Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Yang Di Pertua Dewan Negeri
Alhamdulillah, BETA bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, BETA dapat berangkat untuk menyempurnakan Perasmian Penggal Kedua, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kedua Belas.
2. Krisis ekonomi dunia turut menjejaskan prestasi pencapaian ekonomi negara. Pada tahun 2008, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh pada kadar 4.6%, lebih rendah dari unjuran 5.7%. Pertumbuhan yang masih kekal positif itu, membantu mengurangkan impak negatif terhadap negara berbanding dengan beban lebih berat yang terpaksa ditanggung oleh negara-negara besar. Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan negara-negara Kesatuan Eropah, masing-masing menyuntik pakej rangsangan ekonomi sebagai langkah untuk memulihkan keadaan ekonomi masing-masing.
3. Malaysia turut memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi; pakej pertama bernilai 7 bilion ringgit dan pakej kedua bernilai 60 bilion ringgit. Alhamdulillah, langkah-langkah ke arah pembaikan telah mula memperlihatkan kesan positif. Ini diperkukuhkan dengan langkah Bank Negara Malaysia mengekalkan dasar semalaman (OPR) penanda aras pinjaman pada paras 2.0%, serta tanda-tanda awal pemulihan dalam sektor perladangan begitu juga sektor pembinaan. Semoga tanda-tanda positif ini memberikan keyakinan bahawa ekonomi negara InsyaAllah akan bertambah baik. Dalam pada itu, Kerajaan BETA harus terus berwaspada kepada ketidaktentuan iklim global dengan pelbagai kemungkinan; terkini influenza A (H1N1) telah mencetuskan cabaran baru, berkemungkinan besar menjejaskan sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan. Untuk itu, Kerajaan BETA akan senantiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam menangani krisis ekonomi semasa dan pada masa yang sama akan menyediakan perancangan yang mantap untuk mencapai matlamat Perak Maju 2015.
4. Langkah Kerajaan BETA menubuhkan Majlis Ekonomi Negeri Perak amatlah wajar. BETA percaya badan perundingan ini yang dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi, ahli-ahli akademik, serta wakil-wakil dari industri begitu juga wakil-wakil dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan akan dapat mencetuskan idea-idea baru dalam usaha menangani krisis ekonomi semasa di samping dapat pula membantu merangka hala tuju pembangunan negeri.
5. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, Negeri Perak telah diluluskan 10.05 bilion ringgit peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan. Di samping itu Kerajaan Negeri pula memperuntukkan 1.3 bilion ringgit. Di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan 297 juta ringgit. Kerajaan BETA amat menghargai peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri Perak Darul Ridzuan. Demi faedah rakyat, di samping untuk dapat memberi kesan hiliran dan kesan limpahan yang segera, jentera pentadbiran diseru melaksanakan program-program yang telah diberikan kelulusan itu secara cepat lagi berkesan.
SISTEM PENYAMPAIAN KERAJAAN
6. BETA gembira dengan usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri Perak Darul Ridzuan. Beberapa kemudahan dan kaedah perkhidmatan baru telah diperkenalkan, antaranya: pembayaran cukai tanah dan pinjaman pendidikan melalui Sistem Perbankan Internet dan Pejabat Pos; khidmat pesanan ringkas (sms), e-mel dan semakan secara on-line bagi mengetahui status permohonan pinjaman pendidikan; dan sistem pemprosesan pelan pemajuan melalui Pusat Sehenti di Pihak Berkuasa Tempatan. Dalam usaha mendampingi rakyat untuk memahami masalah mereka, jentera pentadbiran telah menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan di peringkat negeri dan daerah. Dalam hasrat untuk mengoptimumkan produktiviti dan mengurangkan kos, jentera pentadbiran hendaklah terus melakukan penambah baikkan, bersedia meninggalkan kaedah lapuk, berani meneroka idea baru dan terbuka kepada inovasi.
PRASARANA
7. Pelbagai projek prasarana telah, sedang dan akan dilaksanakan. Jabatan Kerja Raya telah membina 227 kilometer jalan dan 16 jambatan, sementara 17 jambatan sedia ada dinaikkan taraf. Jalan Sabak Bernam ke Hutan Melintang sepanjang 12 kilometer, dengan kos 58 juta ringgit dan jejantas pejalan kaki di Kuala Kurau dengan kos 4.3 juta ringgit telah siap dibina.
8. Seratus tiga puluh tujuh bangunan kerajaan melibatkan kos 412 juta ringgit telah disiapkan, antaranya ialah kampus Kolej Islam Perak Darul Ridzuan yang melibatkan kos 61 juta ringgit. 163 projek lagi melibatkan kos 332 juta ringgit, masih dalam peringkat pembinaan; ini termasuk jalan sepanjang 33 kilometer dengan kos 22 juta ringgit menghubungi Jalan Stesen Alor Pongsu ke Bukit Merah di Kerian. Projek-projek baru yang akan dilaksanakan ialah projek menggantikan Jambatan Sultan Iskandar di Ipoh melibatkan kos 15 juta ringgit, projek jalan sepanjang 5 kilometer di Pekan Karai yang melibatkan kos 19 juta ringgit serta Kompleks Pejabat dan Perumahan Badan Pencegah Rasuah Perak melibatkan kos 25 juta ringgit. Projek-projek prasarana ini akan dapat memberi kemudahan kepada rakyat dan dijangka dapat berperanan sebagai pemangkin merancakkan aktiviti-aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang dibangunkan.
INDUSTRI
9. Sektor industri akan terus dibangunkan sebagai salah satu strategi menjadikan Perak Negeri Maju menjelang 2015. Untuk itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak sedang membangunkan Perak Hi-Tech Park, serta kawasan seluas 229 hektar untuk dibangunkan sebagai Zon Industri Chenderiang. Sektor industri juga turut berperanan menarik pelaburan baru, baik pelaburan asing mahupun pelaburan domestik. Pada masa yang sama, usaha-usaha akan ditingkatkan untuk melahirkan lebih ramai penggiat industri di kalangan anak tempatan melalui pelbagai skim bimbingan dan latihan.
PERTANIAN
10. Sektor pertanian menjadi semakin penting apabila dunia telah mula bercakap tentang food security iaitu jaminan bekalan makanan. Kerajaan BETA telah menetapkan sasaran supaya para petani memperoleh pendapatan bersih sekurang-kurangnya 1,000 ringgit sebulan dan bagi usahawan bimbingan pula memperoleh pendapatan bersih 3,000 ringgit sebulan. Jabatan Pertanian telah mendaftarkan 26,835 pelanggan melalui sistem pemantauan projek berkomputer. Projek-projek berimpak tinggi seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan akan dilaksanakan di lima kawasan, iaitu Lekir, Sungkai, Slim, Gua Tempurung dan Titi Gantung merangkumi kawasan seluas 602 hektar serta melibatkan 122 peserta. Langkah FAMA membina projek Terminal Makanan Negara amatlah bertepatan. Terminal Makanan tersebut akan berfungsi sebagai pasar borong moden, dengan peranan untuk menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengeluar dan pemborong.
PENTERNAKAN DAN PERIKANAN
11. Negeri Perak merupakan pengeluar utama ayam pedaging dengan nilai eksport 594 juta ringgit dan itik pedaging dengan nilai 200 juta ringgit dalam tahun 2008. Negeri Perak turut memberi sumbangan terbesar pendaratan ikan di Malaysia mencatatkan perolehan 209,153 metrik tan dalam tahun 2008. Dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti nelayan, 12,700 unjam konkrit dengan kos 1.8 juta ringgit telah dilabuhkan di beberapa tempat strategik di sepanjang pantai dari Kerian hingga ke Hilir Perak. Pada tahun 2009, sebuah lagi kompleks pendaratan ikan akan dibina di Hutan Melintang. Dalam usaha menggalakkan aktiviti ternakan, hampir 4,000 hektar kawasan padang ragut yang melibatkan 1500 penternak akan dibangunkan. Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara turut memperuntukkan 22 juta ringgit untuk melaksanakan secara bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, projek ternakan kambing BOER di Pondok Tanjong Selama.
12. Ruang penambahbaikan dan peluang penerokaan baru akan terus dirintis, mengoptimumkan kelebihan bumi dengan iklim yang kondusif bagi aktiviti pertanian. Cabaran paling besar adalah untuk menyemaikan minat di kalangan tenaga muda, bersedia menjadi barisan pelopor kepada angkatan petani moden. Dengan usaha yang lebih gigih, dengan suntikan inovasi dan kreativiti, BETA yakin matlamat ke arah menjadikan sektor pertanian dan industri asas tani sebagai sumber kemakmuran rakyat dan negeri boleh dicapai.
PELANCONGAN
13. Negeri Perak dikurniakan pelbagai produk pelancongan yang unik. Di antaranya adalah Royal Belum, Tasik Bukit Merah, Bandar Warisan Taiping, Bandar Diraja Kuala Kangsar, Lost World of Tambun, Gua Tempurung dan Pulau Pangkor. Kerajaan BETA telah merangkaikan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara yang telah memperuntukkan 58.5 juta ringgit untuk membangunkan tiga produk pelancongan, iaitu Hutan Diraja Belum, Taiping Bandar Warisan dan Bandar Diraja Kuala Kangsar. Di samping mempopularkan produk-produk pelancongan, usaha akan digandakan untuk melahirkan usahawan-usahawan baru dalam sektor pelancongan serta memperbaiki kualiti perkhidmatan hingga sampai ke peringkat berupaya memenuhi keperluan pelancong antarabangsa. Promosi pelancongan hendaklah ditumpukan kepada produk dan bukan kepada acara; dan untuk lebih maju, pengurusan dan pemasaran produk pelancongan sebaik-baiknya diserahkan kepada pihak swasta sementara pihak awam menumpukan peranan membangunkan prasarana dan berperanan sebagai pemudah cara.
PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR
14. Dalam usaha membangunkan negeri, Kerajaan BETA amat sedar betapa pentingnya dipelihara kualiti alam sekitar terutama aspek mengawal pencemaran dan menjamin sumber bekalan air. Untuk itu Kerajaan BETA telah mengambil langkah mewartakan kawasan hutan simpanan kekal seluas 159,866 hektar sebagai kawasan Hutan Tadahan Air. Dalam semangat untuk memelihara khazanah alam semula jadi, Kerajaan BETA telah mewartakan sebahagian Hutan Simpan Belum, seluas 117,500 hektar sebagai Taman Negeri Royal Belum.
PERUMAHAN AWAM
15. Kerajaan BETA senantiasa mengambil berat aspek perumahan rakyat. Menjelang tahun 2015, disasarkan setiap keluarga memiliki sebuah rumah. Tujuh belas Rancangan Perkampungan Tersusun telah diperakukan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa bagi penempatan setinggan, manakala 4 projek perumahan rakyat mengandungi 514 unit kediaman untuk sewaan, sedang dilaksanakan. Dalam usaha mencapai sasaran setinggan sifar, 22 tapak kini dicadangkan untuk dibangunkan di bawah Rancangan Perkampungan Tersusun.
16. Memiliki rumah kediaman yang selesa adalah impian setiap insan. Oleh itu, BETA mengingatkan kepada pihak perancang dan pihak pelaksana untuk memberi perhatian terhadap reka bentuk dan keluasan, kemampuan kewangan rakyat, serta memastikan rumah disiapkan dalam tempoh waktu pembinaan yang dijanjikan. Di samping itu, aspek-aspek persekitaran, kemudahan dan accessibility pengangkutan awam, hendaklah diberikan pertimbangan. Keperluan anak-anak dan remaja di kawasan-kawasan perumahan baru dari segi persekolahan, kemudahan sukan dan kemudahan riadah perlu dibangunkan secara berintegrasi. Masyarakat di kawasan perumahan juga perlu diperlengkap dengan kemudahan-kemudahan yang dapat menyuburkan kegiatan komuniti seperti dewan orang ramai serta kemudahan tempat beribadat bagi umat Islam, demikian juga tempat memenuhi keperluan agama penganut-penganut agama lain.
AGAMA
17. Agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri dan setiap perkara menyentuh agama Islam perlulah dirujuk untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. BETA menghargai peranan pelengkap Kerajaan Persekutuan membantu membiayai aktiviti-aktiviti agama Islam di peringkat negeri. Di samping memberikan geran pembangunan, Kerajaan Persekutuan turut memberikan peruntukan tahunan kepada beberapa perbelanjaan operasi. Sepanjang tahun 2008, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), telah memberikan peruntukan 19.5 juta ringgit untuk Kelas Al-Quran dan Fardu Ain(KAFA) dan 9.8 juta ringgit lagi untuk elaun Imam-Imam. Sementara itu Kerajaan Negeri dalam tahun 2008 telah memperuntukkan 774,800 ringgit untuk bayaran sagu hati bilal dan siak. BETA sedar jumlah imbuhan tersebut adalah kecil berbanding dengan beban tugas dan tanggung jawab berat para pegawai masjid. Untuk itu BETA merakamkan penghargaan yang tinggi kepada para pegawai masjid. Semoga perkhidmatan mereka diberikan pertimbangan sebagai amal soleh yang mendapat ganjaran ILAHI.
18. Dalam tahun 2008, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak berjaya memungut zakat berjumlah 56.96 juta ringgit berbanding pungutan 40.82 juta dalam tahun 2007, peningkatan hampir 40%. Di samping usaha–usaha penambahbaikan dari sistem pungutan zakat, BETA bersyukur kerana lebih ramai individu dan badan-badan perniagaan yang sedar akan tanggung jawab menunaikan salah satu Rukun Islam yang lima.
19. Masjid dan surau adalah institusi agama, dibangunkan dengan tujuan untuk mengembangkan syiar dan kemurnian Islam serta berfungsi sebagai pusat mengembangkan tamadun, menyebarkan ilmu, dan menyatukan ummah. Hormatilah rumah-rumah Allah ini, dan setiap umat Islam wajib mengambil tanggung jawab untuk memelihara dari apa juga kegiatan yang boleh mencemarkan kesuciannya atau yang boleh mencetuskan perpecahan ummah.
PEMBASMIAN KEMISKINAN
20. Membasmi kemiskinan adalah tanggung jawab yang wajib dipenuhi. Kejayaan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara akan hanya bererti dan tercapai jika negara tidak lagi mempunyai rakyat yang miskin. Antara langkah yang sedang dilaksanakan, ialah menerusi usaha khusus Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, mewujudkan ladang rakyat seluas 3,948 hektar. Dalam tahun 2008, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, telah memberi sumbangan 250,000 ringgit kepada 103 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar melalui Skim Tanah Berkelompok. Jabatan Tenaga Rakyat pula pada tahun yang sama telah memberi bantuan 357,000 ringgit kepada 11 usahawan dari kalangan Orang Kurang Upaya. Strategi pembasmian kemiskinan yang lebih komprehensif adalah secara memberi fokus untuk meningkatkan kemudahan asas, pembangunan modal insan di kalangan anggota keluarga miskin tegar dan membangunkan industri desa yang boleh meningkatkan pendapatan isi rumah secara mapan.
MODAL INSAN
21. Pendidikan adalah kunci penentu kemajuan warga dan negara. Kerajaan BETA akan berusaha membantu anak-anak terutama yang datang dari keluarga miskin untuk dapat mengikuti peluang pengajian hingga ke peringkat tertiari. Kemiskinan keluarga tidak harus menjadi penghalang, menyekat potensi perkembangan modal insan. Dengan itu Lembaga Amanah Kumpulan Wang Biasiswa/Pinjaman Anak-anak Melayu dan bukan Melayu akan membantu lebih ramai pelajar untuk dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
22. Agenda pendidikan terus diberikan keutamaan. Dalam setiap Rancangan Pembangunan lima tahun, peruntukan membina sekolah terus disediakan. BETA gembira, pada tahun ini sekolah-sekolah baru di Proton City, Tanjung Malim dan di Pakatan Jaya, Ipoh telah pun disiapkan; manakala Sekolah Menengah Sains di Tapah dan di Bagan Datoh kini sedang dibina.
23. BETA sukacita dengan perkembangan sektor pendidikan tertiari di negeri ini. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang membangunkan Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City yang dijangka siap dalam tahun 2010. Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan pembinaan kampus kedua UiTM di Tapah. MARA juga telah membina Institut Kemahiran MARA dan Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia di Lumut. Di samping 4 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang telah wujud di Taiping, di Kampung Gajah, di Pengkalan Hulu dan di Lenggong, dua lagi MRSM sedang dibina, satu di Kuala Kangsar dan satu lagi di Trolak; sementara MRSM di Parit akan dibina sebelum berakhir Rancangan Malaysia Kesembilan.
24. Adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan BETA untuk mengusahakan program pelengkap kepada pelbagai institusi latihan tinggi yang telah ditempatkan lokasinya di negeri Perak Darul Ridzuan. Pelbagai program yang dapat membantu mewujudkan pekerjaan akan dijadikan program pelengkap utama; jika tidak modal insan yang telah diberikan nilai tambah tersebut akan meninggalkan negeri ini sebaik sahaja tamat pengajian mereka.
PEMBANGUNAN SUKAN
25. Pada tahun 2008, Negeri Perak mencapai kejayaan membanggakan dalam bidang sukan. Atlet wanita Perak menempa nama dalam kejohanan tenpin bowling. Ramai atlet yang mewakili negara ke Sukan Olimpik 2008 di Beijing, berasal dari Negeri Perak. Negeri Perak telah mencipta nama menjadi lokasi tetap kejohanan tahunan hoki antarabangsa Piala Sultan Azlan Shah. Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia kali pertama, juga berlangsung di Negeri Perak.
26. Sukan sebagai saluran untuk membina warga yang sihat lagi cerdas, membina semangat kenegaraan dan patriotisme, dan membina semangat setia kawan dan muhibah antara warga akan terus diterokai. Sekolah, Maktab, Kolej dan Universiti, bersama badan-badan sukan berperanan penting untuk memajukan sukan dan menyemaikan semangat kesukanan di kalangan warga.
PERPADUAN
27. Perpaduan adalah teras kepada keharmonian dan kemakmuran negeri. Kejayaan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional mewujudkan 387 unit Rukun Tetangga di seluruh Negeri Perak wajar dihargai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan telah berjaya memupuk perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat. Pada masa yang sama, kejadian jenayah telah menurun di kawasan-kawasan perumahan yang mempunyai Rukun Tetangga yang aktif. Peranan citizen patrol seperti ini dapat membantu meringankan tugas berat pasukan polis memerangi jenayah. Aktiviti Rukun Tetangga wajar terus dikembangkan dan BETA menyeru supaya rakyat dari segenap lapisan memberikan sokongan untuk mendirikan lebih banyak Rukun Tetangga.
KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM
28. Dalam tahun 2008, dua balai bomba baru dengan kos 14 juta ringgit telah siap dibina di Simpang Pulai dan Pengkalan Hulu. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melaksanakan tugas berkesan terutama dalam mengawal kebakaran dan menangani bencana. Sebahagian dari bencana alam berpunca dari kecuaian dan kesilapan manusia terutama bila ada kerakusan untuk mengaut untung. Langkah-langkah preventif yang tegas akan dilaksanakan tanpa kompromi, terutama yang menjejas kepentingan awam.
29. Keselamatan negara dan ketenteraman awam adalah pra syarat untuk membolehkan rakyat hidup aman, damai, rukun dan makmur. Para pelabur tidak akan melakukan pelaburan dalam negara yang tidak stabil dan memperlihatkan indeks jenayah yang tinggi. BETA memandang berat insiden-insiden jenayah, penagihan dadah dan budaya Mat Rempit yang sudah keterlaluan. Tindakan tegas pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang wajib disokong. Prinsip kedaulatan undang-undang hendaklah senantiasa disanjung. BETA memahami tugas berat yang dihadapi oleh POLIS DIRAJA MALAYSIA. Masyarakat dan orang awam perlulah memberikan segala kerjasama dan bantuan untuk membolehkan anggota Polis DiRaja Malaysia dapat melaksanakan tugas secara berkesan. Tugas dan pengorbanan anggota Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka dan mengekalkan suasana aman dan damai wajib dihargai.
PENUTUP
30. Perjalanan hidup insan, organisasi dan negara penuh dengan contoh teladan kejayaan. Carilah contoh-contoh kebaikan untuk membina sebuah negara yang aman lagi sentosa, makmur lagi sejahtera; yang rakyatnya hidup rukun, damai dan bersatu. Semoga kita mendapat pertunjuk ILAHI – semoga negeri dan warga dilindungi dari sebarang bencana.
Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, BETA merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kedua Belas.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.