Dengan izin dan rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke168 dapat dilangsungkan.
- Dengan penentuan ILAHI, Beta telah diamanahkan untuk menyempurnakan tanggungjawab, fungsi dan tugas Yang di-Pertuan Agong dari 2 November hingga 31 Disember 2018, dan dari 7 Januari hingga 30 Januari 2019. Beta menzahirkan penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa selaku Pengerusi Jemaah Pemangku Raja, bersama dua orang ahli, Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin dan Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Ramli bin Ngah Talib, yang secara bersama telah menyempurnakan peranan dan tanggungjawab pemerintahan di negeri Perak Darul Ridzuan dalam tempoh masa tersebut.
- Dewan Negara yang bersidang pada hari ini, mengambil maklum, bahawa Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa telah diijabkabulkan dengan Yang Amat Mulia Raja Puan Mahkota Perak, Raja Dato’ Seri Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, berkuat kuasa, 12 Januari 2019. Berpandukan Perkara XXXV(35)(1), Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Beta telah berkenan mengurniakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak kepada Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, mulai 12 Januari 2019. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat dan kebahagiaan kepada kedua-dua pasangan diraja.
- Beta mengalu-alukan keahlian ahli Dewan Negara Perak (Yang Bukan Rasmi) yang baharu, Yang Amat Berbahagia Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan. Kekayaan pengalaman beliau dalam perkhidmatan awam, hingga menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Perak, insya-Allah merupakan aset berharga dalam memenuhi peranan sebagai ahli Dewan Negara.
- Menurut jadual yang telah ditetapkan di dalam takwim, tarikh sambutan rasmi ulang tahun keputeraan Beta kali ke-63, jatuh pada hari Jumaat, 1 November 2019. Tarikh sambutan rasmi dan cuti umum tersebut hendaklah dikekalkan menurut yang telah dijadualkan. Disebabkan Beta mempunyai jadual berada di luar negara pada minggu pertama November 2019, Beta dengan ini, menetapkan Majlis Santapan Malam Ulang Tahun Keputeraan, diadakan pada hari Sabtu, 9 November, sementara Istiadat Kawalan Kehormatan dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri diadakan pada hari Ahad, 10 November 2019. Tarikh-tarikh untuk istiadat dilangsungkan, hendaklah segera dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan yang terlibat mengelolakan istiadat.
- Pengurniaan darjah kebesaran dan pingat negeri, ialah sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun hari keputeraan. Beta menegaskan, bilangan darjah dan pingat yang dianugerahkan hendaklah dihadkan kepada bilangan yang kecil, agar darjah dan pingat yang dianugerahkan, benar-benar dihargai, dihormati dan dimuliakan. Darjah kebesaran dan pingat negeri, bukan bahan dagangan yang boleh diletakkan harga berbentuk wang ringgit. Darjah kebesaran dan pingat negeri merupakan lambang pengiktirafan yang dikurniakan kepada individu yang ternyata membuktikan khidmat dan jasa cemerlang kepada negeri, melaksanakan tanggungjawab dan memenuhi peranan mengatasi tugas biasa, atau telah berperanan mengharumkan nama negeri. Oleh itu jawatankuasa yang berkaitan, hendaklah menapis secara teliti, sebelum memperakukan seseorang calon untuk pertimbangan Beta.
- Dalam tempoh Dewan Negara Perak mengadakan mesyuarat kali ke-167 pada 10 Mac 2018, dan kali ke-168 pada hari ini, beberapa Orang Besar dan penyandang jawatan istana, telah kembali ke Rahmatullah. Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke168, dengan ini merakamkan ucap takziah kepada keluarga:
Yang Dihormati Toh Seri Wangsa Mohamed Sah bin Nong Chik, yang pernah menjawat jawatan Toh Seri Nara Diraja, yang telah menyahut panggilan ILAHI pada hari Rabu, 19 Disember 2018.
Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera, Dato’ Mohd. Redzuan Kushairi, yang telah menyahut panggilan ILAHI pada hari Jumaat, 22 Februari 2019.
Yang Dihormati Toh Muda Orang Kaya Kaya Setia Bijaya DiRaja, Dato’ Omardin bin Dato’ Seri Abdul Wahab, yang telah menyahut panggilan ILAHI pada hari Khamis, 28 Februari 2019.
- Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”[1]
- Dari Allah kita datang kepada ALLAH kita dikembalikan. Semoga ahli-ahli keluarga, begitu juga sahabat dan rakan taulan, setiap seorang daripada Allahyarham, diberikan ketabahan menerima penentuan dan ujian berat ILAHI, kehilangan orang yang dikasihi, dan semoga mereka terus mendapat limpah rahmat dan ihsan ILAHI.
- Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti setiap seorang daripada mereka yang telah memenuhi peranan semasa menyandang gelaran dan melaksanakan tugas semasa diamanahkan tanggungjawab. Semoga segala khidmat bakti setiap mereka diterima sebagai amal yang turut dilimpahkan rahmat ketika roh mereka sedang berada di alam barzakh, dan ketika mereka menghadapi timbangan pada hari kebangkitan.
- Sama-sama kita bacakan surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA untuk disampaikan apa juga ganjaran daripada bacaan tersebut kepada roh setiap seorang Allahyarham; juga memohon kepada ILAHI semoga melimpahkan roh mereka dengan segala belas dan ihsan, ditempatkan bersama roh para solihin. Al-Fatihah.
- Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan jawatankuasa pemilihan, hendaklah segera mengadakan mesyuarat, mengenal pasti, menemu duga, menilai dan memperakukan kepada Dewan Negara, calon-calon untuk mengisi kekosongan yang berlaku.
Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan kita rahmat dan pelindungan, serta petunjuk dan hidayah untuk menemui jalan yang mendapat keredaan Nya juga. Amin Ya Rabul Ala min.
[1] Al-Quran, Al-Anbiyaa (21:35)