Muzakarah Ulama

GANDINGAN ULAMA DAN UMARA DALAM PEMBINAAN NEGARA:

SEJARAH, REALITI DAN MASA DEPAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala yang telah menentukan pembahagian tugas dan pengagihan tanggung jawab di kalangan Makhluk Nya, agar saling membantu dan saling melengkapi. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Dengan segala kerendahan hati – dengan penuh takzim, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Seri Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Ampun Tuanku

Sembah anakanda mohon diampun

3. Dengan petunjuk dan kudrat dari ILAHI jua, izinkan Paduka Anakanda menyusun bahasa – mengungkap kata, menyuarakan pandangan – menzahirkan pendapat, atas mauduk ‘Gandingan Ulama dan Umara Dalam Pembinaan Negara: Sejarah, Realiti dan Masa Depan’.

4. Ulama ditakrif sebagai pakar dalam pengetahuan Islam[1] di samping memiliki sifat-sifat warak, zuhud dan takwa, patuh kepada ajaran Islam serta rajin beribadah.[2] Ditegaskan, bahawa ulama adalah manusia berilmu yang menjunjung amanah menegakkan syariah, bertanggung jawab ‘menganjur kepada makruf dan mencegah kemungkaran’; serta menginsafi, bahawa segala perlakuan dilakukan untuk mendapat keredaan ILAHI.[3] Ulama bukanlah pemimpin dipilih dengan ‘suara terbanyak’, bukan diangkat oleh ‘persidangan kongres’; akan tetapi kedudukan mereka, jauh lebih teguh dan suci dari pemimpin pergerakan yang berorganisasi, atau pegawai pemerintah yang mana pun juga.[4] Untuk mencapai status ulama, seseorang itu bukan sekadar individu yang mengajar di sesebuah madrasah atau perkampungan tetapi merupakan cendekiawan yang berfungsi dalam pelbagai lapangan dan berpengaruh dalam penentuan arus dan arah sosial masyarakat.[5]

5. Sejarah memperlihatkan bahawa masyarakat di alam Melayu[6], mengiktiraf ulama sebagai cendekiawan. Ulama di alam Melayu mendapat pengiktirafan demikian kerana kesungguhan mereka memperlengkapkan diri, memenuhi peranan – memenuhi harapan, menunaikan amanah – melaksanakan tanggung jawab. Ulama di zaman silam, gigih mencari ilmu seluas mungkin – berikhtiar menyelami pengetahuan sedalam mungkin. Mereka menerokai dasar kebenaran berasaskan fakta. Mereka tidak puas dengan sumber telaga ilmu sekadar di tempat sendiri. Mereka bermusafir, merantau dan mengembara, berguru dan belajar, untuk menemui dasar kebenaran – untuk mencari hakikat kenyataan. Mereka tidak memihak – mereka tidak berpuak, mereka tulen berpegang kepada kalimah kebenaran. Lalu ulama berupaya bersifat neutral, berperanan sebagai kompas, memandu arah haluan kehidupan insan.

6. Umara didefinisikan sebagai pemimpin atau golongan pemerintah.[7] Bahawa umara itu mengandungi komposisi konstituen yang lebih luas, dari kalangan mereka yang memiliki pelbagai latar belakang pengajian, kepakaran, pengalaman dan kemahiran. Umara dilantik melalui pelbagai mekanisme tertakluk kepada sistem yang diterima pakai oleh organisasi atau institusi negara. Umara memiliki kuasa mentadbir urus pelbagai sumber yang terletak di bawah tanggung jawab dan amanah mereka. Umara berada pada kedudukan yang boleh mempengaruhi minda, mencanai budaya hidup serta menentukan arah haluan masyarakat.

7. Ulama dan umara adalah gandingan yang tidak boleh dipisahkan. Ulama dan umara laksana dua saudara yang saling memerlukan. Secara zahir, mereka kelihatan melalui dua laluan perjalanan, tetapi pada hakikatnya, terkandung keselarian menghala matlamat – menuju destinasi yang sama. Sepanjang liku perjalanan, ada kalanya berlaku kelainan pandangan – ada masanya terdapat perbezaan huraian, namun kelainan pandangan dan perbezaan huraian itu, pada akhirnya mencipta hikayat kejayaan yang lebih seimbang. Gandingan peranan ini berlaku pada setiap sudut kehidupan – berlaku pada setiap liku perjalanan, sama ada disedari ataupun tidak disedari. Ada kalanya dalam lirik suara yang senada, ada kalanya menghadapi tempo yang berbeza. Namun, baik senada suara atau berbeza tempo, ia berakhir dalam simfoni lagu kemerdekaan. Dalam memilih dakwat yang berlainan warna, terlukis kesamaan perjuangan di kanvas negara, dalam susunan warna penuh harmoni, laksana pelangi yang menghiasi langit kemerdekaan; lalu terbina sebuah negara bangsa merdeka lagi berdaulat, kukuh bersatu – cekal berpadu, serentak – seirama melaungkan perkataan MERDEKA; dan negara bangsa itu kini di ambang menyambut ulang tahun kelima puluh kemerdekaan. Itulah negara bangsa Malaysia, disatukan dalam kepelbagaian; kurniaan ILAHI memakbulkan niat suci dan usaha murni.

8. Alam Melayu memiliki sejarah berkerajaan dan bernegara yang panjang. Gandingan kerjasama ulama dan umara telah berlaku sejak kehadiran Islam di alam Melayu. Ulama memenuhi peranan sebagai pengimbang kepada umara, melengkapkan jentera berkerajaan dan jentera bernegara. Ulama berfungsi menasihati Raja pemerintah. Pandangan ulama dirujuk dalam tata urus Raja mentadbir negara. Raja yang menghargai pandangan ulama, berjaya mengurus tadbir negara secara adil; lalu negara dilimpah berkat – rakyat pula mendapat rahmat.

9. Raja dinasihatkan bahawa manusia yang paling dikasihi Allah di hari kiamat, ialah Raja yang adil; bahawa satu dari kalangan tujuh kumpulan yang diberi tempat berteduh oleh Allah pada hari tidak ada naungan kecuali naungan Nya, ialah Raja yang adil.[8] Ketetapan Raja disandarkan kepada agama. Pada tahun 1791, Sultan Abdullah di Kedah, mengisytiharkan ‘jihad’ terhadap British apabila kehilangan Pulau Pinang kepada Francis Light.[9] Islam berperanan sebagai pengukuh kepada orang-orang Melayu untuk menghadapi hasrat Siam menakluki Kerajaan Melayu Islam Kedah pada tahun 1821.[10] Islam merupakan faktor penentu bagi Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu menghantar angkatan tentera membantu Patani dari serangan Siam dalam tahun 1832.[11] Peperangan Naning[12], Peperangan Perak[13], dan penentangan terhadap British di Pahang[14], berlangsung dalam semangat jihad menentang kafir. Demikian juga gelombang kebangkitan menentang Inggeris di Sabah, yang dirintis oleh Datu Tating di Pulau Balambangan, lalu diteruskan oleh Datu Paduka Mat Salleh, dilandaskan atas semangat patriotisme Melayu mempertahankan Islam.[15] Bahawa Perjanjian Pangkor yang dimeterai di tahun 1874, mencatatkan secara formal dan sistematik, buat pertama kalinya, berlaku pemisahan kerajaan dengan agama, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah politik-agama di alam Melayu.[16]

Ampun Tuanku

Paduka Anakanda memilih tiga senario utama yang memperlihatkan gandingan peranan ulama dan umara dalam sejarah pembinaan negara:

Senario Pertama:

Membangunkan Masyarakat Celik Huruf

10. Ulama dengan sokongan umara membuktikan usaha gigih membina masyarakat celik huruf. Kelas pengajian agama adalah langkah pengenalan membina budaya pengajian secara formal, secara berdisiplin dan secara tersusun di kalangan masyarakat Melayu. Sekolah agama, sekolah pondok dan madrasah berperanan penting menyediakan prasarana pendidikan dalam usaha mencelik huruf masyarakat Melayu, terutama di desa-desa. Dalam era kolonialisme Inggeris, tidak terdapat prasarana pendidikan secara meluas untuk membantu melahirkan intelek Melayu. Dalam kelompangan tersebut, sekolah agama, sekolah pondok dan madrasah berperanan penting membantu melahirkan barisan perintis inteligensia di kalangan masyarakat Melayu.

Senario Kedua:

Membangkitkan Kesedaran Politik.

11. Ulama dan umara secara bersama telah membangkitkan kesedaran politik memperjuangkan kemerdekaan. Kemerdekaan negara dicapai hasil dari kesedaran politik bangsa. Kemerdekaan itu adalah puncak pencapaian perjuangan politik bangsa yang dilandaskan kepada keinsafan, kecekalan, kesungguhan dan kegigihan. Lalu membaralah puntung-puntung perjuangan – terhimpun – menyalakan api kesedaran – semarak membahang – meluapkan lahar semangat bangsa. Lalu bangsa sepakat bertindak – lalu bangsa serentak bergerak. Golongan ulama, melalui pendedahan pendidikan, terutama dari kalangan mereka yang pernah belajar di Asia Barat dan India, merupakan antara golongan terawal, memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan.

12. Sebagai kumpulan yang tidak bekerja dengan Kerajaan Inggeris, ulama berada dalam kedudukan yang lebih bebas menggemakan tuntutan kemerdekaan secara terbuka. Mereka berjaya mengaitkan tafsiran membina insan merdeka kepada perjuangan kemerdekaan yang lebih besar, iaitu memerdekakan bangsa dan memerdekakan tanah air. Kandungan khutbah, kandungan pengajian serta kandungan kuliah, di masjid, di madrasah dan di pondok berperanan luas lagi berkesan, di samping memberi imuniti kepada ulama menyampaikan mesej perjuangan secara terbuka.

Senario Ketiga:

Memperjuangkan Status Agama dan Status Bangsa

13. Para ulama bersama barisan nasionalis Melayu saling melengkapi peranan ketika negara berada di ambang kemerdekaan. Mereka adalah suara yang mewakili konstituen agama dan konstituen bangsa, bersuara tegas menuntut jaminan akan kedudukan Islam dan bangsa Melayu. Islam dipastikan tidak hanya menjadi hiasan dan pakaian luaran, tetapi disemai hingga berperanan sebagai benteng utama mempertahankan umat dari pengaruh penjajahan budaya dan penjajahan agama. Walaupun ada kalanya, kepentingan kumpulan dan kepentingan kelompok menimbulkan perselisihan, namun pada akhirnya, perselisihan tersebut walau apa asasnya, telah memberikan perimbangan yang memanfaatkan bangsa dan agama. Status agama Islam dan kedudukan bangsa Melayu, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu dimaktubkan dalam klausa-klausa tertentu Perlembagaan Negara, dijadikan sandaran memudahkan tindakan para umara. Pencapaian titik persamaan ulama – umara dalam perkara-perkara pokok sedemikian telah mempengaruhi identiti negara bangsa terutama sekali kepada umat Islam dan orang Melayu.

Ampun Tuanku,

Selanjutnya, izinkan Paduka Anakanda menzahirkan pandangan akan tiga realiti yang telah dan sedang berlaku;

Realiti Pertama:

Peristiwa Bersejarah di Negeri Perak

14. Tercatat dalam sejarah akan peristiwa-peristiwa yang memberikan rasa bangga kepada negeri Perak Darul Ridzuan dalam proses membina sebuah negara bangsa merdeka. Betapa penglibatan aktif yang diperlihatkan oleh kerabat Diraja Perak melalui Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Alang Iskandar Shah, Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah dan Raja Harun al Rashid. Akan usaha Jepun pada Disember 1944, memilih bandar Diraja Kuala Kangsar untuk menubuhkan Majlis Agama Islam Se Malaya.[17] Pada Mac 1947, Persidangan Islam Se Malaya yang pertama telah berlangsung di Madrasah Maahad al Ehya as Sharif di Gunung Semanggol[18]. Penubuhan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) dihasilkan dari Persidangan tersebut. Persidangan Islam Se Malaya kali kedua yang berlangsung pada 17 Mac 1948 telah merumuskan untuk menyusun semula Majlis Agama Tertinggi Malaya, menjadi parti politik Islam, lalu lahirlah di bumi Gunung Semanggol, ‘Hizbul Muslimin’, parti politik pertama atas nama Islam di negara ini.[19]

15. Maahad al Ehya as Shariff, Madrasah Diniah Padang Rengas, Madrasah al Idrisiah di Kuala Kangsar, the Malay College Kuala Kangsar dan Sultan Idris Traning College merupakan tapak-tapak awal yang menyalakan semangat kesedaran bangsa. Antara tokoh-tokoh yang terlibat aktif menyalakan semangat kesedaran bangsa adalah Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Dr. Zulkiklee Muhammad; kesemua mereka adalah anak-anak negeri Perak. Negeri Perak turut menjadi tapak yang subur kepada Syeikh Junid Tola dan Syeikh Mohamad Tahir Jalaluddin yang berasal dari Sumatera membantu menggemakan seruan menuntut kemerdekaan. Malah, Mohamad Asri Muda, meskipun lahir di Kelantan, adalah pengasas dan memimpin Lembaga Pembangunan Sastera (LEPAS) Perak[20], menjadi guru di Madrasah Ma’ahad al-Ehya As-Shariff di Gunung Semanggol dan di Madrasah yang sama bertemu jodoh dengan Ustazah Sakinah Joned.

16. Pada hemat Paduka Anakanda, dalam suasana dan semangat negara merayakan ulang tahun kemerdekaan kali kelima puluh ini, amatlah bertepatan untuk Kerajaan Paduka Seri Ayahanda memikirkan pengiktirafan sewajarnya diabadikan kepada institusi-institusi bersejarah tersebut, demikian juga kepada tokoh-tokoh yang layak diiktiraf sebagai pahlawan bangsa. Pengiktirafan negara kepada institusi sejarah dan kepada pahlawan bangsa harus diasaskan mengatasi premis politik kepartian. Pahlawan adalah pahlawan, institusi bersejarah telah mencipta sejarah, pahlawan bangsa dan institusi bersejarah perlu dinobatkan dengan penghormatan sewajarnya. Bahawa negara bangsa yang menghargai sejarah bangsanya, akan dapat mencipta sejarah bangsa yang lebih gemilang.

Realiti Kedua:

Era Perubahan Landskap Politik Islam Sedunia.

17. Kemerdekaan negara dicapai ketika imej Islam di serata dunia berada di peringkat yang semakin menurun, hatta meletakkan komuniti dunia Islam menghadapi cabaran baru. Kesultanan Otoman digulingkan dalam tahun 1924. Negara Israel yang dibentuk dalam tahun 1948 memulakan krisis Palestin dan Asia Barat yang berpanjangan sehingga ke hari ini. Raja Farouk digulingkan di Mesir dalam tahun 1952. Khazanah minyak di Asia Barat membawa konflik baru, menjadi Asia Barat rantau baru rebutan kuasa besar. Politik minyak menjadi punca kekacauan baru di Asia Barat mengheret ke peringkat menjejaskan hubungan antara agama. Agensi Pusat Amerika (CIA) terlibat secara langsung menggulingkan Perdana Menteri Mohammad Mossadegh di Iran dalam tahun 1953.[21] Krisis Terusan Suez pada tahun 1956 memberikan kejayaan sulung penuh dramatik bagi tentera Israel; krisis Terusan Suez memulakan sejarah kewujudan buat pertama kalinya Pasukan Keamanan di bawah naungan Bangsa-Bangsa Bersatu; dan krisis Terusan Suez dikatakan menjadi titik permulaan pemindahan status kuasa besar kepada Amerika Syarikat dan Soviet Union[22]. Doktrin Eisenhower mendapat pengesahan Kongres dan diumumkan pada Mac 1957; doktrin ini memberikan hak kepada Amerika Syarikat melindungi kepentingan mereka di Asia Barat terutama di Jordan, Lebanon, Syria, Mesir, Iraq, Iran, Turkey dan Saudi Arabia.[23] Satu demi satu negara Islam berubah wajah. Di satu ketika, dunia Islam melihat Istanbul sebagai pusat politik, Cairo sebagai pusat intelek dan Mekah sebagai pusat agama[24]. Segala yang berlaku mempengaruhi persepsi terhadap dunia Islam dan umat Islam. Dunia Islam merasa kehilangan paksi sandaran spiritual, budaya, ekonomi dan politik. Peranan Islam dalam sistem pemerintahan berubah dimensi; dari status quo yang berada di mercu pemerintahan beralih posisi sebagai pengimbang. Bahang dan tempiasnya turut sampai ke rantau ini.

Realiti Ketiga:

Umat dan Dunia Islam Semasa.

18. Umat Islam berjumlah 1.2 bilion, bertaburan di serata dunia, merupakan 20 peratus penduduk dunia. Satu angka yang hebat dari segi jumlah tetapi hanya berupaya menghasilkan sekitar lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar Dunia.[25] 1.2 bilion ummah ini memiliki khazanah budaya dan sejarah yang pelbagai, sistem politik yang tidak serupa serta pencapaian ekonomi yang berbeza. 43% negara anggota OIC[26] berada dalam kategori ekonomi berpendapatan rendah.[27] Islam merupakan tali ikatan menjadikan mereka menjadi satu ummah yang besar; dan ummah yang besar ini menghadapi defisit sosial yang tinggi dari segi jangka hayat, kematian bayi, kadar buta huruf serta emansipasi wanita. Umat Islam hari ini menghadapi stigma sebagai kumpulan yang mundur, umatnya diselubungi kemiskinan. Islam dilihat tidak berpadu dan tidak memiliki kepimpinan berkesan. Lebih berat dari itu, Islam dikaitkan dengan kegiatan militan dan keganasan.

19. Status umat Islam yang sedemikian tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia adalah kos yang terpaksa ditanggung oleh umat Islam berpunca dari himpunan beberapa sebab, antaranya kesan penindasan penjajahan, namun tidak kurang pula kerana kesilapan pimpinan Islam sendiri.

 

20. Umat Islam tertinggal dalam era renaisans, era pembaharuan, era kebangkitan. Umat Islam tercicir dalam revolusi industri lalu tersisir dalam tahap kritikal evolusi, apabila kemakmuran dan pembangunan berkait rapat dengan tahap perindustrian. Antara faktor yang menyebabkan umat Islam tertinggal berpunca, apabila tafsiran agama secara sempit mula mendapat tempat; lalu pelbagai tafsiran jumud dikeluarkan[28]. Mesin cetak yang diperkenalkan di Eropah dalam abad ke 15, hanya diterima pada tahun 1728 oleh Empayar Ottoman dan di Mogul India jauh terkemudian hanya kerana terdapatnya pandangan di kalangan ulama bahawa kalimah-kalimah Allah di dalam Quran akan terhina jika disentuh oleh kayu dan besi peralatan mesin cetak .[29] Akibatnya ketika penduduk di Eropah mendapat faedah dari bahan-bahan cetak yang tersebar luas, umat Islam menanggung rugi, membayar harga tertinggal ke belakang.

21. Berlaku fenomena bersifat anti intelek dalam masyarakat Islam disebabkan kebimbangan yang menganggap perkembangan ilmu moden lagi saintifik boleh menggoncangkan iman dan mempengaruhi keyakinan.[30] Pandangan prejudis terhadap ilmu moden dan ilmu saintifik sebenarnya berpunca dari kebimbangan kehilangan pengaruh dan kehilangan kuasa di kalangan mereka yang selama ini telah dianggap sebagai autoriti dalam urusan dunia dan urusan agama. Umat Islam diasuh supaya lebih mengutamakan penghidupan selepas mati. Umat Islam di bawa untuk lebih banyak melihat ke dalam. Kaedah pendidikan Islam lebih tertumpu pada hafalan. Lalu agama lebih dibina atas asas hubungan secara emosi. Perasaan dan menjaga perasaan lebih diutamakan dari kebenaran. Perhimpunan agama lebih bercorak festival, mengambil rupa wajah berbentuk upacara dari fahaman. Pertembungan yang berlaku dalam agama bukan kerana fahaman tetapi kerana politik – kerana ekonomi – kerana kuasa. Lalu berlaku hubungan renggang antara ulama dan umara. Di setengah tempat mereka berada di penghujung benua yang sangat berlainan.

 

22. Tidak dinafikan bahawa kolonialisme membawa kesan negatif menahan evolusi dinamik yang pernah berlaku dalam sistem pendidikan madrasah. Syed Abu Hassan Navi dalam kajian yang diterbitkan di Lahore pada tahun 1916 terhadap madrasah-madrasah lama di Hindustan mendapati sukatan pengajian madrasah pada zaman Kerajaan Mogul merangkumi pengajian akhlak, matematik, geometri, astronomi, sejarah, nahu, perubatan, kesejahteraan awam (falahat), persamaan (masahat), perancangan, penentuan matlamat, politik, pengurusan, sastera, bahasa Arab dan Farsi, pembersihan rohani (tazkiya), teologi, Quran dan hadis.[31]

23. Malah di negara ini juga, ulama pada zaman silam telah memperlihatkan sifat dinamik dalam usaha mengembangkan ilmu. Nama-nama seperti Abu Bakar al Bakir, Burhanuddin Al Helmy, Mohamad Maadah telah merintis usaha mengembangkan kurikulum pengajian di madrasah secara progresif. Abu Bakar al Bakir, mudir pertama Maahad al Ehya al Shariff menetapkan semua pelajar bersongkok hitam dan bukan berkopiah putih. Madrasah tersebut mengimbangkan pengajian antara ilmu agama dan subjek keduniaan merangkumi pengajian seni, muzik, sastera dunia, serta tamadun-tamadun India, Cina dan Eropah[32]. Madrasah tersebut turut merintis usaha dalam kegiatan ekonomi dengan menubuhkan Syarikat Persatuan al Ehya al Shariff Berhad pada 1 Januari 1940 bermula dengan 1786 ahli dan berkembang kepada 3528 ahli dalam tempoh satu tahun[33].

24. Dr. Burhanuddin Al Helmy setelah mendapat pendidikan awal di Perak, merantau ke Kedah, Pulau Pinang dan Sumatera. Beliau kemudian mempelajari ilmu perubatan homeopati di Ismaeliah Medical College, India[34]. Selepas memperoleh ijazah di bidang homeopati, Dr. Burhanuddin mempelajari ilmu falsafah di Anglo Indian College Aligarch.[35] Dr. Burhanuddin fasih berbahasa Arab, Inggeris, Peranchis, Belanda dan Urdu.[36]

25. Al-Maulul Fadhal Lebai Mohammad Maadah bin Layang[37], adalah satu lagi watak yang mencerminkan sifat progresif. Selain menguasai bahasa Melayu dan bahasa Arab, beliau turut menguasai bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Urdu. Mohammad Maadah juga, lulus pengajian agama Kristian, agama Hindu dan agama Buddha.[38] Segala-galanya dilakukan untuk membina kekuatan minda ulama Islam sebagai persediaan menghadapi perdebatan dengan masyarakat dunia yang pelbagai agama – pelbagai bahasa. Selanjutnya pemikiran progresif Mohamad Maadah diperlihatkan secara simbolik dengan meletakkan papan tanda madrasah yang beliau bina di Kampung Sungai Dua dan di Kampung Tengkek di Kuala Pilah dengan nama ‘Islamic High School’[39]

Ampun Tuanku,

Izinkan Paduka Anakanda mengunjurkan tiga saranan;

Saranan Pertama:

Perekayasaan Program Pendidikan

26. Benar, kolonialisme telah menghalang dinamik perkembangan pengajian madrasah. Namun kolonialisme telah lima puluh tahun berakhir. Pendekatan dan kandungan pendidikan yang dianjurkan oleh umat Islam kini memerlukan perekayasaan. Institusi Pendidikan Islam perlu meneliti kandungan pengajian dan tidak harus sekadar memenuhkan proses untuk meneruskan kesinambungan hayat institusi. Penting diteliti bukan sekadar ilmu yang disampaikan, tetapi turut ditanya apakah ilmu yang tidak disampaikan. Lulusan yang dihasilkan oleh institusi pendidikan Islam perlu dilengkapkan dengan pengetahuan relevan selaras dengan keperluan kemahiran di era ekonomi berpaksikan pengetahuan. Sumber dan bahan ilmu hari ini melimpah ruah dan boleh diperoleh begitu mudah. Dunia begitu kaya dengan perintis ilmu tetapi kadar membaca serta budaya menyelidik khazanah ilmu amat kurang di kalangan umat Islam. Amatlah penting diusahakan supaya lulusan pendidikan dari institusi Islam memahami perkembangan dunia semasa supaya tidak terpinggir dan tersisir dari arus pembangunan yang sedang berlaku.

27. Institusi pendidikan Islam perlu segera melaksanakan program pendidikan yang lebih relevan dengan keperluan semasa, perkembangan ilmu dan pembangunan teknologi. Perlu berlaku pembaharuan kepada kandungan dan kaedah penyampaian ilmu yang dikendalikan oleh pusat-pusat pendidikan Islam. Pendekatan pengajian secara hafalan perlu diperlengkap dengan daya analisis, kaedah deduktif serta kaedah induktif. Sesungguhnya kaedah pengajian secara deduktif dan kaedah pembelajaran secara induktif bukan kaedah ilmu yang baru dalam masyarakat Islam. Madrasah telah pernah melalui transformasi pertama di era Abbasiah.[40] berfungsi sebagai pusat paling berkesan dan paling berharga menyebarkan ilmu. Pemikiran rasionalistik Greece, ilmu matematik India dan falsafah Parsi meresapi masuk dalam domain Islam.[41] Umat Islam berusaha merangkumkan pengetahuan dari tamadun-tamadun selain dari yang terkandung dalam tradisi Arab. Pusat terjemahan, Darul Hikmah dibangunkan di Baghdad, pemikiran Aristotle dan Aryabhatta telah dapat diperoleh oleh umat Islam.[42]

28. Kaedah saintifik telah dirintis dan dipupuk oleh sarjana Islam di Sepanyol, di Asia Tengah pada zaman kegemilangan Islam. Oleh itu, umat Islam merupakan sebahagian dari komponen kejayaan di era masyarakat agraria.[43] Umat Islam berupaya menyalurkan air melalui sistem pengairan untuk memajukan ladang. Umat Islam bijak mereka cipta peralatan dan teknologi pertanian. Umat Islam memahami sistem akaun dan perkiraan hasil pertanian seperti yang diperlihatkan melalui formula kadar zakat ke atas hasil pertanian dan hasil ternakan. Peranan teknologi melakukan transformasi budaya dan transformasi masyarakat perlu diiktiraf. Ulama dan umara harus sama-sama membantu proses penyerapan teknologi, memberi tafsiran positif malah sama-sama menjuarai usaha memahami dan menggunakan teknologi baru.

29. Kembalilah semarakkan semangat dan budaya ‘iqra’, budaya membaca yang mengutamakan ilmu, budaya intelek yang menghargai pengetahuan. Hadapilah cabaran dengan kekuatan ilmu serta kekayaan fakta supaya tidak ghairah melatah dengan emosi. Islam menganjur budaya berfikir, budaya berikhtiar, budaya berusaha; Islam mementingkan disiplin, kekhusyukan dan ketekunan. Ulama dan umara perlu menanamkan kesedaran di kalangan umat untuk memberi perhatian serius terhadap usaha menguasai ilmu. Tanggung jawab keluarga Islam dalam usaha menguasai ilmu tidak lengkap, jika sekadar terhenti di peringkat mendaftar dan menghantar anak ke bangunan sekolah. Keluarga Islam hendaklah sama-sama berperanan aktif dalam usaha penguasaan ilmu, hatta bersedia melabur dan berbelanja untuk melengkapkan anak-anak dengan ilmu dan pengetahuan. Medan ilmu perlu diawasi, dipantau dan dikawal kesuciannya, diberikan setinggi-tinggi perlindungan dari menjadi gelanggang politik berparti dan berpuak.

Saranan Kedua:

Membina Perpaduan

30. Umat Islam hanyalah 20 peratus penduduk dunia, dan tidak memiliki kuasa politik, kuasa tentera, kuasa ekonomi dan kuasa pengetahuan yang berupaya mengatasi mana-mana kuasa besar. Tidak ada satu penyatuan kepimpinan dan pegangan politik yang sama di kalangan umat Islam, selain dari ikatan agama, bersembahyang menghadap kiblat yang sama, dan memegang kalimah tauhid yang sama. Pencapaian umat Islam di dalam negara, tidak memperlihatkan banyak perbezaan dengan senario pencapaian umat Islam di pentas dunia, melainkan kuasa politik hari ini masih berpihak kepada umat Islam. Namun kuasa politik tidak akan kekal selamanya jika gagal didukung oleh faktor-faktor lain.

31. Tidak ada insan mahupun negara di maya ini yang boleh hidup dalam isolasi secara bersendirian. Keupayaan memahami antara satu sama lain akan menjadi penentuan kepada jalinan kerjasama dan hubungan yang saling menghormati. Negara besar mahupun kecil, pemimpin dan pengikut masing-masing ada kelebihan, ada kekurangan, ada peranan dan ada tanggung jawab. Demikian hukum alam yang dijadikan ILAHI. Allah Subhanahu Wataala telah menebarkan sumber kekayaan yang berbeza dan rezeki yang berlainan di serata tempat untuk menjadi pemangkin memungkinkan insan berhubung di antara satu sama lain.

32. Tugas dan tanggung jawab adalah ibadat. Melaksanakan tugas dan tanggung jawab secara sempurna amat dituntut. Insan dijadikan tidak sempurna dan tidak lengkap sifatnya, kerana itu setiap insan saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap peranan wajib diiktiraf dan dihormati. Pembesar suara di Masjidil Haram dan penyaman udara di Masjid Nabawi tidak kurang pentingnya dengan peranan imam dan muazin, hatta kepada juruteknik yang bertanggung jawab menyambung talian pembesar suara dan termasuk petugas yang membersihkan hamam.

33. Manusia dicipta berbagai bangsa dan suku puak diseru oleh Allah Subhanahu Wataala untuk dikenali dan dijalinkan hubungan mesra.[44] Hari ini kegagalan mengenali dan menjalin hubungan antara bangsa yang berbagai-bagai dan bersuku puak itu, telah menimbulkan kekacauan dan huru-hara di banyak tempat di dunia, malah ia berlaku di kalangan umat yang sama agama, hanya kerana berbeza mazhab, berlainan kaum dan berlainan ideologi politik; lalu menambahkan penderitaan kepada mereka yang sudah derita.

34. Dalam titah sempena hari ulang tahun keputeraan Paduka Seri Ayahanda pada 19 April lalu, Paduka Seri Ayahanda mengingatkan bahawa keamanan merupakan prasyarat kepada kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara bangsa. Betapa negara yang aman dapat menumpukan sumber negara untuk membangunkan negara. Sesungguhnya Paduka Seri Ayahanda mengingatkan bahawa memelihara keamanan lebih berat dari memusnahkannya.

35. Pada hemat Paduka Anakanda, seruan Paduka Ayahanda itu perlu dijunjung oleh para ulama dan umara. Dalam negara yang warganya terdiri dari pelbagai agama, kaum dan budaya, krisis amat mudah dicetuskan. Segala usaha perlu dilaksanakan untuk menghindarnya dari berlaku. Saluran komunikasi yang berkesan untuk mengelak salah faham wajib disediakan. Ulama dan umara hendaklah bersedia dan berani menghadapi realiti, mewujudkan forum perbincangan, dalam suasana rasional, berterus terang tetapi bersopan, dengan memahami sensitiviti dan perasaan halus antara mereka. Hubungan harmoni antara agama, antara kaum dan antara budaya yang warga pelbagai agama, kaum dan budaya. Hubungan harmoni bukan satu kemewahan tetapi adalah satu kemestian yang wajib dijalinkan demi masa hadapan negara bangsa yang kekal stabil, aman, makmur dan sejahtera.

Saranan Ketiga:

Kepimpinan Yang Teguh, Berintegriti Dan Saling Bekerjasama.

36. Ulama dan umarak, adalah dua entiti yang berada di puncak hierarki dan struktur institusi. Ulama dan umara sama-sama tergolong sebagai pemimpin. Secara umumnya, pengikut berpegang bahawa pemimpin itu lebih bijaksana akal bicaranya. Pemimpin menentukan kandungan agenda negara bangsa. Pemimpin menentukan wajah organisasi dan melakar rupa bentuk institusi. Negara bangsa dicorak warna oleh pemimpin. Masyarakat itu adalah cerminan kepada sifat dan watak pemimpin. Jika ulama dan umara bersatu arah – bersama haluan, maka terjalinlah perpaduan di kalangan ummah. Di sebaliknya, jika ulama dan umara berbalah, maka ummah turut ikut berpecah. Para ulama dan umara secara kolektif bertanggung jawab menjamin terlaksananya keadilan, serta berlakunya kemakmuran demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup insan.

37. Negara yang adil, makmur dan saksama memerlukan pemimpin yang bijaksana, berintegriti, telus dan saksama, memiliki kekuatan menghormati kebenaran dan kekuatan melaksanakan keadilan. Nilai-nilai Islam, seperti bebas dari amalan rasuah, menghormati orang berilmu, menyerahkan tanggung jawab kepada mereka yang layak, memastikan berlakunya kejujuran, menjatuhkan hukum kepada yang bersalah betapa pahit sekalipun, perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Ulama dengan segala hikmah wajib memenuhi peranan sebagai pengimbang, menyemak dan memastikan tidak berlaku kepincangan dalam urus tadbir negara; memastikan komponen amanah senantiasa diutamakan; menegur sebarang perlakuan kemungkaran politik dan kemungkaran ekonomi; mengingatkan umara dan ummah akan akauntabiliti tertinggi terhadap Allah Subhanahu Wataala, bahawa jawatan dan kuasa adalah satu amanah Allah, yang akan diteliti dan diperiksa di hari kebangkitan.

38. Sebahagian dari tanggung jawab ulama adalah untuk menentukan hukum, mentafsir peraturan, mengeluarkan fatwa. Untuk membolehkan ulama memenuhi pengharapan tersebut, ulama terlebih dahulu harus membina kredibiliti supaya teguran dan pandangan mereka dihormati, disegani dan dihargai. Ulama yang unggul harus bersifat kependetaan, mempamerkan ciri-ciri ilmuwan, bebas dari pengaruh mana-mana kumpulan, tidak terikat dengan mana-mana kelompok; bersifat neutral lagi bebas dan berada di atas politik kepartian Ulama terlebih dahulu harus memiliki integriti yang tinggi, menjadi contoh teladan terbaik, tidak terpengaruh dengan pangkat, jawatan dan kebendaan, tegas berdiri atas fakta kebenaran.

39. Perkongsian usaha ulama dan umara adalah satu kemestian. Tidak harus ada dinding limunan antara keduanya. Sifat saling menghormati dan saling mempelajari hendaklah dijadikan asas hubungan. Ulama dan umara adalah gandingan dua institusi – mewakili dua pemikiran – mewakili dua pendekatan; namun pada hakikatnya harus memiliki niat dan matlamat yang seiring. Apabila kedua-duanya saling memahami – saling menghormati, lalu terjalin hubungan kerja yang baik, akan menjadi baiklah alam dan kehidupan alam. Di sebaliknya pula, akan rosaklah kehidupan alam dan kehidupan manusia, apabila ulama dan umara mula bercanggah dan mula terpisah.

Ampun Tuanku,

40. Muzakarah ini adalah usaha untuk memantapkan kerjasama. Akan lahir resolusi – akan terhimpun doa. Resolusi dan doa hanyalah resipi yang baik; tetapi memerlukan tukang masak yang arif. Tujuh ribu (7000) masjid telah dibina dalam tempoh 100 tahun lalu di bumi ini. Anakanda percaya lebih banyak lagi akan dibina. Lebih berkembanglah pencapaian angka, dan semakin luaslah ruang kosong yang menantikan pengisian; pengisian dalam erti kata sebenar, bukan sekadar menghadapi kesesakan seminggu sekali di hari Jumaat. Adalah lebih mudah dan lebih cepat sifatnya untuk bertanyakan soalan dan membangkitkan masalah, daripada keupayaan menyediakan jawapan dan melakukan penyelesaian. Jawapan yang konkrit dan program pelaksanaan yang realistik perlu ada. Perlu ditetapkan kumpulan bertindak di kalangan ummah, perlu dikembalikan semangat sedia mengambil tanggung jawab seperti yang pernah diperlihatkan oleh ulama dan umara pada zaman silam.

Ampun Tuanku,

41. Sekianlah adanya, senario, realiti dan saranan yang dapat Paduka Anakanda huraikan dalam pengalaman yang masih terbatas dan pengetahuan yang masih cetek, kalau kail panjang sejengkal, kalau kebun baru berjagung. Berkat daulat Duli Tuanku, semoga Allah Subhanahu Wataala memberikan rahmat dan berkat kepada Muzakarah, semoga hasilnya nanti dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan dan rakyat Paduka Seri Ayahanda.

Wabillahi taufik, walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***************

  1. Kamus Dewan, Dewan Bahasa Dan Pusatak, Kuala Lumpur, Edisi Ketiga 1998, 1511
  2. Ibid, 29
  3. Muhamad Abu Bakar, “Gabungan Ulama-Intelektual dan Gerakan Islam Semasa”, Penghayatan Sebuah Ideal: Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987, 54.
  4. M. Natsir, Capita Selecta, (Djakarta: Bulan Bintang, 1973) halaman 163, dipetik dari artikel Mohamad Abu Bakar, ‘Tuan Guru, Pak Lebai dan Tuk Faqih: Ulama Sebagai Institusi Umum, Dengan Rujukan Kepada Sejarah Islam Terengganu.’ JurnaJl Pengajian Melayu, Jilid 3, 1991, 21.
  5. Clifford Geertz, ‘The Javanese Kijaji: The Changing Role of A Cultural Broker”, Comparative Studies in Society and History, Vol II (1959 – 1960, dalam Mohamad Abu Bakar, Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 3, 1991, 15.
  6. Muhammad Yusuf Hashim, Persejarahan Melayu Nusantara, Teks Publishing, Kuala Lumpur 1988, 11 mentakrif Alam Melayu sebagai Gugusan Kepulauan Melayu atau Nusantara dalam konteks lebih luas digunakan sebagai merujuk kepada kawasan geopolitik yang meliputi wilayah-wilayah Islam di Asia Tenggara yang didiami orang Melayu.Anthony S.K. Shome, Malay Political Leadership, Routledge Curzon, London, 2002,4; menghuraikan bahawa Alam Melayu itu dapat dikenal pasti dari perspektif sejarah, geografi, politik, bahasa dan budaya.
  7. Kamus Dewan, 1515.
  8. Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Patani, Basyarat al-Amilin wa Nazarat al-Ghafilin, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1999, 91.
  9. Farish A. Noor, Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003)- Volume 1, Malaysian Sociological Research Institute, Kuala Lumpur, 9.
  10. Ibid
  11. Ibid, 10
  12. Tahun 1831
  13. Tahun 1874
  14. Tahun 1892-1894)
  15. Jamdin Buyong, ‘Perjuangan Kemerdekaan di Sabah: Satu Kesinambungan Cetusan Kebangkitan Islam’, Kertas Seminar Penghayatan dan Pengukuhan Kemerdekaan Malaysia, Jilid 1, Arkib Negara Malaysia, 2000, 59 -67.
  16. Farish, 12
  17. Ibid, 43
  18. Nabir bin Haji Abdullah, Maahad II Ihya Assyarif Gunung Semanggol 1934-1958, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1976, 154-202
  19. Ibid
  20. Farish, 215
  21. Stephen Kinzer, All the Shah’s Men, John Wiley & Sons Inc., New Jersey, 2003
  22. Said K. Aburish, Nasser: The Last Arab, Duckworth, London, 2005.
  23. Farish, 137
  24. Stephen van Rensselaer Trowbridge & Selim Effendi Abd-ul-Ahad, ‘The Moslem Press and the War’, The Moslem World, Vol V, No.4, 1915, 413.
  25. World Development Report 2005
  26. Orgination of Islamic Conference atau Pertubuhan Persidangan Islam yang dianggotai oleh 57 negara Islam
  27. World Development Report 2005.
  28. HRH Raja Muda Nazrin Shah, ‘The Ummah: Challenges of the New Realities’, Islam and Civil Society, WORDE, Washington DC, 2005, 23
  29. Nazeer Ahmad, ‘From Saints to the Taliban: The Transformation of Madrasah’ dalam Islam and Civil Society, WORDE, Washington Dc, 2005 43.
  30. Oliver Roy, Globalised Islam: The Search For A New Ummah, Hurst & Company, London, 2004, 31.
  31. Nazeer Ahmad, 41
  32. Farish, 54
  33. Ibid.
  34. Kamaruddin Jaffar, Dr, Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam, Yayasan Anda Sendirian Berhad, Kuala Lumpur, 1980, 4.
  35. Ahmad Boestamam, Merintis Jalan Ke Puncak, Ohio University Press, Ohio, 1979, 27.
  36. Haja Maideen, The Nadrah Tragedy: The Maria Hertogh Controversy, Pelanduk Press, Kuala Lumpur, 1989, 141
  37. 1895-1943, Diiktiraf sebagai ulama dalam tahun sembilan tiga puluhan berasaskan tulisan Kamaruddin bin Ibrahim, ‘Al-Maulul Fadhal Lebai Mohamad Maadah bin Layang’, PURBA, Jurnal Persatuan Muzium Malaysia, Bil 3-1984.
  38. Ibid. 70.
  39. Ibid, 72.
  40. Nazeer Ahmed, 36
  41. Ibid
  42. Ibid.
  43. HRH Raja Muda Nazrin Shah, 22-25
  44. Al-Quran, alHujurat ayat 13.
%d bloggers like this: