Idea kepimpinan di dalam Islam bermula daripada peringkat yang sekecil-kecilnya; malah dalam pengembaraan yang melibatkan tiga orang, ditetapkan salah seorang daripada mereka hendaklah dilantik berperanan ketua;[1] dan ketika dua orang menunaikan solat, seorang daripada mereka mengambil peranan imam. Kepimpinan mengikut perspektif Islam adalah untuk mencapai Jannatul Firdaus, ia itu, melaksanakan tugas kepimpinan demi mendapat keredaan ILAHI.[2]
- Diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam itu dilengkapkan dengan ilmu dan kepimpinan, dua komponen yang sangat penting untuk menyejahterakan kehidupan ummah. Setelah 1,428 tahun (menurut perkiraan takwim Hijrah), Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam wafat, amatlah bertepatan apabila Jawatankuasa Penganjur memilih ‘Kepemimpinan Dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara’ sebagai tema Muzakarah, agar Muzakarah ini dapat menziarahi sumber yang telah menyuntikkan kekuatan kepada barisan pemerintah pada era kegemilangan Islam. Ulama dan Umara adalah pewaris Nabi, Ulama mewarisi ilmu – Umara mewarisi kepimpinan.[3] Ulama – sumber ilmu, Umara – sumber kepimpinan. Ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian Ulama dengan Umara. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Dua golongan utama di kalangan umat manusia, apabila kedua-duanya baik, maka akan baiklah umat manusia; dan apabila kedua-dua golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia, iaitu Ulama dan Umara.”[4]
- Ulama adalah pemimpin tidak formal, berakar di dalam masyarakat dan menjadi teladan kerana keluasan ilmu, keperibadian dan keikhlasan. Status Ulama diperkukuhkan dengan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, antaranya:
“Bandingannya para Ulama di bumi ini, samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia dijadikan pedoman di dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar, mereka yang berpandukannya nyaris sesat.”[5]
“Semua yang ada di bumi dan di langit, termasuk ikan-ikan di dalam air beristighfar untuk para Ulama. Bahawa kelebihan orang alim berbanding ahli ibadat sama seperti kelebihan bulan berbanding cakerawala yang lain. Bahawa para Ulama itu adalah pewaris para Nabi.”[6]
- Umara dilihat sebagai kepemimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal lagi berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang untuk mengurus dan memimpin masyarakat. Umara adalah satu keperluan di dalam masyarakat kerana tanpa Umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan.[7] Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Pemimpin itu ibarat perisai; orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya.”[8]
Kerana itu ALLAH Subhanahu Wata’ala menjanjikan kepada mereka tempat yang tinggi dan mulia pada hari akhirat,[9] seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Manusia yang paling dikasihi ALLAH dan diberi tempat yang terdekat sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci ALLAH dan diletakkan di tempat yang paling jauh sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang zalim.”[10]
“Ada tujuh golongan manusia yang akan diberi berteduh oleh ALLAH di bawah bayang Nya pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayang Nya sahaja (salah satu daripadanya ialah) pemerintah yang adil.”[11]
- Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qal’i dalam kitabnya Tahzib al-Riyasah wa Tartib al-Siyasah menjelaskan “Sekiranya tidak ada seorang pemimpin yang dipatuhi, nescaya pudarlah kemuliaan Islam. Sekiranya tidak ada pemimpin yang berkuasa, maka hilanglah kestabilan keamanan dan terputuslah jalan kemakmuran. Negara berjalan tanpa undang-undang, anak-anak yatim terbiar dan ibadah haji tidak dapat dilaksanakan. Jika tidak ada pemimpin, nescaya sebahagian orang akan berleluasa memakan harta sebahagian yang lain”. Senada dengan pendapat tentang keharusan adanya pemimpin yang ditaati, Ibn al-Mu’tazz berkata: “Rosaknya rakyat karena tidak ada pemimpin seperti rosaknya badan tanpa roh.”[12]
- Ulama dan Umara, tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan yang terpisah, dengan tanggapan salah, bahawa satu bertanggungjawab kepada urusan agama, sementara yang satu lagi bertanggungjawab kepada urusan negara. Islam tidak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi, dan tidak pula memisahkan kuasa pemimpin daripada agama, hatta memperkukuhkan betapa pentingnya Ulama dan Umara saling membantu dan saling bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah.
- Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali mengingatkan, bahawa dunia adalah ladang akhirat; agama tidak akan menjadi sempurna kecuali dengan dunia; kekuasaan dan agama adalah anak kembar; agama merupakan dasar dan pemimpin negara adalah penjaganya; sesuatu yang tidak memiliki dasar pasti akan binasa, dan sesuatu yang tidak memiliki penjaga pasti akan musnah.[13] Di sisi ALLAH Subhanahu Wata’ala, Ulama dan Umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama, kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah ALLAH. Ilmu harus digunakan dengan ikhlas dan jujur, tegas lagi berani; kuasa pula diuruskan dengan adil dan saksama, beramanah lagi berintegriti.
- Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).[14] Sejarah mencatatkan, di kalangan para pemimpin Islam yang memiliki nama-nama besar, mereka tidak terpisah daripada bimbingan Ulama, seperti Khalifah Harun al-Rasyid bersama Yahya ibn Khalid Al-Barmak, Shalahuddin Al Ayyubi bersama Bahauddin bin Shaddad, dan Sultan Muhammad Al Fatih dengan bimbingan Aq Samsuddin dan Syeikh al-Kurani.
- Dalam penulisan klasik Islam terdapat banyak contoh, peranan Ulama membantu Umara; antara mereka ialah al-Imam Malik dan al-Imam Abu Yusuf yang senantiasa menyuarakan nasihat kepada Khalifah Harun al-Rasyid; antara kandungan surat Imam Malik kepada Khalifah Harun al-Rasyid, tercatat baris-baris berikut:
Petikan:
“Fikirkan bagaimana anda nantinya akan menghadapi mati dan segala keburukan yang akan menimpa anda. Begitu juga tentang apa yang anda bakal hadapi selepas mati nanti, termasuk pembentangan di hadapan ALLAH dan kemudiannya hisab serta kehidupan yang kekal selepas itu.
Jangan anda percaya dalam apa juga urusan anda kepada sesiapa sahaja yang tidak takutkan ALLAH. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Umar Ibn al-Khattab berkata, “Berundinglah dalam urusan kamu dengan orang yang takutkan ALLAH”. Hati-hatilah terhadap mereka yang rapat dengan anda yang mempunyai tujuan jahat. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Setiap Nabi dan Khalifah sentiasa dikelilingi oleh dua kalangan yang rapat. Kalangan pertama selalu menyuruh dia melakukan makruf dan melarang mungkar; sementara kalangan kedua pula ada-ada sahaja kejahatan yang disebabkan olehnya.
Taatlah kepada ALLAH dalam menentang maksiat yang dilakukan oleh manusia, dan jangan taati manusia dalam menderhaka kepada ALLAH. Kerana saya ada menerima riwayat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda, “Tiada kepatuhan terhadap makhluk untuk menderhaka kepada ALLAH.”[15]
- Surat nasihat Al-Imam Abu Yusuf kepada Khalifah Harun al-Rasyid, antara lain mencatatkan:
Petikan:
“Wahai Amir al-Mukminin, ALLAH telah menugaskan kepada anda satu tugasan besar yang pahalanya sangat besar dan seksanya juga sangat dahsyat. ALLAH telah menugaskan kepada anda urusan umat ini. Anda telah mengambil tanggungjawabnya memimpin umat ini sebagai satu amanah. Anda perlu ingat bahawa binaan yang tidak diasaskan atas ketakwaan akan runtuh menimpa pengasasnya sendiri dan semua orang yang membantunya. Kerana itu anda jangan sia-siakan tugasan ini dan bekerjalah dengan izin ALLAH….
….Pemimpin yang paling bahagia di hari akhirat nanti ialah pemimpin yang disenangi oleh rakyatnya.”[16]
- Khalifah Harun al-Rasyid, bersikap menerima baik nasihat daripada para Ulama. Susulan permintaan Baginda, Abu Yusuf menulis tentang dasar kewangan negara, yang melahirkan Kitab al-Kharaj. Dalam semangat yang sama, Khalifah Abu Ja’far al-Mansur telah meminta al-Imam Malik menulis kod undang-undang untuk digunakan di seluruh mahkamah pada waktu itu, lalu al-Imam Malik menulis Kitab al-Muwatta’ yang masyhur sehingga sekarang. Khalifah Abdul Rahman III, pernah ditegur kerana tertinggal solat Jumaat oleh seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya sama ada baginda mahu memecat Qadi tersebut, Khalifah Abdul Rahman menjawab: “Aku lebih rela memutus hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang merupakan satu nikmat Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita semua. Aku akan solat Jumaat di belakangnya selagi dia masih hidup.”[17]
- Di Alam Melayu, Islam menyuntik dimensi baru kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep, adil dan muafakat.[18] Islam menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi’ (zillulah fi al-Ard).[19] Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spirituil dirangkaikan dengan ALLAH dan Rasul serta kekudusan para aulia – para anbia.[20]
- Tuntutan agama Islam amat ketara dalam deskripsi Raja Melayu.[21] Digambarkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al Nafis, bahawa fungsi utama penyandang gelaran Raja adalah untuk menjunjung hukum ALLAH di muka bumi, bahawa krisis akan terjadi jika perintah ALLAH diingkari, dan apabila Raja memerintah dengan nafsu.[22] Di dalam Hikayat Acheh, dicatatkan, kata sepakat yang dicapai dalam musyawarah Raja-Raja dan kadi-kadi untuk menurunkan Sultan Seri Alam daripada takhta kerana sifat boros Baginda; demikian pula tindakan yang dilakukan ke atas Sultan Zainal Abidin apabila Baginda bersifat zalim.[23] Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsudin Sumetrani sebagai penasihat baginda; dan Sultan Iskandar Thani Mahkota Alam telah melantik Syeikh Nuruddin Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel sebagai penasihat dalam mentadbir negara dan menyebarkan Islam.
- Undang-undang Melaka[24] menegaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan dinilai daripada sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab. Terkandung di dalam kanun bahawa seseorang Raja perlulah mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan. Secara tradisi, sejak zaman berzaman, Raja setelah disembah maklum hal ehwal urusan negeri dan rakyat, mengamalkan sistem bermusyawarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan. Para Ulama berperanan penting di dalam istana Raja Melayu, dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas membimbing ilmu keagamaan dan mengembangkan Islam, serta menyembahkan nasihat berpandukan syarak, ketika Raja Pemerintah menjatuhkan hukum, agar terjamin keadilan dan terhindar kezaliman. Para Ulama turut diamanahkan dengan tanggungjawab, dianugerahkan jawatan – dikurniakan gelaran di istana Raja Melayu.
- Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam Kitab Ketatanegaraan, Nasihatul Muluk (Nasihat untuk Raja-Raja) yang ditujukan kepada para pemimpin Islam sezaman, menyemaikan budaya ilmu dan tata cara pentadbiran yang menegaskan perpaduan negara, berdasarkan kefahaman bermakna mengenai tuhan, hakikat alam semesta, kehidupan dan kehidupan selepas mati.[25] Islam menegaskan agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut. [26]
- Sewajarnya Raja Pemerintah menghayati sifat-sifat agung ALLAH Subhanahu Wata’ala, sifat-sifat Maha Pengasih – Maha Penyayang, Maha Pemurah – Maha Pengampun yang mengatasi sifat murka Nya. Terkandung dalam kitab al-Fawaid al-Bahiyah tulisan Nuruddin al-Raniri, hadis-hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam tentang peranan dan tanggung jawab seorang Raja; bahawa sehari amalan seorang Raja yang adil, lebih afdal dari amalan seorang yang beribadat selama enam puluh tahun; bahawa Raja yang zalim atau mengkhianati warganya dan tidak menasihati mereka, tidak akan mencium bau syurga.[27]
- Tercatat pelbagai peristiwa daripada pengalaman Ibn Khaldun yang menyaksikan perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat berlaku, hingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam di Afrika Utara dan Andalusia. Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk kepentingan memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para Ulama. Ulama yang pada era kegemilangan Islam bersifat jujur – bersifat ikhlas, sebahagiannya, kerana tergoda dengan kemegahan harta, jawatan dan gelaran, bertukar dan membenarkan diri mereka menjadi pemanfaatan bagi kepentingan peribadi Umara tertentu.
- Dalam sejarah Andalusia, al-Hakam I, ketika menjadi pemerintah bersifat teramat zalim, menghukum rakyat dengan kejam walaupun atas kesalahan yang kecil. Baginda bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap pembesar-pembesar Toledo, peristiwa yang dirujuk sebagai “Day of the Ditch”. Pada zaman pemerintahan baginda, berlaku beberapa pemberontakan. Meskipun dilindungi oleh enam ribu pengawal peribadi, al-Hakam akhirnya tewas. Barcelona jatuh pada zaman pemerintahan baginda, memberikan kemenangan besar pertama kepada pihak Kristian yang mencetuskan semangat baru untuk tentera Kristian terus menyerang umat Islam.
- Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam apabila ditanya, apakah perbuatan yang paling baik, sabda Baginda, “Menjauhi perkara haram dan menjadikan lidah sentiasa basah dengan menyebut Tuhan.” Apabila Baginda ditanya tentang kawan yang paling baik, Baginda bersabda, “Kawan yang sentiasa menolong kamu apabila kamu perlu dan memperingatkan kamu apabila kamu lupa.” Apabila ditanya tentang manusia paling jahat, Baginda bersabda, “Para ulama, apabila mereka rosak.”[28] Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:
“Akan terdapat para pemerintah yang fasiq dan zalim, maka sesiapa yang mengeyakan pendustaan mereka dan menolong mereka melakukan kezaliman, dia bukanlah daripada kalangan ku.”[29]
- Imam al-Ghazali memperingatkan kerosakan para Umara berlaku kerana kerosakan para Ulama; tegas beliau:
Petikan:
“Adalah menjadi kebiasaan bagi para Ulama untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka sangat percaya bahawa ALLAH akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau sudah ditakdirkan begitu. Oleh kerana mereka itu ikhlas hati, orang mudah menjadi lembut dan terbuka untuk menerima nasihat mereka. Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana Ulama. Sementara Ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar.”
- Imam al-Ghazali turut menggambarkan kemunculan tiga jenis ulama:
Pertama: mereka yang membahagiakan dirinya dan membahagiakan orang lain, ia itu ulama yang melakukan dakwah ilahiah dengan penuh keikhlasan dan menyucikannya lahir dan batin.
Kedua: mereka yang mencelakakan dirinya dan membahagiakan orang lain, ia itu ulama yang pada lahirnya menyeru orang lain kepada akhirat dan mengingatkan supaya tidak diperdaya oleh dunia, sementara batinnya bertujuan mencari pengaruh.
Ketiga: mereka yang mencelakakan dirinya dan mencelakakan orang lain; ia itu ulama yang secara terang-terang mengejar dunia.
- Nyatalah, telah berlaku dalam sejarah, Ulama begitu juga Umara turut tergelincir daripada landasan kerana tarikan-tarikan duniawi, berpunca daripada bisikan iblis; mengingatkan Beta akan dialog-dialog yang berlaku antara ALLAH Subhanahu Wata’ala, Nabi Adam Alaihissalam dan Iblis pada peringkat awal penciptaan manusia. Maha Suci Allah Subhanahu Wata’ala telah berfirman dalam ayat 35, Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
“Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ”.[30]
Firman ALLAH dalam ayat-ayat 115, 120 dan 121 Surah Thaha bermaksud:
“Dan Sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa (akan perintah itu), dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman”.[31]
“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap.”[32]
“Maka mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan dengan itu, derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan.”[33]
- Ayat 35 Surah Al Baqarah dan ayat-ayat 115, 120 dan 121 Surah Thaha, menyentuh, pertama: perintah yang ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada seorang Khalifah; kedua: pengaruh negatif yang memesongkan minda manusia; ketiga: sifat alpa insan hingga terlanggar perintah yang ditetapkan; keempat: ketegasan ALLAH Subhanahu Wata’ala melaksanakan hukum. Peristiwa tersebut boleh ditafsirkan sebagai bermulanya pelanggaran amanah oleh makhluk yang dicipta oleh ILAHI bertaraf Khalifah, disebabkan pengaruh jahat Iblis.
- Ketika berlakunya peristiwa tersebut, Nabi Adam Alaihissalam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi segala nikmat yang dijamin oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, “tidak akan kelaparan, tidak akan merasa dahaga, tidak akan telanjang, tidak akan ditimpa panas matahari”;[34] tetapi ALLAH turut memberi peringatan “Iblis adalah musuh”. [35] Ketika itu, Nabi Adam Alaihissalam, hanya menghadapi satu sumber godaan yang dilambangkan dengan pohon khuldi. Pun demikian, godaan yang satu itu, telah mengalpakan Baginda hingga terlanggar perintah yang diamanahkan; lalu Baginda dijatuhkan hukum oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk dikeluarkan dari syurga.[36]
- Peristiwa tersebut wajib dijadikan iktibar, dijadikan petunjuk, dijadikan peringatan; bahawa ujian pertama ALLAH Subhanahu Wata’ala ke atas insan, menyentuh subjek amanah. Nafsu mahu mendapatkan kuasa, merupakan pintu pertama membolehkan Iblis mencelah masuk, melakukan pemesongan terhadap iman seorang insan. Iblis berjanji kepada Nabi Adam Alaihissalam untuk memberikan kuasa; janji palsu “pengekalan kuasa” seperti yang terkandung di akhir ayat 120 Surah Thaha, yang bermaksud, “aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap”. Betapa dinding ketahanan iman telah ditembusi dengan godaan tarikan untuk mendapatkan kuasa. Peristiwa tersebut turut membuktikan keadilan ILAHI, menguatkuasakan hukum tanpa memilih kasih. Nabi Adam Alaihissalam adalah ciptaan ILAHI, dimuliakan, dikurniakan status khalifah, diperkenankan hidup di dalam syurga. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan secara tegas lagi segera. Peristiwa yang menyebabkan Nabi Adam Alaihissalam tersingkir dari syurga hendaklah dijadikan pedoman dan sebesar-besar pengajaran oleh Ulama dan Umara.
- Kepada Mu Ya ALLAH, sekalian hamba Mu bermohon agar bumi Mu ini, tempat kami tumpang berkampung, Engkau rahmati dengan para Ulama yang kukuh lagi teguh iman mereka, para Ulama yang tidak tergoda dengan tarikan duniawi, agar mereka berupaya menjadi penyuluh di dalam kegelapan; dan kepada Mu jua Ya ALLAH, sekalian hamba Mu memohon agar Engkau kurniakan kami dengan para Umara yang berjiwa Ulama; Umara yang menjadikan pedoman akan kata-kata nasihat Saidina Ali Karramallahu Wajhah, kepada Gabenornya,
Petikan:
“Jadikan yang kamu sukai ialah kebenaran yang paling tepat, keadilan yang berakar umbi, dan kerelaan rakyat yang paling menyeluruh.”[37]
Makbulkanlah permohonan kami YA ALLAH, Engkau juga Maha Mengetahui – Maha Berkuasa. Amin Ya Rabul Ala min.
Dengan lafaz BISMILLAHI RAHMANI RAHIM, Beta merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah 2018.
[1] Mustafa Monjur, “Characteristis of Leadership: Islamic Perspetive, June 2010, https://www.researchgate.net/publication/283503164.
[2] Morshed Abul Ala, “Principles of Islamic Leadership”, http://www.ibrahim.com/ISLAM.
[3] Ustaznaim.blogspot.my, “Ulama dan umara”, 19 April 2010
[4] Hadis Riwayat Abu Na’im dalam al-Hulyah.
[5] Hadis Riwayat Imam Ahmad
[6] Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Termidzi
[7] Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, “Hubungan antara Ulama dan Umara dalam membangun Ummah: Sorotan pandangan Ahli Sunnah-Wa-Jemaah. (18 Mac 2011), https://fitrahislami.wordpress.com.
[8] Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
[9] Mahmood Zuhdi.
[10] Hadis Riwayat al-Termidzi.
[11] Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
[12]Abu ‘Abdillah al-Qal’i, Tahzib al-Riyasah wa Tartib al-Siyasah, (Jordan, Maktabah al-Mannar ,1985) 94-95.
[13]Yusuf al-Qardawi, Fiqh al-Daulah dalam Perspektif Al-Qur’an dan Al-Sunnah, terj. Kathur Suhardi (Cet. ke-3; Jakarta: Pustaka al-Kautsar, 1998), 29.
[14] Ulama dan Umara, https://www.facebook.com.
[15] (Abu Zahrah) dalam fitrahislami.wordpress.com.
[16] (Abu Yusuf) dalam Mahmood Zuhdi.
[17] Wan Mohd Nor Wan Daud. Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia: Satu Cerminan Islamisasi Dua-Dimensi. (Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia 2007) dlm. Khalif Muammar, Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa
Lalu. Jurnal Hadhari bil 2. (Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2009) . 15-31.
[18] Hj.Muzaffar Dato Haji Mohamad dan (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman, Melayu Islam Beraja: Menggali Hakikat Leluhur, (Kuala Lumpur: Pustaka BSM Entrprise, 2003), 43.
[19][19] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Kertas Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994) 1
[20] Muhammad Yussof bin Hashim, “Kesultanan Melaka Dan Budaya Politik” dalam Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 1), (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008), 192.
[21] Virginia Matheson Hooker, “Kajian dan Pengenalan, Raja Ali Haji”, Tuhfat al Nafis, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka 1998) xvi.
[22] Ibid.
[23] Teuku Iskandar, Kajian dan Pengenalan Hikayat Aceh, (Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, 2001) 30-31.
[24] Teks Abad keempat belas.
[25] Wan Mohd. Nor Wan Daud, Budaya Ilmu dan Gagasan 1 Malaysia: Membina Negara Maju Dan Bahagia, (Kuala Lumpur: Akademi Kenegaraan BTN, 2010), 16
[26] Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidhi, dalam Wan Mohd. Nor Wan Daud, 19
[27] Wan Mohd. Nor Wan Daud, 42.
[28] (Al-Jahiz) dalam Mahmood Zuhdi
[29] Hadir Riwayat Ahmad, al-Nasa’I dan al Termidzi)
[30] Al-Quran, Al-Baqarah (2:35)
[31] Al-Quran, Thaha (20:115)
[32] Al-Quran, Thaha (20:120)
[33] Al-Quran, Thaha (20:121)
[34] Al-Quran, Thaha (20: 118-119)
[35] Al-Quran, Thaha (20:117)
[36] Al-Quran, Thaha (20: 123)p
[37] fitrahislam.wordpress.com
In the News:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/02/26/perak-sultan-ulama-and-umara-are-not-two-separate-entities/
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-ulama-umarak-bekerjasama-bangunkan-ummah-sultan-nazrin-1.616744