Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kedua Belas

Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan Maha Esa yang memiliki Kerajaan langit dan bumi; Dia berkuasa di atas segala sesuatu, bagi Nya segala puji, Dialah saja Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mendalam Pengetahuannya.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam. Demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

Yang Di Pertua Dewan Negeri

3. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta bersama Raja Puan Besar dapat berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kedua Belas.

4. Peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di serata dunia sepanjang tahun 2011 mempunyai kesan langsung mahupun tidak langsung kepada penduduk dunia serta turut mempengaruhi iklim sosial, iklim ekonomi dan iklim politik di negara ini. Amerika Syarikat masih bergelut untuk mengembalikan kemakmuran ekonomi yang pernah menjadi satu kebanggaan mereka pada masa lalu. Benua Eropah yang berbangga dengan keunggulan demokrasi, kemakmuran ekonomi dan kemajuan sosio budaya menghadapi tragedi kewangan – dilanda gelora ekonomi hingga menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan dan kestabilan politik. Kemelut ekonomi, hutang negara, penguncupan perbelanjaan, pengangguran dan kadar inflasi yang tinggi, telah mendorong rakyat turun ke jalan-jalan raya mengadakan pelbagai demonstrasi, bantahan dan rusuhan. Musim Bunga Arab atau The Arab Spring meledakkan merapi kemarahan rakyat; lalu rakyat bangun menentang salah amalan tataurus negara lantas mengubah landskap politik di negara-negara berkaitan. Jepun yang sekian lama menjadi sebutan kehebatan, mencipta keajaiban ekonomi pasca peperangan, tidak terlepas dari dilanda krisis.

5. Dua negara gergasi Asia, China dan India masih memperlihatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang positif, namun kedua-dua negara tersebut turut berwaspada bahawa mereka juga tidak memiliki kekebalan untuk terlepas dari tempias ekonomi dunia yang berkembang lembab. Indonesia, sebuah negara besar di rantau ASEAN juga di Asia, dilihat semakin demokratik, semakin bertenaga, semakin mengamalkan urus tadbir negara yang lebih telus lagi berintegriti, semakin meyakinkan dunia. Perkembangan terbaru di Myanmar, digandingkan dengan kekayaan sumber di negara tersebut, meletakkan Myanmar berpotensi menjadi pasangan perkongsian baru kepada para pelabur asing. Setiap senario ini, meletakkan negara kita berhadapan dengan saingan lebih sengit untuk kekal menjadi destinasi pilihan pelaburan asing. Setiap senario ini menuntut kepada negara menerokai resipi baru demi menjamin daya saing dan daya tarikan, terus dapat dikekalkan. Setiap senario ini menuntut supaya negara melakukan perekayasaan, membetulkan kesilapan lalu – melakukan inovasi baru – melaksanakan urus tadbir negara secara lebih berintegriti.

 

6. Sesungguhnya setiap peristiwa yang berlaku, adalah penentuan dari ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk dijadikan renungan – dijadikan pengajaran – dijadikan pedoman melalui pancaindera kurniaan ILAHI kepada hamba Nya sejak dilahirkan ke dunia yang fana ini. Ayat 78, Surah An-Nahl mengingatkan:

“Dan ALLAH mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.”

7. Buktikanlah rasa syukur kepada TUHAN MAHA PENCIPTA dengan menggunakan panca indera anugerah ILAHI untuk menyempurnakan tugas – untuk memenuhi tanggung jawab secara amanah, jujur, ikhlas dan telus. Bahawa setiap tugas – setiap tanggung jawab yang disempurnakan dengan betul dan benar, adalah amal makruf yang bakal dilimpahkan berkat; semoga dirahmatkan negeri dengan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan; memungkinkan terbangunnya sebuah negeri yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI – ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’ seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Surah Saba.

8. Para ulama dan para umara Kerajaan Beta hendaklah arif lagi bijaksana mentafsir senario semasa ekonomi dan senario semasa politik, baik di peringkat dunia, di peringkat serantau, begitu juga di peringkat tempatan. Tidak ada lagi negara atau negeri yang berada dalam isolasi dalam era globalisasi ini. Keupayaan mentafsir secara tepat senario-senario yang sedang berlaku akan mengupayakan barisan ulama dan barisan umara yang diamanahkan mentadbir urus Kerajaan Beta melaksanakan langkah-langkah strategik, memajukan sumber negeri secara optimum, mengurangkan pembaziran demi kelestarian pembangunan – demi kesejahteraan warga.

9. Malaysia adalah sebuah negara kecil, kecil dari segi saiz – kecil dari segi bilangan penduduk; negeri Perak Darul Ridzuan adalah sebuah negeri di Malaysia dengan bilangan penduduk 2.5 juta dengan keluasan muka bumi 2.1 juta hektar. Kekuatan negara pada alaf ini, tidak lagi bergantung pada keluasan sempadan dan saiz penduduk. Dasar yang betul dan baik, penggunaan sumber yang bijak, modal insan berkualiti dan pimpinan yang amanah, ikhlas, jujur dan berwawasan, merupakan ramuan penting resipi kejayaan. Alhamdulillah, berkat kesungguhan usaha – hasil kebijaksanaan para peneraju Kerajaan Beta, tumpuan telah diberikan kepada perkara-perkara utama lagi strategik. Hasilnya, Negeri Perak Darul Ridzuan berjaya memenuhi unjuran pertumbuhan ekonomi positif. Berpandukan pencapaian pertumbuhan sebenar 5.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat nasional, dan berpandukan aliran pertumbuhan meningkat di negeri ini, pencapaian pertumbuhan 7.6 peratus dalam sektor perkhidmatan, 5.5 peratus dalam sektor pembuatan, 4 peratus dalam sektor pertanian, 3 peratus dalam sektor perlombongan dan kuari serta 2.7 peratus dalam sektor pembinaan, prestasi ekonomi Negeri Perak bagi tahun 2011, berada dalam zon pencapaian pertumbuhan di antara lima ke enam peratus.

 

10. Hasil Negeri terus meningkat, dari 642.61 juta ringgit dalam tahun 2009 kepada 793.18 juta ringgit dalam tahun 2010, terus meningkat kepada 820.28 juta ringgit dalam tahun 2011. Bajet 2012, mengunjurkan terimaan pembangunan berjumlah 865.12 juta ringgit; mengupayakan Kerajaan Beta pada tahun ini, memperuntukkan 321 juta ringgit bagi tujuan pembangunan, mencatatkan rekod peruntukan pembangunan paling tinggi yang pernah diluluskan.

11. Peruntukan pembangunan tersebut akan ditumpukan untuk memenuhi empat hasrat utama:

Pertama: Meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan

menambah peluang pekerjaan.

Kedua: Memantapkan pembangunan modal insan.

Ketiga: Melengkapkan prasarana dan kemudahan awam.

Keempat: Mensejahterakan kehidupan rakyat.

12. Dalam tahun 2011, Negeri Perak Darul Ridzuan berupaya menarik komitmen pelaburan bernilai 9.94 bilion ringgit; 1.16 bilion ringgit pelaburan domestik dan 8.78 bilion ringgit pelaburan langsung asing. Daripada jumlah komitmen tersebut, 1.64 bilion ringgit telah dibelanjakan pada tahun 2011, manakala 4.04 bilion ringgit dijadual dibelanjakan di antara tahun 2012 hingga tahun 2014; dan baki 4.26 bilion ringgit lagi akan dibelanjakan selepas tahun 2014. Komitmen terbesar 8.84 bilion ringgit melibatkan 142 projek adalah dalam sektor perkhidmatan.

13. Kerajaan Beta akan mengamalkan sifat selektif dengan mengadakan saringan teliti dalam proses memilih pelaburan yang diluluskan beroperasi di negeri ini untuk mengelakkan dari berlakunya sebarang kontroversi. Kriteria-kriteria yang wajib dihalusi ketika menimbang kelulusan pelaburan langsung asing adalah: pemindahan teknologi tinggi, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan di peringkat tenaga mahir dan profesional, tidak berintensif buruh yang bergantung pada buruh asing, tahap piawai keselamatan yang tinggi, sifar pencemaran dan tidak sekadar mahu mengambil kesempatan dari tarif kuasa yang bersubsidi. Kerajaan Beta jangan sama sekali mengizinkan negeri ini menjadi pilihan terakhir pelabur, dianggap tempat buangan atau dumping ground setelah sesuatu hasrat pelaburan itu tidak diterima di tempat lain. Kepentingan jangka panjang rakyat Beta dan kelangsungan kelestarian negeri ini, tidak harus sama sekali dikompromikan.

14. Rancangan Malaysia Kesepuluh telah melangkah ke tahun kedua. Negeri Perak telah memperoleh 2.6 bilion ringgit bagi rolling plan pertama untuk melaksanakan 392 projek. Peruntukan 6.0 bilion ringgit disediakan bagi rolling pelan kedua untuk membiayai 262 projek lagi. Hasil hubungan kerja baik yang terjalin di antara Kerajaan Beta dengan Kerajaan Persekutuan, rakyat di negeri ini turut mendapat nikmat melalui pelaksanaan beberapa program di bawah inisiatif Kerajaan Persekutuan. Sehingga kini, tujuh Klinik 1 Malaysia dan lima Kedai Rakyat 1 Malaysia telah dibangunkan di negeri ini. Klinik Bergerak 1 Malaysia turut dilancarkan untuk memberi khidmat kesihatan di kawasan pendalaman terutamanya di kalangan masyarakat Orang Asli.

15. Dalam usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan 798 juta ringgit dalam tahun 2011. Dua puluh lapan (28) ambulan dan dua puluh tujuh (27) kenderaan pelbagai guna telah dibekalkan. Hospital Taiping diperuntukkan 189 juta untuk dinaik taraf dan Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapat peruntukan 300 juta ringgit bagi tujuan yang sama.

16. Dalam hasrat mahu mengimbangkan pembangunan antara bandar dan luar bandar, Pusat Transformasi Luar Bandar yang pertama dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan di Gopeng; berperanan sebagai penghubung antara masyarakat luar bandar dengan aktiviti nilai tambah tinggi, dengan harapan, ia dapat membantu memberikan impak ekonomi dan pendapatan berganda. Untuk memudahkan penduduk desa memasarkan hasil tani mereka, Kerajaan Beta telah memperuntuk empat juta ringgit dalam tahun 2011 bagi tujuan menaikkan taraf jalan dan jambatan di luar bandar.

17. Inisiatif Kerajaan Beta untuk melonjakkan kecapaian rakyat melalui gagasan Perak Amanjaya kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya. Tujuh Bidang Keberhasilan Utama telah dirangkaikan mencakupi aspek-aspek, peranan kerajaan dan negeri, agihan pembangunan yang seimbang, jaringan prasarana dan kemudahan awam, masyarakat berkemahiran, berilmu dan beretika, partisipasi generasi muda dan keharmonian masyarakat, kemampanan sektor swasta, serta amalan mesra alam dan kelestarian sumber.

18. Sektor-sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian berperanan menentukan momentum pertumbuhan. Sektor perkhidmatan semakin mendahului sektor-sektor lain; 66 peratus dari pertumbuhan KDNK Negeri dihasilkan oleh sektor perkhidmatan, disusuli dengan 18.4 peratus oleh sektor pembuatan, sementara sektor pertanian mencatat sumbangan 13.5 peratus.

19. Sektor pertanian amat kritikal memenuhi peranan membekalkan makanan. Sektor pertanian akan terus dibangunkan secara strategik. Pengeluaran hasil pertanian secara lebih produktif akan dapat membantu menangani masalah food security, di samping dapat membantu memenuhi permintaan bahan makanan, semoga dapat juga membantu menstabilkan harga bahan makanan di pasaran.

20. Pada tahun 2011, 306 ribu tan pengeluaran tanaman bernilai 395 juta ringgit telah berjaya dihasilkan oleh 33,847 petani di kawasan seluas 83,168 hektar. Perangkaan ini tidak termasuk tanaman komoditi getah dan kelapa sawit. Peningkatan produktiviti setiap hektar telah berjaya meningkatkan pendapatan petani, mengupayakan majoriti petani memperoleh pendapatan melebihi 1,000 ringgit sebulan, melepasi tahap miskin tegar.

21. Sembilan ratus lima puluh (950) hektar kawasan di bawah program Taman Kekal Pengeluaran Makanan, memberi manfaat kepada 95 peserta. Dengan mengamalkan kaedah pertanian yang lebih saintifik lagi sistematik, majoriti peserta berjaya memperoleh pendapatan bersih melebihi tiga ribu (3,000) ringgit sebulan. Berdasarkan prestasi pencapaian yang menggalakkan dari program ini, Kerajaan Beta telah membangunkan satu lagi kawasan seluas 1,660 hektar di Bukit Sapi, Lenggong.

22. Program Azam Tani diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan isi keluarga, golongan miskin dan miskin tegar. Seribu (1,000) peserta dipilih untuk mengusahakan pelbagai tanaman. Pada tahun ini, Kerajaan Beta akan memperluaskan Program Azam Tani untuk manfaat 550 orang peserta lagi.

23. Negeri Perak menghasilkan bekalan terbesar ikan negara, baik untuk makanan begitu juga ikan hiasan. Pendaratan ikan laut yang dihasilkan oleh 12,156 nelayan, menggunakan 5,413 vesel, mencatat 235 ribu tan hasil dengan nilai 1.12 bilion ringgit. Pendaratan dan nilai pendaratan ini, merupakan 18 peratus dari keseluruhan pendaratan ikan laut negara tahun 2011. Akuakultur yang diusahakan oleh 2,510 pengusaha, mencatatkan hasil 119 ribu tan dengan nilai 603 juta ringgit, merupakan 29 peratus daripada jumlah pengeluaran akuakultur negara. Sementara itu, 30 usahawan asas tani di bawah sub sektor perikanan telah menghasilkan 1,882 tan produk bernilai 9.2 juta ringgit. Antara program baru yang akan dilaksanakan pada tahun ini adalah ternakan ikan berkelompok dan pembinaan jeti pendaratan di Tasik Temengor, kedua-duanya melibatkan perbelanjaan 11.4 juta ringgit.

24. Seyogia Beta ingatkan bahawa sumber semula jadi perairan wajib dipelihara untuk mengelakkan dari berlakunya kepupusan. Mekanisme pemuliharaan yang berkesan perlu dilakukan. Para nelayan dan pengusaha perlu diberikan didikan dan bimbingan supaya sumber yang memberikan mereka rezeki sejak turun temurun ini, tidak akan pupus. Langkah-langkah mengawal pencemaran air, pembuangan bahan beracun dan bahan pemusnah, termasuk plastik, sampah sarap, lebih-lebih lagi sisa buangan industri perlu dipantau secara berkala dan penguatkuasaan yang tegas dilakukan. Kawalan dan penguatkuasaan secara berkesan wajib dilakukan untuk melindungi kepentingan sumber ikan negeri terutama kawalan terhadap pencerobohan nelayan asing.

25. Sektor penternakan mencatatkan nilai pengeluaran 2.7 bilion ringgit, meningkat dua puluh empat (24) peratus berbanding tahun sebelumnya. Negeri Perak kekal sebagai pengeluar utama eksport ternakan itik pedaging, serta net exporter telur dan daging ayam. Program pembangunan komoditi lembu pedaging, lembu tenusu, kambing dan rusa turut diusahakan. Keseluruhannya, 3,816 penternak terlibat dalam sektor penternakan.

26. Sektor penternakan akan terus dibangunkan. Sembilan puluh enam (96) kawasan padang ragut melibatkan kawasan seluas 3,972 hektar telah dibangunkan. Seribu empat ratus tujuh puluh tujuh (1,477) hektar lagi sedang dirancang untuk dibangunkan dengan tanaman rumput bermutu. Perusahaan burung walit turut diterokai. Enam ratus ribu (600,000) ringgit diperuntukkan untuk memajukan perusahaan ini.

27. Sektor pelancongan bertambah signifikan membantu pertumbuhan ekonomi negeri, berupaya melahirkan pelbagai usahawan hiliran, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan. Lapan belas (18) juta ringgit disediakan secara khusus untuk melaksanakan pelbagai promosi, acara, pembangunan prasarana dan pembangunan sumber manusia serta pengurusan. Tiga puluh lapan (38) acara promosi pelancongan telah disusun untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini, di bawah program Tahun Melawat Perak termasuk menganjurkan dua seminar di peringkat antarabangsa, ia itu International Conference on Biodiversity and Tourism dan International Conference on Wildlife Tourism.

28. Royal Belum adalah satu-satunya khazanah hutan tropika yang unggul lagi istimewa. Ia adalah anugerah ILAHI di negeri bertuah ini. Ia telah diperkenan untuk dinobatkan dengan taraf Diraja. Royal Belum jangan sama sekali dibenarkan menjadi mangsa kerakusan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab, mengaut keuntungan peribadi dengan mengeksploitasi khazanah unggul milik negeri. Pengawasan yang rapi dan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan secara tegas terhadap apa juga bentuk pencerobohan yang boleh memusnahkan khazanah unggul tersebut. Kerajaan Beta hendaklah meningkatkan tugas pengawalan dan jika perlu menambahkan sumber manusia untuk melipat gandakan rondaan pengawasan. Kerajaan Beta menyambut baik langkah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, melantik pakar perunding untuk menyediakan pelan pengurusan bersepadu Royal Belum. Semoga segala usaha yang dirintis untuk Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO akan dimakbulkan ILAHI.

29. Ketika ini, terdapat 162 hotel di Negeri Perak dengan kapasiti menyediakan 8,178 bilik penginapan. Enam kemudahan homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia menyediakan 231 unit rumah bagi tujuan penginapan. Enam puluh satu (61) peratus kadar penginapan hotel yang dicapai dalam tahun 2011, memberikan indikator Negeri Perak telah berjaya menarik tiga juta pelancong. Pada tahun ini, Kerajaan Beta telah meletakkan sasaran mengatasi 80 peratus kadar penginapan hotel dan berusaha untuk mendapatkan lima juta pelancong.

30. Pembangunan komponen perkakasan (hard ware) hendaklah diselarikan dengan pembangunan perisian (soft ware), dari segi perkhidmatan berkualiti, amalan kebersihan dan kemahiran berkomunikasi. Kakitangan yang terlatih dan berpengalaman adalah satu kemestian. Pihak-pihak Berkuasa Tempatan wajib meningkatkan tahap kebersihan. Kerja-kerja pembersihan hendaklah dilakukan setiap hari malah dilipat gandakan pada hari-hari percutian dan di hujung-hujung minggu. Jaminan keselamatan pelancong terutama dari segi indeks jenayah yang rendah adalah faktor penting kepada para pelancong.

31. Indeks jenayah di Negeri Perak yang turun dari 11,270 kes dalam tahun 2010 kepada 8,271 kes dalam tahun 2011 adalah indikator yang melegakan. Namun wajar diambil ingatan, selagi jenayah masih berlaku, kelihatan berlaku dan dilaporkan berlaku, zon keselesaan rakyat tidak dapat diyakini semata-mata dengan pencapaian berbentuk perangkaan. Membanteras dan meminimumkan kejadian jenayah adalah cabaran yang memerlukan usaha yang terselaras. Selagi terdapat keadaan yang membuka ruang untuk memudahkan penjenayah bersarang, selagi itulah tugas Polis menjadi rumit. Penyalah gunaan visa, pemalsuan permit kerja, pendatang tanpa izin adalah antara elemen yang menjadi pemangkin kepada kejadian jenayah; ditambah pula jika berlaku kemuraman ekonomi, perbuatan rasuah dan pecah amanah, kos sara hidup yang tinggi, pengangguran dan penagihan dadah; setiap satunya akan membuka ruang untuk mendorong berlakunya jenayah. Semua pihak ada tanggung jawab secara kolektif, perlu bersama membantu tugas Polis. Beta gembira dengan kejayaan Kontinjen Polis Perak berada di tempat teratas, memperoleh 102,799 Rakan Cop untuk membantu Pasukan dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisian.

 

32. Kejayaan sesuatu rancangan dan pencapaian sesuatu wawasan memerlukan jentera pelaksanaan yang berwibawa, cekap, mahir dan terlatih. Tidak ada negara yang dapat mencapai taraf negara maju tanpa program membangun dan memajukan modal insan secara lengkap, komprehensif lagi menyeluruh, meliputi semua peringkat dan lapisan. Bangunan, jambatan, landasan atau lebuh raya yang dibina, bukan sahaja memerlukan jurutera, arkitek atau juru ukur bahan yang berwibawa, tetapi turut memerlukan pembantu teknik, pembancuh simen serta barisan tenaga kerja yang mahir di setiap peringkat. Institusi pengajian, institusi latihan, institusi sekolah berperanan penting membantu membina modal insan berkualiti. Para pendidik, para pensyarah dan para guru berjasa besar kepada negara – kepada warga, memenuhi amanah untuk mendidik dan membimbing anak didik masing-masing sehingga berjaya menguasai ilmu, menguasai pengetahuan dan menguasai kemahiran.

33. Agenda membangunkan modal insan melalui program pendidikan yang mampan akan terus diperluas dan dipertingkatkan. Langkah negara untuk memperluas dan meningkatkan latihan vokasional adalah langkah bijak yang akan dapat mengimbangkan keperluan bekalan dan permintaan tenaga terlatih di pelbagai peringkat, strata dan bidang kerjaya. Kaedah latihan industri secara ‘hands on’ wajar digalakkan dan diberikan insentif. Segala usaha untuk meningkatkan taraf dan mutu pendidikan perlu diberikan sokongan. Alhamdulillah, hasrat dan usaha untuk menaik taraf Kolej Islam Darul Ridzuan telah dimakbulkan ILAHI; Kolej tersebut kini telah mendapat kelulusan dinaiktaraf ke taraf Kolej Universiti.

34. Kerajaan Beta bersama Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan 63.89 juta ringgit untuk membiayai pengajian lebih 100 ribu pelajar dalam pelbagai bidang pengajian dan latihan. Dalam tahun 2011, Program Pinjaman Pengajian Tinggi Perak menyediakan lima juta ringgit untuk membiayai 512 pelajar. Jumlah yang sama turut disediakan pada tahun ini. Yayasan Perak telah memperuntukkan 10 juta ringgit, membantu tiga belas ribu pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pada tahun lalu, melalui agihan zakat memberikan bantuan persekolahan kepada 13,434 pelajar; 4.6 juta ringgit diluluskan untuk bantuan am pelajaran yang dapat dimanfaatkan oleh 10,183 pelajar; 4.6 juta ringgit dalam bentuk biasiswa peringkat pengajian tinggi diluluskan kepada 820 pelajar di luar negara dan 825 pelajar di dalam negara.

35. Komuniti Orang Asli di Perak adalah kedua terbesar di Malaysia. Kerajaan Beta sedang melipat gandakan usaha untuk memastikan mereka lebih cepat dapat dibawa bersama menikmati kemajuan dan diperkenalkan dengan usaha-usaha yang dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. Enam ribu empat puluh dua (6,042) hektar kawasan telah dibangunkan dengan tanaman getah dan kelapa sawit, membuka ruang penyertaan 2,536 Orang Asli; sementara 180 peserta di Pos Yum Kuala Kangsar berpeluang menyertai program tanaman pisang dan koko di kawasan seluas 180 hektar. Sembilan puluh enam (96) unit rumah Orang Asli telah dibaik pulih, 94 unit rumah di bawah Program Projek Bantuan Rumah telah dibina; 87 unit dari jumlah tersebut dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia. Pelbagai program pendidikan diperkenalkan, khusus disasarkan untuk meningkatkan pencapaian pelajaran di kalangan anak-anak Orang Asli. Lima ratus (500) ribu ringgit disediakan pada tahun ini untuk menganjurkan kursus-kursus motivasi dan program kecemerlangan peperiksaan; 1.5 juta ringgit lagi diperuntukkan di bawah program kesejahteraan Orang Asli, untuk membiayai pembinaan 35 unit rumah dan membaik pulih 90 unit rumah. Kawasan seluas 420 hektar akan dibangunkan untuk projek pertanian yang akan memberi manfaat kepada 347 Orang Asli.

36. Kerajaan Beta amat prihatin terhadap kumpulan yang amat memerlukan bantuan. Program-program meningkatkan kemahiran dan daya saing diperkenalkan supaya kumpulan sasar ini pada akhirnya berupaya berdikari dan berjaya meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. Program-program khusus dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran Orang Kelainan Upaya (OKU). Dalam usaha meningkatkan potensi pengupayaan mereka, Kerajaan Beta telah menyediakan pelbagai insentif, antaranya Geran Pelancaran Perniagaan, Skim Galakan Bantuan Perniagaan dan Elaun Pekerja Cacat.

37. Di samping memenuhi tanggung jawab besar keluarga sebagai isteri dan ibu, wanita di negara ini semakin ke hadapan mengambil tanggung jawab membantu menambah sumber pendapatan keluarga. Peruntukan dua juta ringgit, disediakan pada tahun ini untuk membiayai program-program memajukan wanita dalam pelbagai bidang terutama di kalangan ibu tunggal yang menanggung tanggung jawab membesarkan anak-anak. Beta menyedari kesusahan yang sering kali terpaksa dialami oleh wanita apabila menghadapi krisis perkahwinan terutama yang ditinggal suami. Dalam banyak kes mereka berada dipihak yang terpaksa menanggung beban lebih berat. Beta telah menasihatkan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah supaya mempamerkan keadilan yang saksama terhadap wanita dengan seboleh-bolehnya mempercepatkan penghakiman dan bertindak tegas dalam menangani pelbagai helah suami, agar kes-kes keluarga dapat segera diselesaikan. Setiap kelewatan yang sengaja mahu dilengah-lengahkan oleh mana-mana pihak, melibatkan kos dan memberatkan tanggungan kewangan di pihak wanita, di samping menjejaskan emosi anak-anak yang turut berada dalam situasi ketidak tentuan.

38. Golongan miskin diberikan pembelaan melalui pelbagai langkah untuk menambahkan pendapatan, meringankan bebanan dan meningkatkan taraf hidup. Lapan perpuluhan dua (8.2) juta ringgit dibelanjakan untuk membina 192 rumah baru dan membaik pulih 142 rumah, memberi manfaat kepada 334 ketua isi rumah. Program Mikro Kredit khusus disediakan kepada peserta E-Kasih untuk memulakan perniagaan. Lapan ratus tujuh puluh (870) peserta telah menerima pembiayaan yang melibatkan peruntukan 7.2 juta ringgit. Dalam usaha untuk menentukan kumpulan keterbawahan dapat menikmati nutrisi makanan mencukupi, Kerajaan Beta memperkenalkan program Bantuan Ikhlas Bekalan Makanan kepada 45,000 ketua isi rumah. Bantuan makanan sempena sambutan perayaan turut diberikan kepada 6,700 ketua isi rumah.

39. Alhamdulillah, dalam tahun 2011, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak telah berjaya meningkatkan kutipan zakat mencapai 86.11 juta ringgit berbanding kutipan 70.28 juta ringgit dalam tahun sebelumnya. Ini menandakan bertambah ramai ummah telah sedar akan tanggung jawab menunaikan salah satu dari Rukun Islam yang lima, malah boleh juga ditafsirkan bahawa semakin ramai masyarakat di Perak kini sudah termasuk dalam kategori yang berupaya menunaikan zakat. Kutipan tersebut telah membolehkan Majlis Agama Islam Negeri mengagihkan 69.4 juta ringgit kepada asnaf fakir dan miskin. Lima ribu sembilan ratus lapan puluh lima (5,985) orang diluluskan bantuan bulanan, 182 diluluskan bantuan bina rumah, sementara 205 mendapat bantuan pulih rumah. Sejumlah 9.62 juta ringgit disalurkan kepada 468 pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis manakala 178 lagi menerima bantuan alat sokongan perubatan. Sejumlah 4.13 juta ringgit di bawah asnaf fisabilillah diluluskan untuk bantuan per kapita Sekolah Agama Rakyat, elaun guru Al-Quran dan insentif mubaligh.

40. Rancangan Perumahan Awam dibangunkan untuk golongan berpendapatan rendah. Di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, tiga Program Perumahan Rakyat melibatkan 450 unit rumah dengan kos 54.7 juta ringgit telah dilaksanakan di daerah-daerah Hilir Perak, Kerian serta Larut, Matang dan Selama.

41. Masyarakat remaja pada hari ini memiliki aspirasi dan pengharapan yang tinggi. Kerajaan Beta amat sedar bahawa kumpulan ini, majoritinya lebih literate dan begitu mesra dengan teknologi maklumat dan komunikasi. Mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh dan tarikan. Generasi remaja ini memerlukan program-program sosial, riadah, minda, komersial dan kerjaya yang selaras dengan cita rasa mereka. Ada di kalangan mereka terperangkap menjadi mangsa kepada kumpulan yang mengambil kesempatan mengeksploitasi mereka. Di kalangan mereka ada yang terjebak dengan penyalah gunaan dadah, tidak sekadar sebagai penagih malah diperalatkan dalam perdagangan dan pengedaran dadah; ada yang terjebak, terpedaya dan dipaksa terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah dan aktiviti maksiat.

42. Tanpa kaedah penyelesaian yang komprehensif dan terselaras, negara dan keluarga akan menghadapi kos tinggi dalam menghadapi masalah remaja. Ketiadaan kekuatan rohani, kelemahan institusi keluarga, dan rasa tidak dihargai dan rasa kecewa semasa berada dalam institusi persekolahan, adalah antara faktor yang menyebabkan berlakunya penyimpang sosial atau social deviant. Mereka tidak lahir dalam vakum, mereka lahir akibat ketempangan struktur sosial, akibat ketidak sempurnaan format apresiasi sosial, terutama di kalangan mereka yang berlatar belakang keluarga miskin, di kalangan anak-anak dari keluarga yang tidak harmoni, di kalangan mereka yang merasakan diri tidak dihargai kerana tidak mencapai gred cemerlang di sekolah, di kalangan mereka yang merasakan terpinggir disebabkan ketempangan struktur sosial dan format apresiasi institusi, di kalangan mereka yang mual melihat perbalahan politik bagaikan tiada sempadan, di kalangan mereka yang memberontak melihat jurang agihan kemewahan yang begitu lebar.

43. Mereka adalah generasi muda, generasi muka, generasi yang bakal mewarisi negara ini. Mereka adalah aset negara yang berpotensi bertukar menjadi liabiliti. Negara memerlukan warga muda yang sihat, cergas, cerdas dan tangkas; warga muda yang memahami dan menghayati nilai-nilai keinsanan dan kemuliaan; warga muda yang merasakan diri mereka dihargai oleh keluarga, institusi, masyarakat dan negara. Langkah-langkah menyelamatkan mereka adalah tanggung jawab semua pihak; kerajaan, masyarakat, institusi, dan keluarga. Kekuatan rohani perlu disemai; masjid, gereja, kuil; badan bukan kerajaan, pertubuhan sukarela, pertubuhan sukan dan pertubuhan belia wajib mengambil tanggung jawab bersama melengkapkan peranan institusi keluarga dan institusi sekolah.

44. Pegangan agama dan kepercayaan akan kewujudan Tuhan wajib di semai di kalangan warga untuk membina kekuatan dalaman dan membina jati diri remaja. Rukun Negara meletakkan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan sebagai prinsip pertama dan paling utama. Tanah Air kita ini, jelas di dalam sejarah adalah tanah dan bumi yang dihuni oleh warga yang berpegang kepada agama dan percaya akan kewujudan Tuhan. Mengamalkan agama digalakkan di bumi ini. Komponen agama, termaktub dalam Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan, mendahului perkara-perkara lain. Islam ialah agama bagi Persekutuan sementara agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di serata negara. Perkataan-perkataan agama Persekutuan, aman dan damai adalah tiga kata kunci yang wajib dijadikan kompas panduan dalam budaya beragama di negara ini.

45. Agama Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas. Pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan-kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-negeri. Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.

46. Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam. Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan.

47. Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain; tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam. Umat Islam di bumi ini, majoritinya diasuh untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan. Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri dari membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain.

48. Umat Islam amat mematuhi disiplin, adab dan tertib perkara berkaitan agama dan menghormati autoriti agama, waima ia seorang Raja Pemerintah. Umat Islam senantiasa menghormati, memuliakan dan mensucikan perkara menyentuh agama. Oleh itu dalam perkara menyentuh hukum – menyentuh syariat, menyentuh aqidah – menyentuh ibadah, umat Islam akan merujuk kepada ulama, hatta seorang Raja Pemerintah. Walaupun memegang amanah sebagai Ketua Agama Islam, Raja Pemerintah masih merujuk kepada ulama dalam perkara berkaitan Islam. Kerana itu, dalam tradisi Kesultanan Perak, seorang ulama dilantik sebagai Orang Besar Istana, bergelar Imam Paduka Tuan untuk menasihatkan Raja Pemerintah tentang perkara-perkara berkaitan Islam. Hari ini, Raja Pemerintah turut merujuk kepada Mufti Kerajaan, dan Mufti Kerajaan dalam menyembahkan nasihat dalam perkara-perkara berkaitan hukum, di bantu oleh barisan ulama melalui forum mesyuarah Jawatankuasa Fatwa.

49. Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar – malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat – memperkecilkan aqidah umat Islam. Perkara menyentuh syariat – menyentuh aqidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam khusus untuk menasihati umat Islam, kini dipersoalkan – dipertikaikan – diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam. Perbuatan tersebut, nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain – tatasusila tidak memperkecilkan agama lain – tatasusila untuk tidak mencampuri urusan agama lain adalah tatasusila yang wajib dipatuhi, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat tiga hingga ayat enam Surah Al Kaafiruun:

“Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah, Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah, Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku.”

50. Perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan – secara terbuka, dibimbangkan, berkemungkinan menjadi punca – mencetuskan berlakunya tragedi buruk. Oleh itu perbuatan sedemikian wajib dihentikan dan secara tegas, dicegah dari dibenarkan berlaku. Peringatan Beta! bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri – kelak nanti terhangus negeri. Sebagai anggota badan perundangan di Dewan ini, Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah mencerminkan sebaik contoh – sebaik teladan dalam aspek menghormati kesucian sesuatu agama. Kesucian agama Islam wajib dipertahankan setiap masa dan kebebasan agama lain wajib pula dihormati dalam ruang parameter dan sempadan masing-masing.

Yang Dipertua Dewan Negeri

51. Beta menghargai usaha dan kejayaan Kerajaan Beta di bawah pimpinan Mamanda Menteri Besar beserta sokongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan mentadbir urus negeri dengan wawasan untuk menjadikan Negeri Perak Darul Ridzuan aman dan jaya. Beta menghargai peranan Ahli-Ahli Dewan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Negara, Orang Besar Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam, Anggota Tentera dan Polis, Pegawai Majlis Agama dan Pentadbir Agama, Penghulu, Imam dan Pegawai Masjid, Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Ketua-Ketua Agama, Pemimpin-Pemimpin Kaum dan Masyarakat, Badan-Badan Kebajikan, Badan-Badan Sukarela, Badan-Badan Sukan, Pertubuhan-Pertubuhan Belia, yang telah saling bekerjasama melaksanakan tugas, memenuhi amanah, mempamerkan kesetiaan kepada Raja dan negara, membangunkan negeri dan membantu untuk meningkatkan tahap pencapaian sosio ekonomi warga.

52. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat dan kebaikan kepada negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan.

53. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan yang kedua belas.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: