Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

‘MENJULANG KEMULIAAN UMAT:

SEJARAH, WAWASAN DAN HARAPAN’

Maha Suci ALLAH jualah segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Tuhan sekalian alam.  Dan bagi Nya keagungan di langit dan di bumi.   Dialah yang menurunkan as-Sakīnah, ketenteraman ke dalam hati orang yang beriman, agar mereka bertambah iman … milik ALLAH tentera langit dan bumi, dan ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.   Maka, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhan Mu Yang Maha Besar.

2.      Bermula dari tahun 1995, Muzakarah Ulama, dianjurkan sebagai program tahunan oleh Kerajaan Beta untuk mengupas pelbagai perkara mengenai Islam dan umat Islam. Penganjur kali ini memilih tema, ‘Menjunjung Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’, satu tema yang sangat luas; tema yang menggambarkan keprihatinan dan hasrat penganjur mahu menjulang kemuliaan ummah, dengan mengimbas sejarah, mengolah wawasan agar termakbul harapan.  Ummah memiliki khazanah sejarah yang kaya, terhimpun kisah-kisah romantis pada era kegemilangan, terkumpul peristiwa-peristiwa pahit ketika melalui tragedi kejatuhan.  Minda ummah tidak harus terlalu diolekkan dengan kisah-kisah romantis hingga dikhayalkan dengan kejayaan yang pernah tercipta, sebaliknya dalam hasrat mahu mengolah wawasan untuk memenuhi harapan, ummah sewajibnya lebih memberikan fokus, menganalisis realiti semasa, menilai kelemahan, kekuatan, cabaran dan peluang yang sedang dihadapi.  Berdasarkan realiti,  ummah secara bijaksana hendaklah mengolah strategi yang mengupayakan terjelmanya barisan ummah yang gagah dan hebat, bijak dan berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran, disegani, dihormati lagi digeruni.   

3.      Pengembaraan untuk mengolah wawasan dan melakarkan harapan memerlukan pelbagai langkah.  Beta terpanggil untuk mengunjurkan dua langkah permulaan.

Langkah Pertama:  Mendefinisikan kemuliaan ummah yang mahu dijulang dengan menyingkap wasiat penting yang diungkapkan dalam khutbah terakhir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, yang dizahirkan di Lembah Urainah, Bukit Arafah, pada 9 Zulhijah, tahun 10 Hijrah; antara pesanan yang terkandung dalam khutbah terakhir Baginda bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam).  Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas Ajam (yang bukan Arab), atau Ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”[1]

Baginda mengakhiri khutbah dengan memperingatkan:

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.  Itulah Al-Quran dan Sunnahku.”[2]

4.      Pesanan Baginda mengenai kemuliaan, menegaskan perkara yang difirmankan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, bahawa kemuliaan seseorang insan diasaskan pada tahap ketakwaan. Ayat 13, Surah Al-Hujurat, bermaksud:

“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal mengenali, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu ialah orang-orang yang bertakwa.”[3]

5.      Takwa bererti tunduk, patuh dan taat yang menjuruskan manusia untuk sentiasa berwaspada, beringat-ingat dan menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan tuntutan yang telah digariskan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[4]  Manusia yang bertakwa akan sentiasa berada di atas landasan yang lurus, yang bakal memastikan mereka sampai ke destinasi perjalanan hidup yang hakiki untuk mendapat keredaan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala.[5]  Insan yang bertakwa akan membebaskan diri daripada melakukan perbuatan yang berakhir dengan kemurkaan ILAHI.  Takwa terserlah melalui tindakan, ucapan, sahsiah dan iltizam semasa melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.[6]

6.      Takwa ialah penentu utama kemuliaan.  Takwa menetapkan seseorang insan wajib beriman dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala, hari akhirat, kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.[7]  Sesesuatu kelompok sama ada berdasarkan komuniti, tempat mahupun bangsa atau keturunan diukur kemuliaannya berdasarkan takwa.[8]  Takwa, tidak sekadar berperanan sebagai pengukur kemuliaan seseorang individu malah berperanan sebagai pengukur kemuliaan pelbagai bangsa. 

Firma ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 96 Surah Al-A’raf bermaksud:

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.  Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan.”[9]

mengingatkan ummah bahawa keimanan, ketakwaan dan kekufuran akan menjadi penentu kepada keseimbangan pengurniaan nikmat daripada ILAHI.  Umat yang dijunjung kemuliaannya ialah umat yang memiliki sifat-sifat takwa. 

7.      Peringatan bersejarah untuk ummah berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah, diulangi oleh para ulama sepanjang zaman; ummah diseru untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan mencontohi Sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. 

8.      Tidak diragukan bahawa Al-Quran diterima oleh umat Islam sebagai kitab termulia, kitab yang diperingatkan kepada jasad yang telah ditimbus, (juga kepada pendengaran mereka yang hidup), setiap kali talkin dibacakan, supaya si mati menjawab dengan yakin kepada Malaikat Mungkar dan Nakir, bahawa Al-Quran itu kitab pegangan.  Anak-anak Islam pada usia kecil diasuh membaca Al-Quran, didorongkan agar segera dapat menamatkan tiga puluh juzuk bacaan.  Anak-anak Islam dianjurkan, disediakan pelbagai kemudahan dan dorongan untuk menghafal tiga puluh juzuk Al-Quran.  Ayat-ayat Al-Quran diperindah melalui pelbagai irama bacaan oleh para qari dan qariah yang bersuara merdu.  Pelbagai usaha dijalankan, melambangkan penghormatan ummah kepada sebuah kitab suci yang dikenali sebagai Al-Quran.

9.      Al-Quran mengandungi 320,015 huruf, 77,439 patah perkataan,[10]  6,236 ayat, terdiri daripada 4,780 ayat surat Makkiyyah dan 1,456 surah Madaniyyah.[11]  ALLAH Subhanahu Wata’ala sendiri yang menamakan wahyu yang diturunkan Nya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dengan pemakaian kata Al-Quran, menurut bahasa bererti ‘bacaan’.[12]  Terkandung di dalam Al-Quran himpunan mutiara hikmah, prinsip-prinsip pengetahuan yang sahih dan panduan bertindak yang betul.[13]  Al-Quran ialah kitab suci, ummul al-Kitab, ibu kepada segala kitab, berperanan sebagai instrumen pengetahuan teragung, membezakan antara yang benar dengan yang palsu; bersifat al-huda, petunjuk kepada kebenaran.[14]  Al-Quran tidak sekadar kompas moral, tetapi mengandungi hidayah, yang memandu manusia secara menyeluruh lagi mendalam. Al-Quran ialah kalimah ALLAH yang mengandungi alfa dan omega kepada sumber, inspirasi dan panduan penerokaan segala ilmu.[15]  

10.    Antara tujuan utama diturunkan Al-Quran adalah untuk dibaca dan tidak ditinggalkan.[16]  Namun demikian, ALLAH memberikan peringatan mengenai tertib pembacaan Al-Quran seperti yang terkandung dalam ayat 16 hingga 20 surah Al-Qiyaamah:

“Janganlah kamu gerakkan lidah mu untuk (membaca) Al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasainya).  Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dada mu) dan (membuat mu pandai) membacanya.  Apabila kami telah selesai membacakannya maka ikutlah bacaannya itu.  Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya.  Sekali-kali jangan (tergesa-gesa).  Tetapi kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia”[17].   

11.    Al-Quran itu perlu dibaca menurut tertib yang ditetapkan, dibaca secara tekun, dibaca secara teliti, ayat demi ayat untuk difahami, diterokai pengertian, agar segala rahsia yang tersirat dapat ditemui, difahami, malah difahami secara mendalam, lalu dihayati, seterusnya diamalkan dan diaplikasikan dalam hidup insan.  Demikian tujuan, dan betapa ketika ini, berlaku jurang antara tujuan berbanding pengisian, dan amalan berbanding pencapaian.  Mutiara-mutiara berharga yang terkandung di dalam Al-Quran tidak ditemui oleh majoriti umat Islam.  Umat Islam yang majoriti menjadikan Al-Quran bahan bacaan harian, ibarat terapung di permukaan lautan, gagal menemui dan menyingkap pelbagai pengetahuan yang sangat diperlukan dalam kehidupan harian manusia.  

12.    Umpamanya, kisah Nabi Nuh Alaihissalam membina sebuah bahtera diajar secara permukaan.  Proses pembinaan bahtera tidak dihuraikan oleh kebanyakan guru agama secara terperinci.  Bahtera yang dibina bukan tercipta secara menggosok lampu Alladin.  Nabi Nuh Alaihissalam diperintah pertamanya untuk menanam pokok al-Saj, mengambil masa selama 20 tahun sebelum dapat menghasilkan kayu yang diperlukan.  Nabi Nuh yang dibimbing oleh Malaikat Jibrail Alaihissalam, mengambil masa 40 tahun untuk menyiapkan sebuah bahtera besar, digambarkan berukuran 70 meter panjang, 30 meter lebar dan 10 meter tinggi.[18]  Kisah pembinaan bahtera Nabi Nuh memberikan pengajaran bahawa kerja yang besar memerlukan semangat ketekunan, kesabaran, kesungguhan, keyakinan dan ketabahan; kerja yang besar mengambil masa yang panjang dan usaha yang lama, kerja yang besar memerlukan bimbingan pihak yang lebih arif lagi mengetahui.  Pembinaan bahtera besar tersebut turut membuktikan bahawa penguasaan teknologi perkapalan telah diturunkan sejak zaman nabi keempat. 

13.    Peristiwa Israk Mikraj menceritakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, dibedah jantungnya oleh Malaikat Jibrail Alaihissalam, diterbangkan dengan Buraq dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa, lantas ke Sidratulmuntaha, berlakunya perundingan penentuan bilangan solat antara seorang hamba dengan Penciptanya, berlakunya konsultasi antara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dengan Nabi lain.  Peristiwa Israk Mikraj memperlihatkan pelbagai pengajaran merangkumi teknologi avionik, teknologi angkasa, teknologi pembedahan jantung; di samping tanggungjawab pemimpin untuk tidak menerima sesuatu perintah secara mutlak, tetapi wajib berusaha untuk berunding walaupun dengan pihak yang tertinggi, jika arahan yang diterima, berpotensi membebankan jemaah yang berada di bawah tanggungjawab pemimpin. 

14.    Umat Islam hendaklah mengakui realiti, bahawa tumpuan pengajaran Al-Quran dalam kalangan ummah selama ini, lebih memberikan fokus kepada bacaan dan hafalan, di samping terjemahan, tafsiran dan huraian yang juga tertumpu kepada komponen-komponen untuk mempersiapkan roh ketika berada di alam barzakh dan usaha pengumpulan pahala untuk memberatkan timbangan makruf pada hari kebangkitan.  Secara perbandingan, majoriti umat, mentafsir ibadah, amal makruf, termasuk fardu kifayah dari sudut yang sangat terbatas. 

15.    Kapal di lautan yang membawa dagangan, pesawat di udara yang menerbangkan penumpang, telefon dan Internet yang merangkaikan manusia dan memudahkan komunikasi, rawatan dan perubatan, teknologi keluaran yang meningkatkan produktiviti, jentera yang meringankan manusia daripada melaksanakan beban kerja yang berat, dan pelbagai lagi penemuan, ialah produk-produk yang dihasilkan melalui pemikiran yang kreatif lagi inovatif, berpaksikan sains.  Penyelidik yang menemui vaksin lalu berjaya menangani wabak SARS dan EBOLA,  dan penyelidik yang bakal menemui vaksin yang Insyallah dapat menangani wabak koronavirus, berjasa besar kepada manusia dan alam; melakukan amal makruf, memenuhi tugas fardu kifayah yang amat diperlukan, mereka sebenarnya telah menyempurnakan ibadah yang sangat besar.       

16.    Dalam hasrat menerokai formula untuk mengangkat kemuliaan ummah, sewajibnya muzakarah ini melakukan analisis secara jujur lagi berani, memeriksa keberkesanan, produktiviti dan impak yang dihasilkan melalui kaedah pengajaran Al-Quran yang diamalkan oleh majoriti masyarakat Islam ketika ini, sama ada boleh mengupayakan insan memahami, mendalami, menghayati perkara-perkara yang tersirat di samping yang tersurat, serta berupaya memperlengkapkan minda umat Islam dapat menguasai pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi perkembangan sosial, perdagangan, sains, kejuruteraan dan teknologi dunia semasa.

17.    Langkah Kedua:  Memberikan fokus kepada kumpulan sasar terpenting, pewaris yang akan memastikan kesinambungan dan kegemilangan Islam, ia itu golongan remaja.  Wawasan yang mahu diolah, dan harapan yang mahu disasarkan, wajiblah disandarkan kepada fakta dan data, supaya jika berkebun biar menjadi, jika berladang biar berhasil. 

18.    Kajian Pew Research Centre on Religion and Public Life, menunjukkan penduduk dunia akan meningkat 35 peratus dalam tempoh empat dekad.[19]  Umat Islam mencatatkan kadar kesuburan lebih tinggi, 3.1 berbanding kadar kesuburan 2.3 dalam kalangan bukan Islam.[20]  Pada tahun 2030, 26.5 peratus penduduk dunia diunjurkan terdiri daripada umat Islam; dan bilangan umat Islam diramalkan bertambah 73 peratus, daripada 1.6 bilion pada tahun 2010, kepada 2.8 bilion pada tahun 2050.[21]  Jika unjuran tersebut menjadi realiti, pada tahun 2050, 2.8 bilion atau 30 peratus penduduk dunia terdiri daripada umat Islam, pertama kali dalam sejarah bilangan umat Islam hampir menyamai 2.9 bilion bilangan penganut agama Kristian.[22]    Pada masa yang sama, dunia Barat menghadapi penduduk yang makin berusia, berbanding dengan penduduk Islam yang lebih remaja.  Usia median 23 tahun umat Islam pada tahun 2010, memperlihatkan usia median termuda, tujuh tahun lebih muda berbanding dengan usia median penganut agama-agama lain.[23] 

19.    Pada tahun 2030, hampir 500 juta umat Islam berada dalam status penduduk minoriti di dalam negara yang mereka tinggal, di Asia Selatan dan di Asia Tenggara.  India diunjurkan mempunyai 249 juta umat Islam, menjadikannya negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia, mengatasi Indonesia yang diramal mempunyai 245 juta umat Islam, dan Pakistan mempunyai 230 juta umat Islam. [24]  Di India ketika ini, hartanah wakaf, ialah pemilik tanah ketiga terbesar, selepas tanah untuk kegunaan pertahanan dan kereta api.[25]

20.    Bilangan masyarakat menengah Islam, dijangka meningkat daripada 300 juta kepada 900 juta dalam tahun 2030.[26]  Masyarakat menengah dipercayai memiliki minda terbuka, bersifat rasional, menyokong amalan demokrasi, menuntut kepada urus tadbir yang telus dan politik yang bersifat inklusif daripada politik yang berteraskan sentimen agama dan emosi perkauman.  Masyarakat menengah lebih tertarik kepada politik yang berupaya membawa kemakmuran ekonomi daripada politik yang bersandarkan retorik dan slogan.  Masyarakat menengah Islam terdiri daripada kumpulan terpelajar, memiliki kemewahan dan tersebar luas di serata dunia.  Setelah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, mereka merupakan pengguna yang bukan sahaja memiliki kuasa beli malah setelah memenuhi keperluan asas makanan, pakaian, tempat tinggal, mereka mencari peluang untuk melabur, mahukan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan keperluan-keperluan sosial lain, tidak terkongkong dengan batasan geografi malah bersedia menyeberangi sempadan negara, sempadan kaum dan sempadan agama. 

21.    Penjenamaan Islam kini menjelmakan satu daya tarikan.  Industri makanan dan gaya hidup halal yang mencatat nilai perdagangan 1.8 trilion dolar dalam tahun 2014 dijangka mencecah 2.6 trilion dolar pada tahun ini.[27]  Umat Islam direkodkan berbelanja 1.1 trilion ringgit untuk makanan dan minuman dalam tahun 2014, dan dijangka mencecah 1.6 trilion ringgit pada tahun ini.[28]  Umat Islam diunjurkan membelanjakan 233 bilion dolar dalam tahun 2020 untuk keperluan perjalanan dan 54 bilion dolar untuk perbelanjaan kosmetik.[29]   Dalam tahun 2014, umat Islam seluruh dunia berbelanja 230 bilion dolar untuk keperluan pakaian dan diunjurkan meningkat kepada 327 bilion dolar pada tahun ini.[30]  Syarikat pengeluar pakaian antarabangsa MANGO dan ZARA mengambil langkah memperkenalkan kempen jualan pada bulan Ramadan, disusuli pada tahun 2015 dengan pelancaran pakaian untuk umat Islam di Malaysia, Singapura dan Indonesia oleh syarikat UNIQLO di Singapura, menghasilkan pakaian yang direka cipta oleh Hana Tajima daripada syarikat fesyen British-Jepun, memperkenalkan jenama ‘LifeWear’,   Kewangan Islam yang mencatatkan aset 1.3 trilion dolar pada tahun 2010 diramalkan meningkat kepada 2.6 trilion dolar pada tahun 2020.[31] 

22.    Perangkaan tahun 2010 turut menunjukkan satu bilion, menyamai 63 peratus umat Islam dan 14 peratus penduduk dunia, berada dalam usia di bawah 30 tahun,[32] generasi yang dirujuk sebagai ‘Generasi M’.  Satu bilion remaja Islam ini sedang berada di tapak semaian.  Mereka merupakan komponen terpenting yang akan mencorakkan ummah.  Satu bilion remaja Islam ini amat signifikan, faktor penentu yang bakal meletakkan ummah berada di status kemuliaan atau kehinaan.  Kemuliaan ummah pada masa hadapan amat bergantung pada kejayaan yang diperoleh oleh generasi Muslim yang berusia 30 tahun ke bawah ini.  

23.    Agenda untuk meningkatkan kemuliaan umat Islam wajib memahami senario dan perubahan sosial, komersial dan demografi yang sedang berada di hadapan mata ketika ini.  Apakah formula yang wajib diformulasikan dalam hasrat mahu menjulang kemuliaan umat?  Apakah impak yang bakal terjana dalam senario yang sedang dihadapi ini?  Adakah kaedah pendekatan yang dilaksanakan oleh pelbagai individu dan institusi Islam ketika ini, telah berjaya mendampingi majoriti Generasi M, atau mereka semakin menjauhkan diri, kerana kurang tertarik dengan kaedah pengajaran Islam yang disampaikan, serta cara kupasan dan tafsiran ilmu yang dianggap tidak kontemporari, lantas gagal dirangkaikan dengan dinamik sains, teknologi, komunikasi, perdagangan dan diplomasi yang sedang berlaku.  Generasi ini melalui media sosial secara vokal semakin menyuarakan rasa kecewa mereka dengan tafsiran-tafsiran agama yang mereka sifatkan tidak berlandaskan fakta dan hujah-hujah yang saintifik.

24.    Peranan generasi M amat signifikan dan sangat berpengaruh untuk menggerakkan arah haluan.  Mereka yang akan menjadi penentu kepada arah haluan masa hadapan ummah dan masa hadapan dunia.  Kumpulan ini berpegang kepada iman (faith) dan amat selesa menerima kemodenan (modernity).  Generasi ini tidak begitu mudah menghadam nilai-nilai tradisi tanpa terlebih dahulu disahihkan dengan fakta dan data, serta dibuktikan relevansi dalam dunia semasa.  Mereka memerlukan kefahaman dan kerasionalan terhadap sesuatu perkara, mereka mengamalkan budaya berdialog, bersoal jawab, berdebat dan berinteraksi.  Mereka bukan lagi golongan yang diam bersila di atas tikar, mendengar dan menerima secara pasif, sebarang apa yang diungkapkan.  Melalui talian, mereka memiliki sumber-sumber ilmu alternatif, yang membolehkan mereka membuat perbandingan dan penelitian untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan.

25.    Mereka kalangan remaja Islam yang memenuhi obligasi bersolat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah haji, tetapi pada masa yang sama, secara bersendirian atau bersama keluarga, mereka mengunjungi gimnasium, kelab dan kolam renang secara berkala, tertarik dengan aktiviti rekreasi dan hiburan, mengembara dan melancong, memiliki hobi tertentu, terdedah kepada teknologi canggih lagi terkini, mempunyai rangkaian hubungan di peringkat global.

26.    Mereka memiliki modal intelek, melihat dunia dengan lensa yang lebih luas, secara yang lebih kompleks, dan berpandangan bahawa Islam hendaklah berupaya diterima oleh warga dunia dalam ruang peranan yang lebih lebar dan lebih luas.  Mereka memilih untuk berperanan sebagai duta Islam, membawa suara kesederhanaan, melihat dunia sebagai pentas berlakunya pertemuan budaya dan bukan pertembungan budaya.  Mereka mentafsir kepelbagaian budaya sebagai keindahan yang melambangkan kekayaan ciptaan, dan sebahagian daripada lambang kebesaran ILAHI. 

27.    Generasi dewasa, wajib memahami pemikiran dan jiwa kumpulan ini. Generasi dewasa hendaklah mengolah pendekatan yang berupaya menjadikan mereka aset penting.  Generasi dewasa hendaklah bersedia memberikan mereka ruang yang lebih besar, membolehkan generasi muda Islam mengambil tanggungjawab dan memenuhi peranan kepimpinan.  Generasi dewasa hendaklah menghulurkan segala bantuan dan memberikan segala dorongan agar generasi muda Islam berupaya menjadi tenaga penggerak utama untuk mengangkat martabat ummah.

28.    Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 11, Surah Ar-Rad bermaksud:

“…Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…”[33]

Semoga generasi muda Islam akan menjadi agen perubahan, tekun berusaha melakukan yang terbaik, gigih menerokai perantauan baharu, serta kekal dengan pegangan akidah, dan tidak berkompromi dengan idealisme Islam.  Semoga generasi muda Islam akan cekal bersuara memenuhi peranan sebagai opinion makers yang berpengaruh.  Kepada generasi muda Islam, kita bina keyakinan, kita berikan kepercayaan, dan kita letakkan harapan agar mereka berjaya menjulang kemuliaan ummah. 

Dengan lafaz BISMILLAHI RAHMANI RAHIM, Beta merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


[1] Riwayat Ahmad dan al Baihaqi.

[2] Sahih Muslim, The Book of Hajj, No. 707.

[3] Al-Quran, Surah al Hujurat, (49:13)

[4] Ab.Aziz Yusof, Pembangunan Holistik Dari Perspektif Islam, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,  2012), 293.

[5] Ibid., 294.

[6] Ibid., 295.

[7] Zamri Hashim, “Takwa jadi ukuran kemuliaan”, bhagama@bh.com.my.

[8] Ibid.

[9] Al Quran, Surah al A’raf, (7:96)

[10] Ali Mohammed, (Punjab: University College of Information Technology: 2016)

[11] Al-Quraán Terdjemahnya, (Djakarta: Lembaga Penjelenggara Penterdjemah Kitab Sutji Al Quran, 1970), 25.

[12] Ibid, 23.

[13] Seyyed Hossein Nasr, Islam in The Modern World, (New York: Harper Collins Publishers, 2007), 130.

[14] Ibid.

[15] Ibid.

[16] Al Quran dan Terjemahannya, (Kompleks Percetakan Al Quran Al Karim Raja Fahd), 1.

[17] Al-Quran, Al-Qiyaamah (75:16-20)

[18] Muhidin Arifin, “Bahtera Nuh pencetus TVET”, Sinar Harian, 21.2.2020, ms 17.

[19] Shelina Janmohamed, Generation M: Young Muslims Changing The World, (London, I.B.Taurus, 2016) 6.

[20] Ibid 7.

[21] Ibid.

[22] Ibid 15.

[23] Ibid 7.

[24] Ibid. 246.

[25] Ibid. 247.

[26] Ibid. 21

[27] Ibid. 7

[28] Ibid. 73.

[29] Ibid 283.

[30] Ibid. 150

[31] Ibid. 77

[32] Ibid 7.

[33] Al-Quran, Ar-Ra’d (13:11)

In the News:

https://www.sinarharian.com.my/article/71322/BERITA/Nasional/Generasi-M-perlu-bersuara-sebagai-opinion-makers-Sultan-Nazrin

https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/02/24/muslim-youth-have-significant-role-to-play-says-perak-sultan

https://www.bernama.com/en/news.php?id=1816020

%d bloggers like this: