MUZAKARAH SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

MUZAKARAH SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

TARIKH: 25 RABIUL AWAL 1445 / 11 OKTOBER 2023 (RABU);

JAM: 10.00 PAGI

TEMPAT: CASUARINA CONVENTION CENTRE,

IPOH, PERAK DARUL RIDZUAN.

Tema: “Memperkasa Ahli Sunah Wal Jamaah Sebagai Firqah Najiah”

Segala puji-pujian selayaknya kepada Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menciptakan manusia sebagai makhluk yang mulia ke atas yang lainnya. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan kepada ahli keluarga Baginda.

2. Alhamdulillah, dengan izin Ilahi, cendiakawan Islam berjaya dipertemukan untuk bermuzakarah membincangkan subjek “Memperkasa Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai Firqah Najiah”. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Bani Israel berpecah kepada 71 golongan, Nasrani pula berpecah kepada 72 golongan, dan umatku pula akan berpecah kepada 73 golongan, di mana kesemua mereka itu akan menghuni api neraka kecuali satu golongan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya : Siapakah golongan itu Ya Rasulullah? Jawab Baginda: “Mereka ialah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para sahabatku.”[1]

3. Ahli Sunah Wal Jamaah berasal daripada dua patah perkataan iaitu “ahli sunnah” yakni golongan yang mengikuti pegangan dan jalan hidup Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, manakala istilah “al-Jamaah” bersumberkan petikan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Mu’awiyah ibn Abu Sufyan radhiallahu anhu, yang menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdiri di samping kami dan Baginda menyampaikan pesanan yang bermaksud:

“Ketahuilah oleh kalian bahawa Ahli Kitab telah berpecah menjadi 72 kelompok. Dan sesungguhnya, agama Islam ini akan berpecah kepada 73 kelompok; di mana 72 kelompok itu nanti akan berada di neraka, hanya 1 kelompok sahaja yang dijamin ke syurga. Mereka itulah “Al-Jamaah”.[2]

4. Seorang tokoh Islam Andalusia, Imam Abu Ishaq al-Shatibi (720-790H) merumuskan “jamaah” ialah umat Islam yang berada dalam kesepakatan berpegang kepada al-Quran dan sunah; manakala sesiapa yang meninggalkan kesepakatan ini telah keluar dari maksud dan konteks yang dipesan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.”[3]

5. Pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah menjadi pegangan utama umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5hb. Mei 1996, membuat ketetapan bahawa umat Islam negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berpaksikan Ahli Sunah Wal Jamaah daripada segi akidah, syariah dan akhlak; mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan sumber perundangan utama iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas; dan tidak dengan mudah mengkufurkan sesama Muslim. Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya. Pegangan ini merupakan warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu.

6. Sepanjang sejarah dalam manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah, pendekatannya bersifat pertengahan dan seimbang, dan tidak bersifat keterlaluan ataupun ekstrem; manhaj ini menerima pendekatan nas dan akal dengan meletakkan nas mengatasi akal. Ahli Sunnah Wal Jamaah, berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar, tetapi memahami bahawa Allah Subhanahu Wata’ala yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian. Dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jemaah, akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran, malahan takwilan yang tidak jauh dengan tuntutan nas, bukan membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik.

7. Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin, juga untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

8. Hari ini ancaman ke atas pegangan ahli Sunah Wal Jamaah dilakukan secara terang oleh musuh-musuh Islam dan secara terselindung melalui gerakan-gerakan batiniah tertentu dan tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya, namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar. Oleh itu ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan ahli Sunnah Wal Jemaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati.

9. Semoga muzakarah yang diadakan ini mendapat petunjuk dan bimbingan Ilahi menghasilkan penemuan-penemuan berharga. Dengan lafaz BISMILLAHI RAHMANI RAHIM, Beta merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

  1. Hadis dikeluarkan oleh Abu Daud (4596), Tirmizi (2640), Ibn Majah (3991) dan Hakim (8396). Hadis sahih.
  2. Dikeluarkan oleh Abu Daud. No. Hadis 4597. Hadis Sahih
  3. Al-Shatibi, Abu Ishaq Ibrahim ibn Musa. (2008) al-I’tisam. Kaherah: Maktabah al-Tauhid. Jil.3. Hal. 300.
%d bloggers like this: