Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu dan memilih di kalangan makhluk Nya untuk dikurniakan kemuliaan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan titah dan seterusnya menyempurnakan pelancaran buku ‘Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia – Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas’. Buku ini, yang diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, mengandungi 17 esei ilmiah, hasil gabungan penulis-penulis dari dalam dan luar negara, disunting oleh Riaz Hassan.
3. Globalisasi, pemodenan dan kolonialisme begitu mempengaruhi transformasi sosial yang berlaku di Asia Tenggara. Esei-esei yang terkandung dalam buku ini mengupas tiga aspek transformasi sosial; pertama, perubahan sosial dan pembangunan, kedua, peranan intelek dan ketiga, pengaruh agama dan nilai. Penerbitan ini diabadikan sebagai satu penghormatan kepada Profesor Syed Hussein Alatas. Keseluruhan esei yang dipilih bertemakan subjek yang begitu dekat dengan hati serta begitu rapat dengan jalan pemikiran Profesor Syed Hussein Alatas. Koleksi esei yang dikumpulkan, memperlihatkan keselarian pandangan kebanyakan penulis dengan jalan pemikiran Profesor Syed Hussein. Malah pemikiran beliau dijadikan sandaran penting, rujukan utama dan teras perbincangan.
4. Profesor Syed Hussein Alatas diiktiraf sebagai ahli sains sosial bertaraf antarabangsa. Beliau memberikan sumbangan besar kepada pembangunan intelek dan perkembangan ilmu pengetahuan. Usaha yang beliau rintis sejak zaman remajanya telah menghidupkan pepohon intelek dan memekarkan taman ilmu. Pemikiran beliau yang diterbitkan dalam beberapa buku dan diterjemahkan pula dalam pelbagai bahasa, memberikan manfaat besar kepada komuniti dunia. Pemikiran beliau, menjadi bahan kajian, bahan rujukan dan bahan diskusi di serata dunia dan mendapat perhatian dari masyarakat pelbagai agama, pelbagai bangsa, pelbagai budaya, di pelbagai negara.
5. Profesor Syed Hussein Alatas memperlihatkan betapa pentingnya kumpulan intelek berperanan sebagai pencetus dan pembangkit idea. Beliau tidak sekadar menyarankan malah menjadikan dirinya contoh pelaksana, mengkota apa yang dikata. Beliau bersuara bebas lagi terbuka, secara tegas – secara berani, secara faktual – secara empirikal, secara kritis – secara analitis, menyuarakan hakikat – menggemakan kebenaran, betapa pahit sekalipun untuk dimamah. Beliau memilih menjadi lidah penyambung membawa nada progresif dan simfoni dinamik dalam peranan sebagai jurubicara kepada rintihan hati dan denyutan nadi masyarakat. Beliau tekun mengambil daya usaha sebagai penggerak transformasi sosial kepada bangsanya dan kepada manusia sejagat yang memerlukan pembelaan.
6. Segalanya dilakukan bermula ketika masih seorang mahasiswa di Amsterdam. Pemikiran beliau, hasil dari kanta pemerhatian yang tajam, diketengahkan melalui penulisan dalam risalah ‘Progresive Islam’ yang diterbitkan secara bulanan di Netherlands. Penulisan beliau ketika itu menggambarkan gelora perjuangan dalam jiwa seorang anak muda; anak muda yang sedang mengembara di belantara ilmu di dunia barat. Namun anak muda ini tetap berpijak kepada identiti bangsanya dan berpegang kukuh kepada pegangan akidah Islamnya. Gelombang perjuangan kemerdekaan yang berombak di dadanya dan jeritan batin yang menuntut kepada keadilan sosial, diperkukuh dengan identiti bangsa – diperteguh dengan syariat agama. Namun beliau berpegang teguh dengan prinsip bahawa agama sama sekali tidak harus dijadikan instrumen politik untuk tujuan mendapatkan kuasa.
7. Profesor Syed Hussein melambangkan seorang yang berjiwa merdeka. Minda yang kuat berpegang kepada prinsip kebebasan berfikir menjadi kompas penting memandu arah kehidupan beliau untuk memiliki karakter yang merdeka. Kerana itu setelah memperoleh ijazah beliau memilih berkecimpung dalam dunia ilmu. Pemikirannya diluahkan tanpa gentar – tanpa bimbang. Dewan Bahasa ini antara gelanggang awal pemikiran beliau memencak langkah – mengatur tapak, disusuli kemudiannya di alam ilmu dan di dunia pendidikan, mengisi sepanjang hayat kerjaya beliau, dari universiti ke universiti. Beliau pernah bertandang di serambi politik negara lalu menyedari bahawa alam politik bukan dunia penghidupan yang serasi dengan jiwanya. Kemerdekaan jiwa dan kemerdekaan pemikiran tidak mengizinkannya untuk terkurung dalam sangkar yang kecil.
8. Jiwa merdeka akan terbina dari pemikiran yang merdeka. Pemikiran yang tidak terkongkong dengan sebarang ikatan. Pemikiran yang merdeka adalah pra syarat wajib yang harus dimiliki sebelum seseorang dapat mencapai taraf intelek. Pemikiran merdeka tidak merelakan diri hidup dalam budaya abdi. Selagi hati bergoncang dan fikiran tergugat kepada ganjaran dan upah, kepada kebendaan dan kemewahan, kepada pangkat dan jawatan, kepada anugerah dan gelaran, selagi itulah status jiwa merdeka, status pemikiran merdeka dan status intelek tidak akan tercapai. Selagi itulah pula keadilan yang sejati lagi tulen tidak dapat dilaksanakan. Bahawa status jiwa merdeka dan pemikiran merdeka itu lebih penting dalam menentukan martabat dan integriti insan dan akan lebih kekal dihormati. Jiwa yang merdeka dan pemikiran yang merdeka itu sama sekali tidak akan berkompromi dalam mempertahankan prinsip-prinsip kebenaran dan prinsip-prinsip keadilan. Jiwa merdeka dan pemikiran merdeka adalah satu kemestian untuk memperkukuh azam – memperteguh tekad dalam usaha menentang kepalsuan dan memerangi kezaliman.
9. Hasil penyelidikan Profesor Syed Hussein Alatas terkandung dalam pelbagai penerbitan. Dalam memperjuangkan keadilan sosial, beliau gigih berusaha membetulkan penilaian sosial yang tidak tepat terhadap rumpun bangsa yang perlu diberikan pembelaan. Beliau gigih dalam usaha membuat pembetulan amalan tidak sihat yang menular di dalam masyarakat. ‘Rasuah’, diberikan fokus utama. Penerbitan menyentuh rasuah dihasilkan seawal tahun 1968. Empat dari penerbitan yang beliau hasilkan, secara khusus, menumpukan perbincangan mengenai rasuah.
10. Sesungguhnya Profesor Syed Hussein telah menarik perhatian umum kepada satu penyakit sosial yang amat berbahaya. Penyakit sosial yang boleh mengancam kesejahteraan hidup manusia, penyakit sosial yang boleh meruntuhkan institusi, penyakit sosial yang boleh memusnahkan ekonomi, penyakit sosial yang boleh meleburkan sesebuah kerajaan. Rasuah adalah sel barah yang sangat membahayakan jika dibiarkan merebak di dalam masyarakat.
11. Amalan rasuah jika gagal dibendung amat menjejaskan urus niaga dan sistem pentadbiran. Rasuah apabila menjadi satu norma, laksana api di dalam sekam, akan merebak secara luas – secara pantas. Apabila rasuah menjadi satu norma, perlakuan rasuah sudah tidak lagi dianggap salah. Malah kalangan yang tidak melakukan rasuah dipandang aneh dan menjadi kumpulan minoriti di dalam masyarakat. Lalu tidak ada lagi urusan yang dapat bergerak tanpa adanya sogokkan. Memberi sogokkan dianggap sebagai satu keperluan untuk membolehkan urusan dapat dilaksanakan. Budaya rasuah jika tidak dibendung akan berkembang, malah dalam istilah yang digunakan oleh Profesor Syed Hussein Alatas boleh menjadi ‘satu industri’.
12. Rasuah adalah barah. Jika dibiarkan tumbuh akan menghancurkan segalanya. Undang-undang boleh diketepikan. Kepentingan minoriti boleh mengatasi kepentingan majoriti. Sistem keadilan tidak lagi dapat dipertahankan. Yang bersalah boleh terlepas hukuman. Yang daif tidak mungkin mendapat pembelaan. Kezaliman dan penindasan dibiarkan berlaku. Asas pertimbangan dipengaruhi oleh sogokan. Yang terbaik tidak terjamin terpilih. Kos urus niaga menjadi lebih tinggi. Daya saing pastinya menurun. Segala yang berlaku tentunya tidak lagi dapat mempertahankan institusi mahupun kerajaan. Akhirnya negara boleh menjadi muflis, rakyat menderita, keyakinan kepada kerajaan luntur dan keamanan tidak lagi dapat dijamin. Sejarah telah memperlihatkan betapa budaya rasuah menjadi punca kejatuhan pemimpin, kehancuran negara, kehilangan empayar dan kemusnahan tamadun. Malangnya manusia kenal akan sejarah, mempelajari sejarah tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah.
13. Untuk itu kumpulan intelek dengan jiwa merdeka dan pemikiran merdeka bertanggung jawab memenuhi peranan semak dan imbang kepada perjalanan sesebuah negara. Teguran-teguran berasaskan fakta hendaklah terus disuarakan. Dalam pada itu, penting untuk dijadikan panduan akan peringatan Profesor Syed Hussein Alatas supaya penilaian dan analisis hendaklah dihalusi, diteliti, ditafsir dan dikaitkan sejajar dan selaras dengan sejarah dan budaya setempat. Ini penting diberikan perhatian supaya kritikan yang disuarakan bersifat relevan, rasional, konstruktif dan bertanggung jawab supaya teguran yang disuarakan dapat diterima secara positif. Sifat toleransi dan sikap positif menerima teguran adalah komponen penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi dapat berlangsung secara lebih sihat dan lebih subur. Amalan demokrasi yang sihat dan subur akan dapat mematangkan sistem demokrasi dalam institusi dan negara.
14. Buku yang diterbitkan ini adalah hasil usaha yang berakar dari rasa cinta para penyelidik untuk menyebarkan ilmu dan mencambahkan pemikiran. Sesuatu penulisan yang dihasilkan itu tentulah dipengaruhi oleh latar belakang dan suasana, pada tempoh penulisan dilakukan serta tertakluk kepada bahan maklumat yang ditemui oleh penulis. Lautan ilmu begitu luas – begitu dalam. Ilmu tidak statik sifatnya. Ilmu itu dinamik sifatnya. Fakta baru hendaklah terus diselami. Seorang ilmuwan hendaklah senantiasa berfikiran terbuka – bersedia menerima teguran – berusaha melakukan pembaikan – tidak terlalu cepat merasakan berada di altar kesempurnaan. Usaha di hari semalam laksana anak tangga membantu penyelidik hari ini mendaki banjaran ilmu yang lebih tinggi untuk pencapaian di hari esok. Usaha yang dirintis di hari ini menambahkan satu lagi koleksi baru dalam khazanah ilmu – khazanah yang tidak pernah ada akhir dan penghujungnya.
15. Kesediaan Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan dalam bahasa Inggeris koleksi esei ini, adalah satu usaha yang harus dihargai. Pemikiran bangsa akan dapat berhijrah ke dunia luar secara lebih berkesan apabila ianya disebarkan dalam perantaraan bahasa yang difahami oleh masyarakat dunia. Dalam hubungan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah memenuhi satu tanggung jawab nasional, membantu pemikiran intelek setempat dapat meniti dan singgah di minda masyarakat antarabangsa. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada semua pihak yang telah bergabung tenaga untuk menghasilkan penerbitan ini.
16. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia – Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas.
Wabillahi taufik, wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
***********