Mesyuarat Dewan Negara Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, yang mengurniakan darjat dan kebesaran, amanah dan tanggung jawab, di kalangan para hamba Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, serta para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Negara pada petang ini. Dewan Negara yang bersidang pada hari ini merakamkan ucap takziah kepada keluarga Tan Sri Dato’ Seri Abdul Rahim bin

Dato’ Tak (Allahyarham) yang telah kembali ke rahmatullah pada 1hb. Disember 2007. Sewajarlah Dewan ini mengambil ingatan atas peranan yang disumbangkan oleh Tan Sri Dato’ Seri Abdul Rahim bin Dato’ Tak (Allahyarham) semasa Allahyarham menjadi ahli Dewan ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

3. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Dewan ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri DiRaja Mohamad Tajol Rosli bin Tan Sri Ghazali, mantan Mamanda Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan, atas peranan dan sumbangan beliau ketika menjadi anggota Dewan ini. Beta percaya beliau akan terus dapat memainkan peranan secara konstruktif lagi produktif kepada kesejahteraan negeri Perak Darul Ridzuan.

4. Beta mengalu-alukan kehadiran buat pertama kalinya Mamanda Menteri Besar, Yang Amat Berhormat, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai ahli kerana jawatan, di dalam Dewan Negara Perak. Beta mengucapkan tahniah kepada Ir. Mohammad Nizar kerana telah diberikan kepercayaan oleh rakyat menjadi ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang dan selanjutnya mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dilantik mengisi jawatan Menteri Besar Perak.

5. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menghargai peranan Orang Besar-Orang Besar Negeri berserta ahli-ahli Dewan Negara yang telah memenuhi tanggung jawab mendukung institusi Raja di negeri Perak Darul Ridzuan. Institusi Raja adalah sebahagian dari sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu. Institusi Raja kekal relevan dan memenuhi peranan secara berkesan sepanjang masa, menghadapi zaman kolonial Inggeris, penjajahan Jepun, era pra merdeka membawa kepada era pasca merdeka yang memilih sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Dalam setiap fasa waktu, Institusi Raja terus kekal, berupaya melakukan pengubahsuaian dari segi peranan dan pendekatan, berfungsi sebagai payung negeri tempat rakyat dapat bernaung, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tunggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan.

6. Kemuliaan institusi Raja perlu didukung secara bersama. Ahli-ahli Dewan Negara adalah sebahagian dari komponen dalam institusi Raja itu. Oleh itu, ahli-ahli Dewan Negara wajarlah melaksanakan peranan secara bijak lagi berhemah supaya nama baik dan kemuliaan institusi Raja tidak akan tercemar. Ahli-ahli Dewan Negara dalam beberapa segi, merupakan wakil kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, terutama di kalangan Orang Besar yang diberikan tanggung jawab sebagai Orang Besar Jajahan. Orang Besar Jajahan merupakan mata dan telinga kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan di jajahan masing-masing. Kehadiran Orang Besar di jajahan masing-masing secara fizikal adalah satu keperluan. Berdampinglah seerat dan serapat mungkin dengan rakyat Duli Yang Maha Mulia, berperananlah sebagai jambatan penghubung antara rakyat dengan istana.

7. Dalam pada itu, Raja dan istana adalah pelindung kepada adat dan kebesaran kerajaan yang sejarahnya di bumi ini bertunjangkan kerajaan Melayu. Oleh itu adat istiadat dan kesopanan istana tidak harus sama sekali dicemari. Adat istiadat dan kesopanan istana pada setiap masa hendaklah dipertahankan, dihormati dan tidak harus dicemari.

8. Untuk itu, Kerajaan pimpinan Mamanda Menteri Besar hendaklah memahami asas ini, demi menjalin hubungan yang baik antara Raja dan Kerajaan. Mamanda Menteri Besar hendaklah dapat menjadi jambatan penghubung yang berkesan, menghubungkan Raja dengan rakyat dan rakyat dengan Raja. Keharmonian hubungan Raja dengan kerajaan adalah salah satu prasyarat untuk menjamin kestabilan sesebuah kerajaan dan kemakmuran sesebuah negeri.

9. Semoga mesyuarat Dewan Negara yang berlangsung pada petang ini mendapat petunjuk dan bimbingan dari ILAHI jua. Amin Ya Rabul Alamin.

*******************

%d bloggers like this: