TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
PELANCARAN BUKU
‘KEDAULATAN MALAYSIA: GOVERNAN UTAMA NEGARA’
TARIKH: 27 MEI 2023 (SABTU)
JAM: 11.00 PAGI.
TEMPAT: SERI PACIFIC HOTEL, KUALA LUMPUR.
Salam Sejahtera.
‘KEDAULATAN MALAYSIA: Governan Utama Negara’ dihasilkan oleh Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. Buku ini diterbitkan bertujuan memberi pencerahan maksud kedaulatan di sisi falsafah undang-undang, di samping menghuraikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja sebagai tonggak kedaulatan Malaysia.
2. Kedaulatan, istilah yang berakar daripada perkataan ‘daulat’, bermaksud hal, keadaan atau sifat daulat; merujuk kepada berkat kebahagiaan yang ada pada raja yang memerintah, kuasa atau hak tertinggi yang dimiliki oleh raja, kerajaan, undang-undang dan sebagainya ke atas sesuatu hal. Daulat juga ditakrifkan sebagai kuasa atau keistimewaan luar biasa yang dipercayai dimiliki oleh raja, keturunan raja dan peralatan diraja. Daulat turut dikaitkan dengan perkara buruk yang dipercayai berlaku kerana melanggar larangan atau melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap raja.[1]
3. Dalam penulisannya; penulis meletakkan premis-premis berikut:[2]
Pertama: Kedaulatan negara Malaysia berpaksi pada kedudukan raja-raja Melayu.
Kedua: Kedaulatan raja-raja Melayu perlu diberi tafsiran yang betul untuk menjelaskan sistem perlembagaan terdiri daripada falsafah, doktrin dan prinsip.
Ketiga: Kedaulatan watan bagi Kesultanan Melayu bersumberkan ajaran Islam; Islam dan Institusi Raja Melayu ialah unsur teras (unified central-core element) jati diri Melayu.
Keempat: Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dikurniai dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang raja Melayu yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu.
Kelima: Kedaulatan raja-raja Melayu bukanlah ciptaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka dan bersumberkan ajaran Islam.
Keenam: Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu serta sistem persekutuan yang ada pada hari ini bersumberkan kuasa kedaulatan raja-raja Melayu dan penyerahan kedaulatan oleh Ratu England ke atas Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang kepada Yang di-Pertuan Agong.
4. Institusi Raja Melayu telah lama subur berakar di bumi ini, bermula dari Bukit Siguntang, melebarkan peranan dan kewujudannya hingga mencipta sejarah membangunkan Kesultanan Melayu Melaka yang gemilang; selanjutnya mewariskan adab dan budaya bernegeri dan berkerajaan berprinsipkan negeri beraja – rakyat bersultan; hingga Kesultanan Melayu menjadi manifestasi lambang keagungan tamadun bangsa.
5. Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan sebagai sebuah negara baharu yang merdeka pada 31 Ogos 1957. Matlamat dan visi umum negara yang baharu merdeka ketika itu, adalah untuk mencapai tahap perpaduan yang dilambangkan melalui seorang raja yang agung; seorang raja agung yang berjaya menguasai kesetiaan setiap warga dengan memastikan terbina dan terbangunnya sebuah negara merdeka yang berdaulat, makmur lagi stabil, dan warganya hidup aman, rukun dan damai melalui pemerintahan yang adil dan saksama berpaksikan undang-undang.
6. Ketika merangka formula untuk membentuk kerajaan merdeka, sistem pemerintahan beraja terlalu berharga untuk dilepaskan, sebaliknya kekal diluhurkan dengan sebaik-baik pendekatan dalam Perlembagaan Persekutuan, begitu juga Perlembagaan Negeri dengan menerima pakai doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen yang menggabungkan institusi raja dengan institusi rakyat. Kedaulatan raja diberi wajah baharu dan dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni.
7. Raja berperlembagaan ialah kelangsungan pemerintahan beraja, mentakrifkan semula peranan raja seiring dengan keperluan semasa. Takrifan semula tersebut telah menyuntik elemen baharu daripada segi struktur, fungsi, kerelevanan, dan keberkesanan berpandukan klausa-klausa yang termaktub dalam Perlembagaan Merdeka yang digubal untuk sebuah negara persekutuan yang dimasyhurkan.
8. Tradisi beraja di peringkat negeri dikekalkan malah termaktub dalam Perlembagaan Merdeka, satu lagi lapisan pemerintahan beraja melalui pelantikan seorang raja di peringkat persekutuan, bergelar Yang di-Pertuan Agong, atau raja seluruh persekutuan – secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud, “dia yang terulung dalam kalangan kami” iaitu primus inter pares. Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong termaktub dalam Jadual Keempat, Perkara 37, Bahagian 1; Perlembagaan Persekutuan:
Wallahi, Wabillahi, Watallahi,
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan pada masa hadapan ini. Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”[3]
9. Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara, jawatan yang diwujudkan bukan sekadar simbol hiasan tetapi dikembari dengan peranan dan tanggungjawab tertentu. Lafaz sumpah tersebut didahului dengan tiga kalimah Allah yang membawa maksud DEMI ALLAH. Ketiga-tiga lafaz WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI, diiktiraf dalam Islam dari sudut kebertanggungjawaban. Sumpah jawatan yang dilafazkan berkembar dengan tanggungjawab yang sangat besar di sisi Allah Subhanahu Wata’ala; sumpah yang dilafazkan meletakkan amanah besar kepada penyandang jawatan, yang akan diadili pada hari kebangkitan di Padang Mahsyar nanti, sama ada amanah telah disempurnakan seperti mana yang dilafazkan. Terkandung lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut:
Pertama: Undang-undang.
Kedua: Perlembagaan Negeri.
Ketiga: Agama Islam.
Keempat: Adil.
Kelima: Aman.
10. Jawatan Ketua Utama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab besar memenuhi amanah. Sumpah jawatan yang dilafazkan merupakan pengakuan kepada Allah, akan ketaatsetiaan penyandang jawatan melaksanakan keadilan berlandaskan undang-undang dan perlembagaan, memelihara agama Islam dan berdiri atas pemerintahan yang adil dan aman. Pada hakikatnya kesemua ajaran agama terdahulu dan syariat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam mengimani bahawa kedaulatan mutlak hanya milik Allah Subhanahu Wata’ala seperti firman Allah yang terkandung dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran:[4]
Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki! Engkau yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah juga yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sahajalah terdapat segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”[5]
11. Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu, malah turut menyentuh struktur batinnya.[6] Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan alam mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut gaya tertib yang lebih teratur, berjaya untuk membina daya rasionalisme dan daya intelektualisme, mengangkat adab dan susila serta kesedaran umat terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan.[7] Maka berlaku pengubahsuaian dalam sistem pemerintahan, menjelmakan identiti baharu. Raja dan kerajaan diberi taraf baharu, menghapuskan konsep lama, yang menganggap raja sebagai ‘penjelmaan Tuhan di bumi’, status yang meletakkan raja sama taraf dengan Tuhan, beralih kepada konsep ‘raja ialah bayangan Allah di muka bumi’, (God’s vicigerent), yang diamanahkan tanggungjawab fardu kifayah untuk memimpin. Hubungan batiniah raja dengan para dewata ditinggalkan; sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan rasul serta kekudusan tokoh para aulia – para anbia.[8]
12. Seorang Raja yang ditabalkan sebagai Ketua Negara memiliki kedudukan dan mempunyai keupayaan mendaulatkan negeri atau wilayah pemerintahannya dan memberi perlindungan kepada rakyat yang berada di bawah naungan pemerintahan baginda. Berpandukan ajaran Islam, kedaulatan, ialah milik mutlak Allah Subhanahu Wata’ala, seorang raja hanyalah pemegang amanah. Jawatan yang disandang merupakan tugas untuk memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, melaksanakan amanah Allah Subhanahu Wata’ala bertunjangkan keadilan, syura dan bai’ah. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan, melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat berlandaskan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.[9] Raja yang bertakhta memiliki tanggungjawab terhadap Allah Subhanahu Wata’ala, juga tanggungjawab kepada rakyat di bawah payung pemerintahan baginda.
13. Governan atau tadbir urus yang bertunjangkan keadilan, berlandaskan undang-undang dan berpandukan syura merupakan budaya pemerintahan yang telah lama diamalkan oleh raja Melayu. Melaksanakan keadilan dan memastikan keadilan dilaksanakan merupakan tanggungjawab paling utama raja pemerintah. Dalam hasrat memenuhi peranan dan menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan, raja perlu memahami degup jantung dan denyut nadi rakyat, terutama untuk menghadapi rakyat yang semakin celik huruf – semakin terdedah, rakyat yang didewasakan dalam persekitaran teknologi dan era komunikasi yang begitu pesat berubah. Islam menegaskan agar pemerintah menyayangi rakyat dan tentunya rakyat akan membalas kasih sayang tersebut.[10] Setiap minggu, di mimbar Jumaat, khatib mendoakan dan jemaah mengaminkan kesejahteraan raja, mendoakan agar raja memerintah secara adil – secara saksama, supaya negara aman, sentosa, selamat lagi sejahtera. Oleh itu, takhta tidak boleh berada dalam isolasi, di sebaliknya takhta perlu memahami, menghargai, dan menghayati harapan tinggi rakyat yang memohon takhta berperanan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian. Takhta berperanan penting sebagai tenaga penyatu, mengharmonikan kemahuan yang pelbagai lagi berbeza, dan kemahuan yang ada kalanya bertentangan dan bercanggah dalam kalangan rakyat yang menganuti pelbagai agama, berlatarbelakangkan pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa, agar kemas teranyam dalam hamparan yang indah, sebagai warga yang kekal bersatu – teguh berpadu, hidup secara rukun – secara harmoni menjunjung kedaulatan sebuah negara bangsa merdeka yang aman lagi makmur.
14. Peranan dan tanggungjawab berat ini tidak mungkin dapat dilakukan secara bersendirian. Oleh itu raja pemerintah perlu mendapat sebaik nasihat dan sebijak pandangan dari para ulama dan barisan umara yang berilmu, berpengetahuan, berpengalaman dan bijaksana, juga memiliki sifat-sifat berterus terang, ikhlas dan jujur. Raja Ali Haji memperingatkan amat penting raja melantik para wazir, mufti, amir dan kadi daripada orang-orang yang berkebolehan dan memiliki sifat-sifat terpuji agar berupaya menyembahkan nasihat kepada raja secara betul, ikhlas dan jujur.
15. Doktrin raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen mengandungi semangat luhur yang perlu difahami. Doktrin tersebut, jika difahami semangatnya, dihayati lalu diamalkan akan mewujudkan sistem pemerintahan yang saling imbang mengimbangi dan sistem berkerajaan yang saling lengkap melengkapi. Doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen apabila difahami, dihayati dan diamalkan, berupaya menjadi sauh membantu mewujudkan kerajaan yang stabil, kerajaan yang mengamalkan budaya tadbir urus yang telus dan terpuji, kerajaan yang mendapat keyakinan, penerimaan dan sokongan rakyat.
16. Sedarilah! Begitu mudah menyemaikan kebencian yang boleh memusnahkan; sedangkan begitu sukar menyemaikan rasa kasih sayang yang membina. Sesungguhnya! usaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan itu memerlukan keberanian dan kekuatan yang lebih gagah daripada keberanian anggota tentera yang bertempur di medan perang.
17. Sesungguhnya, takhta berupaya dan takhta bersedia memenuhi tanggungjawab untuk membina keyakinan ketika rakyat sedang dilambung gelombang krisis keyakinan dengan memenuhi peranan mekanisme semak dan imbang, demi memastikan berlakunya keadilan; memberikan jaminan bahawa setiap warga berkedudukan sama di sisi undang-undang, memastikan perlembagaan diluhurkan dan undang-undang didaulatkan. Dengan hikmah dan kebijaksanaan, Raja-raja Melayu sebenarnya berada dalam kedudukan yang berupaya memenuhi peranan pelengkap untuk membantu mengukuhkan kerajaan yang dibentuk berlandaskan sistem demokrasi berparlimen. Demi kesejahteraan rakyat, demi kemakmuran negara, takhta, cabang legislatif, cabang eksekutif dan cabang kehakiman, wajib merangkaikan jalinan kerjasama dalam semangat saling melengkapi di samping memenuhi peranan semak dan imbang, untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berdaulat, dan sebuah negara Malaysia yang mengamalkan tadbir urus yang terserlah.
18. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala melimpahi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang sedang bersemayam di takhta masing-masing dengan hikmah, kebijaksanaan, ketabahan dan kekuatan untuk menyempurnakan sesempurna mungkin tugas fardu kifayah yang diamanahkan. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menganugerahi negara dan rakyat dengan barisan pimpinan yang akan dilimpahi rahmah dan keberkatan. Semoga rakyat dan negara ini dilimpahi kemakmuran dan keamanan.
Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku tulisan Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, ‘KEDAULATAN MALAYSIA: Governan Utama Negara.’
- Kamus Dewan Perdana, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2021), 487. ↑
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Kedaulatan Malaysia: Governan Utama Negara, (Selangor: Abad Sinergi Sdn. Bhd., 2022), 11-13, 19. ↑
- Perlembagaan Persekutuan, Jadual Keempat, Perkara 37, Bahagian 1; (Petaling Jaya: International Law Book Services, 2012), 138. ↑
- Wan Ahmad Fauzi, 32-33. ↑
- Al-Quran, Surah Ali ‘Imran (3:26) ↑
- Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, (Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia) 19 ↑
- Ibid., 20. ↑
- Muhammad Yussoff b. Hashim, “Kesultanan Melayu Melaka dan Budaya Politik”, dlm. Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia) 192. ↑
- T. Arnold, The Calkiphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965) 50; S.N.H. Naqvi, Ethics and Economy: An Islamic Approach, (Leceister: Islamic Foundation, 1981), 45-47. ↑
- Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidhi, dalam Wan Mohd. Nor Wan Daud, Budaya Ilmu dan Gagasan 1 Malaysia: Membina Negara Maju dan Bahagia, (Kuala Lumpur: Akademi Negara BTN, 2010), 42 ↑