Pelancaran Buku 40 Hadis: Pelestarian Alam Sekitar

Salam Sejahtera.

Penduduk dunia diunjurkan meningkat daripada 7.7 bilion kepada 9.7 bilion pada tahun 2050, peningkatan dua bilion orang dalam tempoh tiga puluh tahun,[1] bertambah pada purata 82 juta orang setahun.[2]  Setiap insan yang dilahirkan memerlukan makanan, pakaian dan tempat berteduh; serta keperluan paling asas untuk menentukan talian hayat, ia itu udara (lebih khusus oksigen) serta air bersih; bermakna permintaan kepada sumber-sumber alam semula jadi akan meningkat susulan bertambahnya penduduk dunia.  Dunia, sesungguhnya berhadapan cabaran besar untuk memenuhi keperluan asas manusia dan menjamin alam sekitar berupaya membekalkan keperluan penduduk yang terus bertambah.  Sangat membimbangkan, keperluan-keperluan paling asas kehidupan, kelihatan kurang disedari, dan lebih membimbangkan apabila kurang mendapat perhatian yang sepatutnya daripada pihak-pihak yang diamanahkan dengan kuasa.

2.      Alam semesta dicipta oleh ILAHI dengan segala keindahan dan kesempurnaan yang boleh dikecap nikmatnya seperti yang digambarkan di dalam ayat-ayat 6 hingga 11 Surah Qaf yang bermaksud:

“Maka tidakkah mereka memperhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya, dan tidak mempunyai retak-retak sedikit pun?  Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh, dan Kami tumbuhkan di atasnya tanam-tanaman yang indah dipandang mata, untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi setiap hamba yang kembali (mengingati ALLAH).  Dan dari langit Kami turunkan air yang banyak manfaatnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-bijian yang dapat dituai, dan pohon kurma yang tinggi-tinggi yang mempunyai mayang yang bersusun-susun, (sebagai) rezeki bagi hamba-hamba (Kami), dan Kami hidupkan dengan (air) itu tanah yang mati (kering).  Seperti itulah terjadinya kebangkitan.”[3]  

3.      Namun segala keindahan dan kesempurnaan ciptaan ILAHI itu terdedah kepada kerosakan, akibat perbuatan tangan-tangan manusia berdasarkan peringatan dalam ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud:

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, sehingga ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian dari  (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”[4]

4.      Gangguan manusia secara keterlaluan terhadap sifat-sifat semula jadi alam, serta aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus, mengakibatkan dunia pada hari ini, menghadapi pelbagai bencana yang kian meningkat.  Krisis alam seperti gempa bumi, tanah runtuh, pemanasan global, kemusnahan flora dan fauna, peningkatan paras air laut, penipisan lapisan ozon dan jerebu telah menyengsarakan kehidupan alam.  

5.      Pokok merupakan kurniaan berharga ILAHI.  Pokok dan hutan berperanan penting mengawal perubahan iklim dan pemanasan global.  Fungsi hutan sering dikaitkan dengan perlindungan sumber air, pengurangan hakisan tanah, pengawalan banjir, serta peningkatan kualiti udara.  Tanpa pokok dan hutan, hilang segala manfaat rimba raya, berkurang spesies tumbuhan dan haiwan, rosak habitat semula jadi, terputus sistem rantaian makanan, dan terancam kehidupan manusia.[5]  Begitu pentingnya peranan pokok dan menanam pokok dimanifestasikan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud:

“Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya, maka tanamlah.”[6]

6.      Penulis John Evelyn, dalam kertas berjodol ‘Sylva, or A Discourse of Forest-Trees and the Propagation of Timber in His Majesty’s Dominion’[7] yang dibentangkan kepada Royal Society pada 16 Februari 1662, mencatatkan:

“sowing and planting of trees had to be regarded as a national duty of every landowner, in order to stop the destructive over-exploitation of natural resources.”

Malangnya, pada hari ini, pokok dan hutan, tidak lagi dilihat daripada tujuan utama kewujudannya, kerana pokok dan hutan, semakin dilihat sebagai sumber menghasilkan kayu, untuk dijual bagi memperoleh kekayaan, lantas kegiatan pembalakan semakin berleluasa.  Didorong oleh nafsu haloba manusia, pembalakan secara haram dilaporkan semakin berlaku.

7.      Sepanjang dekad pertama abad ini, dunia menyaksikan pengeluaran plastik mengatasi jumlah pengeluaran sepanjang tempoh abad kedua puluh.  Persatuan Pembuat Plastik Malaysia melaporkan setiap warga Malaysia secara purata menggunakan 300 beg plastik setahun.[8]  Hasil kajian ‘National Geographic2015’, menunjukkan manusia telah menghasilkan 6.3 bilion tan metrik sisa plastik; daripada jumlah tersebut hanya sembilan peratus yang dikitari semula, 12 peratus dibakar, sementara 79 peratus lagi dilonggokkan di tapak pelupusan sampah.  Lapan juta tan metrik dilaporkan mengalir ke laut setiap tahun;[9] setiap botol plastik yang mengalir dan terapung di laut, mengambil masa 400 tahun untuk hancur.[10]  Kedayatahanan plastik sangat tinggi sehinggakan Agensi Pelindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, menyifatkan setiap cebisan plastik yang dicipta, akan kekal selamanya,[11] dan berbilion kilogram plastik yang sudah diguna berakhir di lautan; kerana ketumpatan plastik yang rendah membolehkan sampah plastik dipindahkan dengan mudah dalam jarak jauh dari tempat asal, dan terkumpul di dalam putaran sistem arus laut yang besar.[12]  Dianggarkan 15 ke 51 trilion kepingan plastik berada di lautan-lautan dunia dari Kutub Utara ke Kutub Selatan.[13]  Pada kadar penggunaan semasa, diunjurkan, 12 bilion tan metrik sisa plastik akan terkumpul pada tahun 2050.[14]      

8.      Sebahagian besar daripada sisa plastik yang berakhir di laut membawa bersamanya bahan-bahan toksin seperti plumbum, kadmium dan merkuri yang mengambil masa ribuan tahun untuk mereput.  Pencemaran plastik bukan sahaja mengancam haiwan laut, malah turut mengancam kehidupan manusia.  Plastik yang terapung di dalam laut, menyerap bahan pencemar berbahaya seperti polychlorinated biphenyls (PCBs), chlorinated pesticides (DDT) dan polycylic aromatic hydrocarbons (PAH).[15] Bahan-bahan pencemar kimia ini sangat toksik dan boleh mengakibatkan kesan kronik ke atas kesihatan manusia, termasuk gangguan endokrin dan juga proses mutasi yang mengakibatkan kanser.[16]

9.      Dianggarkan, satu juta burung laut dan seratus ribu mamalia mati setiap tahun akibat keracunan serpihan plastik.[17]  Ikan di Laut Pasifik Utara dianggarkan telah menelan 24,000 ke 48,000 tan metrik plastik.[18]  Forum Ekonomi Dunia meramalkan, dengan kadar penggunaan plastik ketika ini, pada tahun 2050, laut akan mempunyai lebih banyak bahan plastik mengikut sukatan berat berbanding ikan.[19]  Worldwatch Institute melaporkan, sekurang-kurangnya 267 spesies kehidupan liar laut menghadapi ancaman atau telah pupus akibat belitan (entanglement) atau pengingesan (ingestion) serpihan plastik; dan kajian European Commission on the Impact of Litter on North Sea Wildlife, menemui bahan plastik dalam perut sembilan puluh peratus daripada burung-burung yang diperiksa.[20]

10.    Data Jabatan Alam Sekitar pada tahun 2017, menunjukkan terdapat 579 sungai di Malaysia pada tahun 2008, tetapi kini hanya tinggal 477;[21]  bermakna Malaysia telah kehilangan 102 sungai dalam tempoh sepuluh tahun.  Daripada 477 sungai yang masih ada, hanya 219 sungai yang berada dalam kategori bersih, 207 berada dalam kategori separa cemar dan 51 dalam kategori tercemar.[22]  Pencemaran sungai terus berlaku.  Beta menyaksikan sendiri melalui pengalaman peribadi.  Ketika memenuhi Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35, pada tahun 2015, adat memerlukan Beta menyusuri Sungai Perak.  Beta berada di atas Perahu Diraja dikenali dengan nama Balai Gambang, menyusuri Sungai Perak daripada Pasir Salak sehingga sampai ke Teluk Intan.  Mungkin bertujuan untuk mengatasi jemu perjalanan, Paduka Anakanda Beta, Raja Azlan Muzzaffar Shah, yang ketika itu berusia tujuh tahun, memilih untuk menghitung botol-botol plastik yang beliau lihat terapung di permukaan sungai, dan dalam tempoh dua jam menyusuri perjalanan sepanjang 65 kilometer, hitungan beliau menunjukkan lebih 700 botol plastik, terapung-apung di permukaan Sungai Perak.  

11.    Kelestarian alam merupakan rahmat ILAHI kepada manusia, yang wajib dijaga dan dipulihara daripada sebarang kerosakan – sebarang pencemaran, agar manusia dapat menikmati kesejahteraan secara berterusan.  Seiring dengan maqasid syariah, pengurusan alam secara berakhlak akan membolehkan kepentingan asas masyarakat terpelihara, dengan terpeliharanya agama, akal, jiwa, harta dan keturunan.[23]  Manusia wajib memiliki akhlak dan etika yang baik ketika memenuhi amanah mengurus alam semesta.  Islam sebagai agama yang kamil telah menyusun segala peraturan untuk memenuhi maqasid syariah.  Manusia bukan sahaja dituntut berakhlak kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala dan sesama manusia, malah wajib berakhlak mulia, bertanggungjawab dan beramanah menangani persekitaran alam.[24]  

12.    Al-Quran dan As-Sunnah menyampaikan mesej-mesej yang jelas berbentuk galakan, amaran dan pendekatan dalam mengurus alam sekitar.  Firman ALLAH dalam ayat 183 Surah Ash-Syu’ara bermaksud:

“Dan janganlah kamu merugikan manusia dengan mengurangi hak-haknya, dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi melakukan kerosakan.”[25]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda:

“Dunia ini hijau dan cantik dan sesungguhnya ALLAH telah melantik kamu sebagai pengurusnya.  Dia melihat apa yang kamu lakukan…”[26]

13.    Memulihara alam sekitar merupakan tanggungjawab besar – satu tuntutan syarak – satu fardu kifayah.  Tanggungjawab besar perlu dilaksanakan secara bersama oleh setiap pihak, tidak semata-mata berharap dan diserahkan kepada kerajaan.  Hasrat memenuhi tanggungjawab besar tersebut perlu dipenuhi dalam dua fasa; pertama: mencetuskan kesedaran dan kedua melaksanakan tindakan.

14.    Ayat-ayat 68 dan 69 Surah Al-Anbiya mengabadikan kisah pembakaran Nabi Ibrahim Alaihissalam.  Dikisahkan oleh Ibnu Katsir,[27] bukan hanya api yang tidak mampu menghancurkan tubuh Baginda, tetapi semua binatang melata kecuali cicak berusaha mahu memadamkan api yang dinyalakan.  Dikisahkan burung pipit yang berusaha mahu memadamkan api, berulang alik antara sebuah danau dengan tempat api dinyalakan, setiap kali mengangkut air di paruh kecilnya dan menitiskan air ke atas api yang sedang marak.  Burung pipit tersebut tidak peduli, sama ada setitis kecil air dari paruhnya dapat memadamkan api yang besar membara, tetapi tetap mengambil tanggungjawab menurut yang termampu dilakukannya.

15.    Semangat burung pipit ini perlu dijadikan inspirasi ketika merintis usaha menghadapi cabaran yang besar.  Melaksanakan usaha, walau sekecil mana, adalah lebih bermakna, daripada bersifat pasif dan berdiam diri.  Amatlah memberikan harapan, apabila anak-anak muda, di serata dunia semakin menggerakkan pelbagai usaha untuk menangani masalah pemuliharaan alam sekitar. 

16.    Yayasan Tuanku Bainun, sebuah yayasan yang diabadikan dengan nama Paduka Bonda Beta, setiap tahun mengiktiraf anak muda yang berusaha untuk menjadikan dunia tempat kehidupan yang lebih selesa.  Pada tahun ini, Ahmad Iszuddin Ahmad Izham, seorang pelajar berusia 13 tahun, dipilih menerima anugerah atas usaha yang beliau rintis untuk memulihara alam sekitar.  Ketika berusia 10 tahun, Ahmad Iszuddin menonton video yang ditayangkan oleh seorang guru sains; video tersebut menayangkan kisah kehidupan penyu di laut.  Beliau amat tersentuh, malah menangis apabila melihat penderitaan penyu-penyu kerana dibunuh oleh manusia yang mahukan daging dan mengambil telur yang sedang ditetaskan, malah video tersebut turut menunjukkan ada penyu yang mati akibat termakan plastik.  Iszuddin berazam mahu melindungi penyu.  Setiap hujung minggu, beliau membuat kek dan kuih untuk dijual; dan hasil daripada jualan disumbangkan kepada dana membersihkan pantai dan melindungi tempat penyu bertelur.  Beliau turut mengarang sebuah buku resipi, In the Kitchen With Iszuddin. Beliau menghasilkan 15,000 keping kuih, menderma lima ribu ringgit, dan menyertai program pembersihan pantai sekurang-kurangnya dua kali setahun.

17.    Ahmad Iszuddin adalah salah seorang daripada dua bilion anak muda di serata dunia yang semakin lantang bersuara mengenai isu alam sekitar dan perubahan iklim.  Anak-anak muda semakin kecewa memerhatikan orang-orang yang memiliki kuasa tidak memberi perhatian yang sewajarnya untuk menangani isu perubahan iklim.  Di Sweden, pelajar berusia 16 tahun, Greta Thunberg menjilid kemarahan beliau melalui buku berjodol, No one Is Too Small To Make A Difference; satu jeritan meminta pertolongan.  Dalam ucapan yang disampaikan pada 8 September 2018, Thunberg mendakwa orang-orang Sweden mengamalkan gaya hidup yang menggunakan sumber daripada 4.2 planet;  Sweden, dakwa beliau, setiap tahun, mencuri 3.2 tahun sumber asli milik generasi masa hadapan.[28]  Greta Thunberg dinamakan, ‘Time Magazine 2019 Person of the Year’, susulan pengiktirafan antarabangsa menamakan beliau sebagai seorang aktivis iklim yang tersohor dalam kalangan remaja.

18.    Ahli kimia berusia 46 tahun, Pua Lay Peng, ialah salah seorang pengasas Kuala Langat Environmental Action Group.  Hasil daripada kelantangan beliau dan rakan-rakan menjuarai isu alam sekitar,  150 kegiatan kilang plastik di kawasan tertentu telah diarah untuk ditutup.[29]  Pada 26 Jun 2019, rumah beliau disimbah dengan cat merah, memberi amaran supaya beliau berhenti mendedahkan kegiatan kilang haram mengitar plastik di sekitar Kuala Langat.  Pua tidak gentar menghadapi ugutan, malah bersifat lebih berani dan lebih lantang.  Pada 5 Disember 2019, Pua, mendapat penghormatan, merupakan satu-satunya wakil NGO daripada Malaysia yang diundang menghadiri ‘The 21st. EU-NGO Forum On Human Rights: Building a Fair Environmental Future’ yang berlangsung di Brussels, Belgium.

19.    Apabila generasi semasa bersikap kurang bersungguh mahu memulihara alam sekitar, kita sebenarnya telah memilih untuk memusnahkan bumi ini, dan memusnahkan masa hadapan anak-anak, juga memusnahkan diri kita sendiri.  Ironinya, hampir setiap seorang manusia berusaha melakukan pelbagai simpanan dan tabungan, meninggalkan aset untuk kehidupan anak cucu pada masa hadapan, tetapi sedikit sekali bilangan manusia yang memberikan perhatian serius untuk mewariskan kepada generasi akan datang alam sekitar yang lestari.

20.    Alam sekitar berperanan amat penting untuk memenuhi keperluan hidup yang  paling asasi; udara dan air yang disediakan oleh ILAHI secara semula jadi, tumbuh-tumbuhan, haiwan, ikan dan burung yang merupakan sumber makanan dan perubatan, dan manusia terus membenarkan kerakusan penerokaan berlaku secara keterlaluan, berbentuk penebangan hutan, perlombongan, penyedutan pasir,  pencemaran air dan udara, dan pengurusan sisa secara tidak wajar.

21.    Dunia sedang berada dalam era yang berhadapan dengan cabaran iklim yang sangat kritikal.  Setiap tan karbon yang dikeluarkan, membawa dunia lebih dekat kepada titik penentuan bahaya kehidupan.  Setiap minit yang tertangguh untuk menangani isu-isu alam sekitar, krisis iklim bertambah mendalam, mengancam kehidupan, kesihatan dan masa hadapan anak-anak, malah berkemungkinan berlaku pada era hidup kita. 

22.    Dunia memerlukan lebih ramai Ahmad Iszuddin, Greta Thunberg dan Pua Lay Peng.  Usaha Profesor Dato’ Seri Dr. Ir. Zaini Ujang bersama Profesor Dato’ Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff, dengan sokongan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, menghasilkan ‘40 Hadis: Pelestarian Alam Sekitar’ adalah satu lagi usaha ke arah mencuit kesedaran insan terhadap pentingnya dijamin alam sekitar yang lestari.  Buku ini ditulis dengan matlamat untuk menyedar dan menggerakkan anggota masyarakat supaya lebih prihatin dan proaktif terhadap pelestarian alam sekitar.  Pendekatan dua tokoh akademik ini menyuntik dimensi agama, sangatlah menepati keperluan untuk menyedarkan umat Islam mengenai alam sekitar.  Beta menzahirkan penghargaan atas usaha murni mereka berdua, begitu juga kepada pihak penerbit. 

23.    Masjid, surau, madrasah, pusat tahfiz, sekolah dan pelbagai institusi pendidikan, sewajibnya berada di barisan hadapan, menjuarai usaha untuk menyedarkan ummah mengenai alam sekitar dan menggerakkan ummah untuk memulihara alam sekitar secara konsisten sepanjang masa.  Ummah hendaklah disedarkan aspek-aspek hukum dan tatasusila Islam berkaitan alam sekitar.  Semoga melalui kesedaran yang disuntik dalam minda dan jiwa mereka, ummah insaf dan mensyukuri limpahan rahmat dan nikmat anugerah ILAHI di atas muka bumi ini, dan menjadi umat contoh daripada segi memulihara serta berakhlak dan beretika dalam mengatur hubungan dengan alam semesta. 

24.    Semoga bumi kita, dilindungi daripada kemurkaan ALLAH Subhanahu Wata’ala.  Berusahalah untuk berbuat kebaikan dengan menitikberatkan perintah dan laranganNya, agar kehidupan sentiasa dilimpahi rahmat dan kesejahteraan. 


[1] https://www.un.org>pop

[2] https://www.worldometers.info

[3] Al-Quran, (Qaf, 50:6-11)

[4] Al-Qur’an, (Ar-Rum, 30:41)

[5] Maizatun Mustafa, “Lindungi alam suatu perjuangan nasionalisme”, Berita Harian, 6 September 2017, 11.

[6] Hadis Riwayat Ahmad dan Bukhari.

[7] Sylva, or A Discourse of Forest-Trees and the  Propagation of Timber in His Majesty’s Dominions, a paper by  presented to the Royal Society on 16 February 1662.

[8] Fauziah Ismail, “Time to kick the plastic bag habit”, New Straits Times, 26 January 2017, 7.

[9] Kajian The Ocean Conservancy and Commonwealth Scientific and Industrial Reserah (CSIRO)

[10] Sheila Pri Priya, “The other plastic hazard”, THE STAR, 23 January 2017, 2 News.

[11] Wan Izatul Asma Wan Talaat, “Pencemaran plastik, masalah global, Utusan Malaysia, 1 Jun 2019, 15.

[12] Wan Izatul Asma, Utusan Malaysia, 1 Jun 2019, 15.

[13] Ibid.

[14] June H.L. Wong, “Plastic-from wastelands to waistlines”, The STAR, 9 August 2017, 19.

[15] Ibid.

[16] Ibid.

[17] June H.L. Wong, “Beat it if you don’t want to eat it”, THE STAR, 11 January 2017, 25.

[18] Wan Izatul Asma, Utusan Malaysia, 1 Jun 2019.

[19] Ibid.

[20][20] Wong Ee Lynn, Malaysian Nature Society, “Don’t rubbish plastic ban”, The STAR, 14 January 2017, 40.

[21] NST Leader, New Straits Times, 23 July 2019, 2.

[22] Ibid.

[23] Nor ‘Azzah Kamri, Munirah Abd Razzak, “Pendekatan Al-Qur’an dan As-Sunnah Dalam Mengurus Alam Sekitar Secara Beretika,” Jurnal Usuluddin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Bil 32, Julai-Disember 2010, (Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2010), 138.

[24] Ibid.

[25] Al-Qur’an, (As-Syuara’, 26:183).

[26] Muslim, Sunan, Kitab Ar-Riqaq, Ma Tarak Ba’di fi l-Nasr Adarr ‘Ala Al-Rijal Min Al-Nisa’.

[27] Terkandung dalam Tafsir Al-Quran Al-Azhim (Jilid 3/225)

[28] NST Leader, New Straits Times, 9 Disember 2019, 2.

[29] Dawn Chan, “Keep fighting to save our environment”, New Straits Times, 5 Disember 2019, 2-3.

%d bloggers like this: