‘RAJA: PAYUNG PELINDUNG AGAMA.’
Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
“WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI,
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”[1]
2. Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bukan sekadar simbol hiasan tetapi Baginda diamanahkan dengan tanggung jawab pemerintahan yang wajib disempurnakan secara adil dan aman bersandarkan Perlembagaan dan undang-undang. Turut terkandung dalam sumpah jawatan tersebut adalah tanggungjawab untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.
3. Tanggal 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat menamakan Beta sebagai Sultan Perak ketiga puluh lima dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Muizzuddin bermaksud ‘pemerkasa agama’, membuktikan agama Islam itu adalah identiti yang tidak dapat dipisahkan dengan Raja Melayu dan Raja Melayu menjunjung satu tanggungjawab besar sebagai penjaga atau custodian terhadap agama Islam. Ketika mengangkat sumpah jawatan Sultan Perak ketiga puluh lima, Beta telah melafazkan sumpah jawatan yang mengandungi kata-kata berikut:
“Bismillahi Rahmani Rahim
Adalah kita Raja Nazrin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan WALLAHI – WABILLAHI – WATAULLAHI bahawa kita mengaku memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Negeri Perak dengan adil mengikut Hukum ALLAH.”
4. Di sebalik penzahiran kata-kata yang tersurat untuk memerintah dengan adil bersandarkan Perlembagaan Negeri, terkandung komponen tersirat, menyentuh Hukum ALLAH. Hukum ALLAH yang dizahirkan itu, hendaklah ditafsirkan secara lebih luas, terutama falsafah dan roh Islam untuk menjamin berlakunya keadilan berlandaskan syariat.
5. Perkara (3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja termasuk dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sementara sembilan Raja Melayu ialah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Ketika menggubal Perlembagaan Merdeka, Suruhanjaya Reid telah memperakukan agar Agama Islam dikekalkan di bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu dan menolak cadangan Parti Perikatan yang mahu meletakkan agama di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan[2]. Perakuan tersebut berasaskan, Raja Melayu berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negara, terletak di atas dan bebas daripada afiliasi dengan mana-mana pertubuhan politik; memberikan kelebihan kepada institusi Raja berupaya berperanan secara berkecuali apabila menghadapi dan dalam menangani isu-isu berkaitan agama. Ketetapan tersebut boleh ditafsirkan sebagai pendirian di kalangan ahli-ahli Suruhanjaya Reid untuk melindungi dan memastikan agama Islam tidak diserahkan tanggungjawab kepada mana-mana kumpulan politik hingga agama Islam berpotensi dipolitikkan.
6. Al Imam Ghazali memberikan pendapat mengenai raja dan agama dengan kata-kata;
“Dunia itu ialah tempat bercucuk tanam bagi akhirat, maka tidaklah sempurna agama itu melainkan dengan adanya dunia. Raja dan agama umpama kembar, agama itu ialah asal dan akar umbi, dan Raja itu pula ialah pengawal. Sesuatu yang tidak mempunyai asal dan akar umbi pasti akan roboh, dan sesuatu yang tidak mempunyai pengawal pasti akan hilang. Kerajaan dan kepastian hukum tidak akan sempurna melainkan adanya Sultan. Dan jalan kepastian hukum untuk menyelesaikan perkara pemerintahan adalah dengan ilmu fikah.”[3]
7. Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas, malah ada penemuan-penemuan yang menunjukkan Islam telah sampai ke Tanah Melayu lebih awal lagi. Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara, tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal daripada Melaka[4]. Setelah Raja Melaka memeluk Islam dalam tahun 1409[5], Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu[6], dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)[7]. Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara[8]. Ternyata, Islam mempunyai akar sejarah yang lama dan panjang di bumi ini dan mempunyai asas serta justifikasi untuk dimaktubkan sebagai agama Persekutuan dalam Perkara (3) Perlembagaan Persekutuan.
8. Islam menyuntik dimensi baru dan identiti baru dalam sistem pemerintahan Kerajaan Melayu di bumi ini. Islam telah mengubah corak pemerintahan yang berpaksikan Raja dengan sistem pemerintahan yang berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep murni, iaitu adil dan muafakat.[9] Konsep adil adalah sebahagian daripada prinsip pegangan Kerajaan Melayu dan Raja Melayu, dicerminkan dalam perjanjian di antara Demang Lebar Daun dan Sang Nila Utama (Sang Sapurba); dijadikan magna carta bangsa Melayu.[10] Konsep muafakat pula menekankan konsep musyawarah yang dipupuk di bawah pemerintahan Islam[11]. Raja dan Kerajaan diberi definisi dan pengenalan baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja ialah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)[12]. Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan ALLAH dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia.[13] Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan kepada hukum dan Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan.
9. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[14] Diriwayatkan oleh Auf bin Malik Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda yang maksudnya;
“Sebaik-baik raja kamu ialah raja yang kamu kasih sayang kepada mereka dan mereka kasih sayang kepada kamu, dan kamu mendoakan mereka dan mereka juga mendoakan kamu. Dan sejahat-jahat raja, ialah raja yang kamu benci dan mereka juga bencikan kamu, kamu laknat dan kutuk mereka dan mereka pula laknat dan kutuk kamu”
10. Imam Ibnu Hajar berpendapat bahawa melantik raja hukumnya fardu kifayah.[15] Al Imam Yusf Al-ardabili As-Syafiee menegaskan bahawa umat Islam mestilah mempunyai raja yang mendirikan agama, menyempurnakan segala hak dan membela orang yang dizalimi[16]. Melantik raja yang baru wajib disegerakan apabila berlaku kemangkatan kerana melantik raja yang baru itu ialah perkara yang lebih penting, mustahak didahulukan daripada memakamkan raja yang telah mangkat.[17] Adalah dibimbangkan, perbuatan melengahkan atau melambatkan pelantikan ketua negara yang baru, akan mewujudkan kekosongan dan berpotensi membuka ruang untuk memungkinkan berlakunya polemik hingga boleh menjejaskan urusan pemerintahan, kestabilan dan keamanan negara serta keharmonian dan kerukunan hidup warga. Amalan mendahulukan lantikan ketua yang baru telah bermula ketika Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam wafat; Sayidina Abu Bakar Radiallahuanhu telah terlebih dahulu dilantik sebagai khalifah sebelum jasad Baginda dimakamkan.[18]
11. Sifat adil memerlukan Raja turut memberi payung naungan secara saksama kepada semua lapisan rakyat termasuk yang menganut agama-agama lain. Perlu diterima realiti bahawa agama-agama lain telah juga diamalkan di bumi ini sebelum dan selepas kedatangan Islam. Raja-raja telah menerima hakikat kepelbagaian pegangan agama ini, dan tidak ada rekod yang menunjukkan Raja-raja Melayu telah mengenakan paksaan kepada penganut agama lain untuk memeluk agama Islam. Islam dikembangkan dan disebarkan melalui dakwah dan bukannya melalui paksaan. Kehadiran para pedagang dari pelbagai benua – pelbagai negara hingga Melaka menjadi sebuah kota metropolitan adalah bukti yang menunjukkan kepimpinan Raja Melayu berminda terbuka dan mengamalkan toleransi beragama sejak dari zaman silam. Pada era puncak kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Melaka, lapan puluh bahasa dipertuturkan di kota pelabuhan tersebut.
12. Sifat toleransi Raja Melayu itu adalah selari dengan sifat toleransi yang diperlihatkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam melalui peristiwa-peristiwa yang dapat dipelajari dalam sejarah Islam dan sejarah kepimpinan Baginda. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersetuju menandatangani perjanjian dengan para rahib di biara St. Catherine berhampiran Bukit Sinai pada tahun 627 Masihi.[19] Perjanjian tersebut tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan sifat Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang mengamalkan toleransi. Perjanjian tersebut memberi jaminan bahawa umat Islam akan memberi perlindungan keselamatan kepada para penganut Kristian, gereja, biara dan tempat kediaman paderi-paderi. Mereka tidak akan dikenakan cukai secara tidak adil, biskop dan rahib tidak akan diusir, penganut Kristian tidak akan dipaksa menukar agama, tidak ada gereja boleh dimusnahkan untuk tujuan membina masjid atau perumahan orang Islam. Umat Islam tidak dihalang malah dibolehkan menghulurkan bantuan kepada penganut Kristian; dan umat Islam tidak pula dihukum secara melulu telah tergelincir akidah kerana perbuatan menghulurkan bantuan sedemikian.
13. Ayat 13 Surah Hujurat secara nyata mengisahkan ciptaan ILAHI menjadikan manusia berbangsa dan bersuku untuk saling mengenali. ALLAH Subhanahu Wata’ala turut menciptakan dunia ini dengan penganut agama yang pelbagai seperti yang terkandung dalam ayat 118 dan ayat 119 Surah Hud, bermaksud;
“Dan kalaulah Tuhan mu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.
Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan mu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia….”[20]
14. Sesungguhnya perjanjian yang telah dimeterai oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassaam memberikan hak – memberikan keistimewaan yang belum pernah wujud dan tidak pernah terfikir di kalangan penduduk pada abad ketujuh. Ia adalah satu perjanjian yang telah mendahului zaman; dokumen sejarah yang boleh dijadikan bahan bukti kepada dunia bahawa Islam tidak sama sekali menindas agama lain. Dokumen perjanjian tersebut membuktikan pegangan, pendirian dan amalan seorang pemimpin yang memiliki pandangan luas – berkonsep terbuka, yakin atas kekuatan diri, yakin bahawa umat Baginda tidak akan tergugat iman – tidak akan tergelincir akidah hanya disebabkan kesediaan menjalinkan kerjasama dengan bukan Islam.
15. Bukti sikap terbuka Baginda dan kaedah mengadakan dialog diperkukuhkan melalui peristiwa perundingan dengan delegasi Kristian Najran pada tahun 631 Masihi yang berlangsung dalam masjid di Madinah. Perundingan tersebut mengambil masa yang lama terutama menyentuh subjek Nabi Isa Alaihissalam (Jesus); dan ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memberikan petunjuk kepada Baginda dengan menurunkan ayat 59 hingga ayat 61 Surah Ali Imran. Oleh sebab perundingan tersebut mengambil masa yang lama, Baginda telah membenarkan delegasi Kristian Najran bersembahyang di dalam masjid tanpa merasakan perbuatan demikian telah menghina ataupun mencemarkan kesucian masjid. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, adalah semulia-mulia umat, pesuruh dan kekasih ALLAH, bermartabat tinggi lagi mulia, penghulu kepada semua Rasul, namun Baginda menunjukkan sifat tidak ego, bersedia merendah diri berunding dengan delegasi Kristian Najran, memohon petunjuk ILAHI, memberikan penerangan dengan sabar dan berhikmah.
16. Rasulullah Sallallahu Ala Wassalam memberikan mesej jelas bahawa Islam adalah agama yang harmonis, agama yang mengutamakan hubungan persaudaraan dan agama yang mengamalkan budaya dialog dan perbincangan. Sepanjang hayat, Baginda mempamerkan sifat menghormati perbezaan pegangan agama dan menerima hakikat terdapat kelainan budaya antara umat manusia. Baginda memilih kaedah diplomasi untuk menyelesaikan konflik dan sebarang percanggahan pendapat. Melalui kebijaksanaan Baginda memilih kaedah perundingan, perbincangan dan dialog untuk menangani konflik hingga Baginda berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang disenangi, agama yang mahu didampingi dan bukannya Islam yang ditakuti dan mahu dijauhi.
17. Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan juga memberikan peruntukan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Peruntukan tersebut adalah juga berdasarkan fakta sejarah. Negara ini diwarisi dan kemerdekaannya dicapai dalam semangat persefahaman dan kerjasama yang dijalinkan di kalangan warga yang berlatar belakang pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Menjunjung semangat Perlembagaan tersebut dan atas tanggung jawab kemanusiaan dengan menjunjung prinsip keadilan, Raja Melayu turut bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat mendapat keadilan dan mendapat perlindungan secara saksama.
18. Agama apabila difahami sepenuhnya, adalah instrumen penyatuan, instrumen keadilan, instrumen yang dapat melahirkan manusia yang baik, manusia yang memiliki roh dan kekuatan dalaman, manusia yang memiliki sifat kehambaan kepada Tuhan. Di sebaliknya apabila digunakan selain daripada tujuan untuk menyemaikan roh ketuhanan, apatah lagi apabila dipilih untuk disensasikan secara politik, agama adalah bom jangka yang amat explosive, berpotensi mencetuskan porak-peranda dan mala petaka.
19. Agama amat suci peranannya. Malangnya kesucian agama ada kalanya dinodai oleh orang-orang yang kurang memiliki hikmah dan orang-orang yang cuba menyelit nilai, prasangka dan agenda peribadi lalu menjuarai dan mensensasikan sesuatu isu atas nama agama. Lalu realiti sejarah, kesahihan fakta dan pemikiran rasional tenggelam dan hanyut dibawa arus emosi. Status agama seseorang insan, sama ada tergolong sebagai ahli syurga atau ahli neraka ditentukan oleh ILAHI. Tugas dan tanggungjawab manusia terutama mereka yang terlibat langsung mengurus dan mengendalikan urusan agama ialah untuk menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Sifat-sifat ihsan adalah penting untuk berusaha membantu seramai mungkin manusia menemui cahaya kebenaran. Adalah tidak kena pada tempatnya dan amat bercanggah dengan seruan ILAHI jika manusia sendiri memilih untuk menjatuhkan hukum mengenai status akidah dan tahap keimanan insan lain. Terkandung banyak kisah dan peristiwa yang memperlihatkan sifat ihsan ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memilih untuk mengangkat martabat seseorang hamba pada saat-saat akhir hayat seseorang insan.
20. Para ulama dan para umara yang diamanahkan secara langsung menguruskan hal ehwal Islam amat perlu melaksanakan amanah secara berhikmah, bijak, adil dan menghormati perasaan dan insan lain. Realiti semasa dan realiti setempat wajib difahami. Keadilan wajib dilaksanakan, maruah insan lain wajib dihormati, sementara Raja bertanggungjawab memenuhi peranan penimbang tara secara adil lagi saksama; bersedia memberi ruang untuk mendengar dan menghalusi.
Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Wabillahitaufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
- SUMPAH JAWATAN BAGI YANG DIPERTUAN AGONG, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan. ↑
- Shad Saleem Faruqi, Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia, (Petaling Jaya; Star Publications (Malaysia) Sdn. Bhd., 2008), 7 ↑
- Hj. Muzaffar Dato’ Hj. Mohamad dan (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman, Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur, (Kuala Lumpur: Pustaka BSM Enterprise, 2003), 36 ↑
- Mahyuddin Haji Yahya, “Penyebaran Islam di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah dan Implikasinya,” dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008), 31. ↑
- Encyclopedia of Islam, 1218. ↑
- Abdul Moner b. Yaacob, “Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka,” dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008), 319 ↑
- Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya, (Kuala Trengganu: Pustaka Damai, 1986), 8 ↑
- Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia,” kertas Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Kuala Lumpur; Jabatan Sejarah Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994) 1. ↑
- Hj. Muzaffar Dato’ Hj. Mohamad dan (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman, Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur, (Kuala Lumpur: Pustaka BSM Enterprise, 2003), 43. ↑
- Ibid. ↑
- Ibid. ↑
- Abdullah Alwi Hassan, 1. ↑
- Muhammad Yussoff bin Hashim, “Kesultanan Melaka dan Budaya Politik,” dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 192. ↑
- T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50; S.N.H. Naqvi, Ethics and Economy: An Islamic Aprroach, (Leicester: Islamic Foudation, 1981) 45-47. ↑
- Hj. Muzaffar, 36. ↑
- Ibid. ↑
- Ibid. ↑
- Ibid. ↑
- Golam W. Choudhury, The Prophet Muhammad: His Life and Eternal Message, (Kuala Lumpur:WHS Publication Sdn. Bhd. 1993), 75 ↑
- Al-Quran, Surah Hud (11:118-119) ↑