Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan Maha Esa yang memiliki Kerajaan langit dan bumi; Dia berkuasa di atas segala sesuatu, bagi Nya segala puji, Dialah saja Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

Yang Di Pertua Dewan Negeri

3. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas.

MUKADIMAH

4. Pilihan Raya Ketiga Belas Dewan Negeri Perak telah berlangsung serentak dengan Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen pada 5 Mei 2013. Satu perpuluhan empat juta (1,406,734) rakyat di negeri Perak telah mendaftar sebagai pengundi, meningkat 17 peratus, berbanding satu perpuluhan satu tujuh juta (1,170,351) pengundi dalam Pilihan Raya Kedua Belas. Peratusan yang turun mengundi turut meningkat dari 72 peratus dalam Pilihan Raya Kedua Belas kepada 82 peratus dalam Pilihan Raya Ketiga Belas.

5. Bilangan pengundi berdaftar yang meningkat dan peratus tinggi yang turun mengundi adalah petanda positif, bukti keyakinan rakyat akan hak yang diberikan kepada mereka untuk memilih Kerajaan; di samping mencerminkan kepercayaan rakyat bahawa demokrasi diamalkan di negara ini. Petanda positif ini perlu terus ditingkatkan dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang mencetus kecurigaan, di samping merintis langkah-langkah pembetulan, menangani sebarang keraguan demi menjamin proses pilihan raya dilangsungkan secara berintegriti, dan demi memastikan terjaminnya hak asasi rakyat menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

6. Pilihan Raya adalah satu mekanisme demokrasi, memberikan hak kepada rakyat memilih Kerajaan. Prinsip demokrasi, menghormati kebebasan rakyat untuk memilih Kerajaan, berakarkan konsep, ‘Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’; konsep yang bersumberkan ucapan bersejarah Presiden Abraham Lincoln, bertarikh 19 November 1863 yang dikenali sebagai ‘Amanat Gettysberg’.

7. Proses demokrasi untuk memilih wakil rakyat disusuli kemudiannya dengan proses membentuk Kerajaan telah berlangsung secara aman lagi teratur. Dari jumlah 59 kerusi Dewan Negeri yang dipertandingkan, BARISAN NASIONAL berjaya menguasai 31 kerusi, sementara PAKATAN RAKYAT 28 kerusi, melayakkan BARISAN NASIONAL untuk sekali lagi membentuk Kerajaan Negeri. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mendapat kepercayaan rakyat untuk mewakili mereka menganggotai Dewan ini. Ucapan tahniah turut Beta zahirkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abdul Kadir yang telah diperkenankan dilantik sebagai Menteri Besar serta menubuhkan Kerajaan baru. Era berkempen telah berakhir. Penuhilah harapan rakyat – penuhilah amanah rakyat; laksanakan tanggung jawab secara dedikasi, ikhlas, jujur lagi berintegriti.

8. Beta turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, merangkumi Suruhanjaya Pilihan Raya, Anggota Perkhidmatan Awam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, pihak media, parti-parti politik dan rakyat jelata keseluruhannya yang telah memperlihatkan sikap bertanggung jawab yang tinggi hingga membolehkan pilihan raya berjalan lancar tanpa menjejaskan rutin harian kehidupan rakyat, juga membolehkan urus tadbir negeri terus berfungsi secara normal. Ia meyakinkan Beta bahawa rakyat semakin bijak menggunakan hak untuk memilih Kerajaan; ia menyakinkan Beta bahawa rakyat semakin matang menerima keputusan pilihan raya berlandaskan semangat demokrasi.

SENARIO EKONOMI

9. Ekonomi dunia masih belum terlepas dari kesan negatif krisis kewangan 2008-2009. Dunia masih menghadapi keadaan ketidaktentuan berikutan debat fiskal pasca pilihan raya Amerika Syarikat, kurang keberkesanan usaha-usaha pemulihan ekonomi di Eropah, serta gelora politik yang masih melanda Asia Barat. Setiap satunya memberi impak kepada iklim perdagangan dunia yang masih muram serta pelaburan langsung asing yang kekal suram.

10. Jurang pengeluaran masih berlaku disebabkan permintaan merosot. The Global Economic Outlook bertarikh Mei 2013 meramalkan berlaku pertumbuhan purata 2.3 peratus di Amerika Syarikat di antara tahun 2013 hingga 2018; dalam tempoh yang sama Jepun diramalkan hanya berupaya mencatat pertumbuhan tahunan 0.9 peratus; sementara pertumbuhan di kalangan ekonomi yang sedang membangun akan menguncup dari 5.5 peratus dalam tahun 2012 kepada 5 peratus dalam tahun 2013; pertumbuhan di China diramalkan menurun dari 7.8 peratus kepada 7.5 peratus dan di India pertumbuhan turut menurun dari 5.5 peratus kepada 4.7 peratus.

11. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam laporan yang diterbitkan oleh The World Economic Situation and Prospects 2013, meramalkan ekonomi global akan tumbuh pada kadar 2.4 peratus dalam tahun 2013 sebelum berupaya meningkat kepada pertumbuhan 3.2 peratus dalam tahun 2014. Kadar pertumbuhan sedemikian dilihat tidak berupaya mengatasi masalah pengangguran yang sedang dihadapi oleh banyak negara.

12. Pengangguran di Benua Eropah, secara keseluruhan mencecah 12 peratus, mengakibatkan 18.8 juta orang tiada pekerjaan. Terdapat negara tertentu sedang menghadapi krisis pengangguran yang kronik. Sepanyol menghadapi 26.6 peratus kadar pengangguran, diikuti 16.3 peratus di Portugal dan 14.6 peratus di Ireland. Perangkaan peratus pengangguran yang berlaku di kalangan belia, lebih menakutkan, 56.5 peratus di Sepanyol, 38.7 peratus di Portugal, 37.1 peratus di Itali, 29.7 peratus di Ireland, 27 peratus di Perancis.

PENCAPAIAN NEGERI

13. Alhamdulillah, Malaysia memiliki rekod berupaya menghadapi krisis-krisis besar ekonomi baik krisis kewangan 1997 begitu juga krisis kewangan 2008-2009. Malaysia kekal berdaya tahan, berupaya mencatat pertumbuhan 5.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012. Negeri Perak turut mencatat pertumbuhan KDNK positif 5.2 peratus pada tahun 2012.

14. Senario muram lagi suram yang sedang berlaku terutama di negara-negara yang telah mencapai status Negara Maju wajib dijadikan pengajaran, betapa pentingnya khazanah serta ekonomi negara diurus tadbir secara bijak, berhemah, teliti lagi berhati-hati. Pada masa yang sama adalah penting bagi rakyat sama-sama mengambil tanggung jawab untuk mewujudkan iklim ekonomi yang sihat dengan memastikan ketenteraman awam kekal terjamin – kestabilan politik tetap terpelihara; Rakyat sewajarnya bersyukur dengan nikmat kesejahteraan, keamanan serta kemakmuran yang dilimpahkan oleh ILAHI di bumi ini dengan mengambil iktibar akan peringatan ILAHI seperti yang terkandung dalam ayat 7, Surah Ibrahim yang bermaksud:

“Barang siapa bersyukur atas nikmat Ku, maka Aku akan menambah nikmat itu dan barang siapa yang ingkar atas nikmat Ku, maka sesungguhnya azab Ku sangat pedih adanya.”

15. Berkat dari kesungguhan usaha yang dilaksanakan, Kerajaan Beta berjaya meningkatkan 5.8 peratus hasil negeri, bertambah dari lapan ratus dua puluh (820.28) juta ringgit dalam tahun 2011 kepada lapan ratus enam puluh lapan (867.86) juta ringgit pada tahun 2012, lalu mengupayakan Kerajaan Beta menyediakan tiga ratus dua puluh dua (322.2) juta ringgit peruntukan pembangunan bagi tahun 2013.

16. Sektor pembinaan mendahului kadar pertumbuhan, mencatat pertumbuhan 17.3 peratus, diikuti pertumbuhan 6.3 peratus dalam sektor perkhidmatan, 4.6 peratus dalam sektor pembuatan dan 4.2 peratus dalam sektor perlombongan; sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan negatif 0.3 peratus dipengaruhi antaranya oleh faktor nilai tambah negatif 0.3 peratus kelapa sawit dan nilai tambah negatif 6.3 peratus getah.

17. Pertumbuhan besar sektor pembinaan dicerminkan melalui 2,710 kelulusan kebenaran merancang oleh Pihak Berkuasa Tempatan sepanjang tahun 2012, merangkumi 1,245 projek perumahan, 385 projek komersial, 102 projek industri dan perkilangan, 77 projek bercampur serta 901 projek-projek lain.

INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM

18. Keluasan Negeri Perak berukuran dua puluh satu ribu (21,005) kilometer persegi, dirangkaikan dengan 17,597 kilometer jalan raya terdiri dari 211 kilometer lebuh raya, 1,511 kilometer jalan Persekutuan dan 15,875 kilometer jalan Negeri, meletakkan indeks pembangunan jalan raya (Road Development Indeks-RDI) di Perak berada pada tahap sederhana 0.84. Menyedari situasi ini, usaha meningkatkan pembangunan infrastruktur jalan raya di Negeri Perak akan diberikan tumpuan selaras dengan salah satu bidang hasil utama Perak Aman Jaya, untuk membangunkan Jaringan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, sebagai pemangkin membantu pertumbuhan ekonomi.

 

19. Pada tahun 2012, tiga puluh satu (31) juta ringgit telah dibelanjakan untuk pembinaan jalan baru, mengganti jambatan dan menaik taraf jalan raya sedia ada, dan tiga puluh lapan (38) juta ringgit disediakan dalam tahun semasa.

20. Persetujuan Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat bermula dari Banting, Selangor hingga ke Changkat Jering, Perak amatlah bertepatan dan hendaklah segera dilaksanakan. Seratus tujuh puluh satu (171) kilometer dari 216 kilometer lebuh raya ini terletak di negeri Perak merentasi kawasan-kawasan dari Hutan Melintang hingga ke Changkat Jering. Kerja-kerja pengambilan tanah, melibatkan 2,518 lot sedang dirintis.

21. Rancangan Tebatan Banjir di daerah Kerian serta di daerah Larut, Matang dan Selama melibatkan peruntukan 340 juta ringgit dari Kerajaan Persekutuan. Sejak tahun 1998 bencana banjir yang sering berlaku telah menjejaskan kehidupan 30,000 rakyat, merosakkan 350 kilometer persegi kawasan-kawasan pertanian, industri, komersial dan penempatan, begitu juga kemudahan-kemudahan awam lain, seperti jalan raya, sekolah, pejabat dan klinik. Projek tebatan banjir ini telah dimulakan pada tahun 2012 dan dijangka siap pada tahun 2015. Apabila siap, ia akan dapat menyelamatkan 4,000 hektar kawasan utama jelapang padi dan 10,000 hektar kawasan tanaman kelapa sawit, di samping dapat menghindarkan kemusnahan-kemusnahan lain.

22. Dalam usaha mengatasi masalah banjir di tempat-tempat lain, 47 juta ringgit telah dibelanjakan oleh Kerajaan Beta dalam tempoh lima tahun lalu untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan 150 sungai.

23. Kerajaan bertanggungjawab membangunkan infrastruktur bekalan air yang efisien lagi berkualiti. Pembangunan infrastruktur air memerlukan pelaburan kewangan yang besar. Pada 23 Mei 2012 Kerajaan Beta telah menstrukturkan urusan air Negeri. Melalui penstrukturan tersebut, pembinaan kerja baru akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad.

24. Hutang projek bekalan air Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan telah dikurangkan daripada sembilan ratus tiga puluh tiga (932.65) juta ringgit pada November 2011 kepada tiga ratus empat puluh tiga (343.34) juta ringgit pada Julai 2013. Baki hutang akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad apabila projek-projek bekalan air yang terlibat siap sepenuhnya.

25. Di antara tahun 2011 hingga 2013, seratus tujuh puluh satu (171) program bekalan air luar bandar melibatkan perbelanjaan 45.16 juta ringgit di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk pemasangan paip sepanjang 185 kilometer telah dilaksanakan, memberi manfaat kepada 4,085 rumah.

26. Lembaga Air Perak telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial dengan memperkenalkan program subsidi bekalan air percuma, 20 meter padu sebulan kepada rakyat miskin, melibatkan perbelanjaan 4.06 juta ringgit, memberi manfaat kepada 10,375 keluarga. Mulai Januari 2013, Kerajaan Beta turut meluaskan pemberian subsidi bekalan air percuma 20 meter padu sebulan kepada masjid, surau dan rumah-rumah ibadat merangkumi tokong, kuil dan gereja yang berdaftar, memberi manfaat kepada seribu sembilan ratus sembilan puluh tiga (1,993) rumah ibadat.

PERLOMBONGAN

27. Negeri Perak pada masa ini adalah pengeluar bijih timah terbesar di Malaysia. Dalam tahun 2012, lima lombong bijih timah aktif beroperasi, menghasilkan 3.3 ribu (3,321) tan bijih, meningkat tujuh peratus daripada pengeluaran tahun 2011. Pada masa yang sama terdapat tiga lombong bijih besi, mencatatkan peningkatan penghasilan, dari 18.9 ribu (18,961) tan dalam tahun 2011 kepada 71.7 ribu (71,710) tan dalam tahun 2012. Lima belas lombong kaolin aktif beroperasi dengan peningkatan pengeluaran dari 297 ribu (297,237) tan dalam tahun 2011 kepada 311 ribu (311,038) tan dalam tahun 2012. Pengeluaran di dua lombong mika mencatatkan penurunan pengeluaran dari 4.2 ribu (4,244) tan pada tahun 2011 kepada 4 ribu (3,966) tan pada tahun 2012.

28. Bagi memastikan kelangsungan penghasilan bahan mineral, Jabatan Mineral dan Geosains turut melaksanakan kajian mencari sumber mineral baru. Kajian sumber batuan silika yang dilakukan telah mengenal pasti, rizab 4 juta tan batuan silika di Lawin dan 3 juta tan di Hulu Lasah, memiliki purata lebih 98 peratus kandungan silika.

PERHUTANAN

29. Sumber hutan negeri akan diurus berpandukan amalan pengurusan hutan secara berkekalan demi memastikan pemeliharaan alam sekitar dan perlindungan kepelbagaian hayat tidak diketepikan. Negeri Perak mempunyai 1.05 juta hektar kawasan berhutan. Satu juta hektar dari kawasan tersebut adalah Hutan Simpan Kekal, merupakan 47.6 peratus daripada keseluruhan kawasan Negeri.

30. Enam ratus sembilan puluh enam (696) kilang industri berasaskan kayu terpilih yang dilesenkan pada tahun 2012 bergantung kepada sumber hutan negeri. Kerajaan Beta akan terus meneroka peluang menjana pendapatan baru sumber hutan daripada produk-produk bukan kayu, seperti buluh, rotan, herba dan aktiviti eko pelancongan.

31. Hutan Simpan Paya Bakau Matang berkeluasan 40.5 ribu (40,538) hektar merupakan ikon pengurusan hutan paya bakau negara, diiktiraf sebagai the World’s Best Managed Mangrove Forest oleh pakar-pakar perhutanan dunia. Sehingga kini, hutan bakau ini telah ditanam tiga kali dengan pusingan tebangan setiap 20 tahun. Pendekatan ini ternyata berjaya memenuhi hasrat untuk menjamin habitat pembiakan sumber marin dan pemeliharaan alam sekitar di kawasan berkaitan.

32. Komitmen menyokong projek Central Forest Spine (CFS) dibuktikan oleh Kerajaan Beta dengan mewartakan kawasan seluas 18.8 (18,866) ribu hektar sebagai Hutan Simpan Aman Jaya. Kempen tanaman 26 juta pokok telah dilancarkan di peringkat nasional pada tahun 2010. Negeri Perak sehingga Ogos 2013 telah menanam 11.83 juta pokok, meletakkan negeri ini sebagai negeri yang telah melaksanakan tanaman bilangan pokok terbanyak di Semenanjung Malaysia.

PERTANIAN

33. Sektor pertanian adalah sektor strategik, kekal penting dan akan terus dibangunkan terutama aktiviti pengeluaran makanan. Tiga ratus empat puluh tiga ribu (343,450) tan metrik tanaman makanan dengan nilai 437 juta ringgit telah dihasilkan; meningkat sepuluh (10) peratus dari segi kuantiti pengeluaran begitu juga hasil. Usaha meningkatkan hasil terus dirintis, terutama mempergiatkan program latihan untuk menggalakkan petani mengamalkan budaya kerja tani yang moden dan lebih produktif.

PENTERNAKAN

34. Sektor penternakan terus berkembang dengan nilai keseluruhan mencecah 2.6 bilion ringgit. Penternakan ayam dan itik kekal sebagai penyumbang terbesar bernilai 1.7 bilion ringgit. Program pembiakbakaan dan pengeluaran makanan ternakan berkualiti terus dilaksanakan. Pembangunan padang ragut dan pengeluaran silaj serta biomass berasaskan batang jagung dipergiatkan. Lima puluh dua (52) padang ragut dengan keluasan 121 hektar telah dimajukan dalam tahun 2012.

PERIKANAN

35. Sepanjang tahun lalu, 315 ribu tan metrik ikan laut dengan nilai 1.7 bilion ringgit telah dihasilkan; meningkat 9 ribu tan metrik dari segi pendaratan dan 300 juta ringgit dari segi nilai hasil berbanding pencapaian tahun 2011. Sembilan ribu hektar kawasan dibangunkan untuk akuakultur. Sektor akuakultur air tawar dan air payau telah menghasilkan 123 ribu tan metrik dengan nilai 742 juta ringgit berbanding hasil 90 ribu tan metrik bernilai 532 juta pada tahun 2011. Seratus lapan (108) juta ekor ikan hiasan dengan nilai 237 juta ringgit telah dihasilkan, bertambah 77 peratus berbanding pengeluaran yang dihasilkan dalam tahun 2011.

PELANCONGAN

36. Sektor Pelancongan dilaporkan sebagai sektor yang paling pesat berkembang di Malaysia, mencatat ketibaan 25 juta pelancong dengan resit perbelanjaan 60.6 bilion ringgit dalam tahun 2012. Sektor pelancongan dalam tahun 2012, telah menyumbangkan 47.2 bilion ringgit kepada Pendapatan Kasar Nasional, berkedudukan sebagai sumber kedua terbesar perolehan pendapatan pertukaran asing, dan penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi Malaysia.

37. Kerajaan Beta telah merintis pelbagai usaha untuk membangunkan sektor pelancongan di peringkat negeri. Program Tahun Melawat Perak dilancarkan dalam tahun 2012. Pulau Pangkor dan Taiping memiliki sejarah panjang sebagai destinasi pelancongan popular. Lembah Lenggong yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia telah menambahkan satu lagi produk pelancongan yang unik lagi istimewa. Hutan Paya Laut Matang, Royal Belum, Kolam Air Panas Sungkai, Tambun Hot Spring dan Gua Tempurung adalah antara produk pelancongan semula jadi kurniaan ILAHI di bumi ini. Produk-produk pelancongan yang unik ini bukan sahaja perlu terus dipromosikan tetapi perlu dibangunkan secara lestari, diuruskan secara profesional serta dilengkapkan dengan prasarana yang memudahkan akses. Kerajaan Beta melalui Kementerian Kerja Raya sedang berusaha mendapatkan persetujuan Lembaga Lebuh Raya dan PLUS untuk membina persimpangan bertingkat bagi maksud memajukan lagi kawasan pelancongan di Gua Tempurung.

BADAN BERKANUN KERAJAAN NEGERI

38. Usaha membangunkan negeri turut diperlengkapkan dengan peranan pelbagai badan berkanun yang diwujudkan oleh Kerajaan Beta, masing-masing memberi fokus kepada bidang-bidang tertentu menurut yang ditetapkan.

39. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNPk), diamanahkan dengan tanggungjawab untuk membangunkan Bandar Meru Raya. Pembangunan Bandar Meru Raya terbahagi kepada dua komponen utama:

Pertama : Pusat Bandar Meru Raya.

Kedua : Perak High Tech Park (PHTP).

40. Bandar Meru Raya berkeluasan 821.8 hektar akan dibangunkan secara lestari sebagai satu hab untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan mempunyai ekosistem terbaik. Jumlah pembangunan kasar dianggarkan 6.5 bilion ringgit. Pembangunan Pusat Bandar terdiri dari tiga kluster utama,

Pertama : pusat perniagaan dan komersial,

Kedua : pusat pelancongan dan rekreasi,

Ketiga : perumahan.

41. Selaras dengan hasrat untuk menarik pelaburan teknologi tinggi, Taman Teknologi Tinggi Perak (PHTP) sedang dibangunkan di kawasan seluas 1.5 ribu hektar, mengandungi tiga komponen utama;

Pertama : Multimedia Super Corridor (MSC);

Kedua : Pusat Pentadbiran Kerajaan

Ketiga : Taman Perindustrian Teknologi Tinggi

42. Multimedia Super Corridor menempatkan pelbagai kemudahan merangkumi bangunan berstatus MSC, Pusat Data, Kandungan Kreatif dan Hab Pembangunan Sumber Manusia. Dua puluh empat jabatan kerajaan telah memberi komitmen untuk beroperasi di Meru Raya. Pada masa ini, sebelas syarikat berstatus MSC dan lima Jabatan Kerajaan telah pun beroperasi di Meru Raya.

43. Kerajaan Beta menyedari pentingnya pembangunan dilaksanakan secara seimbang. Untuk itu, PKNPk telah, sedang dan akan membangunkan pekan-pekan kecil. Empat pekan kecil di Bota, Lawin, Kampung Gajah dan Manjoi telah dibangunkan. Ketika ini, Ijok, Trong dan Sauk sedang dibangunkan. Di antara tahun 2013 sehingga 2018, PKNPk merancang untuk membangunkan 30 lagi pekan kecil.

44. Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah dijadikan badan korporat pada Julai 2012. Susulan daripada perkembangan tersebut, Perbadanan telah mengkaji semula skim perkhidmatan agar setanding dengan skim perkhidmatan sektor swasta dalam hasrat untuk membangunkan kumpulan pengurusan profesional yang berpengalaman luas dan berkaliber tinggi supaya daya produktiviti dan daya saing dapat ditingkatkan.

45. Perbadanan Pembangunan Pertanian kini berusaha mempelbagaikan penghasilan produk dengan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti tanaman bukan kelapa sawit. Perbadanan menyasarkan 30 peratus aktiviti tanaman bukan kelapa sawit akan dapat dicapai pada tahun 2015 merangkumi antaranya tanaman rock melon, kunyit, misai kucing dan penglibatan secara langsung dalam projek ternakan ikan tilapia untuk menjadikan Tasik Banding sebagai Taman Tilapia Negeri.

46. Dalam hasrat membangunkan aktiviti pertanian mampan, Projek Ladang Integrasi Sosial dan Agro Pelancongan telah dilancarkan, bertujuan mengekalkan pengeluaran berfaedah, di samping memelihara sumber untuk generasi muka, menyokong kehidupan sosial penduduk setempat, berdaya saing serta mesra alam. Ladang Integrasi Sosial dan Agro Pelancongan mengusahakan ladang secara menggabungkan aktiviti-aktiviti tanaman, ternakan, akuakultur dan pelancongan. Dua ratus enam puluh lapan (268) hektar kawasan akan dibangunkan untuk tujuan tersebut.

47. Sejak penubuhannya pada tahun 1983, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) telah menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan berlandaskan syariah. Ia berfungsi sebagai agensi pelaburan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Dalam tahun 2012, usaha difokuskan ke arah pembentukan sebuah organisasi yang lebih berdaya saing berpaksikan modus operandi syarikat. PKEINPk Sendirian Berhad telah ditubuhkan di bawah Akta Syarikat dengan diberikan tanggung jawab untuk merencanakan aktiviti-aktiviti ekonomi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak secara lebih dinamik, terutama dalam bidang hartanah dan wakaf.

48. Yayasan Perak diamanahkan tanggung jawab untuk menyediakan kemudahan tajaan pengajian dalam bentuk dermasiswa dan pinjaman pendidikan. Dalam tahun 2012, lima belas ribu tiga ratus (15,308) penerima telah mendapat manfaat dermasiswa, berjumlah sebelas perpuluhan empat (11,431,000) juta ringgit untuk tujuan pengajian di pelbagai peringkat.

PROGRAM SOSIAL DAN KEMASYARAKATAN

49. Kemiskinan mengandungi pelbagai dimensi, merangkumi kekurangan pendapatan, kekurangan sumber untuk menyara hidup sempurna, kekurangan nutrisi makanan, kekurangan akses pendidikan, kekurangan modal budaya dan kekurangan modal sosial. Malah kemiskinan juga dicirikan sebagai kekurangan penglibatan untuk membuat keputusan dalam kehidupan. Kemiskinan membawa kesan negatif yang boleh merosakkan akidah, meruntuhkan nilai moral serta turut menjadi punca yang menyebabkan berlakunya keruntuhan institusi keluarga.

50. Sistem e-Kasih diperkenalkan pada tahun 2008 berfungsi sebagai Bank Data Kemiskinan Nasional untuk dapat membantu urusan-urusan perancangan, perlaksanaan dan pemantauan program kemiskinan. Sehingga 31 Julai tahun ini, 35,866 Ketua Isi Rumah miskin dan miskin tegar telah didaftarkan. Melalui usaha-usaha berterusan, 25,675 Ketua Isi Rumah telah berjaya dikeluarkan dari kepompong kemiskinan. Kini hanya tinggal baki 1,452 Ketua Isi Rumah yang masih berada dalam kategori miskin tegar dan 8,739 Ketua Isi Rumah dalam kategori miskin.

51. Namun perlu disedari bahawa fenomena kemiskinan tidak pernah berhenti. Bahkan fenomena kemiskinan boleh meningkat pada satu-satu masa akibat tekanan ekonomi, lalu berlaku keadaan golongan miskin menjadi miskin tegar, golongan mudah miskin jatuh miskin, dan berlakunya kemiskinan berulang. Oleh itu, usaha membasmi kemiskinan serta pemberian bantuan kepada golongan miskin tegar dan miskin akan menjadi agenda berterusan Kerajaan.

52. Program Setinggan Sifar mula dilaksanakan pada tahun 2010. Sehingga Mac 2013, program tersebut telah berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh lebih dua belas ribu setinggan dari jumlah empat belas (14,282) ribu setinggan yang telah dikenal pasti.

53. Tujuh perpuluhan satu (7.093) juta ringgit disediakan dalam tahun 2012 untuk Program Pembiayaan Mikro Kredit yang telah memberi manfaat kepada seribu seratus penerima. Melalui Pusat Kerjaya Amanjaya, lebih sembilan ribu pencari kerja telah berjaya ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan sepanjang tahun 2012.

54. Peruntukan Negeri dan Persekutuan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat meningkat pada tahun 2012. Kerajaan Negeri telah membelanjakan dua puluh satu perpuluhan empat (21,391,063) juta ringgit dalam bentuk bantuan kepada 12,546 penerima sementara Kerajaan Persekutuan pula membelanjakan lapan puluh lapan (87,968,292) juta ringgit untuk tujuan yang sama kepada 35,848 penerima.

55. Kanak-kanak tidak pernah meminta diri mereka dilahirkan. Janin yang dikandungi dan bayi yang dilahirkan adalah susulan daripada perlakuan sama ada di kalangan remaja mahupun dewasa. Perbuatan membuang bayi adalah perbuatan zalim, demikian juga perbuatan mengabai dan mendera bayi. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah memastikan bayi dan kanak-kanak tidak menerima nasib malang – menjadi mangsa perbuatan zalim. Beta menghargai peranan pelbagai badan bukan kerajaan membantu usaha-usaha Kerajaan dan menyeru lebih ramai anggota masyarakat untuk tampil sama-sama membantu menangani masalah ini.

56. Atas kesedaran para pengusaha dan pengendali untuk memberi perkhidmatan pengasuhan dan penjagaan secara sah disisi undang-undang, 204 TASKA dan 194 Pusat Jagaan telah didaftarkan dalam tahun 2012; meningkat 500 peratus bagi TASKA dan 800 peratus bagi Pusat Jagaan berbanding status pendaftaran pada tahun 2010 Dalam usaha mempertingkatkan kualiti pengasuhan di kalangan petugas TASKA, Kerajaan telah memperluaskan Skop Insentif 1 Malaysia kepada 382 orang pengasuh di seluruh negeri untuk mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak.

57. Perolehan hasil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) meningkat 17 peratus, daripada 92 juta ringgit dalam tahun 2011 kepada 108 juta ringgit dalam tahun 2012. Lapan puluh dua (82) juta ringgit zakat diagihkan pada tahun 2012, bertambah 4.9 juta ringgit. Bahagian terbesar, berjumlah 46 juta ringgit diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin, berbentuk bantuan kewangan bulanan, bantuan persekolahan, bantuan bina dan baik pulih rumah, bantuan modal dan bantuan perubatan. Sebelas (11) juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai 11,603 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi tempatan dan luar negara. Lima perpuluhan tiga (5.3) juta ringgit dibelanjakan dalam bentuk bantuan per kapita sekolah agama rakyat, elaun guru Al-Quran dan insentif mubaligh dan 20 juta ringgit lagi untuk memenuhi asnaf-asnaf yang lain. Beberapa pendekatan baru dalam agihan zakat telah diperkenalkan. Bermula tahun 2012, anak-anak daripada keluarga asnaf fakir dan miskin turut diberikan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran.

AGAMA

58. Selaras dengan status Islam sebagai agama Persekutuan, Kerajaan Beta telah mengambil tanggung jawab membiayai program pendidikan Islam. Enam belas perpuluhan sembilan (16.9) juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2012 untuk menampung perbelanjaan Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, Tadika Islam serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). Dua puluh dua Sekolah Menengah Agama Rakyat telah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran. Madrasah Idrisiah sedang dalam proses untuk didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Sekolah Agama Rakyat orang Asli yang pertama di Malaysia telah dibangunkan pada tahun 1997 di Sungai Siput. Sekolah tersebut akan turut dinaikkan taraf ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

59. Insan beragama, mempercayai akan kewujudan Tuhan, Kepercayaan kepada Tuhan adalah prinsip pertama Rukun Negara. Perlembagaan Negara menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan; Perlembagaan Negara juga menjamin agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Insan beragama – insan yang percaya akan kewujudan Tuhan, adalah insan yang menyedari statusnya sebagai seorang makhluk bertaraf hamba disisi Penciptanya yang Agung. Insan beragama dan insan yang berpegang kepada prinsip ketuhanan akan senantiasa mengamalkan akhlak mulia, memiliki moral yang tinggi, mengamalkan integriti dan mempercayai akan adanya hari penentuan; hari yang akan mengadili amal makruf dan nahi mungkar yang telah dilakukan di dunia ini.

60. Agama adalah subjek yang sangat dekat di hati dan mempunyai ikatan emosi yang rapat dengan penganut. Dalam negara yang warganya terdiri dari penganut pelbagai agama, amatlah penting diamalkan sifat teliti dan sikap berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan memberi reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh agama. Setiap pengucapan – setiap tindakan hendaklah berasaskan fikiran rasional dan bukan dipengaruhi emosi. Sebarang pertelingkahan, tidak harus dipolimikkan – tidak harus lebih dikusutkan. Kenyataan terbuka berunsur provokatif hendaklah dielakkan. Isu agama perlu dibincangkan dalam suasana mesyuarah berlandaskan sifat keilmuan untuk membolehkan tercapainya titik persefahaman dan titik pertemuan.

61. Kompleksiti dalam menangani isu antara agama hendaklah difahami. Perselisihan berlaku, sering kali disebabkan kurang fahaman terhadap sensitiviti sesuatu isu. Ia harus ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan secara berhikmah, berupaya melihat sesuatu persoalan secara adil dan saksama, memahami pemikiran – mendalami psyche yang berada di pihak lain, demi memastikan wujud amalan saling menghormati – demi menjamin ketenteraman awam tidak akan terjejas. Suasana harmoni tidak mungkin tercapai jika setiap pihak memilih kaedah berkonfrontasi – kaedah kekerasan. Semangat yang terkandung di sebalik Perjanjian Hudaibiah yang dipelopori oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam hendaklah diselami dan dijadikan panduan supaya umat tidak berakhir dengan nasib menang sorak – kampung tergadai.

62. Tanggung jawab menangani isu agama memerlukan persefahaman semua pihak. Semoga ahli-ahli Dewan Negeri Perak tanpa mengira kabilah – tanpa mengira kumpulan politik dapat mempamerkan sebaik contoh – sebaik teladan, mengalunkan simfoni harmoni mendendangkan lirik persefahaman; secara bersama, mengelak isu agama dari disensasikan, menjauhkan isu agama daripada dijadikan modal politik. Demi memastikan kelangsungan budaya demokrasi terus segar dan subur di bumi ini, ahli-ahli Dewan Negeri Perak, sama-samalah berada di barisan hadapan, mewakili suara kesederhanaan – mendendangkan lirik persefahaman, mengalunkan simfoni keharmonian ke arah membina persekitaran beragama yang mencerminkan budaya saling menghormati.

PENUTUP

63. Negara berada diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kelima puluh enam. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu merupakan era yang telah melukis landskap baru di bumi ini. Kemerdekaan negara dirunding – diperjuangkan secara bersama oleh semua pihak di negara ini. Negara Merdeka dibangunkan dengan persefahaman tertentu yang telah dicapai di antara kaum di negara ini. Persefahaman tersebut telah menjadi akar tunjang kepada pohon perpaduan negara.

64. Suara kesederhanaan yang dibawa oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) dan rakan-rakan seangkatan telah menjadi teras utama ke arah membina sebuah negara yang kukuh bersatu – teguh berpadu, lalu dilimpahi ILAHI dengan rahmat kesejahteraan dan kemakmuran. Sejak terbentuknya sebuah negara bangsa, rakyat di negara ini telah memilih suara kesederhanaan – rakyat di negara ini telah menolak aliran pemikiran ekstremis sama ada berunsur ideologi, agama ataupun kaum.

65. Bersamalah terus dibina kekuatan negara ini melalui amalan politik yang bersandarkan semangat untuk menjalin kerjasama di antara agama – di antara kaum, baik di kalangan yang berada di dalam Kerajaan, begitu juga yang pada hari ini memenuhi peranan sebagai Pembangkang; kerana masing-masing ada peranan yang relevan lagi konstruktif.

66. Bersamalah mengambil tanggung jawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terus terjamin. Bersamalah memberikan kerjasama untuk meringankan tugas berat pasukan keselamatan dalam menghadapi cabaran harian terutama memerangi jenayah. Tugas memerangi jenayah adalah juga tugas dan tanggung jawab setiap warga kerana penjenayah tidak tinggal dan tidak bergerak dalam isolasi. Tugas Pasukan Keselamatan akan lebih dapat ditumpukan kepada tugas menangani jenayah, jika warga dapat mengurangkan kerenah-kerenah yang telah sekian lama, mencuri masa – mencuri tenaga – mencuri tumpuan anggota Pasukan Keselamatan. Bersamalah mengambil tanggung jawab untuk memastikan negara kekal aman, tenteram, stabil dan makmur. Bersamalah mengambil tanggung jawab meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang.

67. Beta amat menghargai peranan dan pengorbanan anggota Pasukan Keselamatan, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan mengekalkan negara berada dalam suasana aman lagi tenteram. Beta menghargai hasrat Mamanda Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk mentadbir urus Kerajaan Beta menjadi sebuah negeri yang makmur dan maju, aman dan jaya. Beta menghargai peranan setiap ahli Dewan Negeri dari kedua-dua belah pihak, sebagai anggota cabang perundangan – memenuhi peranan semak dan imbang kepada cabang eksekutif, demi memastikan Kerajaan Beta diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang adil lagi saksama, dihormati lagi berintegriti.

68. Semoga Persidangan Dewan Negeri Ketiga Belas ini dapat berlangsung dalam suasana terhormat, berupaya menghasilkan pandangan bernas melalui perbahasan yang penuh bersopan, tertib lagi beradab. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan perlindungan serta melimpahkan kemakmuran kepada Raja, rakyat dan negeri. Amin Ya Rabul Alamin.

69. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak Ketiga Belas.

Wabillahi taufik, walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: