci kepada Beta. Memandangkan aktiviti tersebut semakin bertambah, pihak Polis Diraja Malaysia berpendirian bahawa tindakan pencegahan dan pembetulan secara tegas wajib diambil. Polis Diraja Malaysia berpendirian aktiviti ini tidak boleh dibenarkan merebak; jika aktiviti ini tidak diberhentikan segera, aktiviti ini akan mengakibatkan semakin ramai Darjah Kebesaran palsu akan dijual dan semakin ramai penerima yang akan menggunakan Darjah Kebesaran palsu. Dilaporkan juga di kalangan para penerima, mereka telah turut pula menyalahgunakan Darjah Kebesaran palsu tersebut untuk menuntut mendapatkan layanan istimewa bila berurusan dengan agensi-agensi Kerajaan malah ada juga di kalangan mereka yang turut melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang. Polis Diraja Malaysia turut menyembah maklumkan kepada Beta akan nama individu tertentu yang ada hubung kaitan sejarah dengan kerabat Diraja Perak terlibat secara langsung dengan aktiviti ini.

4. Beta telah menzahirkan ketegasan bahawa undang-undang wajib dilaksanakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih. Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara saksama tanpa memberi keistimewaan atau imuniti kepada sesiapa juga. Pihak yang terbukti bersalah, wajib berhadapan dan dikenakan tindakan yang setimpal. Pendirian mendiamkan diri dan tidak membetulkan kesalahan oleh pihak berkuasa boleh ditakrif sebagai merestui dan mengizinkan kesalahan terus dilakukan dan aktiviti penipuan terus berlaku.

5. Seyogia ditegaskan bahawa anugerah sesuatu Darjah Kebesaran dan pengurniaan Pingat atas nama Negeri Perak Darul Ridzuan, terletak di bawah budi bicara Raja Pemerintah. Nama-nama dicalonkan melalui borang pencalonan yang disediakan dengan memberikan justifikasi akan rekod jasa dan khidmat bakti calon kepada Raja Pemerintah dan negeri Perak Darul Ridzuan. Nama-nama yang dicalonkan, disaring, ditapis dan dinilai oleh Jawatankuasa Dewan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja sebelum diangkat sembah untuk mendapat perkenan Paduka Seri Sultan.

6. Kesemua bakal penerima anugerah akan dihubungi secara rasmi melalui surat yang ditandatangani oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan Darjah atau Pingat yang telah diperkenankan untuk dianugerahkan, dengan menetapkan tarikh istiadat penganugerahan akan dilakukan. Semua istiadat penganugerahan dilangsungkan di Balai Rong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan kesemua penerima anugerah akan menerima anugerah daripada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan melainkan dalam keadaan tertentu pada masa lalu, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pernah mewakilkan istiadat penganugerahan disempurnakan oleh Pemangku Raja ataupun Raja Muda Perak. Para penerima anugerah tidak pernah dikenakan sebarang bayaran dan sama sekali tidak disyaratkan untuk memberikan apa-apa sumbangan derma dalam bentuk material mahupun kewangan kepada Raja, Istana, Kerajaan atau kepada mana-mana tabung sekalipun.

7. Tindakan tegas wajib diambil dalam usaha mahu menangani perbuatan komersial dan penipuan yang sedang berlaku ini. Jika perlu, undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal dan hukuman yang lebih berat hendaklah dikenakan supaya aktiviti salah ini, dapat dibanteras secara berkesan. Orang awam yang didampingi untuk ditawarkan anugerah Negeri Perak dengan dikenakan bayaran tertentu, dinasihatkan untuk menghubungi dan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia. Kerjasama orang awam amat penting supaya aktiviti ini dapat segera dihentikan dan kepentingan orang awam dapat dilindungi daripada aktiviti penipuan.

8. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan memberikan kita petunjuk, kekuatan dan kemenangan untuk menegakkan kebenaran.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: