Bismillahi Rahmani Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wassolatu Wassalamu’ala Ashrofil Anbia Iwal Mursalin, Wa’ala Alihi Wasohbihi Ajma’in.
2. Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala, Dia Maha Esa, Tuhan sekalian alam; berkuasa di langit dan di bumi; Dia berkuasa ke atas segala sesuatu, Maha Bijaksana – Maha Mengetahui akan yang terbaik bagi ciptaan Nya. Dialah yang akan menentukan balasan ke atas amalan baik – amalan buruk manusia.
3. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
4. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dari Nya jua, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Kedua, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas.
5. Ekonomi global memperlihatkan pemulihan meskipun pada kadar perlahan. Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa yang diterbitkan pada Oktober 2013, mengunjurkan ekonomi global tumbuh pada kadar 3.6 peratus dalam tahun 2014 berbanding kadar pertumbuhan 2.9 peratus dalam tahun 2013; didorong oleh pertumbuhan ekonomi lebih baik di kalangan negara maju. Pertumbuhan ekonomi di kalangan negara membangun dianggarkan berkembang pada kadar 5.1 peratus pada tahun semasa berbanding 4.5 peratus pada tahun lepas.
6. Permintaan dalam negeri sektor swasta diunjurkan akan terus menyokong aktiviti ekonomi di Malaysia. Namun pengguna diramal akan mengawal perbelanjaan susulan daripada langkah rasionalisasi subsidi, dalam usaha Kerajaan mahu mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara. Pertumbuhan ekonomi global yang diramalkan lebih baik untuk tahun semasa diharapkan menyokong pemulihan eksport. Berpandukan laporan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara dalam tahun 2014 dijangkakan pada kadar empat perpuluhan lima ke lima perpuluhan lima peratus (4.5% – 5.5%); sementara inflasi akan berlaku pada kadar tiga keempat peratus.
7. Dalam tahun 2013, hasil negeri mencecah lapan ratus lapan puluh satu (880.93) juta ringgit, meningkat satu perpuluhan lima (1.5) peratus berbanding perolehan hasil pada tahun 2012. Kerajaan Beta akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan. Tiga ratus tiga puluh sembilan (338.98) juta ringgit diperuntukkan bagi maksud pembangunan, meningkat lima perpuluhan dua (5.2) peratus berbanding peruntukan pembangunan yang diluluskan bagi tahun 2013.
8. Kemudahan-kemudahan prasarana merupakan keperluan asas untuk melonjakkan pembangunan negeri. Tiga puluh lapan (37.99) juta ringgit telah dibelanjakan dalam tahun 2013 untuk projek-projek jalan raya dan jambatan. Indeks Pembangunan Jalan Raya di negeri Perak meningkat daripada kosong perpuluhan lapan (0.84) kepada satu perpuluhan tiga (1.3).
9. Pada 20 Disember 2013, Kerajaan Persekutuan telah memuktamadkan perjanjian konsesi bagi pembinaan 316 kilometer Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Changkat Jering. Seratus tujuh puluh dua (172) kilometer lebuh raya tersebut merentasi negeri Perak, mempunyai sebelas (11) persimpangan bertingkat dan plaza tol.
10. Pembinaan lebuh raya sepanjang sembilan belas kilometer dari Jambatan Sungai Bernam, Hutan Melintang ke Jambatan Sultan Yussuf, Teluk Intan akan dimulakan pada Jun 2014, dijadualkan siap pada tahun 2017. Berdasarkan Perjanjian Konsesi, keseluruhan lebuh raya dijadualkan siap pada tahun 2019.
11. Dalam usaha mengatasi kesesakan trafik di persimpangan bertingkat dan plaza tol Kuala Kangsar, PLUS sedang menaik taraf prasarana sedia ada. Kerja-kerja telah bermula pada April 2013 dan dijangka siap pada Disember 2014. PLUS juga sedang melaksanakan projek Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu yang dijadualkan siap pada penghujung tahun 2016. Kerajaan Beta sedang berusaha mendapatkan peruntukan sembilan puluh juta ringgit daripada Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja pelebaran jalan sepanjang dua belas kilometer dari Tol Plaza Alor Pongsu ke Bagan Serai.
12. Pemanasan global telah menyebabkan negara secara keseluruhannya menghadapi pengurangan taburan hujan yang mengakibatkan penyusutan bekalan air mentah di kawasan-kawasan tadahan.
13. Dalam tahun 2013, jumlah penggunaan air meningkat tiga perpuluhan dua peratus. Lembaga Air Perak telah membelanjakan lapan puluh tujuh (87.19) juta ringgit untuk meningkatkan prasarana bekalan air. Memandangkan air adalah sumber penting kehidupan, Lembaga Air Perak wajar memperkenalkan dimensi baru program tanggungjawab sosial dengan menganjurkan program pendidikan penggunaan air secara berhemah, serta program mendidik rakyat untuk tidak melakukan pencemaran terhadap sumber air serta tidak melakukan pembaziran.
14. Segala persiapan wajib dilakukan demi menjamin sumber air dari segi kualiti serta kuantiti tidak terjejas untuk menghadapi kemungkinan berlakunya kemarau secara berpanjangan. Langkah jangka panjang dirintis bagi memastikan bekalan air terus terjamin melalui inisiatif-inisiatif mengenal pasti punca baru. Penggunaan air bawah tanah telah mula diterokai. Kaedah baru, Sistem Penapisan Tebing Sungai sebagai sumber alternatif telah dilaksanakan di Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri. Projek perintis ini berupaya menghasilkan dua puluh lima ( 25 ) juta liter sumber air mentah sehari.
15. Hutan berperanan sebagai kawasan takungan semula jadi. Memahami hakikat ini, Beta memandang berat aktiviti-aktiviti yang melibatkan kawasan-kawasan tadahan dan hutan simpan. Penerokaan hutan dan projek pembangunan yang tidak terkawal akan menyebabkan kuantiti takungan dan kualiti air merosot.
16. Usaha menambah keluasan kawasan berhutan dan menghijaukan negeri akan terus dipertingkatkan. Hutan Simpan Amanjaya di Gerik meliputi kawasan seluas sembilan belas ribu (18,866) hektar telah diwartakan untuk menambah kawasan hutan simpanan kekal selain berperanan mencantumkan blok-blok hutan yang terpisah. Usaha menghutankan semula sebahagian daripada Hutan Simpan Amanjaya yang terosot (degenerated) turut membantu usaha mitigasi kesan perubahan iklim. Enam ribu seratus empat puluh dua (6,142.14) hektar lagi akan diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal iaitu Hutan Simpan Teluk Muroh, Hutan Simpan Piah, Hutan Simpan Lekir Muroh dan Hutan Simpan Kelip-kelip. Sektor korporat digalakkan menyertai usaha mengurangkan pelepasan karbon dengan menyertai aktiviti menanam pokok hutan melalui skim Offset-Carbon yang dirancang.
17. Sepanjang tempoh Rolling Plan Pertama hingga Rolling Plan Ketiga, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan lima perpuluhan empat bilion (5,409,051,159) ringgit bagi melaksanakan tujuh ratus tiga puluh tiga (733) projek baru. Sehingga Mac 2014, seratus sembilan puluh (190) projek telah siap manakala bakinya masih dalam pelaksanaan.
18. Di antara projek besar yang sedang dilaksanakan adalah Rancangan Tebatan Banjir di daerah Kerian dan di daerah Larut, Matang dan Selama, melibatkan peruntukan tiga ratus empat puluh (340) juta ringgit. Projek ini telah dimulakan pada akhir tahun 2012, kini mencapai tahap pelaksanaan empat puluh peratus dan dijangka siap pada tahun 2015.
19. Projek Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa 1 yang melibatkan Kolam Pinji dan Kolam Klebang akan dibangunkan sebagai kolam takungan banjir dan dijangka siap pada tahun 2015. Projek tersebut apabila siap akan dapat mengurangkan masalah banjir di kawasan Lembangan Sungai Pari dan Sungai Pinji di Ipoh yang melibatkan kawasan seluas enam belas ribu (16,000) hektar.
20. Dalam tahun 2014, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan tiga puluh tiga (33) projek baru dan seratus empat puluh satu (141) projek sambungan dengan siling peruntukan lapan ratus tiga puluh empat (834.38) juta ringgit. Projek-projek yang dirancang pada tahun ini antaranya adalah Perumahan Rakyat Bandar Baru Segari; pembinaan sekolah-sekolah menengah di Proton City, di Kampung Bahagia, Teluk Intan dan di Kampung Bawong, Sungai Siput; Pusat Penyelamat Spesies Hidupan Liar serta Bangunan Arkib Negara Malaysia.
21. Pelaburan berkualiti, berimpak tinggi, menghasilkan produk nilai tambah bermutu tinggi, memiliki kesan pengganda kepada keseluruhan rantaian ekonomi, serta membantu pertumbuhan dan perkembangan aktiviti hiliran, adalah pelaburan yang diberikan keutamaan.
22. Dua perpuluhan empat (2.361) bilion ringgit pelaburan diluluskan pada tahun 2013; lapan ratus tujuh puluh dua (871.7) juta ringgit pelaburan domestik dan satu perpuluhan lima (1.49) bilion ringgit pelaburan langsung asing. Pada masa yang sama, pelabur-pelabur sedia ada turut memperbesar dan mempelbagaikan operasi. Projek pembesaran yang telah diluluskan, domestik dan asing, masing-masing bernilai tujuh ratus dua puluh empat (724.4) juta ringgit dan satu perpuluhan satu (1.1) bilion ringgit.
23. Sejarah memperlihatkan pembangunan industri secara pesat dan transformasi ekonomi yang berlaku di negara-negara maju; di Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Jepun dan Korea Selatan, sebahagian besarnya dipacu oleh industri-industri berasaskan besi waja. Malah China dan India sejak sepuluh tahun lalu telah memulakan usaha meningkatkan mutu dan kuantiti pengeluaran besi waja untuk memacu pembangunan ekonomi masing-masing.
24. Surah ke-57 Al-Quran Al-Karim mengandungi 29 ayat. Surah tersebut diturunkan di Madinah; dinamakan Surah “Al-Hadid” bererti ‘besi’. Perkataan ‘besi’ terkandung dalam ayat 25 surah tersebut; antara lain firman Allah Subhanahu Wata’ala membawa maksud:
Petikan:
“… Dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) …”
Surah Al-Hadid (59:25)
25. Projek hab pengedaran bijih besi serantau di Manjung adalah projek yang mengusahakan bahan besi. Projek tersebut, walaupun masih di peringkat pembinaan, telah memberi impak berganda, mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan perkhidmatan, di samping berpotensi mencetuskan pelbagai aktiviti hiliran. Malah projek ini, walaupun belum beroperasi sepenuhnya telah menjadi salah satu pemacu utama kepada pencapaian pertumbuhan ekonomi negeri.
26. Bijih timah yang terkandung di perut bumi negeri Perak adalah sumber rezeki yang menjadi faktor tarikan kepada migrasi pelombong dan pedagang dari Tanah Besar China, begitu juga minat kuasa Barat untuk bertapak di negeri Perak. Di peringkat kegemilangannya, Lembah Kinta menghasilkan lebih satu pertiga keluaran bijih timah dunia. Dalam tahun-tahun lima puluhan sehingga awal tujuh puluhan, Perak adalah antara negeri terkaya di negara ini. Kekayaan sumber bijih dari negeri ini turut dinikmati manfaatnya oleh negara. Potensi sektor perlombongan untuk menjana pendapatan negeri, kini kembali diberikan perhatian. Kerajaan Beta sedang menyediakan Pelan Induk Perlombongan dalam hasrat mahu membangunkan sektor perlombongan secara lestari.
27. Projek Kinta Lake District melibatkan kawasan seluas enam ratus (594.5) hektar berdekatan Tronoh dirancang untuk dibangunkan oleh pihak swasta. Di samping komponen perumahan, pusat komersial dan kawasan rekreasi, pembangunan bernilai kasar enam bilion ringgit ini turut menyediakan tapak untuk menempatkan Institusi Pengajian Tinggi dari dalam dan juga luar negara.
28. Lapan juta ringgit diperuntukkan untuk pelbagai aktiviti pelancongan. Di samping menyertai pelbagai program promosi bersempena Tahun Melawat Malaysia, usaha-usaha terus dilaksanakan untuk menambah baik produk sedia ada, di samping memperkenalkan produk baru. Sebuah Taman Tema berasaskan ICT dan animasi, menggabungkan kandungan kreatif dan teknologi akan dibangunkan di bandar baru Meru. Projek ini melibatkan pelaburan bernilai tiga ratus enam puluh (360) juta ringgit, akan dibangunkan secara bersama oleh Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dengan sebuah syarikat dari Australia. Galeri Arkeologi di Lembah Lenggong telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan tujuh perpuluhan tiga (7.32) juta ringgit untuk kerja-kerja pengambilan tanah dan kerja-kerja menaik taraf galeri tersebut.
29. Sektor pertanian berperanan kritikal memastikan keperluan bekalan makanan dapat dipenuhi. Negeri Perak menghasilkan dua ratus sembilan puluh lima (294.84) juta kilogram padi, tiga puluh lima (35.21) juta kilogram sayur dan dua puluh (20.35) juta kilogram hasil tanaman ladang – tanaman kontan. Tanaman-tanaman industri; kelapa sawit, getah, kelapa, dan koko merupakan komponen terbesar, mengeluarkan hasil bernilai satu perpuluhan empat (1.351) bilion ringgit. Dalam tahun 2013, nilai pengeluaran pertanian negeri Perak berjumlah dua perpuluhan satu (2.069) bilion ringgit. Empat ribu tujuh ratus (4,697) hektar kawasan dirizabkan untuk padang ragut. Seratus enam puluh tujuh (167) hektar, telah dibangunkan dalam tahun 2013. Sehingga tahun 2013 empat ribu seratus (4,104) hektar padang ragut telah dibangunkan secara kumulatif.
30. Dua puluh peratus pendaratan ikan negara dihasilkan oleh negeri Perak. Pendaratan tiga ratus tujuh (307.18) ribu tan metrik dalam tahun 2013, menurun tiga (2.73) peratus berbanding pendaratan dalam tahun 2012. Penurunan jumlah pendaratan antaranya disebabkan oleh penguatkuasaan terhadap garis lintang saiz mata pukat tunda dan penguatkuasaan ke atas pukat sorong. Langkah pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa adalah penting, tidak boleh dikompromikan dan wajib dipertingkatkan demi memastikan kelestarian sumber bekalan ikan laut. Meskipun berlaku pengurangan pendaratan, namun nilai harga ikan laut meningkat daripada satu perpuluhan tujuh (1.69) billion ringgit pada tahun 2012 kepada satu perpuluhan lapan (1.79) bilion ringgit pada tahun 2013. Tujuh puluh satu (71) ribu tan metrik ikan ternakan akuakultur bernilai empat ratus enam (406) juta ringgit dan lima puluh tiga (53) juta ekor ikan hiasan bernilai enam puluh sembilan (69) juta ringgit, dihasilkan sepanjang tahun 2013.
31. Keamanan dan kestabilan sesebuah negara turut dipengaruhi oleh kebijaksanaan negara mengagih kekayaan secara saksama. Negara yang sejahtera adalah negara yang mendapat keampunan ILAHI – ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’ seperti yang digambarkan dalam Al-Quran, ayat 15 Surah Saba. Program-program membangunkan kawasan luar bandar, masyarakat Orang Asli, rakyat miskin dan Orang Kurang Upaya akan terus dilaksanakan.
32. Salah satu usaha untuk membangunkan negeri secara seimbang demi manfaat masyarakat di luar bandar adalah melalui program mewujudkan Pekan Kecil. Bagi tempoh 2013 hingga 2018, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merancang untuk membangunkan empat puluh satu (41) Pekan Kecil. Pekan-pekan Kecil di Ijok, Trong dan Sauk dijangka siap pada penghujung tahun ini sementara sepuluh Pekan Kecil lagi akan dimulakan pembinaannya.
33. Kawasan seluas dua belas perpuluhan satu (12.14) hektar telah disediakan untuk Pusat Transformasi Mini Kampung Orang Asli Bawong, mengandungi komponen-komponen masjid, sekolah menengah dan asrama, ruang pentadbiran dan perniagaan, terminal bas dan kilang koko. Program bernilai hampir dua ratus (200) juta ringgit ini turut memberi manfaat kepada penduduk berhampiran serta kepada dua puluh lapan (28) penempatan orang asli.
34. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan sembilan puluh tiga (93.37) juta ringgit, memberi pelbagai bantuan bulanan kepada tiga puluh enam (36.28) ribu kes, di samping itu dua puluh dua (22.31) juta ringgit disalurkan kepada hampir sebelas ribu (10,843) kes bantuan am; sementara pelbagai usaha dirintis di kalangan dua puluh enam (26.35) ribu Orang Kurang Upaya agar dapat dipadankan bekerja dalam pelbagai sektor mengikut kelayakan dan penerimaan majikan.
35. Dalam tahun 2013, Yayasan Bina Upaya telah membiayai sembilan belas (18.79) juta ringgit pinjaman mikro kredit dan perumahan, tiga perpuluhan lapan (3.76) juta ringgit Skim Bantuan Makanan Bulanan serta hampir sembilan ratus (888.19) ribu ringgit Bantuan Perayaan.
36. Perumahan adalah keperluan asas. Menyediakan rumah untuk rakyat adalah satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dipenuhi oleh kerajaan. Ketika ini berlaku jurang di antara rumah yang dibina oleh kebanyakan pemaju dengan rumah yang mampu dibeli oleh majoriti rakyat yang sangat memerlukannya. Oleh itu amatlah perlu dirangka dasar perumahan yang dapat mengimbangkan kepentingan perniagaan dengan keperluan sosial. Kerajaan Beta sedang berusaha memastikan perumahan mampu milik dibina dengan bilangan yang mencukupi. Dua ratus empat puluh (240) unit Perumahan Rakyat Simpang Perdana di Taiping telah disiapkan. Seratus (100) unit Perumahan Rakyat di Daerah Kerian dan seratus lima puluh (150) unit di Hilir Perak telah dilancarkan pada tahun 2013. Dua puluh empat perpuluhan empat (24.4) juta ringgit disediakan bagi Projek Penempatan Semula Nelayan di Pulau Pangkor, untuk membina seratus tiga puluh sembilan (139) unit pangsapuri di Teluk Baru dan tiga puluh sembilan (39) unit di Pasir Bogak. Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah dipertanggungjawabkan pada tahun 2013 untuk membangunkan sepuluh ribu unit rumah mampu milik untuk dapat disiapkan menjelang tahun 2018.
37. Program pendidikan adalah pelaburan untuk membangunkan modal insan. Telah terbukti bahawa program pendidikan adalah program paling berkesan dan paling berjaya membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat. Para guru berjasa besar menunaikan amanah mengilmukan anak-anak pelajar. Khidmat dan jasa para guru wajib dihargai dan diberikan apresiasi setimpal. Di samping menyediakan prasarana fizikal serta tenaga pendidik, pelbagai program pelengkap diperkenalkan; antaranya bantuan persekolahan, bantuan pengangkutan, bantuan makanan asrama, rancangan makanan tambahan, biasiswa serta pinjaman pelajaran.
38. Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Yayasan Perak, saling berperanan menjayakan program pendidikan terutamanya membantu mereka yang berlatar belakang keluarga berpendapatan rendah agar setiap insan yang berpotensi mempunyai peluang yang saksama untuk melanjutkan pelajaran.
39. Fahaman serta penghayatan Islam adalah komponen penting kepada pembinaan insan berilmu, berakhlak dan berintegriti. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah teras pegangan umat Islam di negeri ini. Namun realiti dunia yang lebih terbuka turut mendedahkan umat Islam kepada pelbagai pengaruh fahaman lain. Usaha-usaha perlu dilakukan secara bijak lagi berhemah mendidik umat Islam agar teguh berpegang kepada prinsip ahli Sunnah Wal Jamaah, tanpa perlu memburuk-burukkan dan menyinggung perasaan pihak lain secara keterlaluan sehingga mencetuskan persengketaan dan mengakibatkan berlakunya permusuhan. Jadikan pedoman peringatan ILAHI yang terkandung dalam ayat 46 Surah Al Anfal:
Petikan:
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan mu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”
Surah Al-Anfal (8:46)
40. Aspek bimbingan, dakwah dan latihan perlu dilaksanakan secara lebih berkesan agar kefahaman dan penghayatan ummah dapat ditingkatkan. Konflik antara fahaman begitu juga salah faham antara agama tidak akan dapat diselesaikan melalui kaedah berkonfrontasi. Budaya saling menghormati perlu senantiasa dijadikan pedoman dalam menangani masalah perbezaan fahaman sesama Islam dan konflik isu antara agama.
41. Dalam usaha melahirkan pegawai agama, imam, pendakwah dan pegawai masjid yang berwibawa, tiga (3.1) juta ringgit dibelanjakan untuk pembinaan baru serta menaik taraf Maahad Tahfiz Darul Ridzuan di daerah-daerah Kerian, Kuala Kangsar, Manjung, Batang Padang dan Hulu Perak.
42. Alhamdulillah kesedaran menunaikan zakat semakin meningkat baik di peringkat individu, begitu juga di kalangan Badan-badan Berkanun Kerajaan serta badan-badan perniagaan. Kutipan zakat terus meningkat daripada seratus tiga (103) juta ringgit pada tahun 2012 kepada seratus tiga belas (113) juta ringgit pada tahun 2013. Agihan zakat juga turut bertambah daripada lapan puluh dua (82) juta ringgit pada tahun 2012 kepada seratus satu (101) juta ringgit pada tahun 2013.
43. Urusan menunaikan zakat akan dipermudahkan. Pada bulan April ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak akan melancarkan Program Potongan Zakat Berjadual dengan menyediakan kemudahan melakukan potongan gaji bulanan secara dalam talian (on-line) di kalangan kakitangan awam dan swasta.
44. Dalam hasrat mahu menambah baik sistem penyampaian, usaha inovasi terus dirintis dan diperkenalkan oleh anggota perkhidmatan awam. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada Jabatan Perikanan atas kejayaan mencipta inovasi baru, sistem fototaktik dan air limpah bagi pengasingan rega udang galah; inovasi tersebut memenangi anugerah ‘Excellence Award’ di ‘International Convention on Quality Control Circles’ yang berlangsung di Taiwan pada bulan Oktober 2013. Jabatan Kerja Raya telah dianugerahkan Pingat Perak bagi inovasi papan tanda sementara, road stand dan tiang kilometer, di ‘International Trade Fair’ yang berlangsung di Nuremberg, Jerman. Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah telah memenangi dua pingat emas dan pingat emas istimewa dari ‘Malaysian Invention & Design Society’, mengatasi lebih empat ratus penyertaan dari dalam dan luar negara dalam Pertandingan Inovasi di Universiti Malaysia Perlis. Kontinjen Polis Perak turut mengharumkan nama negeri. Balai Polis Kampung Rapat dan Balai Polis Bercham masing-masing diiktiraf juara kategori A dan kategori B dalam pertandingan ‘Balai League Table Se Malaysia’ sementara bagi kategori C, Balai Polis Pantai Remis diiktiraf Naib Juara.
45. Indeks Kadar Jenayah di Negeri Perak berjaya diturunkan daripada lapan ribu lima ratus tiga puluh lima (8,535) kes dalam tahun 2012 kepada tujuh ribu empat ratus dua puluh sembilan (7,429) kes dalam tahun 2013. Indeks ini mencerminkan keberkesanan program memerangi jenayah Polis Diraja Malaysia. Usaha-usaha Polis Diraja Malaysia membanteras jenayah dan menguatkuasakan undang-undang wajib diberikan sokongan padu.
46. Pentadbiran Tanah telah berjaya meningkatkan kecekapan urusan Pendaftaran Urus Niaga dan Pendaftaran Bukan Urus Niaga, dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari, malah 67 peratus urusan dapat diselesaikan dalam masa kurang daripada dua jam, meletakkan Negeri Perak antara negeri teratas dengan prestasi konsisten pencapaian 100 peratus Pendaftaran Urus Niaga dan Pendaftaran Bukan Urus Niaga tanah. Pentadbiran tanah yang cekap akan dapat membantu memesatkan usaha-usaha pembangunan sekali gus meningkatkan keyakinan para pelabur. Usaha menggantikan Tanah Rizab atau Tanah Simpanan Melayu memenuhi sasaran. Kesemua kawasan Tanah Rizab atau Tanah Simpanan Melayu yang dibatalkan telah diluluskan penggantiannya.
47. Usaha-usaha kreatif dan inovatif hendaklah terus digalakkan dan diberikan pengiktirafan sewajarnya. Sistem penyampaian yang cekap dan pantas bukan sahaja memberikan imej positif kepada Kerajaan, malah turut menggembirakan rakyat. Sayidina Ali bin Abi Talib Karamallahu Wajhah, pernah mengatakan:
Petikan:
“… janganlah kamu menangguhkan sesuatu pekerjaan yang diamanahkan kepada kamu untuk diselesaikan hari ini, kerana hari esok akan ada masalah lain yang perlu kamu selesaikan.”
48. Usaha-usaha membangunkan negeri serta usaha-usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat adalah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh setiap Kerajaan. Ketika di dunia, kejayaan dan kegagalan pemimpin akan diadili rakyat. Ketika di akhirat, ia adalah tanggung jawab yang akan turut diadili oleh Tuhan Rabbul Jalil.
49. Pemerintahan yang adil lagi saksama; akan dilimpahi rahmat dan mendapat keberkatan ILAHI, negaranya aman lagi makmur, rezeki dikurniakan – kekayaan dilimpahkan, lalu rakyatnya hidup rukun lagi sejahtera. Pemerintahan yang adil lagi saksama akan mendapat penghargaan serta apresiasi dan akan terus mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat. Semoga Kerajaan Beta di bawah pimpinan Mamanda Menteri Besar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta dengan kerjasama padu daripada jentera pentadbiran awam, akan mendapat petunjuk dan bimbingan ILAHI menyempurnakan tanggung jawab dan amanah, secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintegriti.
Yang Dipertua Dewan Negeri
49a. Pada pagi Sabtu, 8 Mac 2014, negara digemparkan berita kehilangan pesawat (Boeing 777-200ER); MH 370 milik Malaysian Airline System (MAS), dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju Beijing. Pesawat tersebut membawa dua belas (12) anak kapal dan dua ratus dua puluh tujuh (227) penumpang terdiri daripada empat belas warga negara. Operasi mengesan pesawat yang hilang, tidak ada contoh duluannya (precedent); memperlihatkan berlakunya kerjasama di kalangan dua puluh enam (26) negara, menggunakan instrumen peperangan bagi tujuan murni keamanan. Langit negara diselubungi mendung kedukaan sejak berlakunya tragedi malang MH370. Pahit penantian tentunya lebih dirasai oleh anggota keluarga dan sanak saudara kepada dua ratus tiga puluh sembilan anak kapal dan penumpang. Mereka terus berdoa – mereka terus meletakkan harapan; kita juga sama berdoa – kita juga meletakkan harapan agar operasi mengesan pesawat yang hilang menemui kejayaan.
49b. Manusia dianjurkan berusaha; ALLAH juga penentu kepada segalanya. Dalam sidang akhbar pada malam 24 Mac 2014, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan rumusan daripada pelbagai analisis yang dilakukan; bahawa pesawat MH370 dipercayai berakhir di Lautan Hindi. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selanjutnya membentangkan usul khas berkaitan tragedi MH370 di Dewan Rakyat pada 25 Mac 2014. Ia pengumuman yang amat berat untuk diucapkan oleh lidah; ia pengumuman yang lebih berat untuk dapat diterima oleh gendang telinga para anggota keluarga dan sanak saudara. Ia pengumuman yang amat meluluhkan hati – menghiris perasaan. Atas tanda simpati, atas rasa sama-sama berdukacita dan hiba dengan pengumuman sedih tersebut, Beta telah menitahkan untuk bendera di negeri Perak Darul Ridzuan dikibarkan separuh tiang pada 26 Mac 2014.
49c. MH370, tragedi amat menyayat hati; diselubungi pelbagai misteri. YA ALLAH, Tuhan yang Maha Mengetahui, makbulkan doa kami – jayakan operasi kami, agar terungkai kekusutan yang sedang kami hadapi; semoga terhenti segala spekulasi. Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang kali ini, merakamkan penghargaan kepada segala usaha yang sedang dirintis oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai negara dan pelbagai pihak. Dewan Undangan Negeri yang bersidang pagi ini, merakamkan rasa simpati, hiba dan dukacita kepada keluarga anak kapal dan para penumpang pesawat MH370. Ya ALLAH, Engkau ringankan tanggungan kepiluan mereka, Engkau anugerahkan mereka kekuatan menghadapi dugaan berat Mu ini, Engkau kurniakan sebaik-baik ganti kepada apa yang telah Engkau ambil kembali. Sebagai tanda simpati kita kepada mereka, marilah kita berdiri tanda menghormati, sambil bertafakur selama satu minit, memohon sebaik-baik doa dari Yang Maha Mencipta.
50. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas.
Wabillahi taufik, walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.