Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kedua Belas

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam; demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

Yang Dipertua Dewan Negeri

2. Alhamdulillah, dengan rahmat dan penentuan ILAHI jua, Beta dapat berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kedua Belas.

3. Tahun 2011 menjelmakan harapan gembira tetapi disusuli kemudiannya dengan pelbagai tragedi duka. Dunia memperlihatkan petanda pemulihan ekonomi. Petunjuk ekonomi semasa negara, demikian juga negara-negara serantau menunjukkan pencapaian positif. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tahun 2010, mencapai pertumbuhan 7.2 peratus berbanding penguncupan 1.7 peratus pada tahun sebelumnya.

4. Usaha-usaha yang dirintis oleh Kerajaan Beta telah berjaya meningkatkan keyakinan pelabur. Nilai pelaburan yang diluluskan oleh MIDA di dalam negeri Perak meningkat dari 893 juta ringgit pada tahun 2009 kepada 3.039 bilion ringgit pada tahun 2010; terdiri dari 1.393 bilion ringgit pelaburan domestik dan 1.646 bilion ringgit pelaburan langsung asing. Melalui pelaburan tersebut, 5396 peluang pekerjaan baru dijangka dapat diwujudkan. Bagi memastikan setiap pelaburan dapat memulakan operasi dengan segera, jabatan dan agensi yang berkaitan akan mengambil pendekatan sebagai pemudah cara di samping mengamalkan budaya kerja mesra pelanggan.

5. Kerajaan Beta telah berjaya meningkatkan hasil dari 642.6 juta ringgit dalam tahun sebelumnya kepada 793.2 juta ringgit dalam tahun 2010. Peningkatan hasil tersebut telah membolehkan Kerajaan Beta menambahkan lagi projek-projek pembangunan. Dengan itu, Dewan ini yang bersidang pada 3 Ogos lalu telah meluluskan 30 juta ringgit Bajet Tambahan bagi maksud pembangunan. Dengan meletakkan sasaran hasil 784 juta ringgit bagi tahun semasa, Kerajaan Beta telah memperuntukkan 273 juta ringgit untuk maksud pembangunan, merupakan rekod peruntukan pembangunan paling tinggi yang pernah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

6. Dunia kini turut menyaksikan peristiwa duka dan tragedi malang yang boleh menjejaskan tahap pertumbuhan ekonomi. Kesan-kesan negatif dari pemanasan global semakin terasa. Alam sekitar, kesuburan tanah, bekalan dan penyaliran air telah membawa kesan negatif terhadap pengeluaran makanan. Dunia sedang menghadapi situasi bekalan yang bukan sahaja merosot pengeluarannya malah memerlukan kos pengeluaran yang lebih tinggi. Ditambah dengan permintaan yang semakin melonjak berikutan pertambahan penduduk dan pertambahan kuasa beli di kalangan golongan yang lebih berkemampuan, telah mengakibatkan harga bahan makanan menjadi semakin mahal.

7. Krisis kepimpinan yang berlaku di Asia Barat telah mempengaruhi iklim serta kestabilan politik dunia. Bekalan bahan bakar terjejas lalu melonjakkan harga di pasaran dunia, mengakibatkan kos pengangkutan, kos pengeluaran dan kos perkhidmatan yang lebih tinggi. Bencana alam seperti gempa bumi di New Zealand dan lebih dahsyat lagi peristiwa tsunami di Jepun membawa kesan serius yang akan membawa kesan negatif kepada usaha pemulihan ekonomi negara dan ekonomi dunia.

8. Ramai manusia yang menderita akibat bencana alam tersebut. Penderitaan mereka sangat menyayatkan hati. Kerajaan Beta menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada Kerajaan dan warga di New Zealand dan di Jepun serta menzahirkan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan anggota keluarga. Dalam apa cara yang sesuai dan sekecil mana sekalipun, Kerajaan Beta akan cuba memberikan apa-apa bentuk bantuan atau sokongan sebagai tanda persahabatan berlandaskan semangat kemanusiaan sejagat berteraskan pepatah, “berat sama dipikul” dengan kesedaran “betapa berat mata memandang – berat lagi bahu memikul”.

9. Tempias dari peristiwa dan tragedi buruk ini akan meletakkan dunia berada dalam situasi yang perlu menghadapi kebarangkalian pelbagai musibah ekonomi. Kerajaan Beta perlu bijak melakukan antisipasi serta mengatur langkah strategik untuk menghadapi kesan susulan daripada peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku. Segala pemikiran amat perlu disatukan untuk merangka strategi yang tepat. Segala usaha lebih perlu ditumpukan untuk memperkenalkan langkah-langkah yang dapat meminimumkan kesusahan rakyat. Selaras dengan nilai yang dianjurkan oleh Islam, semangat muafakat perlulah dibina ketika menghadapi bencana dan musibah; agar kata sepakat dapat dicapai demi memastikan sumber yang semakin terbatas dapat digunakan secara optimum – secara produktif.

10. Bencana dan musibah adalah ujian yang diturunkan ILAHI sebagai peringatan kepada manusia. Islam menganjurkan supaya menyempurnakan keadilan dalam hubungan sesama ummah tanpa mengira perbezaan agama; menyempurnakan keadilan terhadap seluruh kehidupan alam maya dan alam sekitar, merangkumi unggas dan haiwan, burung di angkasa dan ikan di laut, tanaman dan tumbuhan, sumber air dan sumber udara. Islam menegaskan pentingnya pembangunan dilaksanakan secara lestari – secara telus dengan akauntabiliti yang tinggi. Bahawa menaik taraf kehidupan manusia adalah satu fardu, satu tanggung jawab yang perlu disempurnakan dengan memastikan bahawa kekayaan diagihkan secara adil dan sumber negara dinikmati secara saksama; kemiskinan wajib dihapuskan, jurang perbezaan pendapatan di kalangan ummah harus dirapat serta tahap pembangunan tidak harus terlalu berbeza di antara kota dan desa. Kemajuan diukur dari kesejahteraan hidup ummah secara menyeluruh. Di era keagungan Islam, pembangunan ekonomi berlangsung dalam persekitaran budaya dan persekitaran perundangan yang sihat; dengan seruan membina ukhuwah dan muhibah, menyemai semangat kasih sayang sesama ummah, membentuk semangat menghormati kepada setiap kehidupan di alam sejagat.

11. Tradisi Islam yang bersumberkan Al Quran dan Hadis telah diperkaya dengan komponen intelek pelbagai tamadun dari Lembah Mediterranean, Parsi, Turki, Benua India dan Benua China dan dalam konteks negara ini merangkumi tamadun Melayu yang sedia berakar di Gugusan Kepulauan Melayu. Justeru itu Islam adalah khazanah merangkum pelbagai tamadun, berjaya menyatukan segala kepelbagaian.

12. Raja Melayu di bumi ini menerima Islam dengan apresiasi akan nilai-nilai murni sejagat yang sangat relevan dengan persekitaran kota Melaka yang bersifat kosmopolitan. Raja Melayu telah menerapkan budaya Islam dalam sistem pemerintahan dan adat istana. Raja Melayu diberikan pengiktirafan sebagai Ketua Agama Islam. Demikian sejarah dan tradisi status agama Islam di dalam negara ini sejak zaman berzaman oleh dagang senteri, mahupun oleh pihak penjajah baik Inggeris mahupun Jepun yang sama sekali tidak mencabar status dan kuasa Raja Melayu dalam urusan agama Islam dan adat Melayu. Status tersebut dikekalkan dan merupakan sebahagian dari perjanjian kemerdekaan ketika sebuah Persekutuan Tanah Melayu mahu ditubuhkan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang merdeka.

13. Oleh itu para pegawai dan kakitangan yang diberikan amanah menguruskan urusan Islam dan adat Melayu mempunyai tanggung jawab memelihara kesucian Islam dan kemurnian adat Melayu. Kerana itu institusi Islam dan adat Melayu dikekalkan di bawah kuasa mutlak Raja yang berada di atas politik kepartian. Masjid dan surau adalah pusat ibadah untuk semua umat Islam, dianggap suci dengan dirujuk sebagai rumah ALLAH dan wajib dilindungi dari menjadi gelanggang politik berparti yang boleh mencetus perpecahan ummah.

14. Beta menghargai akan komitmen dan fahaman Kerajaan Beta menghormati kuasa Raja dalam urusan agama Islam dan adat Melayu dan memahami pentingnya dilindungi kesucian Islam dan kemurnian adat Melayu. Beta hargai sokongan Kerajaan Beta meningkatkan pelbagai pembangunan fizikal institusi Islam, melaksanakan program-program membangun, membaik pulih dan mengubah suai masjid, surau, Sekolah Agama Rakyat, Tadika Islam dan Maahad Tahfiz.

15. Sumber manusia terlatih berperanan amat penting dalam usaha mengembangkan ajaran Islam dan meningkatkan syiar Islam. Untuk itu, Kerajaan Beta turut menyediakan 12 juta ringgit bagi membiayai keperluan menaik taraf Kolej Islam Darul Ridzuan ke tahap Kolej Universiti. Menyampaikan ajaran Islam dan menyemaikan nilai-nilai Islam harus dimulakan dari usia yang awal. Kerajaan Beta amat menghargai peranan yang dipenuhi oleh guru Tadika Islam dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA). Peruntukan 816 ribu ringgit setahun disediakan untuk menampung tambahan gaji bagi 160 guru Tadika Islam dari 425 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan. Peruntukan 7.5 juta ringgit disediakan untuk menambah gaji guru-guru KAFA dari 800 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan.

16. Memelihara aqidah dan kesucian Islam adalah tanggung jawab setiap umat Islam. Aqidah adalah perkara dasar kepada umat Islam yang perlu dipelihara, dilindungi dan dipertahankan demi memastikan umat Islam terutama generasi muda Islam tidak akan terpesong dari pegangan aqidah. Oleh itu umat Islam sama sekali tidak dapat mengizinkan sebarang tolak ansur terhadap perkara dan perbuatan yang berpotensi memesongkan aqidah. Kesucian Islam wajib dipertahankan dari dinodai oleh sesiapa juga. Demi memastikan keharmonian negara, setiap warga dan semua pihak di negara ini wajib memahami dan menghormati Islam serta tidak sama sekali mencabar perkara-perkara sensitif menyentuh kesucian Islam yang boleh menghiris perasaan umat Islam.

17. Kepercayaan kepada Tuhan adalah prinsip pertama Rukun Negara. Manusia yang berpegang kepada agama mempercayai kepada wujudnya Tuhan yang lebih berkuasa dan mengatasi segala kuasa manusia. Insan yang beragama akan memiliki sifat hamba yang merendah diri, di samping dapat memahami dan menghormati nilai-nilai murni setiap agama. Insan yang beragama akan melaksanakan kebaikan dan menjauhkan diri dari melakukan kejahatan. Oleh itu, selaras dengan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan dan semangat yang terkandung di dalam Rukun Negara, keperluan agama lain, selagi tidak menyentuh sensitiviti dan kesucian Islam dan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara, tidaklah harus dihalang.

Yang Dipertua Dewan Negeri

18. Dalam negara yang berlandaskan sistem Persekutuan, Kerajaan Negeri tidak dapat berfungsi secara isolasi. Beta sukacita atas kejayaan Kerajaan Beta menjalinkan hubungan kerja erat dengan Kerajaan Persekutuan. Melalui jalinan hubungan erat tersebut, Kerajaan Beta telah berjaya mencapai prestasi perbelanjaan 91.2 peratus peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan; pencapaian prestasi perbelanjaan kedua tertinggi antara negeri-negeri di Malaysia.

19. Dalam tempoh ‘rolling plan’ pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi tahun 2011 ke 2012, Kerajaan Beta diluluskan peruntukan 3.6 bilion ringgit bagi melaksanakan 346 program dan projek di bawah enam bidang keberhasilan utama Program Transformasi Kerajaan. Di antara projek yang telah diluluskan peruntukan adalah Kompleks Perumahan Polis di Kuala Kangsar dengan kos 27 juta ringgit, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat di Bandar Meru Raya dengan kos 20 juta ringgit, Maktab Rendah Sains Mara Parit dengan kos 80 juta ringgit; projek penyelenggaraan beberapa sekolah menengah, sekolah rendah dan pra sekolah bernilai 240 juta ringgit. Beberapa projek pembesaran serta naik taraf hospital dan klinik bernilai 371.2 juta ringgit telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah program kesihatan; merangkumi memperbaiki perkhidmatan serta menaik taraf peralatan dan kemudahan hospital di negeri Perak terutama Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping, menambah bilangan ambulan dan kenderaan pelbagai guna, serta mewujudkan Klinik dan Klinik Bergerak Satu Malaysia.

20. Pelan Perak Amanjaya yang diilhamkan oleh Kerajaan Beta sebagai rangka kerja pembangunan jangka panjang yang komprehensif adalah pelengkap kepada program pembangunan nasional. Visi Perak Amanjaya berlandaskan konsep ‘3Q’, ia itu: peluang berkualiti, pendapatan berkualiti dan kehidupan berkualiti telah mengenal pasti tujuh teras strategik Bidang Keberhasilan Utama. Empat puluh lima (45) program telah dikenal pasti; apabila berjaya dilaksanakan dijangka dapat menyediakan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020 dengan meletakkan sasaran pendapatan purata rakyat 4,125 ringgit sebulan melonjakkan KDNK negeri Perak ke paras 45 bilion ringgit setahun. Dalam tahun 2011, Pelan Perak Amanjaya akan melaksanakan empat program utama; pertama: Pusat Kerjaya Amanjaya; kedua: Kampung Karyawan Amanjaya; ketiga: Asrama Amanjaya dan keempat: Komuniti Inovasi Amanjaya.

21. Meskipun program pendidikan adalah di bawah tanggung jawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Beta turut memberikan perhatian berat terhadap usaha-usaha membangunkan sumber manusia. Untuk itu Kerajaan Beta turut menganjurkan beberapa program pelengkap dengan menyediakan peruntukan 23 juta ringgit; antara program yang sedang dan akan dilaksanakan ialah Tuisyen Gemilang dan Kecemerlangan Murid Orang Asli, dermasiswa dan pinjaman pendidikan, pendidikan pra sekolah serta pembestarian Sekolah Agama Rakyat.

22. Usaha ke arah transformasi negeri maju berteraskan pengetahuan atau ‘K-State’ yang dirintis sejak tahun 2006 telah membuahkan hasil. Melalui syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, ‘K-Perak Implementation and Coordination Corporation’, inisiatif strategik yang memberi fokus kepada pembangunan dan kemajuan lima elemen pengetahuan merangkumi kerajaan, ekonomi, infrastruktur, pekerja dan masyarakat dilihat berupaya merealisasikan harapan untuk memacu pertumbuhan negeri. Usaha meluaskan kadar penembusan jalur lebar akan ditingkatkan sehingga ke tahap 50 peratus. Kursus dan penawaran perniagaan dalam bidang ICT akan diperbanyakkan.

Yang Dipertua Dewan Negeri

23. Sektor pertanian terus berperanan penting. Dalam suasana dunia menghadapi kekurangan bekalan bahan makanan, sektor ini menjadi bertambah penting dan mempunyai potensi untuk dipergiatkan. Sektor pertanian memberi sumbangan 14 peratus KDNK negeri. Lapan puluh satu ribu tujuh ratus enam puluh lima (81,765) hektar telah diusahakan dengan penglibatan 33,357 petani. Sektor ini telah berjaya menghasilkan 283 tan hasil tanaman bernilai 313 juta ringgit dalam tahun 2010. Hasil tersebut belum mengambil kira produk dari ladang-ladang komersial komoditi getah dan sawit.

24. Sektor pertanian akan terus diperkukuhkan melalui pembukaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Sembilan ratus lima puluh (950) hektar telah diusahakan di bawah program ini. Majoriti peserta telah berjaya memperoleh pendapatan bersih melebihi 3,000 ringgit sebulan, membuktikan aktiviti pertanian yang diusahakan secara teratur dan bersungguh mempunyai potensi untuk menjadi sumber kemakmuran rakyat. Dalam tahun 2011 hingga 2015, dua lagi Taman Pengeluaran Makanan Kekal akan dibuka; satu di Puncak Baring Hulu Perak dengan keluasan 360 hektar dan satu lagi di Bukit Lenggong dengan keluasan 4,000 hektar.

25. Sepanjang tahun lalu, 12,156 nelayan telah berjaya menghasilkan 235 ribu tan pendaratan ikan laut bernilai 1.13 bilion ringgit. Jumlah pendaratan dan juga nilai tersebut adalah yang tertinggi di dalam negara dan merupakan 18 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaratan ikan laut di negara ini. Dalam tahun yang sama, 2510 usahawan akuakultur telah menghasilkan pengeluaran 119 ribu tan dengan nilai 603 juta ringgit, merupakan 29 peratus daripada jumlah pengeluaran akuakultur negara. Di samping itu, 30 usahawan tani turut berjaya menghasilkan produk bernilai 9.2 juta ringgit.

26. Subsektor perikanan memiliki potensi yang akan terus dimajukan dan diberikan penambahbaikan. Antara langkah yang akan dilaksanakan ialah membangunkan industri perikanan tangkapan ikan laut, pembangunan zon industri akuakultur, pembangunan bekas-bekas lombong, pembangunan ikan hiasan, pembukaan kawasan baru ternakan kerang, pemulihan kolam-kolam terbiar, pembangunan industri hiliran asas tani. Usaha memajukan subsektor perikanan sewajarnya mengambil ingatan bahawa sumber semula jadi dari laut semakin pupus. Oleh yang demikian kawalan rapi lagi tegas perlu dilaksanakan terhadap pencerobohan nelayan asing dan eksploitasi sumber ikan secara tidak berhemat. Negeri Perak juga berada dalam kategori pengeksport telur, daging ayam serta itik. Potensi ternakan lembu dan kambing akan diberikan perhatian.

27. Alam sekitar yang tidak tercemar amat penting untuk menjamin kesuburan tanaman dan ternakan serta mewujudkan suasana kehidupan persekitaran yang sihat. Untuk itu adalah penting bagi Kerajaan Beta memberikan tumpuan serius kepada usaha-usaha mengawal pencemaran. Tindakan penguatkuasaan undang-undang dan kawalan terhadap segala bentuk pencemaran wajib dilaksanakan secara tegas. Peralihan kepada industri berasaskan teknologi hijau perlulah digalakkan demi kelestarian alam sekitar.

Yang Dipertua Dewan Negeri

28. Beta sukacita dengan pencapaian Kerajaan Beta menurunkan kadar kemiskinan keseluruhan bagi negeri Perak kepada 0.8 peratus. Matlamat sifar miskin tegar telah dicapai. Melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, 26 juta ringgit telah diperuntukkan bagi Program Bantuan Rumah dalam tahun 2010, memberi manfaat kepada 1,019 penerima dalam bentuk bantuan bina baru dan baik pulih.

29. Kerajaan Beta sedar bahawa kos hidup yang semakin meningkat berkemungkinan mengembalikan kumpulan miskin kepada status lama. Bagi memastikan golongan miskin berupaya berdikari, Kerajaan Beta telah memperkenalkan pendekatan ‘EMPAT AZAM’ terdiri dari ‘AZAM TANI’, ‘AZAM KHIDMAT’, ‘AZAM KERJA’ dan ‘AZAM NIAGA’; berperanan sebagai pemangkin membantu golongan miskin membebaskan diri secara kekal dari cengkaman kemiskinan. Usaha membasmi kemiskinan akan dilaksanakan kepada semua pihak – merentasi semua kaum.

30. Wanita merupakan 50 peratus dari jumlah penduduk dan sumber tenaga manusia. Program pembangunan wanita ditegaskan terutama usaha membantu ibu tunggal. Sepanjang tahun lalu, 51 usahawan wanita telah menerima peruntukan 255 ribu ringgit berbentuk geran perniagaan untuk bergiat dalam bidang-bidang masakan, jahitan dan solekan. Pada tahun ini, 2 juta ringgit disediakan untuk program-program pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan pembangunan kesihatan wanita.

31. Peratusan penduduk dari kalangan belia semakin tinggi. Golongan ini amat perlu diberikan perhatian. Golongan ini tidak boleh disisir malah wajib dilibatkan secara aktif dalam perbincangan begitu juga pelaksanaan program pembangunan terutama yang melibatkan generasi muda. Masalah sosial dan masalah politik akan bertambah besar jika aspirasi dan suara golongan ini tidak dihiraukan dan keperluan asas mereka gagal dipenuhi. Kemudahan riadah, kemudahan sosial dan kemudahan untuk menjalankan aktiviti budaya yang sihat bagi golongan ini perlu difikirkan dalam projek pembangunan perumahan terutama di kawasan pembangunan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana.

32. Latihan vokasional dan kaedah latihan sambil bekerja perlu diterokai melalui kerjasama dengan pihak industri dan pihak swasta sebagai alternatif kepada program latihan formal di bawah kelolaan institusi latihan awam dan swasta. Program yang dapat membantu meningkatkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum wajib diperbanyakkan. Program-program latihan, khemah kerja, pengembaraan, kebudayaan, sosial dan sukan merupakan platform yang perlu diterokai dengan lebih aktif untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan remaja. Gelanggang sukan dan riadah perlu diperbanyakkan dalam hasrat mahu memupuk minat remaja dalam kegiatan sukan dan aktiviti yang sihat.

33. Kebajikan rakyat tidak dilupakan terutama kepada golongan yang sangat memerlukan perhatian. Program Meningkat Kesejahteraan Hidup Masyarakat dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tiga puluh ribu lapan ratus tujuh puluh dua (30,872) golongan sasaran menerima bantuan kewangan bulanan melalui peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, melibatkan bantuan 71.6 juta ringgit dalam tahun 2010; sementara 12,159 lagi menerima bantuan yang serupa melalui peruntukan Kerajaan Negeri dengan jumlah 17.1 juta ringgit. Program Pemulihan Dalam Komuniti, telah berjaya memperluaskan peluang Orang Kurang Upaya mendapatkan perkhidmatan pemulihan. Program ini telah berjaya memberi latihan dan pemulihan kepada 1,295 Orang Kurang Upaya sepanjang tahun 2010.

34. Faktor penuaan penduduk adalah satu cabaran baru dalam perancangan untuk keperluan warga emas. Kemerosotan ekonomi keluarga dan ketidakupayaan, menjadi punca kepada pertambahan bilangan orang papa dan pengemis. Keruntuhan institusi keluarga turut menjadi faktor kepada berlakunya keganasan rumah tangga. Oleh itu, jalinan kerjasama di antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan sukarela akan ditingkatkan bagi membantu usaha Kerajaan Beta menjayakan program-program sosial berkaitan warga emas, orang papa dan keluarga terbiar.

35. Melalui Yayasan Bina Upaya, Kerajaan Beta telah memperkenalkan Program Bantuan Makanan Bulanan, Program Mikro Kredit dan Program Bantuan Rumah. Empat (4) juta ringgit diperuntukkan untuk membekalkan makanan kepada golongan miskin yang akan memberi manfaat kepada 45,000 orang. Program Mikro Kredit yang dimulakan sejak Ogos 2010 telah membelanjakan 1.58 juta ringgit yang memberi manfaat kepada 204 peserta. Seratus empat puluh sembilan (149) projek pembinaan rumah baru dan baik pulih telah dilaksanakan di bawah Program Bantuan Rumah sepanjang tahun lalu.

36. Misi membangunkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dilaksanakan dengan melibatkan mereka secara aktif dalam arus pembangunan negara. Antara program yang dilaksanakan adalah Program Penempatan Tersusun, Program Pembangunan Ekonomi dan Program Pembangunan Sosial. Dalam hasrat untuk mensifarkan miskin tegar di kalangan Orang Asli, kawasan seluas 6,042 hektar dibangunkan dengan tanaman getah dan kelapa sawit melibatkan 2,536 peserta. Kawasan seluas 180 hektar melibatkan 180 peserta dimajukan di Pos Yum, Kuala Kangsar dengan tanaman pisang dan koko. Tiga ratus tujuh puluh dua (372) unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah telah dibina dalam tahun 2010 dan 817 unit lagi akan dibina dalam tahun 2011. Kursus Motivasi dan Program Kecemerlangan dianjurkan kepada 2,423 anak Orang Asli yang mengambil peperiksaan awam di pelbagai peringkat.

Yang Dipertua Dewan Negeri

37. Bilangan pelancong luar negara bertambah dari 163 ribu dalam tahun 2009 kepada 175 ribu dalam tahun 2010. Potensi sektor pelancongan dari segi memberikan limpahan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baru akan terus diterokai. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, 15 projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan melibatkan perbelanjaan 45 juta ringgit dan 10 projek penyelenggaraan serta naik taraf dengan perbelanjaan 11 juta ringgit telah dilaksanakan. Tujuh perpuluhan lima (7.5) juta ringgit akan dibelanjakan pada tahun ini dalam usaha penggalakan pelancongan terutama aktiviti promosi dan acara terarah sebagai persiapan kepada Tahun Melawat Perak 2012. Hutan Belum-Temenggor telah tersenarai sebagai salah satu daripada tujuh lokasi ekopelancongan negara di bawah projek Malaysia Mega Biodiversity Hub. Tujuh belas (17) juta ringgit disediakan di bawah peruntukan Pihak Berkuasa Koridor Utara untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di kawasan Belum-Temenggor. Pihak-pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan, serta para pengusaha penginapan, makanan dan pengangkutan begitu juga pemandu pelancong yang kompeten, berperanan penting membantu membangun dan memasarkan produk pelancongan negeri. Faktor-faktor kebersihan kawasan, tempat penginapan, tandas awam, amalan kebersihan penyediaan makanan dan minuman serta tahap keselamatan pengangkutan awam serta persekitaran yang bebas jenayah adalah elemen-elemen penting yang wajib diberikan perhatian dalam usaha menarik kedatangan pelancong.

Yang Dipertua Dewan Negeri

38. Keamanan dan keselamatan adalah satu kemestian. Keyakinan pelabur begitu juga pelancong dari luar negara terhadap negeri ini dipengaruhi oleh indeks jenayah. Rasa resah rakyat terhadap insiden jenayah wajib ditangani. Insiden-insiden jenayah yang berlaku terutama jenayah jalanan dan ragut telah memberikan imej buruk negara di kaca mata umum. Beta memahami akan cabaran besar yang sedang dihadapi oleh anggota pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia. Kehadiran warga asing terutama yang menyeludup masuk secara haram meningkatkan masalah keselamatan. Sifat sebahagian rakyat tempatan yang memberikan mereka perlindungan dan mengambil pekerja dari kalangan pendatang asing tanpa izin, menambah rumitkan tugas pencegahan jenayah. Memerangi jenayah memerlukan sifat kesungguhan dan ketabahan, di samping disiplin dan sifat tegas berlandaskan undang-undang di kalangan anggota pasukan keselamatan.

39. Negeri Perak turut berkongsi sempadan dengan negara jiran baik sempadan darat begitu juga sempadan perairan. Aktiviti penyeludupan boleh menjejaskan ekonomi negara malah penyeludupan dadah terbukti memusnahkan kehidupan penagih dan membawa kesengsaraan kepada anggota keluarga. Terdapat korelasi di antara bilangan penagih dengan indeks jenayah. Aktiviti kawalan oleh anggota pasukan keselamatan di sempadan darat dan laut adalah tugas berat dan melibatkan perbelanjaan pertahanan dan keselamatan yang tinggi untuk benar-benar dapat berkesan.

40. Memandangkan tugas pasukan keselamatan yang semakin berat sedangkan bilangan anggota serta sumber terhad, rakyat haruslah membuktikan semangat patriotik dan membuktikan sifat bertanggung jawab dengan tidak menambahkan beban pasukan keselamatan. Aktiviti-aktiviti politik yang keterlaluan yang boleh mengganggu ketenteraman awam apatah lagi yang melanggar undang-undang tidak wajar dilakukan.

41. Kekayaan bumi dan sumber manusia perlu digabungkan secara bijaksana. Setiap harapan rakyat perlu diberikan ruang untuk berkembang. Kebahagiaan dan kesejahteraan, demikian juga keamanan dan ketenteraman akan dapat dicapai apabila kemakmuran ekonomi berjaya diagihkan secara adil lagi saksama. Anggota Kerajaan dan penjawat awam wajib melaksanakan tanggung jawab dengan penuh amanah. Perbuatan menyalahgunakan kuasa, mementingkan diri dan ahli keluarga dan perbuatan keji lagi jijik menerima rasuah, jangan sama sekali dilakukan. Insaflah! Bahawa jawatan dan kuasa datangnya dari ALLAH sebagai ujian terhadap setiap insan. Ia bersifat sementara. Tinggalkan nama yang baik, laksanakan tanggung jawab dengan semangat melaksanakan amal makruf supaya mendapat keredaan ILAHI.

42. Beta menghargai hasrat Mamanda Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk mentadbir urus Kerajaan Beta secara adil lagi saksama, telus lagi berhemah. Beta juga menghargai peranan Ahli-ahli Dewan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negara, Orang-Orang Besar Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam, Anggota Tentera dan Polis, Pegawai Perkhidmatan Pelajaran, Pegawai Majlis Agama Islam dan Pegawai Tadbir Agama, Penghulu, para Imam dan Pegawai Masjid, Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Ketua-Ketua Agama, Pemimpin-Pemimpin Kaum dan Masyarakat, Badan-Badan Kebajikan, Badan-Badan Sukarela, Badan-Badan Sukan dan Pertubuhan Belia yang masing-masing telah melaksanakan tugas – memenuhi amanah, saling membantu, saling melengkapi untuk membangunkan negeri dan memastikan kehidupan rakyat yang sejahtera.

43. Semoga Dewan ini dapat mencerminkan budaya demokrasi yang matang melalui perdebatan berkualiti berlandaskan pemikiran yang rasional. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahkan segala rahmat dan kebaikan kepada negeri dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

44. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan yang kedua belas.

Wabillahi taufik, Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: