Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas

Logo%20Sultan-White[1]

 

Ending of Speech

Opening of Speech

Yang Dipertua Dewan Negeri

Ekonomi negara pada tahun 2014 berkembang pesat dengan mencatatkan pertumbuhan enam peratus, dipacu permintaan domestik dan kemajuan perdagangan luar. Namun demikian, peristiwa dan perkembangan yang berlaku pada akhir tahun lalu dan pada awal tahun ini telah melukiskan senario baru yang memberikan impak tertentu kepada perancangan pembangunan negara bagi tahun 2015. Penurunan 49.44 peratus harga minyak mentah dunia pada tahun 2014 memberi impak langsung kepada negara malah turut memberi tekanan kepada mata wang Ringgit. Bank Negara melaporkan, ringgit antara bulan Februari hingga Ogos tahun 2014 secara amnya berada pada trend pengukuhan di sebabkan aliran masuk portfolio yang mampan. Walau bagaimanapun, sejak September 2014, ringgit bersama-sama kebanyakan mata wang serantau, menghadapi tekanan susut nilai kerana pelabur telah melupuskan pemegangan aset kewangan mereka di rantau ini berikutan kebimbangan akan kemungkinan berlaku perubahan dasar monetari Amerika Syarikat dan terdapatnya pelbagai tanda kelemahan dalam momentum pertumbuhan global. Bagi keseluruhan tahun 2014, ringgit menyusut nilai, enam perpuluhan satu (6.1) peratus berbanding dolar Amerika. Namun ia tidak semestinya hanya memberikan kesan negatif kerana ia juga turut memberikan kelebihan kepada sesetengah pengeksport dan pelabur untuk menanam modal di Malaysia yang menyediakan persekitaran pelaburan menarik. Pada masa yang sama Bank Negara menyifatkan kadar semasa ringgit berada di bawah nilai sebenar yang ketara.[1]

2. Laporan Tabung Kewangan Antara Bangsa selepas penilaian semula prospek negara-negara China, Russia, Kesatuan Eropah dan Jepun serta beberapa negara utama pengeksport minyak, telah merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia daripada 3.8 peratus kepada 3.5 peratus, namun ia masih lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan 3.3 peratus pada 2014.[2]

3. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia turut terdedah kepada dinamik yang sedang berlaku di serata dunia disebabkan kejatuhan harga minyak mentah, ketidakpastian geopolitik di Eropah Timur dan Asia Barat serta jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat menyebabkan aliran keluar dana daripada pasaran kewangan serantau, beralih kepada aset kewangan di Amerika Syarikat. Berikutan senario terbaru tersebut, Kerajaan Persekutuan telah melakukan beberapa langkah pengubahsuaian dengan meletakkan sasaran baru pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun semasa berbanding jangkaan lima hingga enam peratus yang disasarkan ketika bajet 2015 dibentangkan. Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada tahun ini dengan dipacu oleh permintaan dalam negeri dan perbelanjaan sektor swasta. Penggunaan swasta diunjur berkembang pada kadar enam peratus pada tahun ini. Kadar inflasi pada tahun ini diunjurkan lebih rendah antara dua hingga tiga peratus berbanding tiga perpuluhan dua (3.2) peratus pada tahun 2014. Kadar pengangguran dijangka kekal rendah sekitar dua perpuluhan sembilan (2.9) peratus.

4. Laporan Bank Negara menunjukkan pasaran kewangan Islam mengekalkan momentum pertumbuhannya pada tahun 2014. Sektor perbankan Islam mencatat pertumbuhan dua belas peratus pada tahun lalu, mencakupi dua puluh lima perpuluhan enam (25.6) peratus daripada jumlah aset keseluruhan sistem perbankan. Aset mata wang asing dalam sektor perbankan Islam meningkat kepada dua puluh tujuh perpuluhan tujuh (27.7) bilion berbanding sembilan belas perpuluhan tiga (19.3) bilion, menunjukkan kepentingan urus niaga kewangan Islam telah berjaya merentasi sempadan. Malaysia terus menjadi destinasi pilihan terbitan sukuk oleh syarikat dan organisasi antarabangsa. Enam puluh lima perpuluhan enam (65.6) peratus daripada terbitan baharu sukuk global, bersamaan dua ratus tujuh puluh dua (271.87) bilion ringgit diterbitkan di Malaysia.

5. Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka memberi kesan sementara kepada pengguna, namun Bank Negara berkeyakinan penggunaan pengguna akan meningkat susulan peningkatan pendapatan boleh guna kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada pelarasan menurun harga bahan api yang dijangka berupaya meningkatkan tujuh perpuluhan lima (7.5) bilion ringgit pendapatan boleh guna.

6. Kerajaan Beta dan rakyat Beta perlu berupaya melakukan analisis tepat serta mengatur strategi secara arif dalam menghadapi senario semasa negara dan dunia. Dalam setiap senario yang menghamparkan cabaran, sebenarnya turut terselit pelbagai peluang. Ketika menghadapi ujian berat, keupayaan mengenalpasti peluang baru serta kebijaksanaan menerokai pemikiran baru adalah kunci yang akan menentukan kejayaan. Elemen keyakinan, keupayaan untuk terus membina keyakinan dan kejayaan mengembalikan keyakinan berperanan besar ketika sesebuah organisasi mahupun negara sedang berhadapan sesuatu ujian.

7. Dalam tahun 2014, kutipan hasil negeri meningkat kepada sembilan ratus dua puluh lapan (927.83) juta ringgit, mencatatkan lebihan bajet tujuh perpuluhan tujuh (7.73) juta ringgit. Kutipan pelbagai hasil tanah merupakan sumber pendapatan terbesar, memberikan sumbangan hampir enam puluh peratus kepada kutipan hasil negeri keseluruhannya. Kutipan hasil adalah sumber penting pendapatan negeri. Oleh itu, urusan kutipan hasil yang lebih efisien perlu diutamakan, langkah penguatkuasaan wajib ditegaskan dan mekanisme lebih berkesan perlu diperkenalkan demi memasti tunggakan kutipan cukai diminimumkan. Prestasi kutipan hasil yang baik membolehkan Kerajaan Beta pada tahun ini menyuntikkan tiga ratus empat puluh tiga (342.71) juta ringgit untuk tujuan pembangunan.

8. Pengurusan kewangan Kerajaan Negeri turut menunjukkan prestasi kemajuan. Lapan jabatan dan agensi telah menerima pengiktirafan tertinggi empat bintang dalam Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Tahun 2013 berbanding enam jabatan pada tahun sebelumnya. Pusat Transformasi Bandar atau UTC (Urban Transformation Centre) Perak telah diiktiraf sebagai UTC terbaik di Malaysia. Kementerian Kewangan Malaysia telah menjadikan UTC Perak sebagai role model kepada semua UTC yang sedang beroperasi. Kutipan hasil agensi secara keseluruhan bagi tahun 2014 mencecah 567 juta ringgit berbanding kutipan hasil 397 juta ringgit pada tahun 2013.

9. Kestabilan politik, jaminan keselamatan dan indeks jenayah, prasarana pengangkutan udara, laut dan darat; bekalan tenaga yang stabil, bekalan air yang berkualiti dan talian telekomunikasi yang baik serta kemudahan perumahan, kesihatan, pendidikan dan rekreasi berkualiti adalah antara komponen penting yang dapat menjadi daya tarikan kepada para pelabur.

10. Negeri Perak tidak sekadar memiliki komponen-komponen tersebut malah memilikinya dengan kualiti yang tinggi. Penembusan Jalur Lebar di negeri Perak kini telah meningkat daripada 51.7 peratus pada tahun 2013 kepada 73.8 peratus pada tahun 2014. Jumlah kilometer jalanraya yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Jalanraya Malaysia atau MARRIS (Malaysian Road Record Information System) meningkat daripada 18,691 kilometer pada tahun 2013 kepada 25,000 kilometer pada tahun 2014, melayakkan Kerajaan Beta memperoleh peruntukan penyelenggaraan melebihi 350 juta ringgit dalam tahun 2015. Tiga syarikat penerbangan, Malindo Air, You Wings dan Fire Fly kini beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah menghubungkan Ipoh melalui perhubungan udara secara terus dengan Medan, Kota Bharu, Johor Bahru dan Singapura. Polis Diraja Malaysia telah berjaya mengurangkan kejadian jenayah daripada 7,429 kes pada tahun 2013 kepada 6,861 kes dalam tahun 2014. Keberkesanan angkatan tentera Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia melaksanakan tugas kawalan dan rondaan di persempadan bersama sepanjang 160 kilometer di antara negeri Perak dengan negara Thailand telah meletakkan negara berada dalam keadaan aman dan selamat.

11. Daripada 1,100 kilometer pantai barat Semenanjung Malaysia, dua ratus empat (203.72) kilometer berada di negeri Perak. Sejak tiga puluh lima tahun yang lalu pangkalan terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berpangkalan di perairan Negeri Perak.  Perangkaan menunjukkan, setiap tahun, secara purata, lebih tujuh puluh lima ribu (75,000) kapal melintasi kawasan perairan tersebut, meletakkannya antara laluan perairan tersibuk di dunia.  TLDM bukan sahaja memenuhi tugas menjaga keselamatan perairan negara malah telah secara langsung melimpahkan manfaat kepada penduduk setempat dan menjadi pemangkin kepada pelbagai kegiatan ekonomi di Lumut terutama membantu membangunkan industri pertahanan maritim.

12. Pada masa ini, tidak ada badan khusus di negeri Perak yang mengawal selia secara menyeluruh pengurusan dan aktiviti pelabuhan serta levi dan pengeluaran lesen operasi pelabuhan selain yang dikendalikan oleh Lumut Maritime Terminal melalui perjanjian konsesi yang akan tamat pada 23 Julai 2015. Dengan terdapatnya pembangunan industri yang pesat di perairan negeri Perak khususnya di daerah Manjung, maka telah sampai masanya diwujudkan sebuah badan khusus untuk mengawal dan memantau pergerakan kapal-kapal secara lebih teratur dan sistematik di perairan Negeri Perak. Rancangan Kerajaan Beta mahu menubuhkan Lembaga Pelabuhan Perak adalah satu langkah yang amat tepat.

13. Sepanjang tahun 2014, negeri Perak telah menerima pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai satu perpuluhan tujuh (1.71) bilion ringgit. Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS berperanan penting dalam ekonomi sesebuah negara. Perangkaan tahun 2013, menunjukkan PKS semakin berperanan penting, mencatatkan sumbangan tiga puluh tiga peratus (33%) kepada KDNK, tujuh belas peratus (17%) kepada eksport negara dan melibatkan lima puluh lapan peratus (57.5%) kadar guna tenaga. Enam puluh ribu (60,028) Perusahaan Kecil dan Sederhana yang berdaftar di negeri Perak merupakan sembilan peratus (9.3%) daripada keseluruhan perniagaan yang berdaftar di Malaysia. Memandangkan bumiputera hanya terdiri daripada dua puluh peratus (20.2%) PKS yang berdaftar di negeri Perak, Kerajaan Beta akan berusaha untuk menggalakkan dan mendorong penglibatan bumiputera yang lebih ramai.

14. Sektor pelancongan terus dibangunkan dengan partisipasi aktif pihak swasta membangunkan produk baru dan menyediakan pelbagai perkhidmatan baru. Taman Tema Animasi dijadualkan siap pada penghujung tahun ini. Taiping telah diwartakan sebagai bandar warisan dan akan diserlahkan melalui pengenalan produk Jejak Warisan Taiping. Bandar Ipoh memiliki potensi besar untuk mempromosikan produk pelancongan kesihatan memandangkan Ipoh mempunyai hospital-hospital swasta yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan perubatan berkualiti.

15. Kualiti air terawat yang dibekalkan mematuhi piawaian Program Jaminan Kualiti Kementerian Kesihatan Malaysia. Projek pembangunan bekalan air bernilai lapan puluh tiga (83) juta ringgit telah dimulakan di daerah-daerah Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama serta Lumut. Di samping itu, Lembaga Air Perak turut memperluaskan sistem agihan bekalan air Greater Ipoh dan program mengurangkan kadar kehilangan air tak berhasil.

16. Projek loji Penjana Elektrik Manjung 4 di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah dengan nilai pelaburan lima perpuluhan sembilan (5.9) bilion ringgit telah mula beroperasi. Loji tersebut adalah stesen penjana elektrik terbesar di Malaysia berkapasiti satu ribu (1,000) MegaWatt setiap hari. Penjana-penjana elektrik Manjung 1, Manjung 2, Manjung 3 dan Manjung 4, mempunyai keupayaan menjana 3,100 MegaWatt sehari. Projek-projek TNB (Tenaga Nasional Berhad) telah menyediakan sembilan ribu (9,000) peluang pekerjaan di sekitar Manjung, Lumut dan Pangkor serta turut mewujudkan pelbagai kegiatan ekonomi untuk penduduk setempat.

17. Daerah Manjung kini telah dimasukkan dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara atau NCIA (Northern Corridor Implementation Authority) akan berperanan sebagai pelengkap membantu usaha-usaha Kerajaan Beta mahu menjadikan Negeri Perak sebagai lokasi yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan, pelaburan dan keusahawanan. Pusat Kecemerlangan Akuakultur Marin dan Projek Perluasan Kawasan Industri Kampung Acheh akan dibangunkan. Pelan Pembangunan Greater Kamunting telah dirangka bertujuan membangunkan Greater Kamunting Cornubation sebagai perbandaran yang mengintegrasikan sektor-sektor perindustrian dan perusahaan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan dengan kemudahan pendidikan juga latihan berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.

18. Sektor-sektor pertanian, perikanan dan ternakan berperanan penting untuk menjaminkan bukan sahaja bekalan makanan mencukupi tetapi dibekalkan dengan harga yang tidak membebankan pengguna. Pelbagai insentif dan kemudahan disediakan. Penyelidikan dan inovasi digalakkan untuk meningkatkan produktiviti. Sektor pertanian akan terus dibangunkan melalui kerangka transformasi kerajaan yang memacu ke arah negara maju. Negeri Perak adalah pengeluar padi kedua terbesar negara. Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan akan terus dibangunkan secara strategik untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan melalui kaedah pengeluaran secara komersial serta membangunkan produk bernilai tinggi.

19. Tiga puluh enam ladang ternakan itik mendapat persijilan Skim Amalan Ladang Ternakan dan berjaya menghasilkan enam perpuluhan empat (6,403,056) juta ekor itik bernilai seratus dua puluh empat (123,947,156.52) juta ringgit. Negeri Perak adalah negeri pengeksport utama itik hidup ke Singapura. Keseluruhan eksport produk ternakan mencecah empat perpuluhan dua (4,235) ribu metrik tan bernilai tiga puluh tujuh perpuluhan satu (37,090,834.25) juta ringgit. Lima perpuluhan tujuh (5,651,560.75) metrik tan produk ternakan bernilai tiga puluh lapan perpuluhan empat (38,382,525.47) juta ringgit dibekalkan untuk keperluan domestik. Industri tenusu terus berkembang, menghasilkan tiga perpuluhan lima (3,525,239.28) juta liter pada tahun 2014, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelum. Negeri Perak menghasilkan 14.2 peratus daripada jumlah pengeluaran susu negara.

20. Dalam usaha memenuhi potensi berperanan sebagai hub pengeluaran ikan negara, pelbagai usaha sedang giat dilakukan untuk meningkatkan hasil tangkapan, mewujudkan zon industri akuakultur serta menggalakkan kegiatan ikan hiasan serta mengembangkan industri berasaskan perikanan. Dasar nisbah penghasilan 50:50 antara ikan tangkapan dan ikan akuakultur telah dilancarkan.

Yang Dipertua Dewan Negeri

21. Perancangan kawasan bandar dan luar bandar hendaklah diselaraskan dengan doktrin pembangunan yang disandarkan kepada tiga teras hubungan, ia itu hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar dengan mengambil kira usaha-usaha pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar sebagai satu agenda dalam merangka pembangunan Negeri yang lestari. Program mengitar semula bahan buangan hendaklah ditingkatkan. Sektor perkilangan hendaklah digalakkan, malah ditawarkan insentif untuk menggunakan teknologi hijau dan teknologi bersih. Demi melindungi kepentingan rakyat, tindakan penguatkuasaan untuk mengawal kualiti alam sekitar hendaklah dilaksanakan secara tegas.

22. Manusia sebagai khalifah di muka bumi dipertanggungjawabkan untuk mengolah serta memakmurkan bumi. Manusia mempunyai peranan sebagai pembina, pengindah serta penyelamat alam sekitar dan bukan melakukan kerosakan, kemusnahan atau memporak-perandakannya. Sejarah membuktikan telah banyak berlaku kerosakan – sering kali bencana melanda akibat perbuatan tangan-tangan manusia.

23. Kerosakan alam sekitar secara berterusan bukan sahaja membahayakan kehidupan manusia, malah akan memusnahkan keseluruhan sistem hubungan semulajadi alam semesta. Manusia dituntut memelihara alam sekitar serta pelbagai sumber alam yang telah disediakan oleh Pencipta demi kelestarian kehidupan manusia. Perancangan pembangunan wajib memastikan kesemua sumber alam merangkumi gunung-ganang, sungai, flora dan fauna dijaga sebaik mungkin untuk dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

24. Dengan kesedaran tersebut, Negeri Perak masih berjaya mengekalkan hampir satu juta hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal. Hutan berfungsi sebagai penyerap (sponge) air semula jadi sekali gus berperanan memperlahankan kelajuan larian air permukaan, mengurangkan hakisan tanah, lantas dapat mengurangkan risiko banjir. Tindakan tegas wajib diambil terhadap kegiatan penerokaan hutan secara haram.

25. Negara telah dilanda banjir besar pada akhir tahun lalu membawa ke awal tahun ini. Bencana tersebut telah menjejaskan kehidupan empat ratus ribu mangsa; kemusnahan infrastruktur sahaja dianggar mencecah dua perpuluhan sembilan (2.9) bilion ringgit. Di negeri Perak, daerah-daerah Hulu Perak, Kerian, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak turut dilanda banjir. Dua ribu sembilan ratus (2,896) keluarga dengan bilangan lebih dua belas ribu (12,115) mangsa terpaksa ditempatkan di tujuh puluh tujuh (77) Pusat Pemindahan Bencana Banjir melibatkan perbelanjaan 1.4 juta ringgit untuk membiayai makan minum dan keperluan asas. Beta sendiri menyaksikan dengan hiba kemusnahan yang berlaku ke atas rumah kediaman, harta benda serta sumber kehidupan mangsa yang terlibat. Laporan awal menunjukkan 2,432 buah rumah perlu dibaik pulih sementara 26 buah rumah telah musnah. Infrastruktur dan aset awam bernilai hampir dua ratus tujuh puluh (269,517,204.00) juta ringgit telah rosak; rumah dan aset persendirian bernilai lebih enam puluh tiga (63,335,304.00) juta ringgit telah musnah; kehilangan pendapatan terutama di kalangan petani, penternak dan nelayan bernilai hampir empat puluh tujuh (46,684,452.00) juta ringgit. Keseluruhan kerosakan yang dinilai sehingga kini berjumlah hampir tiga ratus lapan puluh (379,536,960.00) juta ringgit; satu ratus empat (103,530,604.00) juta ringgit perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri sementara dua ratus tujuh puluh enam (276,006,356.00) juta ringgit melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam Kerajaan Persekutuan.

26. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membuktikan komitmen dan pengorbanan, bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu, menghulurkan khidmat, berusaha sedaya mungkin untuk meringankan tanggungan mangsa-mangsa banjir khususnya kepada ahli-ahli Dewan ini, Urusetia Keselamatan Negeri, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Pendidikan, Majlis Agama Islam Perak, Pejabat Daerah dan Majlis Daerah yang menyediakan petugas di barisan hadapan. Di samping itu penghargaan turut dirakamkan kepada pelbagai pertubuhan, badan bukan kerajaan, pihak swasta serta individu yang telah tampil menawarkan khidmat sukarela membantu tugas-tugas semasa dan pasca banjir di samping menghulurkan sumbangan dan derma dalam bentuk wang ringgit, makanan, pakaian, peralatan dan barangan.

27. Banjir adalah bencana berulang yang telah berlaku dan akan berlaku. Jika banjir merupakan medan pertarungan, kita tidak dapat lari dari setiap tahun berhadapan (dengan izin) a new and unfriendly battle ground. Rakyat akan setiap tahun berhadapan dengan ancaman bencana ini. Kebanyakan mangsa banjir adalah dari kalangan rakyat berpendapatan rendah, ramai yang berada dalam kategori miskin. Bencana banjir akan menambah beratkan beban tanggungan mereka. Kerajaan Beta, demikian juga Kerajaan Persekutuan perlu merangka pelan induk jangka panjang untuk menghadapi dan menangani bencana banjir. Kerajaan Beta dan Kerajaan Persekutuan hendaklah bersedia melakukan komitmen pelaburan modal jangka panjang untuk mengambil langkah-langkah preventif dan langkah-langkah yang dapat meminimumkan kesan kemusnahan. Pelan Induk jangka panjang menangani banjir amat diperlukan untuk mengatasi masalah dan kesusahan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat. Aset logistik yang sedia ada perlu ditambah serta dinaik taraf bagi memudahkan aktiviti komunikasi dan menyelamat.

28. Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu, dirujuk dengan ringkasan IBRM (Intergrated River Basin Management) telahpun disediakan untuk menyelaras semua pengurusan sumber dan aktiviti di lembangan Sungai Perak. IBRM adalah pendekatan yang diguna pakai oleh semua negara maju, menyelaras semua pengurusan sumber dan aktiviti di sesuatu lembangan sungai bertujuan memperkayakan penduduk tempatan melalui pembangunan sosial dan ekonomi secara kreatif serta mampan dan berupaya menambah peluang pekerjaan bertaraf tinggi di samping menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Pelan ini hendaklah terus dikemaskinikan. Semua jabatan dan agensi hendaklah mematuhi tatacara yang digariskan dalam pelan pengurusan ini.

Yang Dipertua Dewan Negeri

29. Dalam negara yang warganya begitu pelbagai, perpaduan warga adalah satu kemestian. Perpaduan warga wajib dipupuk secara berkesan. Sekolah adalah tapak semai pencanaian minda serta taman menyuburkan pembentukan budaya. Sekolah adalah medan yang dapat memupuk persefahaman diantara anak-anak yang berlatarbelakangkan pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa. Sekolah adalah tempat yang boleh mendidik semangat memahami kelainan budaya – menghormati perbezaan agama. Sekolah turut diharapkan memenuhi peranan menyemaikan semangat patriotisme, memupuk kesetiaan warga kepada Raja dan Negara.

30. Negara perlu ada platfom yang sama (common platform) yang dapat menyatukan warga sebuah negara hidup secara harmoni lagi bersatu. Keupayaan berkomunikasi amat penting untuk menjalin perpaduan. Warga sewajibnya berupaya berkomunikasi antara satu sama lain untuk meningkatkan perhubungan. Bahasa berperanan penting sebagai saluran komunikasi. Dasar terbuka Kerajaan Persekutuan terhadap aliran bahasa penghantar di sekolah tidak bermakna Kerajaan boleh terlepas pandang kepada aspek memastikan setiap warga Malaysia dididik daripada alam sekolah untuk berupaya menguasai Bahasa Kebangsaan Negara. Apalah ertinya menjadi warga kepada sebuah negara jika seseorang itu langsung tidak memahami jauh sekali daripada boleh bertutur dalam Bahasa Kebangsaan negaranya.

31. Setiap sekolah terutama sekolah-sekolah bukan aliran kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan tanggung jawab bersama untuk menyemaikan semangat patriotism dan pengetahuan ketatanegaraan kepada setiap murid. Tidak ada makna jika sekolah berjaya melahirkan ramai pelajar yang mencapai keputusan cemerlang akademik sedangkan produk yang dihasilkan oleh sekolah sama sekali tidak memiliki pengetahuan asas-asas kenegaraan dan tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan negaranya.

32. GAGASAN 1 MALAYSIA berpaksikan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.  Segala dasar, perancangan dan pelaksanaan wajiblah mengambil ingatan bahawa rakyat jelata terutama di kalangan yang berada dalam kategori miskin dan berpendapatan rendah merupakan konstituen yang paling perlu diberikan pembelaan dan mendapat pertolongan kerajaan dari segi perkhidmatan sosial, kebajikan, kesihatan dan perumahan.

33. Menangani kemiskinan adalah fardu wajib. Mengagihkan pendapatan secara adil lagi saksama adalah tugas wajib. Khidmat sosial dan kebajikan kepada golongan rakyat jelata terutama di kalangan mereka yang berpendapatan rendah akan terus diberikan perhatian. Tidak ada rakyat yang harus merasa terpinggir atau dipinggirkan dalam sebuah negara yang dilimpahkan ILAHI dengan pelbagai sumber kekayaan. Alhamdulillah, usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh Kerajaan Beta telah mendapat pengiktirafan. Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan telah berjaya dianugerahkan sijil pengurusan kualiti MS ISO 9002; di samping itu Yayasan Bina Upaya diiktiraf oleh Global Islamic Finance Award (GIFA) untuk menerima Anugerah Khas Kewangan Islam Global 2014 semasa berlangsungnya Forum Ekonomi Islam Sedunia di Dubai.

34. Dengan pembiayaan lima puluh tujuh (57) juta ringgit daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, pembekalan elektrik melalui solar telah diguna pakai untuk membekalkan elektrik kepada perkampungan Orang Asli di Pos Kemar, yang memberikan manfaat kepada tiga ribu (3,000) penduduk. Projek tersebut adalah projek terbesar di Semenanjung Malaysia yang menggunakan kaedah teknologi hybrid solar. Rejimen Askar Jurutera Diraja telah membantu menyalurkan bekalan air kepada penduduk Orang Asli di Kampung Badak Berendam, Kampar dan Batu 16, Tapah. Hampir lima puluh enam ribu (56,000) penduduk Orang Asli di seratus dua puluh empat (124) pos di pendalaman mendapat khidmat kesihatan yang dikendalikan oleh dua puluh (20) Pasukan Bergerak termasuk Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara. Program Pemulihan Pemakanan turut diperkenalkan di kalangan kanak-kanak di semua perkampungan Orang Asli.

35. Bancian penduduk pada tahun 2010, menunjukkan Negeri Perak mempunyai kepadatan warga emas yang tertinggi di Malaysia, seramai dua ratus tujuh puluh empat ribu (274,006), bersamaan sebelas peratus (11%) daripada jumlah warga emas negara. Kerajaan Beta mengambil berat isu dan permasalahan warga emas. Selaras dengan Dasar Warga Emas Negara, pelbagai usaha dan program sedang dijalankan bagi memastikan warga emas menghadapi senario penuaan yang sihat dan positif. Pusat Aktiviti Warga Emas yang diperkenalkan di daerah-daerah Batang Padang dan Kinta mendapat sambutan baik. Setiap anak dibesarkan dengan penuh belaian kasih sayang dan rasa tanggung jawab oleh ibu bapa. Anak-anak wajib mengambil tanggung jawab untuk memberikan perhatian dan melimpahkan kasih sayang kepada warga emas terutama kepada kedua ibu bapa seperti yang terkandung dalam seruan ILAHI ayat 14 Surah Luqman yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).[3]

36. Pelbagai program dilaksanakan untuk memperkasakan golongan OKU (Orang Kurang Upaya). Tiga puluh sembilan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) telah diwujudkan di seluruh negeri berperanan menyediakan pelbagai aktiviti dan kaedah pemulihan sehingga membolehkan OKU berdikari, bekerja serta terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi menghasilkan projek-projek usahawan kecil.

37. Infrastruktur dan kualiti perkhidmatan kesihatan telah ditambah baik dan ditingkatkan. Tiga ribu tujuh ratus (3,705) doktor (kerajaan dan swasta) berdaftar di negeri Perak; meletakkan nisbah seorang doktor bagi setiap enam ratus dua puluh (620) penduduk, nisbah yang mengatasi nisbah kebangsaan, seorang doktor bagi setiap enam ratus tiga puluh tiga (633) penduduk dan hampir mencapai nisbah yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menetapkan seorang doktor bagi setiap enam ratus (600) penduduk. Empat ratus dua puluh lapan (428) doktor pergigian (kerajaan dan swasta) berdaftar di negeri Perak meletakkan nisbah seorang doktor pergigian bagi setiap lima ribu tujuh ratus (5,692) penduduk; nisbah ini perlu ditambah baik untuk mencapai sasaran kebangsaan, seorang doktor pergigian bagi setiap empat ribu penduduk.

38. Unit kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun mula menyediakan perkhidmatan pada tahun 2011. Sehingga Disember 2014, unit tersebut telah mengendalikan 2,500 kes Angiogram Koronari Diagnostik dan 900 kes Angioplasty.  Sepanjang tahun lalu, hospital tersebut telah merawat 6,000 pesakit di Klinik Kardiology manakala 17,833 prosedur Non Invasive Cardiac Lab telah dilakukan. Perkhidmatan Magnetic Resonance Imaging (MRI) telah dimulakan di Hospital Taiping mulai Mei 2014. Kini terdapat dua puluh satu (21) KLINIK 1 MALAYSIA di seluruh negeri, empat klinik lagi akan diwujudkan dalam tahun ini.

39. Kewajipan menunaikan zakat sering kali beriringan dengan perintah mengerjakan solat. Ayat 43 Surah Al-Baqarah bermaksud;

“Dan dirikanlah sholat, tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk”[4]

Terdapat 28 ayat di dalam Al-Quran yang merangkaikan tuntutan atau seruan ILAHI kepada ummah untuk mendirikan sholat dan menunaikan zakat; menunjukkan terkandung ikatan dan kesatuan ibadat antara dua rukun Islam tersebut. Sholat diperingatkan kepada ummah sebagai tiang agama, ibadah yang menjalinkan hubungan langsung antara ummah dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala sementara zakat adalah ibadah yang berhubungan dengan kemasyarakatan, antara ummah sesama ummah. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda;

“Sesungguhnya ALLAH telah menfardukan zakat sebagai pembersih terhadap harta”[5]

40. Alhamdulillah, kesedaran umat Islam untuk menunaikan zakat semakin meningkat baik di peringkat individu begitu juga oleh badan-badan korporat dan entiti perniagaan. Kutipan zakat tahun demi tahun terus meningkat. Kutipan pada tahun 2014 mencapai hampir satu ratus lapan belas juta (117,879,193.00) ringgit. Di kalangan entiti perniagaan, lapan daripadanya, setiap satu telah menunaikan zakat lebih satu juta ringgit; Lembaga Air Perak, Lembaga Tabung Haji dan Ladang Lekir Sendirian Berhad adalah tiga penunai zakat tertinggi bagi tahun 2014.

Yang Dipertua Dewan Negeri

41. Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri yang memulakan persidangan hari ini mencatatkan sejarah keberangkatan pertama Beta atas nama Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan sejak Beta dimasyhurkan sebagai Sultan Perak tiga puluh lima pada 29 Mei tahun 2014. Adalah menjadi hasrat Beta untuk Dewan Negeri Perak ini menjadi Dewan Negeri yang dapat dijadikan kebanggaan rakyat negeri, Dewan Negeri yang dijadikan contoh rujukan dari segi prosiding, kualiti perbahasan serta tata kesopanan ahli Dewan. Berdasarkan profil ahli-ahli Dewan ini dianggotai oleh barisan profesional dan pemimpin-pemimpin politik yang kaya dengan pelbagai pengalaman. Kelulusan profesional dan khazanah pengalaman itu hendaklah dijelmakan dalam bentuk perbahasan yang mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan, mengupas perkara-perkara utama dan menganalisis dasar-dasar penting secara rasional dan sebaik mungkin mengelakkan perkara-perkara sensasi yang berunsur peribadi.

42. Dewan Undangan adalah entiti tersendiri; ia cabang bebas dalam sistem demokrasi yang berpegang kepada doktrin pemisahan kuasa. Peranan utamanya adalah untuk menyemak, menegur, menasihat dan mengodit cabang eksekutif. Ia adalah tanggung jawab setiap ahli Dewan, baik di kalangan penyokong kerajaan mahupun pembangkang. Penuhilah peranan tersebut secara objektif – secara konstruktif bertujuan untuk menambah baik sistem penyampaian dan sistem perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata.

43. Beta menzahirkan penghargaan atas kejayaan Kerajaan Beta di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada Negeri Perak Darul Ridzuan. Beta menghargai peranan ahli-ahli Dewan Negeri, ahli-ahli Dewan Negara, Orang Besar Negeri, Anggota Perkhidmatan Awam, Anggota Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Majlis Agama dan Pentadbir Agama Islam, Penghulu, Imam dan Pegawai Masjid, Pemimpin-pemimpin agama, kaum dan masyarakat, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan, pertubuhan-pertubuhan belia, tidak ketinggalan pihak swasta yang saling bekerjasama melaksanakan tanggung jawab, memenuhi amanah untuk membangun dan memajukan negeri.

44. Semoga ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada negeri dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

45. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ketiga Belas.

Ending of Speech

  1. Laporan Tahunan Bank Negara 2014 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2014.
  2. International Monetary Fund, “World Economic Outlook”, January 2015.
  3. Al-Quran, Surah Luqman (31:14)
  4. Al-Quran; Surah Al-Baqarah (2:43)
  5. Hadith Riwayat Bukhari
%d bloggers like this: