Mesyuarat Dewan Negara Perak ke 167

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin daripada Nya juga, mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 167 dapat dilangsungkan pada pagi ini.

 

  1. Sesungguhnya segala yang bermula itu akan berakhir, setiap yang kuat tetap memiliki kelemahan, dan setiap yang hidup pasti akan mati. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:

 

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.  Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).  Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”[1]

 

Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 167, merafak sembah ucap takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa, di atas kemangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah pada 3 Oktober 2017.  Sesungguhnya, negeri Perak, terutama institusi Diraja Perak telah kehilangan seorang anggota kerabat yang telah memenuhi peranan dan menyempurnakan tanggungjawab terhadap institusi kesultanan negeri ini.  Secara peribadi, Beta dan Raja Permaisuri kehilangan seorang saudara tua.

 

  1. Semasa hayat baginda, Raja Nor Mahani (Almarhumah) seringkali menzahirkan nasihat, pandangan dan pendapat terutama dalam perkara-perkara memelihara institusi Diraja dan adat istiadat istana. Selepas dianugerahkan gelaran Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani (Almarhumah) telah berusaha menghasilkan penerbitan berjudul ‘Warisan Santapan Darul Ridzuan’, diterbitkan pada tahun 1999; sebuah penerbitan yang merakamkan khazanah warisan budaya negeri Perak, memperkenalkan kepada pembaca mengenai istana-istana, Orang Besar dan Jajahan, tempat-tempat menarik serta juadah-juadah unik di negeri Perak Darul Ridzuan.  Penerbitan tersebut merupakan khazanah berharga yang ditinggalkan oleh Almarhumah yang boleh dijadikan panduan generasi muda.  Raja Nor Mahani (Almarhumah) juga telah mengusahakan pameran Institusi Diraja Perak, bermula di Istana Iskandariah, kemudiannya dikembangkan di Galeri Petronas, Kuala Lumpur City Centre.  Sewaktu bertugas sebagai seorang guru, Beta disembah maklum bahawa Raja Nor Mahani (Almarhumah) adalah seorang guru yang sangat berdedikasi, mendidik dan menyampaikan ilmu kepada murid, menyeberangi sempadan agama,  kaum serta strata ekonomi dan strata sosial dengan penuh komitmen.

 

  1. Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 167, turut merakamkan ucap takziah kepada keluarga:

 

Yang Dihormati Toh Seri Maharajalela, Dato’ Haji Tun Hamzah bin Haji Tun Abd. Rafar yang kembali ke Rahmatullah pada 15 Oktober 2016.

 

Yang Dihormati Toh Seri Lela Paduka Dato’ Haji Sulaiman bin Mohd. Nawi yang kembali ke Rahmatullah pada 15 September 2017.

Yang Dihormati Toh Seri Wangsa Abdul Rahim bin Mohamed yang kembali ke Rahmatullah pada 7 Julai 2016.

 

Demikian juga kepada keluarga mantan ahli Dewan Negara Perak:

 

Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Aznam bin Raja Ahmad yang kembali ke Rahmatullah pada 9 Oktober 2017 dan

 

Yang Berbahagia Dato’ Haji Yusuf bin Sulaiman yang kembali ke Rahmatullah pada 29 Januari 2018.

 

Begitu juga kepada keluarga Pawang Diraja, Yang Mulia Raja Mohamad bin Raja Talib yang kembali ke Rahmatullah pada 15 Februari 2018.

 

  1. Dari Allah kita datang kepada ALAH kita dikembalikan. Semoga ahli-ahli keluarga Almarhumah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham-Allahyarham, diberikan ketabahan menerima penentuan ILAHI,  dan semoga mereka terus mendapat limpah rahmat dan ihsan ILAHI.

 

  1. Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti setiap seorang daripada mereka yang telah memenuhi peranan semasa menyandang gelaran dan melaksanakan tugas semasa diamanahkan tanggungjawab. Semoga segala khidmat bakti setiap mereka diterima sebagai amal yang turut dilimpahkan rahmat ketika roh mereka sedang berada di alam barzakh, sementara menantikan Hari Kebangkitan.

 

  1. Marilah sama-sama dibacakan surah Al-Fatihah memohon rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut khusus kepada roh Almarhumah Raja Mahani binti Raja Shahar Shah, dan kepada roh setiap seorang Allahyarham; memohon kepada ILAHI semoga melimpahkan roh mereka dengan segala belas dan ihsan, ditempatkan bersama roh para solihin dan para solehah. Al-Fatihah.

 

  1. Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 167 turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Dato’ Md. Hamdan bin Ahmad atas perkhidmatan beliau dalam tempoh diamanahkan menyandang tanggungjawab ahli Dewan Negara Perak Tidak Rasmi. Beta mengalu-alukan keanggotaan Dato’ Ir Md. Shabrizan bin Ahmad sebagai anggota Dewan Negara Perak Tidak Rasmi yang baru.

 

  1. Dewan Negara adalah institusi penting dalam struktur pemerintahan di bawah naungan Paduka Seri Sultan Perak. Dewan Negara berfungsi sebagai badan penasihat tertinggi kepada takhta pemerintahan.  Untuk itu, ahli-ahli Dewan Negara wajib menjadikan panduan dan mengambil ingatan perkara-perkara berikut:

 

Pertama:    memahami, meneliti dan mendalami sesuatu perkara, masalah dan isu apabila diperlukan menyampaikan nasihat kepada rakyat dan ketika menyembahkan nasihat kepada Sultan.

 

Kedua:       menyembahkan maklumat yang tepat dan betul mengenai rakyat dan negeri serta menyembahkan nasihat secara jujur dan ikhlas kepada Raja Pemerintah.

 

Ketiga:       menunjukkan sebaik contoh teladan kepada rakyat jelata kerana perbuatan salah laku daripada mana-mana ahli-ahli Dewan Negara, mahupun isteri begitu juga ahli keluarga ahli Dewan Negara, akan menjejaskan imej dan reputasi institusi Diraja.

 

Keempat:   sama sekali tidak menggunakan nama atau status ahli Dewan Negara untuk kepentingan dan urusan perniagaan atau untuk mendapatkan dana dan derma peribadi daripada badan dan tokoh perniagaan; hendaklah berhati-hati ketika menandatangani sesuatu surat atau dokumen berbentuk sokongan bertulis, yang berpotensi menimbulkan salah tafsiran atau boleh disalahgunakan terutama di dalam urusan dengan pihak berkuasa kerajaan.

 

Kelima:      wajib bersikap berkecuali, bebas dan berada di atas kegiatan politik kepartian.

 

Keenam:    berperanan sebagai jambatan penghubung yang berkesan antara rakyat dengan Raja dan antara Raja dengan rakyat.

 

Ketujuh:     menghormati sumpah jawatan yang telah dilafazkan dengan melindungi perkara-perkara sensitif dan berstatus rahsia daripada disebarkan kepada umum.

 

Tujuh perkara tersebut wajib dijadikan piagam ahli-ahli Dewan Negara.

 

  1. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala akan melimpahkan kita dengan rahmat dan pelindungan serta petunjuk dan hidayah untuk menemui jalan yang mendapat keredaan Nya juga. Amin Ya Rabul Ala min.

[1] Al-Quran, Al-Anbiyaa (21:35)

 

In the News:

http://www.utusan.com.my/rencana/agama/ulama-umara-majukan-negara-1.623133

 

%d bloggers like this: