Pelancaran Buku: ‘Yahaya Ibrahim; Ikon Pendidikan Negara’

Federico Mayor Zaragoza, seorang sarjana, ahli sains, penyair, diplomat dan tokoh politik Sepanyol, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah UNESCO antara tahun 1987 hingga tahun 1999 mengatakan:

 

We cannot enter a learning society, an education age, without giving teachers the recognition they deserve”[1]

 

Langkah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerbitkan buku yang dihasilkan secara bersama oleh tiga orang warga UPSI, A. Halim Ali, Raja Ahmad Shalaby dan Ahmad Janatul Firdaus, berjudul “YAHAYA IBRAHIM: IKON PENDIDIKAN NEGARA” adalah langkah untuk memberi pengiktirafan kepada seorang tokoh pendidik – tokoh guru, Tan Sri Yahaya Ibrahim.

 

  1. Tan Sri Yahaya Ibrahim atau berdasarkan peranannya dalam dunia pendidikan, lebih bersesuaian dan lebih mesra, untuk dihormati dengan panggilan Cik Gu Yahaya. Beliau telah mengabadikan dirinya dalam kerjaya keguruan dan bidang pendidikan selama 30 tahun di dalam pendidikan awam, (dari tahun 1954 ke tahun 1984),[2] dan sejak persaraan daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1984 sehingga ke hari ini, terus aktif melibatkan diri dalam dunia pendidikan swasta dan pendidikan peringkat Universiti.

 

  1. Yahaya Ibrahim adalah antara pelajar dari Malaya yang mengikuti latihan perguruan di Kirkby College. Terpahat dalam ingatan Cik Gu Yahaya akan mesej penting daripada ucapan Mr. Robert Williams, di majlis perasmian Kirkby College pada tahun 1952:

 

“149 Malayan students arrived at this college at 5.30 p.m. on Wednesday, January 2, 1952.  For three weeks they had been together on board ship and so they came as a community, not as individuals.  This helped to establish unity of purpose and comradeship from the start”.[3]

 

Ucapan tersebut dihayati secara mendalam dan dijadikan falsafah oleh guru-guru lepasan Kirkby College; mereka menerima hakikat, bahawa rakyat di Malaya, terdiri daripada berbilang kaum yang perlu bekerjasama demi kepentingan negara.[4]  Falsafah ini disebarkan dalam kalangan pelajar; penyebaran falsafah ini, merupakan salah satu sumbangan besar lulusan Kirkby College yang mungkin rakyat umum telah terlepas pandang; ia itu, peranan dan kejayaan mereka memupuk dan membudayakan semangat muhibah dalam kalangan guru dan pelajar sekolah, khasnya ketika Malaya mula mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.[5]

 

  1. Paduka Bonda Beta, Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Bainun adalah seorang lulusan Kirkby College. Baginda juga mengamalkan sikap sangat terbuka, menerima dan menghormati teman sekerja, rakan kenalan, jiran tetangga serta ibu bapa dan murid, yang berlatar belakang pelbagai agama dan pelbagai kaum.  Paduka Bonda Beta, telah menunjukkan contoh teladan yang baik, kepada didik-didik Baginda untuk mengenali dunia yang lebih luas, yang telah membantu Beta dan adinda-adinda Beta, tanpa berprasangka negatif, berupaya menjalin perhubungan persahabatan yang lebih lebar, merentasi sempadan agama, kaum, budaya, politik dan negara.

 

  1. Sesungguhnya, guru mempunyai pengaruh yang amat kuat untuk memupuk semangat muhibah, dalam kalangan pelajar yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum dan budaya di negara kita. Meskipun negara telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali keenam puluh, peranan memupuk perpaduan kaum wajib terus diberikan keutamaan.  Falsafah yang dipegang, dan peranan yang pernah dilaksanakan oleh  para guru lulusan Kirkby College pada era pra dan pasca merdeka, hendaklah pada hari ini, diteruskan oleh guru-guru di setiap bilik darjah dan di setiap sekolah di negara ini, kerana kekuatan dan kestabilan negara kita, amat bergantung kepada semangat perpaduan kukuh yang berjaya dijalinkan dalam kalangan warga.

 

  1. Gagasan kepada pendidikan yang cemerlang, didukung oleh orang-orang yang penuh berbakat, gigih lagi tekun bekerja. Para guru yang terbilang, berupaya menyalakan bara semangat belajar, yang tidak akan padam dalam kalangan pelajarnya.  Guru yang namanya, menjadi sebutan di hujung setiap lidah pelajar, adalah guru yang berjaya memenangi hati pelajarnya.  Guru-guru yang berdedikasi, akan bekerja sepanjang masa, demi memastikan anak didik mereka mencapai kejayaan lebih gemilang daripada mereka sendiri.

 

  1. Barisan guru seangkatan Cik Gu Yahaya, menjadi sebaik contoh rujukan dalam kalangan pelajar; mereka berperanan sebagai sumber yang memberikan inspirasi, mereka berjaya memenuhi harapan anak didik, mereka bukan sekadar mengajar, tetapi mereka adalah pendidik, tidak sekadar dengan perkataan, tetapi diperkukuhkan dengan perbuatan, selaras dengan pengiktirafan yang diungkapkan oleh Mohandas K. Gandhi:

I have always felt that the true text book for the pupil is his teacher”.[6]

 

  1. Penerbitan setebal 153 halaman ini, membuka jendela, membolehkan pembaca mengenali Cik Gu Yahaya secara permukaan. Perkhidmatan dan jasa Cik Gu Yahaya, jika mahu dihuraikan secara terperinci,  perlu dihampar seluas bendang.  Namun pengenalan ringkas ini, membolehkan pembaca menghargai watak seorang pendidik yang sangat komited, berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti; terbukti antaranya melalui catatan rekod, hanya sebelas hari cuti sakit, dalam tempoh perkhidmatan merentasi tiga puluh tahun dengan kerajaan.[7]

 

  1. Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18 Februari 1929, Yahaya Ibrahim telah merentasi usia 88 tahun. Walaupun telah mencapai usia sedemikian, istilah ‘bersara’ daripada bekerja, tidak ada di dalam kamus hidup beliau.  Beliau cekal cergas, beliau kekal melibatkan diri,  beliau terus menganjur dan menyertai pelbagai program.  Amatlah sesuai apabila para penulis memilih untuk menobatkan beliau sebagai seorang ikon.

 

  1. Beta menzahirkan penghargaan kepada tiga orang penulis dan UPSI atas usaha penerbitan ini. Semoga penerbitan ini, menjadi pendorong untuk UPSI mengusahakan siri penerbitan tokoh-tokoh pendidikan dan keguruan, baik daripada kalangan tokoh-tokoh tempatan begitu juga tokoh-tokoh di peringkat antarabangsa.  Semoga ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA terus mengurniakan Cik Gu Yahaya keafiatan dan kebahagiaan.  Semoga segala khidmat bakti beliau diterima sebagai amar makruf yang dianugerahkan ILAHI ganjaran dunia – ganjaran akhirat.

[1] Randy Howe (ed), 1001 Smartest Things TEACHERS EVER SAID, (Guilford, Connecticut: Lyons Press, 2010), 8

[2] A. Halim Ali, Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain, YAHAYA IBRAHIM; Ikon Pendidikan Negara, (Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2017), 85.

[3] Ibid, 83.

[4] Ibid

[5] Ibid

[6] Rosalie Maggio, Quotations on Education, (New Jersey: Prentice Hall, 1997), 34.

[7] Raja Ahmad Shalaby dan rakan-rakan, 105.

%d bloggers like this: