Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia

KE ARAH MEMARTABATKAN INSTITUSI FATWA’

Maha Suci ALLAH jualah segala pujian.  Bagi Nya keagungan di langit dan di bumi.[1]  Dialah yang menurunkan as-Sakinah, ketenteraman ke dalam hati orang yang beriman, agar mereka bertambah imannya.  ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.[2]  Maka, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhan mu Yang Maha Besar.[3] 

2.      ‘FATWA’ bermaksud penjelasan hukum-hakam bersumberkan al-Quran berdasarkan dalil syarie, berkaitan isu-isu semasa dalam urusan kehidupan harian, merangkumi agama, ibadat dan tatasusila.[4]  Berpandukan pelbagai bahan penulisan, secara umumnya fatwa merupakan pendapat perundangan, ia itu penjelasan perundangan yang tidak terikat untuk dikuatkuasakan; tetapi bersandarkan peruntukan-peruntukan tertentu dalam sistem perundangan di Malaysia, fatwa ditakrif sebagai kenyataan mufti yang diwartakan dan diketahui umum,[5] yang boleh dikuatkuasakan dan diiktiraf dalam mahkamah syariah.[6]   Dalam konteks negara Malaysia, fatwa ialah suatu pandangan hukum Islam, bertujuan memberikan penjelasan dan pencerahan perkara-perkara berkenaan agama Islam, yang dikeluarkan oleh seseorang mufti bertauliah setelah mendapat perkenan Raja Pemerintah di negeri masing-masing.  Fatwa berperanan penting menangani pengabsahan agama, pertikaian kepercayaan, kritikan politik atau pengerahan politik.

3.      Mengeluarkan fatwa adalah selaras dengan firman ALLAH Subhanahu Wata’ala yang terkandung dalam ayat 127 dan 176 Surah An-Nisa’:

“Dan mereka meminta fatwa kepada mu tentang perempuan. Katakan: ALLAH memberi fatwa kepada mu tentang mereka, dan apa yang dibacakan kepada mu dalam al-Quran … ”;[7] (terjemahan ayat 127, Surah An-Nisa’).

“Mereka meminta fatwa kepada mu (tentang kalalah).  Katakanlah ALLAH memberi fatwa kepada mu tentang kalalah..”;[8] (terjemahan ayat 176, Surah An-Nisa’)

4.      Sebahagian besar ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran merupakan penjelasan kepada persoalan-persoalan yang memerlukan pencerahan; merupakan jawapan dalam bentuk wahyu ILAHI yang disampaikan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam melalui Jibrail Alaihissalam.  Situasi konsultasi yang mendapat respons secara langsung daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala berakhir setelah wafatnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam pada tahun 632 Masihi.  Ayat 40 Surah Al-Ahzab bermaksud:

“Muhammad itu … ialah utusan ALLAH dan penutup para nabi… ”[9]

Ayat tersebut memaklumkan, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam ialah Rasul terakhir; selepas Baginda wafat, tidak ada lagi Rasul, bermakna ALLAH Subhanahu Wata’ala tidak lagi berkomunikasi dengan manusia secara wahyu yang disampaikan kepada seorang Rasul,  lantas umat Islam tidak lagi berpeluang melihat secara langsung keperibadian seorang Rasul, demikian juga ajaran yang diwahyukan secara langsung daripada ILAHI.[10]

5.      Islam berkembang pesat selepas wafatnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, merentasi kawasan geografi yang luas; bilangan umat Islam bukan sahaja bertambah ramai, malah terdiri daripada komposisi etnik yang pelbagai, memiliki pelbagai latar belakang sejarah – menguasai pelbagai bahasa – mengamalkan pelbagai budaya. Islam yang berkembang begitu pesat lagi pantas, mencetuskan pelbagai cabaran baharu yang perlu ditangani.  Pada peringkat awal pasca kewafatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, para ‘Sahabat’ Baginda menjadi sumber rujukan umat Islam, ia itu kalangan ‘Sahabat’ yang berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Baginda, lalu berada dalam kedudukan yang memiliki kelebihan untuk menangani persoalan dan isu yang dihadapi.

6.      Rekod yang terkandung dalam sumber-sumber tradisi mencatatkan terdapat 130 orang berada dalam kategori yang diiktiraf sebagai para ‘Sahabat’ yang memenuhi peranan mufti dalam abad ketujuh Masihi.[11]  Zayd bin Thabit, Setiausaha kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam berperanan penting mengeluarkan dan mengumpul pelbagai fatwa antara tahun 634 sehingga 666 Masihi; Mu’adh bin Jabal semasa menjawat jawatan Gabenor Yemen pada tahun 640 Masihi dilaporkan mengeluarkan fatwa mengenai pelbagai perkara menyentuh kesucian ibadah dan kemurnian adab; Ibn ‘Abbas diiktiraf sebagai mufti yang paling prolifik dalam kalangan ‘Sahabat’ telah menghasilkan fatwa yang terkumpul dalam dua puluh jilid.[12]

7.      Masyarakat Islam terputus mendapat bimbingan daripada para ‘Sahabat’ setelah kesemua mereka kembali ke Rahmatullah.  Lalu berlaku vakum atau kekosongan.  Alhamdulillah,  kesahihan dan kesucian ajaran Islam kekal terpelihara dan dilindungi kerana wujudnya mekanisme penting, dikenali sebagai ‘Paradigma Isnad’; mekanisme pemantauan yang meletakkan nilai tinggi kepada elemen manusia yang berupaya memberikan tafsiran setepat mungkin kandungan al-Quran dan Hadis; memenuhi tugas penting daripada generasi sebelum kepada generasi terkemudian, menghubungkan umat dengan al-Quran dan Hadis.[13] 

8.      Mulai abad kelapan Masihi, sekumpulan umat Islam secara taat lagi berdedikasi memelihara dan menganalisis kebenaran ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis; mereka dikenali sebagai ulama; kalangan ilmuwan yang diiktiraf memiliki pengetahuan, dan dijadikan sumber rujukan, amalan yang selaras dengan kandungan ayat 43, Surah An-Nahl:

“…Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”[14]

9.      Pada peringkat awal selepas berakhirnya era para ‘Sahabat’, seseorang yang memiliki pengetahuan agama dan ketakwaan, berada dalam kedudukan yang melayakkannya mengeluarkan fatwa.  Sebelum jawatan mufti diinstitusikan sebagai jawatan awam mulai abad kesebelas, sesiapa jua yang diiktiraf sebagai pakar dalam bidang syariah berada dalam kedudukan membolehkan mereka mengeluarkan fatwa; kumpulan ini dirujuk sebagai mufti persendirian.  Dari abad ketujuh sehingga abad kesepuluh, mufti-mufti persendirian berada dalam kumpulan pengajian kecil yang memformulasikan mekanisme kawal selia sesama mereka.  Menjelang abad kesebelas, dalam hasrat mahu menzahirkan sokongan dan menjalinkan kerjasama dengan para ulama dan sarjana Islam, pemerintah-pemerintah di beberapa buah negara Islam, mula menubuhkan yayasan-yayasan pengajian tinggi agama, dikenali sebagai madrasah.  Syura berperanan sebagai forum membantu para mufti memahami, menghalusi dan menganalisis sesuatu isu dalam urusan menghasilkan sesuatu fatwa.   

10.    Mulai abad kesebelas, beberapa pemerintahan Islam mula melantik mufti secara rasmi. Kesultanan Mamluk melantik empat orang mufti; seorang mufti untuk setiap mazhab Sunah Waljamaah yang ditempatkan di mahkamah-mahkamah rayuan di ibu kota setiap wilayah.  Sultan-sultan Mamluk turut mendapatkan pandangan mufti ketika menggubal dasar-dasar negara.  Kerajaan Uthmaniyyah melantik mufti-mufti yang distrukturkan mengikut hierarki, diketuai oleh ketua mufti, bergelar Syeikh al-Islam yang memiliki kuasa sangat penting lagi berpengaruh dan turut diberikan peranan untuk mengukuhkan autoriti politik kerajaan.  Kerajaan Mughal dan Kerajaan Safawiyah turut mewujudkan hierarki dalam struktur institusi mufti, diketuai oleh seorang ketua mufti bergelar Sadr.

11.    Di beberapa buah negara Islam, di samping mengeluarkan fatwa bila diminta oleh gabenor-gabenor daripada pelbagai wilayah, para mufti turut ditugaskan sebagai pakar perunding dan pakar rujuk di mahkamah, membantu para kadi ketika menjatuhkan hukuman, terutama dalam kes-kes yang berat, kes-kes yang tiada duluan, kes-kes yang sensitif, dan kes-kes yang melibatkan hukuman mati.[15] 

12.    Sejarah menunjukkan, apabila para mufti semakin bergabung dan semakin berdamping dengan birokrasi pemerintah, semakin kuatlah tekanan yang dikenakan ke atas para mufti untuk menyokong dasar-dasar yang digubal oleh pemerintah.  Sultan-sultan Kerajaan Uthmaniyyah dilaporkan sering memohon fatwa daripada ketua mufti dalam perkara-perkara pentadbiran dan ketenteraan seperti mengisytiharkan jihad menentang Mamluk Kaherah dan Parsi Safawiyah.[16] Fatwa turut dipohon daripada Ketua Mufti Kerajaan Uthmaniyyah ketika amalan-amalan sosial dan ekonomi yang baharu mahu diperkenalkan, merangkumi undang-undang kewangan dan jenayah yang digubal tidak berlandaskan syariah, percetakan buku-buku agama dan pemvaksinan.[17]   

13.    Sejarah turut merakamkan, terdapat fatwa yang bertelingkah mengenai subjek yang sama apabila fatwa dijadikan alat untuk mempengaruhi proses politik yang ketara berlaku pada awal era penjajahan Barat.  Beberapa fatwa dikeluarkan untuk menjelaskan takrifan antara negeri yang rakyatnya memeluk Islam (Dar Al-Islam) dan negeri yang dilanda perang (Dar Al-Harab) atau negeri yang rakyatnya belum memeluk Islam (Dar Al-Kufur).  Terdapat fatwa-fatwa yang mengkategorikan negara-negara di bawah kuasa Eropah sebagai negara perang atau kafir, lalu fikah digunakan untuk mewajibkan kaum Muslim menentang pemerintah atau berpindah, seperti fatwa-fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1803, oleh Shah Abdul Aziz di India dan pada tahun 1804 oleh Usman bin Fodio di Afrika Barat.  Fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mereka berdua, kemudiannya dianggap tidak realistik. Pada tahun 1870, ulama India Utara mengeluarkan fatwa yang menyatakan Muslim India tidak diwajibkan untuk memberontak menentang penjajah atau berpindah.  Kontroversi yang serupa berlaku di Algeria; fatwa yang diminta oleh pemimpin antikolonialisme Algeria, Abd Al-Qadir, bercanggah dengan fatwa yang dirujuk oleh kerajaan kolonial Perancis, ia itu fatwa yang dikeluarkan oleh mufti tempatan yang mengatakan Muslim yang tinggal di bawah pemerintahan bukan Islam, tidak diwajibkan untuk menentang pemerintah atau berpindah, jika mereka diberi kebebasan mengamalkan agama Islam oleh pihak pemerintah.[18]

14.    Fatwa mengharamkan rokok selagi pihak British memonopoli tembakau yang dikeluarkan oleh Mujtahid Iran Mirza Shirazi pada tahun 1891, berjaya mencapai matlamat.[19]  Pada tahun 1904, seorang ulama di Maghribi telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan Kerajaan Maghribi memecat seorang pakar berketurunan Eropah yang digaji oleh Kerajaan Maghribi; dan fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1907, berjaya memakzulkan (impeach) Sultan Maghribi atas dakwaan Sultan Maghribi gagal mengerahkan pertahanan untuk menentang serangan Perancis.[20]  Beberapa orang Sultan Kerajaan Uthmaniyyah dan Maghribi dimakzulkan berlandaskan fatwa yang dikeluarkan; Sultan Murad V umpamanya telah dimakzulkan kerana dirumuskan tidak waras.  Pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sejarah, menunjukkan seseorang mufti melalui fatwa yang dikeluarkan, bukan sahaja memiliki kebebasan malah turut memiliki pengaruh.   

15.    Ketika negara-negara Islam berada di bawah jajahan Eropah, pengasasan Dar Al-Ifta ditubuhkan di pelbagai madrasah, berperanan sebagai pusat pengajian perundangan, berfungsi sebagai pusat pengeluaran fatwa, bertanggungjawab mengeluarkan nasihat agama kepada masyarakat awam, menggantikan peranan mufti persendirian.  Selepas mencapai kemerdekaan daripada jajahan Barat, kebanyakan negara Islam mentadbir lembaga kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa.  Walaupun masih terdapat fatwa yang dikeluarkan secara individu oleh para ilmuwan Islam, namun norma yang semakin diamalkan dan diterima, ialah proses mengeluarkan fatwa berlandaskan syura dan perbincangan yang dilakukan secara kolektif. 

16.    Dunia kini semakin kompleks.  Tidak ada seorang individu yang berupaya menguasai semua disiplin pengajian dan memiliki pelbagai pengetahuan, dan tidak ada individu yang boleh menganggap dirinya serba tahu.  Oleh itu proses konsultasi amat perlu diamalkan sebelum sesuatu fatwa yang sahih dapat dikeluarkan; kerana itu majoriti ulama berpendirian, ijtihad hendaklah dilakukan secara kolektif. 

17.    Pada era ini, urusan mengeluarkan fatwa memerlukan kapasiti melakukan penyelidikan berdasarkan realiti semasa dalam persekitaran yang sudah jauh berbeza, agar fatwa-fatwa yang dikeluarkan berupaya menangani cetusan idea, teknologi, tuntutan dan perkembangan terkini, merangkumi perbankan, kewangan dan insurans; transaksi jual beli dan urus niaga dalam talian, perusahaan dan perdagangan; pendidikan, perubatan, kecerdasan buatan, sains dan teknologi; khidmat sosial, jaringan media dan langit terbuka; pencemaran, pemanasan global dan pelbagai subjek lagi.  Perkembangan-perkembangan yang berlaku menuntut kepada perlunya dilakukan penghijrahan minda ketika menilai dan ketika menaksir sesuatu isu; kesediaan menganalisis sesuatu isu dari pelbagai dimensi, kesediaan meneliti pelbagai butiran di sebalik sesuatu isu, keupayaan memahami pelbagai polemik yang berlegar, agar sesuatu isu dapat difahami dengan jelas, demi memastikan fatwa yang dikeluarkan berupaya membuktikan syariat Islam kekal relevan dan terus bertenaga membela kemaslahatan umat Islam dan memperlancarkan hidup mereka (taysir).

18.    Justeru itu, negara-negara Islam dan kerajaan yang negaranya mempunyai majoriti penduduk Islam pada umumnya memilih untuk menubuhkan jawatankuasa, badan, institusi atau majlis yang berperanan dan bertanggungjawab menasihati kerajaan dalam perkara-perkara agama serta mengeluarkan fatwa.

19.    Kecekapan pejabat Syeikh al-Islam Kerajaan Uthmaniyyah pada abad keenam belas, digambarkan dengan keupayaan mengeluarkan 350 fatwa, dua kali seminggu untuk menjawab pelbagai persoalan yang diajukan.[21]  Abu al-Su’ud, Syeikh al-Islam pada tahun 1545 ke-1574 Masihi, dilaporkan dua kali, menulis lebih daripada 1,400 fatwa dalam sehari.[22]  Dunia yang bertambah kompleks tentunya menghamparkan lebih banyak persoalan yang memerlukan jawapan pada hari ini.  Memandang ke hadapan, institusi mufti memerlukan perekayasaan kaedah dan pendekatan dalam menangani cabaran dunia semasa, demi menjamin institusi mufti kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa.    Dalam proses mengeluarkan fatwa amatlah penting untuk diberikan perhatian kepada lapan komponen berikut:

Pertama:    Memastikan fatwa yang dikeluarkan, diterima secara positif dengan hati yang terbuka, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam dan mendekatkan mereka dengan Penciptanya; dan tidak dianggap berunsur mengongkong dan menekan. 

Kedua:       Memberikan ruang masa perundingan yang cukup dan melakukan perundingan silang (cross consultation) termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders) ketika menangani isu-isu baharu yang belum ada duluan,  demi menjamin fakta-fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti.

Ketiga:       Mengambil ingatan bahawa semakin ramai ummah memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, memiliki daya intelek tinggi, bersifat ingin tahu (inquisitive), berfikiran kritikal, melakukan kajian dan rujukan perbandingan dan tidak mudah memamah dan menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan.

Keempat:   Kemajuan teknologi komunikasi telah mengubah peranan, sambutan dan penerimaan fatwa dalam masyarakat moden.  Dalam era Internet, telah muncul banyak laman sesawang mengandungi pelbagai fatwa, yang boleh dirujuk sebagai sumber alternatif dalam kalangan ummah untuk mendapatkan fatwa.

Kelima:      Urusan fatwa tidak berakhir di peringkat mengeluarkan fatwa.  Mekanisme penghebahan dan penerangan perlu dilaksanakan melalui pelan komunikasi yang berkesan agar sesuatu fatwa dapat difahami, diterima, dihargai dan dihayati.

Keenam:    Sensitif terhadap realiti persekitaran masyarakat, persekitaran negara dan persekitaran dunia yang terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik, budaya dan ideologi politik, agar susun kata sesuatu fatwa tidak mengundang polemik dan kontroversi hingga berpotensi mencetuskan konflik, persengketaan dan persepsi negatif terhadap Islam.

Ketujuh:     Tegas dengan tafsiran berlandaskan ajaran Islam serta teguh berkecuali daripada sebarang kecondongan politik kepartian dan sama sekali tidak bersubahat dengan sebarang usaha yang membolehkan matlamat menghalalkan cara, hatta jika diarahkan oleh mana-mana pihak yang berkuasa sekalipun.

Kelapan:    Kebijaksanaan dan hikmah melakukan perimbangan ketika menimbangkan sesuatu arahan atau permintaan agar akauntabiliti utama terhadap ALLAH Subhanahu Wata’ala dan kepentingan ummah tidak dipinggirkan, demi menjamin kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat dilaksanakan.

20.    Semoga para mufti dan para ulama akan dilimpahi kebijaksanaan dan kearifan membantu Raja Pemerintah menyempurnakan peranan dan menyempurnakan amanah sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.  Semoga Multaqa Jawatankuasa Fatwa yang dianjurkan ini, dirahmati dengan cahaya petunjuk daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, mencapai kata muafakat dan menghasilkan penemuan yang dapat membantu usaha-usaha meningkatkan syiar Islam di bumi ini.  Makbulkanlah doa kami ya ALLAH, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Dengan lafaz BISMILLAHI RAHMANI RAHIM, Beta merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia.


[1] Al-Quran, Al-Jathiyah, (45:36-37).

[2] Al-Quran, Al-Fath, (48:44).

[3] Al-Quran, Al-Waqi‘ah, (56:57).

[4] Mohd Farid bin Mohd Shahran, “Fatwa dalam Usul Fiqah serta Kepentingannya dalam Lingkungan Semasa” dlm Fatwa dan Perbandingan Pandangan: Cabaran dan Penyelesaian, Penyunting, sunt. Mohd Farid bin Mohd Shahran dan Mohamad A’sim bin Ismail (Kuala Lumpur: Penerbit IKIM, 2018), 40.

[5] Zaini Nasohah, Zuliza Mohd. Kusrin, Hayatullah Laludin, Mohd. Rizal Muwazir, “Standardisation of Fatwa in Malaysia: Management and Problems”, https//www.researchgate.net/publication/283968121.

[6] Ibid.

[7] Al-Quran, Surah An-Nisa’ (4:127)

[8] Al-Quran, Surah An-Nisa’ (4:176)

[9] Al-Quran, Surah Al-Ahzab (33:40)

[10] Muhammad Khalid Masud, Brinkley Messick, David S. Powers, Muftis, Fatwas, and Islamic Legal Interpretation, (http://ijtihadnet.com/islamic-legal-interpretation-muftis-and-their-fatwas),6.

[11] Ibid, 7.

[12] Ibid.

[13] Ibid.

[14] Al-Quran, Surah An-Nahl (16:43)

[15] Muhammad Khalid Masud, Brinkley Messick, David S. Power, Muftis, Fatwas, and Islamic Legal Interpretation, 10.

[16] Hendrickson, Jocelyn, “Fatwa”, dari Gerhard Bowering, Patricia Crone (editor) The Princeton Encyclopedia of Islamic Thought, (Princeton: Princeton University Press, 2003)

[17] Dallah, Ahmad S, Hendrick, Jocelyn, “Fatwa Modern Usage”, daripada John L. Esposito, The Oxford Encyclopedia of Islamic World, (Oxford: Oxford University Press, 2009)

[18] Ibid.

[19] Ibid

[20] Ibid.

[21] Muhammad Khalid Masud, …12.

[22] Ibid.

In the News:

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/fatwa-mesti-diterima-secara-positif-tidak-dianggap-mengongkong-sultan-perak-260416

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/733926/pastikan-semua-terima-fatwa-secara-positif-terbuka-sultan-nazrin

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/09/623203/pastikan-fatwa-digubal-diterima-secara-terbuka-sultan-perak

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1882018

%d bloggers like this: