ISLAM DAN MELAYU : MODAL PENGUPAYAAN UMAT
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Dengan penuh takzim, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Seri Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Ampun Tuanku
Sembah anakanda mohon diampun
3. Dipohon akan limpah perkenan Paduka Seri Ayahanda mengizinkan Paduka Anakanda dengan petunjuk ILAHI jua, mengatur kata – merangkai ayat, mengungkap pandangan – menzahirkan pendapat, atas mauduk ‘Islam dan Melayu : Modal Pengupayaan Umat’.
4. Allah Subhanahu Wata’ala telah mencipta gajah sebagai haiwan bersaiz besar. Pernah dikisahkan akan pelbagai tafsiran enam orang buta yang memberi deskripsi akan rupa bentuk gajah; yang memegang ekor menyamakan dengan tali, yang memegang kaki menyamakan dengan tiang, yang memegang telinga menyamakan dengan kipas, yang memegang badan menyamakan dengan dinding, yang memegang belalai menyamakan dengan ular dan yang memegang gading menyamakan dengan tombak.
5. Melayu adalah bangsa yang besar yang telah diberikan pelbagai tafsiran. Melayu adalah satu istilah yang lama, dianggap sebagai istilah yang paling mengelirukan di rantau Asia Tenggara, hinggakan setiap takrif mengundang kepada persoalan baru[1]. Melayu boleh ditakrif dari pelbagai sudut, secara negara – secara negeri, secara bahasa – secara budaya, secara adat – secara agama. Bahawa Alam Melayu boleh dikaji berasaskan geografi, sejarah, bahasa, budaya dan politik[2]. Melayu adalah bangsa yang pernah gemilang, memiliki sejarah, budaya dan tamadun – pernah mencipta nama – mencipta keagungan. Bangsa Melayu itu bangsa yang bertanah air – bangsa yang bernegara, memiliki Raja yang berdaulat – memiliki Kerajaan yang terhormat.
6. Umumnya bangsa Melayu itu mengambil sikap yang sangat terbuka, bebas membentuk cara hidup dan adat, tidak terikat dengan yang lain, laksana buluh, tumbuh dan bergerak sendiri dengan penuh autonomi, bagaimanapun diikat oleh akar yang satu.[3] Dalam konteks Tanah Melayu, di penghujung pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Melayu dirujuk sebagai kumpulan penduduk yang tinggal cukup lama di Melaka, bertutur bahasa Melayu dan memperlihatkan citra kesetiaan seorang rakyat kepada Sultan.[4]
7. Insan Melayu itu digambarkan dengan sifat-sifat negatif dan positif. Deskripsi sifat yang berkontradiksi ini bukanlah terbatas kepada bangsa Melayu sahaja. Ia adalah sesuatu yang normal – ia merupakan fitrah kepada semua bangsa. Perbezaan budaya – perbezaan nilai, kedangkalan sejarah dan kecetekan fahaman, memungkinkan berlakunya pelbagai tafsiran terutama yang berunsur negatif.
8. Budaya Melayu yang menghormati dan menjunjung titah Raja telah melahirkan satu rumpun masyarakat yang berdisiplin lagi mematuhi undang-undang, telah menjamin suasana aman lagi tenteram, stabil lagi harmonis, membolehkan pembesar dan rakyat, dagang dan senteri, menumpukan usaha bertani dan berladang, bertukang dan berdagang, berkeluarga dan bermasyarakat, berkampung dan bernegara, membina kemakmuran – melimpah kesejahteraan.
9. Titah Utama ini memilih takrif Melayu menurut yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Bahawa orang Melayu itu menganut agama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan kebudayaan Melayu[5]. Berasaskan takrif tersebut, Melayu di Malaysia bukan terikat kepada darah keturunan, tetapi dicirikan oleh faktor-faktor agama, budaya dan bahasa. Sebagai peribumi di bumi Melayu ini, bangsa Melayu merupakan urat dan nadi negara; hakikat ini jangan sama-sekali dipertikaikan.
10. Bangsa Melayu pada asalnya adalah masyarakat pagan yang tidak beragama, berpegang kepada pelbagai kepercayaan animisme, kemudiannya dipengaruhi oleh fahaman Hindu-Buddha dan akhirnya menemui Islam. Islam di alam Melayu bermula di Sumatera Utara dengan penemuan sebuah perkampungan Arab Islam pada tahun 674 Masihi.[6] Di Tanah Melayu, Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka[7]. Kedah merupakan negeri di Tanah Semenanjung yang pertama menerima Islam[8] . Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409,[9] Islam telah bertapak kuat di alam Melayu, sehingga Melaka berjaya berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Kepulauan Melayu.[10]
Petikan:
“After the conversion of Parameswara, when Malacca become a Muslim Centre, the law of Islam which at first were adopted in purely religious matter only, gradually gained ground. The Undang-Undang Melaka, risalah Hukum Kanun, a compilation of Malacca Law in 1523, show considerable Muslim penetration”
(Buss-Tjen) [11]
“Under later Sultans, Malacca even became a centre of Mohammedan culture, and Moslem literature, mysticism and law”
(M. Roelofsz)[12]
11. Risalah Islam yang disampaikan oleh para maulana dari Arab, India begitu juga Aceh memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu.[13] Islam adalah agama besar bersandarkan Al-Quran yang telah diturunkan melalui perantaraan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam. Islam berperanan mengisi kandungan rohani, begitu serasi dan sebati dengan jiwa dan budaya Melayu. Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat Melayu di Malaysia. Kedatangan Islam mengubah penganutan agama keseluruhan bangsa Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. [14] Proses pengislaman di alam Melayu dalam masa yang singkat merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat.[15] Penerimaan Islam di kalangan orang-orang Melayu adalah menarik kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sudah wujud dalam masyarakat, memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu melakukan asimilasi dalam penyesuaian sistem kepercayaan lama dengan yang baru.[16] Ajaran Islam yang lengkap lagi menyeluruh dapat difokuskan kepada empat elemen utama:[17]
Pertama: aturan hubungan manusia dengan Tuhan
Kedua: aturan hubungan sesama manusia
Ketiga: aturan hubungan manusia dengan alam
Keempat: penerangan akan tujuan hidup manusia
12. Islam menyeru kepada kemakrufan serta menjauhi kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Islam menyeru kepada pembinaan sifat-sifat positif seperti rajin, disiplin, tekun, ikhlas, amanah, jujur, berfokus (khusyuk), berilmu dan sebagainya. Islam, berperanan sebagai kompas, memandu bangsa Melayu melayari bahtera dalam lautan kehidupan di dunia, melakukan amar makruf untuk memenuhi keperluan duniawi, juga sebagai persiapan ukhrawi. Islam menggariskan keseimbangan antara hak seseorang dengan hak masyarakat. Allah Subhanahu Wata’ala menentukan garis-garis besar dan manusia perlu berikhtiar untuk mendapat pelbagai rezeki yang disediakan sepertimana Allah menyeru agar manusia beramal untuk menjadi ahli syurga yang telah disediakan. Konsep dan pengertian ibadat di dalam Islam amat luas, merangkumi semua lapangan hidup, dari menguruskan kelahiran bayi sehinggalah mentalkinkan jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.
13. Bangsa Melayu telah melalui evolusi budaya yang panjang. Berlaku proses-proses penyesuaian adat yang diwarisi untuk diselaraskan dengan risalah ajaran Islam. Akhirnya terbina keperibadian yang memberikan identiti bangsa Melayu beragama Islam. Paradigma budaya bangsa disandarkan kepada adat, dan adat pula bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah bermaksud Kitab ALLAH ia itu Al-Quran.
14. Islam telah mengubah cara masyarakat Melayu berfikir. Agama Islam berserta budaya Melayu berkerajaan, berasaskan prinsip negeri beraja – rakyat bersultan adalah faktor utama yang mempengaruhi pembentukan jiwa raga – membina jati diri orang Melayu. Islam dijunjung – Raja disanjung. Hubungan tertib lagi beradab antara Raja dan rakyat serta rakyat dan Raja telah mengalirkan adat budaya, budi pekerti dan sopan santun yang amat halus lagi indah, mengupayakan umat membina persekitaran hidup yang aman lagi harmonis, makmur lagi sejahtera.
15. Agama Islam telah diterima dari atas ke bawah; oleh itu struktur pemerintahan tidak berubah malah disesuaikan dengan kehendak Islam dan boleh ditafsirkan hanya menyentuh kedudukan sistem itu sendiri.[18] Setelah menganut Islam, Raja yang memerintah dilenyapkan hubungan batiniah dengan para dewa tetapi dihubungkaitkan dengan Allah dan Rasulullah serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.[19] Raja diberi gelaran Sultan, diberi kuasa yang lebih besar kerana kini Baginda telah diiktiraf sebagai Khalifah di dunia.[20] Dalam hasrat mahu memancarkan doktrin kepimpinan selaras dengan ajaran Islam, perawi Sejarah Melayu merakamkan hubungan antara Raja-Raja Melayu Melaka dengan Allah dan Rasulullah seperti yang dipetik dari kata-kata Bendahara:
Petikan:
“ ….dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaktian kepada Raja kamu. Oleh itu kata hukama, adalah Raja yang adil itu dengan Nabi Sallallahu alaihi Wassalam umpama dua permata pada sebentuk cincin; lagipun Raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana ia zulillahi-fil ‘alam; apabila berbuat kebaktian kepada Raja seperti berbuat kebaktian kepada Allah Subhanahu Wataala. Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya dan akan Raja….hendaklah jangan kamu lupai, supaya kebesaran dunia akhirat kamu perolehi.
(Petikan: Sejarah Melayu) [21]
16. Petikan tersebut merupakan usaha mengaitkan satu adaptasi bebas, akan konsep dan doktrin kepimpinan dalam Islam menurut landasan Al-Quran, tentang tanggung jawab taat setia orang Islam yang beriman kepada Allah, Rasul dan pucuk pimpinan[22] seperti terkandung dalam ayat 59, Surah An-Nisa yang bermaksud;
Petikan:
“Hai orang-orang yang beriman! Taatilah kepada Allah dan taatilah kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa di antara kamu. Oleh itu sekiranya kamu berbantahan di satu perkara hendaklah kamu kembalikan dia kepada Allah dan Rasul, jika adalah kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu sebaik dan sebagus ta’wil”[23] (Terjemahan ayat 59 Surah An-Nisa’)
17. Melayu dan Islam bagai tidak dapat dipisahkan. Pada hukum adatnya rangkuman bangsa yang besar dengan agama yang besar, boleh membina modal pengupayaan umat yang besar. Namun secara realitinya, membina modal pengupayaan umat, tidak semudah mengguna pakai asas perkiraan matematik atau formula cantuman dua institusi bank atau resipi gabungan dua institusi multinasional. Rangkuman bangsa dan agama memiliki dimensi lain. Sementara komponen Islam itu merupakan komponen yang berada pada tahap kesempurnaan, komponen bangsa memiliki pelbagai variabel yang boleh berubah, bertukar ganti dan sukar diramal.
18. Bahawa bangsa itu terdiri dari manusia yang memiliki akal dan nafsu; memiliki perasaan dan emosi, memiliki kehendak dan cita-cita, memiliki niat baik dan niat jahat. Bahawa selain mendapat perlindungan para malaikat, manusia turut terdedah kepada godaan Iblis. Islam sebagai pegangan telah ditafsirkan oleh akal manusia dengan pelbagai tafsiran dan turut terdedah di peringkat amalan kepada pengaruh nafsu manusia untuk dijadikan landasan – dijadikan pakaian, tidak terkecuali dijadikan simbol – dijadikan instrumen. Akhirnya Islam yang menyeru kepada penyatuan dan perpaduan, turut digelincirkan – turut disalah gunakan, hingga mengakibatkan tercetusnya perselisihan dan peperangan. Sejarah memperlihatkan peristiwa-peristiwa pembunuhan Sayidina Omar dan Sayidina Osman. Peperangan tercetus antara Sayidina Ali dengan Muawiyah. Akhirnya Sayidina Ali terbunuh mengakibatkan umat Islam terpisah kepada kumpulan Sunni dan Syiah.
19. Dalam era pra dan pasca Perang Dunia Kedua, orang Melayu mula secara terbuka membangkitkan isu-isu berkaitan dengan nasib dan masa hadapan bangsa dan mula bergerak aktif dalam kegiatan politik tanah air. Di Tanjong Malim, Perak, Sultan Idris Training College (SITC) telah dibuka secara rasmi pada 29 November 1922. SITC dianggap sebagai buaian yang mengasuh kebangkitan semangat nasionalisme Melayu serta berfungsi sebagai pusat intelek dan pusat persuratan Melayu[24]. Zainal Abidin Ahmad (ZAABA), Aminuddin Baki, Awang Had Salleh, Harun Aminurrashid, Ahmad Bakhtiar, Ibrahim Yaacob, Syed Nasir Ismail, Abdul Ghaffar Baba, adalah antara tokoh-tokoh nasionalis Melayu, dari kalangan alumni Kolej ini. SITC dianggap sebagai alma mater kepada barisan pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM), parti politik Melayu yang pertama di era pra Perang Dunia Kedua di Semenanjung Tanah Melayu.
20. Perkembangan signifikan dalam sejarah nasionalisme Melayu selepas Perang Dunia Kedua adalah penubuhan Parti Kebangsaan Melayu (Malay Nationalist Party – MNP) hasil dari persidangan yang berlangsung dari 10 November hingga 3 Disember 1945 di Ipoh. Parti Kebangsaan Melayu dibubarkan pada tahun 1950. Sementara itu, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu yang menghimpunkan 39 pertubuhan Melayu di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur berlangsung pada Mac 1946; kongres tersebut mencetuskan idea kelahiran United Malays National Organization atau UMNO, sebuah parti politik berteraskan semangat kebangsaan Melayu yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dalam Kongres yang berlangsung di Johor Baru.
21. Di Gunung Semanggol, Perak, Maahad IL-Ehya Assyarif, sebuah sekolah agama telah diasaskan pada tahun 1934 oleh Ustaz Abu Bakar Al-Bakir atas dorongan Ustaz Abdullah Fahim seorang ulama dan pendidik yang memiliki fikiran terbuka dari Madrasah Dairatul Ma’arif Wataniah, Kepala Batas.[25] Abu Bakar Al-Bakir bersama Burhanuddin Al-Helmy berpandangan bahawa Islam dapat memperlengkapkan perjuangan nasionalis Melayu.[26] Ini disandarkan kepada kegagalan Parti Komunis Malaya melakukan sebarang penerobosan atau penyerapan ke dalam Parti Kebangsaan Melayu kerana wujudnya elemen nasionalisme Melayu dan Islam, berperanan sebagai benteng. Selepas Perang Dunia Kedua, subjek-subjek sejarah, asuhan semangat, latihan berpidato serta tafsir dan hadis yang di perkenalkan di Maahad IL-Ehya Assyarif berperanan penting menyemaikan semangat patriotisme.[27] Para pelajar disedarkan tentang kemunduran Melayu dalam pelbagai bidang dan kehebatan Islam. Majalah El-Ehya diterbitkan untuk membangkitkan kesedaran sosial dan kesedaran politik. Dalam edisi kedua terbitannya, Majalah tersebut telah menerbitkan semula laporan akhbar Utusan Melayu akan titah Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Aziz, semasa Baginda diundang menzahirkan titah dalam perhimpunan Parti Kebangsaan Melayu di Teluk Anson atas tajuk Bergeraklah Untuk Kebajikan Bangsa.
22. Maahad IL-Ehya Assayrif adalah tapak semaian gerakan politik berlandaskan Islam. Pada Mac 1947, dua ribu peserta dari seluruh Tanah Melayu telah berhimpun di Gunung Semanggol untuk menghadiri Persidangan Agung Ekonomi-Agama Se-Malaya.[28] Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu mencapai persetujuan menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya dan Majlis Islam Tertinggi Se-Malaya.[29] Melalui platform Majlis Islam Tertinggi ini, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Dr. Burhanuddin Al Helmy dan Ustaz Abrab Tamimi telah menjadi tenaga penggerak menaja pembentukan Hisbul Muslimin (Parti Islam) pada minggu kedua Mac 1948. [30] Penubuhan Hizbul Muslimin memperkenalkan dimensi baru dan pentas baru kepada Islam. Buat pertama kalinya, secara terbuka, Islam berperanan sebagai sumber ideologi politik di negara ini. Usia Hisbul Muslimin tersangat singkat; ia lumpuh selepas empat bulan penubuhannya. Namun cetusan idea Darul Islam, ia itu Negara Islam kekal menjadi satu tenaga penggerak yang sangat berpengaruh di kalangan para pejuang Islam dan telah dijadikan asas penubuhan Pan Malayan Islamic Party atau Parti Islam Se Malaya (PAS) dalam tahun 1951.
23. Dinamik politik berteraskan gerakan nasionalisme Melayu dan dinamik politik berpaksikan Islam selanjutnya berkembang di negara ini. Kewujudan parti politik berteraskan kebangsaan Melayu dan parti politik berpaksikan Islam laksana kelahiran kembar politik dari perut bumi yang sama. Kembar politik yang keanggotaannya terdiri dari insan-insan yang sama-sama berbangsa Melayu dan sama-sama beragama Islam. Sepatutnya politik yang berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya memperkuatkan modal pengupayaan umat – menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang di tiup angin – tidak goncang dilanda ribut. Namun peranan saling melengkapi nyata tidak berlaku. Realiti politik tidak memperlihatkan kembar politik ini bersifat identical. Asas-asas utama perjuangan untuk kemerdekaan, untuk agama, untuk bangsa, untuk negara, gagal mencantumkan roh dua tenaga politik Melayu-Islam ini. Sub-budaya matlamat, perbezaan penekanan serta kaedah perjuangan lebih dominan dan beransur-ansur menjadi faktor pemisah. Tulisan jawi – tulisan rumi, kopiah putih – songkok hitam, baju Melayu – jubah Arab, meletakkan Melayu Islam itu berada dalam dua aliran sungai yang mengalir selari tetapi enggan bertemu.
24. Percantuman dua kembar politik ini pernah berlaku berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969, tetapi hanya untuk satu tempoh yang singkat. Percantuman tersebut, meskipun berlaku dalam tempoh yang singkat, merupakan puncak kepada perpaduan politik bangsa dan ummah di Tanah Air ini, yang sekali gus memperkukuhkan modal pengupayaan umat. Era tersebut adalah era penyatuan, era paling produktif kepada bangsa dan ummah, era yang telah menghasilkan dasar-dasar yang dapat mengoptimumkan kebaikan ummah, antara yang paling signifikan adalah Dasar Ekonomi Baru.
25. Melayu Islam kemudiannya kembali terpisah. Sehari demi sehari semakin jauh. Retak-retak yang berlaku bagaikan membawa belah. Bahawa retak-retak yang berkemungkinan membawa belah, semakin melukakan jantung insan Melayu, semakin menghiris hiba hati kecil umat Islam. Sesungguhnya insan Melayu dan umat Islam senantiasa meletakkan harapan – tidak berhenti memanjatkan doa, agar Melayu dan Islam berpisah tiada – agar Melayu dan Islam kekal bersatu.
26. Betapa luka – betapa hibanya bangsa menonton ironi yang berlaku. Di manakah salah ibu mengandung hingga bangsa yang serumpun enggan membina silaturahim, di manakah silap ibu mengandung hingga insan yang seagama enggan bersaudara. Islam tidak senantiasa menjadi landasan pilihan dalam mengharungi perjalanan hidup. Tergelincir dari landasan bagaikan satu norma dan bangsa Melayu hanya kembali kepadanya pada waktu-waktu menghadapi kegelapan dan kesulitan, pada waktu-waktu permulaan hayat ketika menyambut kelahiran bayi, ketika jodoh dipertemukan, dan ketika menemui pengakhiran hidup apabila jasad disemadikan di liang lahad.
27. Pengupayaan umat ditentukan ketika umat menghadapi cabaran besar. Arnold Toynbee, pakar sejarah Inggeris dalam buku A Study of History, setelah mengkaji asas kelahiran 21 tamadun, merumuskan bahawa faktor utama membina tamadun yang gemilang ialah pengupayaan umat menghadapi cabaran; lalu umat terdorong menyatukan kekuatan, menggabung sepenuh tenaga – merangkum sepenuh usaha untuk sama-sama mengatasi cabaran, baik yang berbentuk alam semula jadi atau peristiwa besar seperti peperangan, tekanan ekonomi, bencana alam dan perubahan pemerintahan.
28. Akhbar Mingguan Malaysia demikian juga Berita Minggu, terbitan 12 Julai 2009 menyiarkan makalah khas susulan berita Natrah Maarof atau Bertha Hertogh meninggal dunia ketika mencapai usia 72 tahun, akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada Khamis 9 Julai 2009. Kisah Natrah Maarof telah 59 tahun berlalu. Namun ia kekal menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif dan tercatat kuat dalam memori bangsa Melayu kerana peristiwa Rusuhan Natrah di Singapura pada 12 Disember 1950.[31] Orang Melayu berasa pilu dengan peristiwa Natrah. Akhbar-akhbar tempatan menegaskan pentingnya memperbetulkan laporan tidak tepat media Barat. Media Barat melaporkan orang Islam bertindak agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam kepada ibu bapanya yang beragama Kristian hingga mencetuskan rusuhan; 18 terbunuh dan 173 cedera apabila tentera menembak para perusuh yang terdiri dari orang-orang Melayu.[32] Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan tersebut adalah kemarahan orang-orang Melayu terhadap akhbar Straits Times ketika itu, yang berulang kali secara provokatif menyiarkan gambar Natrah (yang beragama Islam), melutut di hadapan patung Virgin Mary.[33] Umat Islam bertanya bagaimanakah perasaan penganut agama Kristian jika melihat seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat.[34]
29. Pilihan Raya Umum Ketiga berlangsung pada 10 Mei 1969. Keputusan pilihan raya tersebut telah memberikan keghairahan keterlaluan di kalangan orang-orang bukan Melayu yang merayakan prestasi pencapaian parti-parti pembangkang. Cara sambutan kemenangan hingga ke peringkat membawa penyapu di atas lori, bagai mahu menghalau orang-orang Melayu dari kampung halaman sendiri, telah mencetuskan peristiwa berdarah pertempuran kaum pada 13 Mei 1969. Kesabaran orang Melayu ketika itu nyata terlebih uji dan provokasi yang keterlaluan tidak dapat menahan kemarahan orang-orang Melayu dari meluap.
30. Terkandung pengajaran penting dari Peristiwa Natrah di Singapura pada Disember 1950 dan Peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969. Pertama: berkaitan jati diri Melayu dalam konteks Nusantara; kedua: agama Islam yang menjadi jati diri bangsa Melayu; ketiga: jati diri bangsa untuk mendapatkan kemerdekaan dan juga mempertahankan kemerdekaan; keempat: orang Melayu mempunyai batas dalam sifat terbukanya.[35] Bahawa agama Islam yang menyeru kepada perdamaian dan bangsa Melayu yang bersifat sopan dan sedia menerima bangsa lain, mempunyai batas sempadan kesabaran; selagi agamanya tidak dicabar, selagi adat budaya bangsanya tidak dipijak – selagi kehormatan dan maruah bangsanya tidak dihina, selagi salah silah warisan sejarah tanah airnya tidak diungkit.
31. Hari ini umat Melayu Islam sedang menghadapi cabaran besar menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat. Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.
32. Budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baru, menjelmakan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh. Akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata-kata yang diungkapkan – mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah. Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi. Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat – memperdayakan bangsa demi memenuhi nafsu sendiri. Bangsa bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus bertahan di tampuk kuasa. Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa.
33. Demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari kesilapan, wajib meneliti ketelanjuran yang telah dilakukan, dan Kembalilah! Kembalilah ke pangkal jalan – Lakukanlah! Lakukanlah pembetulan. Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan – hendaklah arif mengenal lawan; jauhkan diri dari berpatah arang – berkerat rotan dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu. Jangan sampai umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam kota bangsanya.
34. Usaha penyatuan ummah amat wajib dirintis dan melalui penyatuan tersebut dibina modal keupayaan dalam semangat serumpun bangsa – sealiran agama. Kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kesetiaan kepada kumpulan. Berpijaklah kepada kenyataan – berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim – hayati semangat bermaaf-maafan. Bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu. Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam itu adalah Rasul junjungan, Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang-orang Islam itu sebagai saudara.
Ampun Tuanku
35. Demikian adanya, huraian dan pandangan Paduka Anakanda yang tidak sepertinya, bersandarkan ilmu, sekadar kail panjang sejengkal – berasaskan pengalaman, sekadar kain panjang sehasta; sebagai peringatan kepada umat dan bangsa yang berada di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda. Semoga barang disimpangkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala juga, Melayu Islam di bumi ini dari ditimpa petaka – dihujani bala, hingga tidak bernegara lagi. Sekurang-kurangnya kata dan ungkapan Paduka Anakanda ini menjadi bukti lafaz setia kepada takhta pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta tanda kasih kepada negeri dan bangsa; agar nanti apabila Paduka Cucunda Raja Azlan Muzzaffar Shah telah mencapai usia dewasa, tidak akan dia menyalahkan Paduka Anakanda atas ketidakberanian Paduka Anakanda memberikan peringatan kepada bangsa. Bahawa yang perlu dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda; kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa.[36]
Dipohonkan keampunan Paduka Seri Ayahanda di atas apa jua kekhilafan yang berlaku.
Wabillahi Taufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
- Timothy P. Barnard (editor), Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries, (Singapore: University Press, 2004), x-xiii, 1-8. ↑
- Anthony S.K. Shome, Malay Political Leadership, (London: Routledge Curzon, 2002), 4. ↑
- Ismail Hussein, WARTA GAPENA, (Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia, Disember 2008), 3. ↑
- Timothy P. Barnard, op.cit 5. ↑
- Perlembagaan Malaysia, Fasal. 160 (2). ↑
- Mahayuddin Haji Yahya, Penyeberan Islam di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah dan Implikasinyam dalam Polemik Sejarah Malaysia-Ji;id 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008). 31. ↑
- Ibid. 30 ↑
- Ibid 31 ↑
- Encyclopedia of Islam, 1218. ↑
- Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dakam Hukum Kanun Melaka dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1. (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 319. ↑
- Buss-Tjen, Malay Law, dalam JCH Jld, 7, 1958, 252, dipetik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 321. ↑
- Petikan M.A.P. Meilink Roelofsz, Asian Trade, 34, dipetik dari Yahaya Abu Bakar, Peranan Melaka Dalam Penyebaran Islam dalam Polemik Sejarah Malaysia, Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 353. ↑
- Ismail Noor & Muhammad Azaham, The Malays: Par Excellence…Warts and All: An Introspection, (Malaysia: Pelanduk Publication (M) Sdn. Bhd., 2000). 10. ↑
- A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 109 ↑
- Ibid, 105 ↑
- Ibid. ↑
- Senu Abdul Rahman, Revolusi Mental, (Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2002) 351-32 ↑
- A. Aziz Deraman, op.cit. 74. ↑
- Muhammad Yusoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 192. ↑
- A. Aziz Deraman, op. cit. 74 ↑
- W.G. Shellabear, (ed), Sejarah Melayu (The Malay Annals), (Singapore: Malaya Publishing House Limited, 1961). 43. ↑
- Muhammad Yusoff b. Hashim, Polemik Sejarah Malaysia, Jilid 1, 192. ↑
- Terjemahan Al Quran Surah An-Nisa; 4:59 ↑
- Cheah Boon Keng, SITC: Cradle of Malay Resurgence, Straits Times, June 12, 1973. ↑
- Firdaus Haji Abdullah, Radical Malay Politics: Its Origins and Early Development, (Petaling Jaya: Pelanduk Publications, 1985) 31 ↑
- Ibid, 32 ↑
- Ibid, 33 ↑
- Nabir bin Haji Abdullah, Maahad Il-Ehya Assarif Gunung Semanggol, 1934-1959, (Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976) 37 ↑
- Firdause Haji Abdullah, op. cit 38-39 ↑
- Ibid, 43 ↑
- Zin Mahmud, Fenomena Natrah dalam psikologi bangsa, Mingguan Malaysia, 12 Julai 2009, 9. ↑
- Hazirah Che Sab, Natrah ‘hidup’ dalam Sejarah Melayu, Berita Minggu, 12 Julai 2009, 17. ↑
- Ibid. ↑
- Ibid. ↑
- Zin Mahmud, op. cit ↑
- Zurinah Hassan, Pujangga Tidak Bernama Petikan dari puisi ‘Korban Hang Tuah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994) 45 ↑