PELANCARAN BUKU TAFSIR MAWDU’I SUNGAI: KARYA ZULKIFLI MOHD YUSOFF DAN ZAINI UJANG

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

PELANCARAN BUKU

TAFSIR MAWDU’I SUNGAI:

KARYA ZULKIFLI MOHD YUSOFF DAN ZAINI UJANG

TARIKH: 9 RABIULAWAL 1445 / 25 SEPTEMBER 2023

JAM: 10.00 PAGI

TEMPAT: INSTITUT ASIA-EROPAH, UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR.

Istilah sungai diungkapkan 56 kali dalam al-Quran, tidak termasuk 94 ayat berkaitan air, melambangkan hikmah dan kepentingan sungai kepada umat manusia. Allah Subhanahu Wata’ala berulang kali mengisahkan suasana syurga dengan segala nikmatnya. Sungai dijanjikan sebagai salah satu keistimewaan dan nikmat di dalam syurga; sangat menakjubkan kerana dibayangkan banyaknya sungai yang mengalir di kamar-kamar penghuninya. Melalui ayat 15, surah Muhammad, digambarkan terdapat empat jenis sungai di syurga; pertama: sungai dari air murni, “Di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak berubah rasa dan baunya”, kedua: sungai dari susu, “Dan sungai-sungai air susu yang tidak berubah rasanya”; ketiga: sungai dari khamar, “Dan sungai-sungai khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya”; dan keempat: sungai dari madu, “Dan beberapa sungai madu yang suci bersih[1]”.

2. Sungai juga berperanan penting dalam kehidupan dunia. Hampir setiap kota besar, negara malah peradaban bermula di pinggir atau muara sungai. Sungai mempunyai konotasi perundangan, sempadan dan kedaulatan sesebuah negeri atau negara. Sungai juga berkait rapat dengan pentadbiran tanah dan pembangunan guna tanah; pengangkutan dan pelancongan. Paling ketara, sungai merupakan sumber air utama yang menjadi nadi kehidupan manusia. Sungai Perak ialah sungai yang terpanjang di negeri Perak, bermula dari Banjaran Titiwangsa di sempadan negeri Kelantan, panjang keseluruhan dari hulu hingga ke muara ialah 412 kilometer, merentasi enam dari dua belas daerah di negeri Perak, iaitu daerah-daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk. Empat belas ribu lapan ratus tiga puluh empat (14,834) kilometer persegi, melebihi tujuh puluh peratus daripada keluasan bumi negeri Perak merupakan kawasan tadahan air atau dirujuk sebagai ‘lembangan sungai’.

3. Isi padu air sungai di seluruh dunia, tidak sampai satu peratus keseluruhan isi padu air di muka bumi. Sembilan puluh tujuh perpuluhan dua lima (97.25) peratus isi padu air di bumi ialah air masin (saline) di lautan. Selebihnya air tawar dalam bentuk ketulan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan, litupan salji di pergunungan dan air tawar yang mengalir dari huluan ke hiliran sungai, yang ada kalanya bertakung dalam empangan atau tasik. Berbeza dengan air di lautan, sungai menyediakan air tawar yang boleh dijadikan air minuman, di samping memenuhi keperluan-keperluan pertanian, perladangan dan pelbagai aktiviti pembangunan.

4. Saban hari, sungai yang menjadi sumber membekalkan air, semakin dicemari. Pencemaran dan kegiatan pencemaran yang dilakukan terhadap air sungai, menyebabkan bekalannya semakin terhad berbanding permintaan yang semakin meningkat untuk memenuhi keperluan hidup alam. Didapati air di kebanyakan sungai utama tidak lagi jernih, disebabkan bahan-bahan pepejal terampai (suspended solid) yang masuk ke sungai menerusi pelbagai aktiviti guna tanah terutamanya penerokaan hutan, perlombongan pasir, pembukaan kawasan pertanian dan perladangan, serta penempatan baharu.

5. Realitinya, kebanyakan air sungai menjadi semakin keruh, dan ada ketika berbau dan bertukar warna; sampah sarap dan pelbagai buangan lain bertompokan dari hulu hingga ke hilir, baik di permukaan begitu juga di dasar sungai. Bukan sahaja kualiti airnya berada pada tahap yang tidak lagi sesuai untuk kegunaan manusia, malah sarat dengan sampah sarap, dan yang paling mencemari serta merosakkan sungai ketika ini ialah, botol, beg dan bahan-bahan plastik.

6. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2021[2] terhadap 670 sungai yang dipantau di negara ini, merekodkan 73 peratus (489) sungai menunjukkan indeks kualiti air bertaraf bersih, 24 peratus (158) sungai bertaraf sederhana cemar, manakala tiga peratus (23 sungai) bertaraf tercemar. Pemantauan kualiti air di seribu tiga ratus lima puluh satu (1,351) stesen pengawasan pada tahun 2021, menunjukkan 75 peratus (1,012) sungai bertaraf bersih, 22 peratus (293) sungai bertaraf sederhana tercemar, dan tiga peratus (46) sungai bertaraf tercemar.

7. Pelbagai dasar diperkenalkan dan pelbagai program diusahakan, namun ramai anggota masyarakat yang masih belum peka dan cakna. Justeru, kita perlu mencari kerangka baharu yang lebih segar, lebih teratur dan lebih berdaya maju, untuk menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai. Selain meneladani beberapa buah negara yang memperlihatkan kejayaan melestarikan sungai secara tuntas, kita juga perlu segera merangka dasar dan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan mengambil kira segala kelemahan dan kekangan.

8. Persoalan melestarikan sungai bersifat budaya (cultural) dan geopolitik (geopolitical), dan tidak mungkin berjaya ditangani dengan kerangka lama yang tegar (rigid) dan bersegmen (segmented). Pelestarian sungai bermaksud kerangka membaik pulih dan menambah baik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan. Pelestarian sungai adalah tanggung jawab semua pihak, bukan tanggungjawab yang terbatas atau khusus kepada sesebuah agensi atau NGO. Tanggungjawab melestarikan sungai perlu diserlahkan dalam bentuk amalan hidup yang mesra alam dan sikap proaktif untuk memberi sumbangan, atau bersedia membayar kos yang diperlukan.

9. Masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat. Jika bahasa melambangkan bangsa, tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan ‘hati’ masyarakat setempat. Aliran sungai yang indah amat berkait rapat dengan aliran yang indah dalam hati manusia.[3] Pendekatan ‘hard-ware’ (sains dan teknologi), dan ‘soft-ware’ (dasar, undang-undang dan norma), tidak lengkap tanpa ‘heart-ware’ (hati, roh atau manusiawi).[4] Roh manusia perlu dibisikkan dengan kesedaran, menginsafkan hati agar terasa berdosa apabila melakukan perbuatan yang mencemarkan alam. Pendekatan lebih bersifat manusiawi perlu ditingkatkan, dalam hasrat dan usaha mahu meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk melestarikan alam sekitar. Inilah usaha yang dirintis oleh kedua-dua pengarang Tafsir Mawdu’i Sungai, buku yang menjadi mauduk majlis pada pagi ini.

10. BUKU TAFSIR MAWDU’I SUNGAI dihasilkan melalui integrasi ilmu oleh dua orang penulis dalam dua bidang berasingan; Prof Dato’ Dr Zulkifli Mohd Yusoff dalam bidang pengajian Al-Qur’an dan As-Sunnah, sementara Dato’ Seri Dr Zaini Ujang dalam bidang pengajian alam sekitar. Buku ini dihasilkan melalui gabungan disiplin ilmu wahyu dengan disiplin pengurusan, juga disiplin sains dan teknologi berkaitan sungai. Pendekatan penulisan yang menggabungkan pakar daripada pelbagai disiplin, dan bersifat antara disiplin, wajar digalakkan agar ilmu akan berkembang dan bercambah lebih subur.

11. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua penulis begitu juga kepada penerbit Akademi Jawi Malaysia, dan Universiti Malaya yang menganjurkan majlis pelancaran buku ini. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta melancarkan buku Tafsir Mawdu’i Sungai karya Prof Dato’ Dr Zulkifli Mohd Yusoff dan Dato’ Seri Dr Ir Zaini Ujang.

  1. Al-Quran, Surah Muhammad, (47:15)
  2. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2021 (Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya), 2022, hal. 39 dan 41.
  3. Siti Norasiah Abd Kadir, Nadi Komuniti Di Pinggir Sungai PASANGAN, (Kuala Lumpur: University Of Malaya, 2015), 7
  4. Ibid.
%d bloggers like this: