Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Yang Dipertua Dewan Negeri
Alhamdulillah BETA bersyukur ke Hadrat Allah Subhanahu WaTa’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya juga, BETA dapat berangkat untuk menyempurnakan Perasmian Penggal Ketiga Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kesebelas.
- Persidangan Dewan kali ini berlangsung pada masa Dewan Rakyat Malaysia masih membahaskan usul Rancangan Malaysia Kesembilan bagi tempoh 2006 – 2010. Usul Rancangan Malaysia Kesembilan telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, di Dewan Rakyat pada 31hb. Mac 2006. Rancangan tersebut dirangka sebagai dasar rujukan dalam usaha membangunkan negara Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan berdaya saing.
- Adalah menjadi hasrat besar negara supaya matlamat Wawasan 2020 untuk mencapai taraf negara maju dapat dicapai dalam tempoh 15 tahun dari sekarang. Malaysia di tahun 2020 disasarkan menjadi negara maju dengan ciri-ciri tersendiri, memperlihatkan kemajuan bersifat holistik, merangkumi kesemua sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020.
- Kerajaan Persekutuan turut menggubal Misi Nasional, berbentuk rangka kerja bagi agenda pembangunan negara dengan menggariskan langkah-langkah utama yang harus diambil bagi tempoh 15 tahun akan datang. Tempoh 15 tahun akan datang adalah tempoh kritikal lagi penting untuk menentukan sama ada wawasan pembangunan yang digagaskan oleh negara akan tercapai. Untuk mencapai matlamat Misi Nasional, lima teras utama telah digariskan.
Teras Pertama: Untuk meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara
Teras Kedua: Untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’
Teras Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif.
Teras Keempat: Meningkatkan tahap kemampanan kualiti hidup.
Teras Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.
- Misi Nasional menyentuh perkara-perkara yang diberikan perhatian utama merangkumi, daya saing negara di peringkat global, pembangunan modal insan, integrasi nasional, hubungan antara kaum dan antara agama, pengagihan pendapatan dan kekayaan, serta mutu hidup rakyat. Usaha-usaha menangani rasuah dan membina integriti di sektor awam, di sektor swasta dan di kalangan masyarakat umum amat diberikan perhatian. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Persekutuan untuk membentuk sebuah negara yang maju ekonominya, seimbangan pembangunan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh hingga dapat membina tamadun dan menjulang martabat negara.
- Rancangan Malaysia Kesembilan dan Misi Nasional yang diolah oleh Kerajaan Persekutuan akan dijadikan sandaran oleh Kerajaan BETA dalam merangka rancangan dan program pembangunan di peringkat negeri Perak Darul Ridzuan. Kerajaan BETA menghargai peruntukan kewangan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri Perak serta usaha-usaha untuk membantu membangunkan kawasan dan wilayah dalam negeri Perak terutama kawasan luar bandar dan kawasan kurang membangun. Di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, beberapa projek besar telah dikenal pasti untuk dibangunkan di negeri Perak. Antara projek-projek tersebut adalah Taman Teknologi Perak, Terminal Makanan Perak, Kelompok Industri Automotif, pembangunan secara berintegrasi kawasan pertumbuhan baru di Koridor Utara Semenanjung, serta limpahan pembangunan dari pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan Perak Utara. Pembangunan prasarana-prasarana lain dipercayai dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang akan dimanfaatkan sepenuhnya.
- Kerajaan BETA akan mengambil langkah – mengatur strategi, memastikan bahawa negeri Perak akan mendapat sebaik-baik manfaat dari Rancangan yang telah dirangka. Perancangan secara strategik akan dilakukan dengan merangka program-program pelengkap (complimentary), program-program pemanjangan (extension), program-program sokongan (supporting), program-program tambahan (supplemantary) dan program-program hiliran (down stream) kepada program-program yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan supaya rakyat negeri ini mendapat manfaat yang optimum; selaras membantu usaha pencapaian matlamat agihan kemakmuran; semoga dapat pula merapatkan jurang pendapatan dan jurang kekayaan antara negeri dan wilayah, antara golongan berada dengan kurang berada dan antara kaum. BETA meneliti pelbagai Dana yang telah dan bakal diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan BETA akan berusaha untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan dalam melaksanakan pelbagai program di peringkat negeri.
- BETA percaya keupayaan menyusun dan melaksanakan pendekatan secara tepat lagi berkesan akan turut membantu kepesatan pencapaian ‘Pelan Strategik Perak Maju 2015’ yang telah disediakan oleh Kerajaan BETA. Pelan tersebut meletakkan sasaran untuk negeri Perak menjadi sebuah negeri maju dalam masa 10 tahun dari sekarang. Pelan strategik ini antara lain akan memberi keutamaan kepada usaha menghapuskan kemiskinan tegar, meniadakan setinggan serta meningkatkan pendapatan per kapita rakyat.
- Negeri Perak telah berjaya mencatatkan pertumbuhan 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2005; menghampiri pertumbuhan 5.3 peratus yang dicapai di peringkat nasional. Sektor-sektor pertanian, perusahaan, pembuatan serta perkhidmatan terus memberi sumbangan positif. Dengan berkurangnya perbelanjaan sektor awam dalam kerja-kerja binaan, sektor pembinaan tidak terlepas dari mencatat pertumbuhan negatif 1.6 peratus pada tahun lalu. Pelaburan swasta dan perbelanjaan domestik terus mencatatkan peningkatan. Pelbagai usaha untuk menggalak, mempermudah dan menarik pelaburan akan diperkenalkan dalam hasrat untuk meningkatkan peranan dan sumbangan sektor swasta menjana pertumbuhan.
- Pada ketika ini, beberapa projek baru swasta sedang dan akan dilaksanakan; antaranya ‘Hub-Biodiesel’ di Lumut, pembinaan dan pembaikan kapal di Lumut dan projek ternakan ikan laut secara bio-teknologi di Pulau Pangkor dengan jumlah pelaburan bernilai 250 juta ringgit. Pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment – FDI) memperlihatkan peningkatan berbanding tahun 2004. Bagi tahun 2005, sektor perkilangan mencatatkan komitmen pelaburan hampir 1.4 bilion ringgit. Sebanyak 525 juta ringgit merupakan pelaburan domestik sementara 872 juta ringgit pelaburan asing; melibatkan 52 projek baru dan pembesaran projek sedia ada. Apabila beroperasi sepenuhnya, projek-projek ini dijangka dapat mewujudkan hampir 5200 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Dari jumlah tersebut, 34 projek baru bernilai hampir 1.1 bilion ringgit telah diluluskan, merupakan 78 peratus dari jumlah komitmen pelaburan. Negara-negara Jepun, Australia dan Jerman merupakan tiga pelaburan asing terbesar di negeri Perak.
- Berdasarkan senario ekonomi semasa, prospek ekonomi negeri Perak dalam tahun 2006 dijangka kukuh. Namun Kerajaan BETA amat menyedari faktor-faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Bencana alam, wabak penyakit, harga petroleum, kegiatan militan dan pengganas serta kestabilan politik antarabangsa, serantau dan domestik; setiap satunya mempunyai kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi. Oleh itu mekanisme menangani krisis menjadi semakin penting dalam urus tadbir sesebuah negara untuk meningkatkan keupayaan menghadapi dan menangani cabaran. Negeri Perak juga bukan sahaja menghadapi saingan untuk menarik pelaburan dari negeri-negeri lain di negara ini, malah perlu bersaing dengan zon-zon pembangunan di negara Cina dan India serta negara-negara membangun lain di Asia dan di rantau ini. Untuk itu Kerajaan BETA perlu mengambil langkah-langkah inovatif supaya terus berupaya meningkatkan daya saing dalam usaha menarik para pelabur dari dalam dan luar negara.
- Kecekapan pengurusan tanah, berperanan penting mempengaruhi iklim pelaburan. Untuk itu pelbagai inovasi serta aplikasi sistem yang mudah dan cekap telah diperkenalkan. Sistem Pengurusan Hasil Tanah secara ‘online’ telah dilaksanakan sejak tahun 2004 dan kini Sistem Permohonan Tanah Berkomputer serta Sistem Permohonan Kebenaran Pindah Milik/Gadaian turut dibangunkan. Sistem E-Penguat Kuasa bagi menyelaraskan tindakan penguatkuasaan di antara Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di peringkat negeri dengan Pejabat-Pejabat Tanah di peringkat daerah sedang dirancang. Demikian juga usaha sedang dirintis untuk membolehkan Aduan Berkenaan Masalah Sistem dan Teknikal dapat dilakukan melalui talian. Segala yang diusahakan mencerminkan bahawa sedang berlaku proses untuk meningkatkan kecekapan jentera perlaksanaan perkhidmatan awam secara proaktif, inovatif dan kreatif.
- Selaras dengan matlamat untuk memastikan berlakunya imbangan dalam agihan kemakmuran dan seiring dengan usaha untuk menyusun semula masyarakat, program pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) akan dilaksanakan dengan dimensi baru dan pendekatan baru supaya usahawan Bumiputera yang dilahirkan, benar-benar berupaya menerokai bidang kekayaan baru yang penuh potensi. Mereka juga perlu dibina daya upaya untuk menghadapi cabaran dan saingan dunia perniagaan dan perdagangan global. Seyogia BETA mengingatkan kepada bumiputera yang telah diberikan peluang serta keistimewaan, jangan sekali-kali membenarkan berlakunya kegiatan yang boleh mengakibatkan ketirisan pegangan ekuiti bumiputera.
- Masyarakat Bumiputera harus bangun secara gagah dengan azam untuk mahu berdikari dan berada pada tahap kemajuan dan kejayaan yang sama dengan kaum-kaum lain menjelang tahun 2020. Masyarakat Bumiputera harus memiliki rasa bangga sebagai ‘putera peribumi ini’ yang tidak akan membenarkan diri mereka diperalatkan atau dijadikan alat oleh sesiapa juga pun. BETA khuatir jika Masyarakat Bumiputera tidak memiliki rasa bangga untuk mahu mencipta kejayaan bangsa, segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk membantu mereka adalah ibarat menuangkan air ke pasir. Untuk itu Kerajaan BETA akan mengamalkan mekanisme yang lebih teliti lagi telus, memberikan kemudahan secara berhati-hati demi menjamin tidak berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kemudahan dan demi mengelak ketirisan yang berterusan dari berlaku.
- Bidang-bidang baru dan terkini yang dapat menghasilkan kekayaan baru akan terus Kerajaan BETA berikan perhatian, terutama dalam aktiviti-aktiviti ekonomi berpaksikan pengetahuan, berlandaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta bidang bio-teknologi. Peruntukan satu juta ringgit di bawah Program Satelit Bio-teknologi telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Bio-teknologi di negeri Perak. Negeri Perak merancang untuk menjadi Hub Nasional dari segi pembangunan akuakultur bio-teknologi. ICT akan terus dipertingkatkan untuk berperanan secara berkesan sebagai faktor pemboleh (enabler) dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil kerja.
- Selaras dengan hala tuju dan pendekatan baru yang digariskan oleh Kerajaan Persekutuan, sektor pertanian di negeri Perak kini sedang melalui proses transformasi untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti hingga ke tahap dapat menghasilkan pengeluaran bernilai tinggi. Sektor pertanian akan dibangunkan secara lebih aktif untuk menjana sumber kekayaan baru, peluang pekerjaan baru dan sekali gus memperlengkapkan wawasan negara untuk mengurangkan defisit imbangan perdagangan bahan makanan. Industri asas tani dan program-program pertanian baru yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan dimodenkan cara pengurusannya, akan dapat membantu program membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan. BETA sedar bahawa peratusan tertinggi kemiskinan berlaku di kalangan masyarakat tani di desa yang terdiri kebanyakannya dari orang-orang Melayu. Membangunkan sektor pertanian bererti melakukan pembelaan kepada golongan petani yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan ramai pula yang hidup dalam kemiskinan. Kerajaan BETA berpegang bahawa dalam usaha untuk membasmi kemiskinan, usaha membawa pembangunan dan kemajuan dalam sektor pertanian dan untuk masyarakat tani amatlah penting dilakukan.
- Potensi sektor pelancongan akan terus diterokai. Negeri Perak mempunyai cukup bahan khazanah pelancongan yang unik lagi istimewa dari segi warisan sejarah, kesenian dan kebudayaan, makanan dan buah-buahan serta keindahan alam semula jadi dan pusat rekreasi untuk dipromosikan. Pada tahun 2005, rekod Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia mencatatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri Perak mencapai angka hampir 2.4 juta pelancong. Usaha-usaha pemasaran secara agresif akan terus ditingkatkan dan dilaksanakan secara lebih strategik lagi berkesan dengan menggunakan pendekatan ala swasta. Usaha-usaha kerajaan ini tentu akan memberikan impak lebih besar jika disokong secara bersama oleh pihak swasta terutama mereka yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan. Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan perlulah menjamin bahawa kemudahan pelancong senantiasa di selenggara dengan baik di samping meningkatkan usaha untuk menjaga kebersihan dan keindahan kawasan di bawah bidang kuasa masing-masing. Rakyat jelata pula perlu dididik untuk tidak melakukan kerosakan kepada sumber-sumber alam yang mempunyai nilai pelancongan yang tinggi seperti flora dan fauna, hutan tropika, gunung dan bukit serta pulau, pantai, sungai dan latar.
- Kejayaan Kerajaan BETA mengaktifkan semula Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebagai destinasi persinggahan Syarikat Penerbangan Tambang Murah Air Asia tentunya akan membantu pertumbuhan sektor pelancongan dan akan turut meletakkan Lembah Kinta sebagai satu tarikan bagi kegiatan-kegiatan ekonomi lain. Dinamik yang sedang berlaku dalam industri penerbangan negara hendaklah diterokai untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebagai satu hab kepada penerbangan serantau.
- Usaha pembasmian kemiskinan akan dilaksanakan melalui pelbagai dimensi untuk memastikan tidak ada rakyat yang akan tertinggal dalam arus pembangunan. Adalah penting untuk program pembasmian kemiskinan diusahakan ke arah membina upaya di kalangan golongan miskin dengan menyediakan kemudahan pendidikan, menguasai kemahiran, membina keyakinan dan meningkatkan motivasi diri hingga golongan miskin berupaya menyertai kegiatan ekonomi secara aktif – secara produktif. Program pembangunan kemiskinan hendaklah merentasi semua kaum termasuk masyarakat orang Asli di negeri Perak.
- Proses asimilasi Orang Asli dalam masyarakat Malaysia hingga membolehkan mereka berkecimpung aktif dalam kegiatan sosioekonomi negara akan dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2005, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah membelanjakan 4.26 juta ringgit, melaksanakan program-program pembangunan khusus bagi masyarakat Orang Asli meliputi projek-projek Penempatan Tersusun, Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Sosial. Usaha-usaha akan terus dipesatkan terutama melalui program pendidikan dan pembangunan insan untuk membolehkan Orang Asli dapat menyertai dengan kadar lebih pesat dan bilangan lebih ramai program-program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
- Matlamat sifar setinggan disasarkan untuk dicapai menjelang tahun 2010. Dalam tahun 2005, sebanyak 1,000 unit rumah awam telah siap dibina di bawah program Perumahan Awam. Sebanyak 241 unit Rumah Awam Kos Rendah dibina di Gerik dan Pengkalan Hulu. Sebanyak 445 unit rumah pula di bina di bawah Program Perumahan Rakyat di Taman Buntong Harmoni dan Taman Mesra Kampar. Sebanyak 314 unit rumah pula dibina di bawah Dana Yayasan Perumahan Untuk Termiskin di Bidor, di Tapah dan di Pengkalan Hulu. Program perumahan berkualiti untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan; pihak swasta diseru untuk terus memenuhi peranan pelengkap.
- Bagi tahun 2005, hasil Kerajaan Negeri yang berjaya dipungut berjumlah 439 juta ringgit; 28 juta ringgit lebih rendah dari jumlah kutipan pada tahun 2004. Kerajaan BETA akan terus berikhtiar mengenal pasti dan mengusahakan punca-punca pendapatan baru bagi meningkatkan sumber kewangan. Usaha sedang giat dilaksanakan bagi aktiviti melombong air bawah tanah untuk dijadikan bekalan air berkualiti tinggi. Usaha ini jika dapat dijayakan mempunyai potensi menjana pendapatan melalui kutipan royalti air berjumlah 40 juta ringgit setahun.
- Peningkatan harga logam dan bahan mineral tertentu di pasaran dunia telah menarik minat beberapa pihak untuk melabur dalam sektor berkaitan. Kerajaan BETA sedang meneliti potensi ekonomi dalam sektor perlombongan logam dan mineral. Namun demikian, impak negatif yang mungkin berlaku terhadap alam sekitar akan diberikan perhatian teliti. Pengalaman lalu apabila muka bumi negeri Perak ditinggalkan dengan kolam dan lombong bijih timah, setelah khazanah kekayaannya diangkut keluar, akan dijadikan sebaik-baik pengajaran. Untuk itu, dengan persefahaman dan secara bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, sistem pengawal atur telah diperkemas melalui Akta Pembangunan Mineral dan Enakmen Mineral Negeri 2003.
- Pengurusan alam sekitar secara bijak adalah satu kemestian. Pembangunan tidak menghalalkan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk merosakkan alam sekitar. Tindakan tegas hendaklah diambil. Penggunaan tanah, pengambilan hasil-hasil tanah, pengurusan kawasan tadahan air, kegiatan pembalakan tidak harus sampai ke peringkat melakukan kemusnahan dan kezaliman kepada kehidupan alam. Faktor-faktor ekologi, pencemaran, pemusnahan dan hakisan perlu dikawal secara tegas. Penguatkuasaan undang-undang tidak akan dikompromikan. Kawasan-kawasan habitat semula jadi yang sensitif kepada perubahan akan dilindungi dan dijadikan kawasan perlindungan atau kawasan simpanan. Usaha penanaman semula hutan perlu dijadikan satu agenda penting dengan menyediakan dana khusus dari pungutan hasil hutan.
- MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK akan melaksanakan tanggung jawab secara lebih bererti membantu usaha-usaha pembangunan warga terutamanya dari segi pembangunan modal insan secara holistik. Dalam menghadapi arus globalisasi, kemungkinan berlakunya pencemaran terhadap nilai dan budaya perlu dipantau. Dalam usaha untuk memerangi rasuah, mengelakkan amalan salah guna kuasa, menghindar salah laku dan membina integriti, MAJLIS dapat membantu program pembangunan insan yang dapat mengukuhkan jati diri dan kekuatan dalaman manusia. MAJLIS juga akan memberi perhatian kepada realiti kehidupan masyarakat di dalam sebuah negara yang warganya menganuti pelbagai agama dan pelbagai kebudayaan. Fahaman terhadap Islam perlu ditingkatkan di kalangan umat Islam dan juga di kalangan bukan Islam demi menjamin hubungan harmoni dan rukun antara warga berlainan agama akan terus terjamin. Umat Islam akan dibimbing berfikiran terbuka serta mengamalkan sifat toleransi, dan pada masa yang sama kekal dengan pegangan agama yang tidak bergoyang.
- Dalam tahun 2005, pungutan zakat di negeri Perak telah meningkat kepada 27.6 juta ringgit, peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding pungutan pada tahun 2004. Diunjurkan pungutan zakat dalam tahun 2006 akan mencapai 30 juta ringgit. Sekolah-sekolah agama di bawah pengawasan MAJLIS telah diseru melakukan pengubahsuaian dalam program membangun modal insan selaras dengan keperluan sumber manusia di era ekonomi berpaksikan pengetahuan dan era Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Pelajar-pelajar lepasan sekolah agama perlu dibangunkan secara seimbang dengan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang dapat berperanan produktif dalam arus pembangunan dunia global.
- Perkembangan pendidikan di negeri Perak sangatlah memberangsangkan. Di samping institusi pendidikan rendah dan menengah yang terdapat di seluruh negeri di bawah pengawasan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan BETA amat menyokong kepada pertumbuhan institusi pendidikan tertiari awam dan swasta. Tapak-tapak telah disediakan untuk Universiti Teknologi MARA di Gopeng dan Universiti Pertahanan di Segari. Budaya menghargai ilmu melalui meningkatkan minat membaca dan belajar sepanjang hayat akan dipupuk di kalangan warga.
- Program pembangunan belia yang lebih menyeluruh dari aspek kepimpinan, pembinaan sahsiah dan jati diri akan terus diperluaskan. Di samping itu program pembangunan belia di bidang usahawan dan program untuk menggalakkan penyertaan belia dalam kegiatan ekonomi secara aktif akan dapat membantu mengatasi masalah pengangguran. Belia yang menganggur adalah liabiliti sosial dan liabiliti ekonomi kepada negara dan keluarga. Para belia akan disemai nilai positif terhadap pekerjaan untuk mengatasi ironi yang sedang berlaku; bahawa di negara ini terdapat pengangguran di kalangan remaja namun pada masa yang sama negara juga terpaksa mengimport tenaga kerja asing. Aktiviti belia hendaklah diolah untuk memberikan pendedahan dan pengalaman luas kepada belia di samping dapat memupuk hubungan antara kaum dan membina perpaduan nasional.
- Kegiatan sukan adalah untuk membina masyarakat yang mengamalkan budaya sihat, membina daya juang, membina semangat berpasukan, membina jiwa patriotik, juga membina semangat perpaduan warga Malaysia. Pelbagai kemudahan dan kegiatan disediakan untuk meningkatkan penyertaan dan prestasi bagi 22 jenis sukan melalui penubuhan Pusat Latihan Daerah.
- Negara yang maju meletakkan nilai tinggi terhadap kegiatan seni budaya. Masyarakat di negara maju meletakkan apresiasi tinggi terhadap seni, budaya dan sastera. Seni, budaya dan sastera berkualiti tinggi adalah antara lambang tahap tamadun sesuatu negara-bangsa. Seni, budaya dan sastera membantu membina masyarakat berbudaya, memupuk peradaban, menjana minda kreatif lagi terbilang, memperkukuhkan ikatan cinta setia kepada negara-bangsa. Seni, budaya dan sastera turut memberikan roh dan identiti kepada sesuatu negara-bangsa. Amatlah wajar untuk institusi awam dan swasta melibatkan diri dalam program merakyatkan seni. Komponen-komponen warisan, sejarah, seni, budaya dan sastera haruslah menjadi kriteria bagi pihak-pihak berkuasa tempatan menilai estetika sesuatu bangunan di tempat-tempat strategik dalam merangka landskap di dalam kawasan masing-masing.
- Segala yang dirancang dan setiap yang digubal akan dinilai baik tidaknya oleh rakyat di peringkat perlaksanaan. Sesuatu rancangan akan memberi erti dan membawa makna apabila berjaya dilaksanakan. Oleh itu agensi dan badan pelaksana berperanan paling penting di sebalik perancangan Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Strategik Perak Maju 2015. Anggota perkhidmatan awam adalah petugas utama yang akan menentukan tahap pencapaian dan bertanggung jawab memperlihatkan contoh budaya kerja cemerlang penuh komitmen untuk diteladani oleh sektor swasta. Langkah-langkah pembaharuan, inovasi dan kreativiti pentadbiran perlu terus diterokai. Kemahiran dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu perlu ditingkatkan supaya Kerajaan BETA mempunyai mekanisme dan kaedah pentadbiran yang kemas kini, cekap lagi berkesan. Sistem penyampaian perlu terus diperbaiki dan ditingkatkan.
- Pentadbiran awam wajib mengamalkan integriti yang tinggi, melaksanakan tugas secara adil bersandarkan undang-undang. Pentadbiran Awam wajib mencerminkan imej sebagai perkhidmatan yang bersih dan telus, bebas dari rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, terhindar dari melakukan pecah amanah dan penyelewengan. Hasrat untuk membina perkhidmatan awam yang berintegriti tinggi memerlukan sokongan seluruh warga terutamanya dari masyarakat perdagangan, masyarakat perniagaan dan sektor swasta. Usaha meningkatkan integriti perkhidmatan awam janganlah dinodai dan dicemari oleh pihak-pihak luar disebabkan kepentingan keuntungan jangka pendek. Perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan amanah akan menjadi pemangkin kepada kepesatan perlaksanaan program pembangunan.
- Perlu diperingatkan bahawa keadaan yang aman akan membantu kemakmuran negara. Pembangunan ekonomi dapat berjalan lancar jika keselamatan negara terus terjamin, ketenteraman awam terpelihara, kestabilan politik tidak bergoyang, perpaduan rakyat kekal harmoni. Untuk itu Kerajaan BETA amatlah menghargai peranan yang dimainkan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di Raja Malaysia untuk menjamin negara terus berada dalam aman dan damai, stabil dan makmur Rakyat perlulah menghargai pengorbanan dan perkhidmatan angkatan tentera dan pasukan polis di negara ini.
Yang Di Pertua Negeri
- Kerajaan BETA akan terus memberikan komitmen, bekerjasama rapat dan menyokong dasar, usaha dan langkah Kerajaan Persekutuan. Bersempena Persidangan Dewan Undangan ini, BETA merakamkan penghargaan kepada Mamanda Menteri Besar dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang telah memimpin urusan pentadbiran negeri dengan jayanya. Demikian juga kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang mengambil tanggung jawab dan memenuhi amanah, membawa suara dan fikiran rakyat ke Dewan ini. Penghargaan juga BETA rakamkan kepada Pegawai-Pegawai dan kakitangan kerajaan, para anggota Pasukan Keselamatan, pihak-pihak swasta, badan-badan sukarela dan bukan kerajaan serta setiap seorang rakyat BETA yang secara bersama telah memenuhi peranan untuk membangun dan memakmurkan negeri Perak Darul Ridzuan
- BETA doakan semoga persidangan Dewan kali ini akan berlangsung dalam suasana yang dapat memperteguh dan mematangkan amalan demokrasi yang menjadi tunggak rakyat di negeri ini berkerajaan dan bernegara. Kemuliaan Dewan ini hendaklah dipelihara dan tidak dicemarkan sama ada secara pertuturan mahupun secara kelakuan. Dengan kearifan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini InsyaAllah akan menjadi tempat yang dapat menghasilkan pandangan dan pemikiran bernas dalam usaha menambah makmurkan negeri Perak Darul Ridzuan.
- Semoga pemimpin dan rakyat di negeri Perak teguh berpadu – kukuh bersatu, menghayati warisan dan sejarah negara-bangsanya, memiliki identiti nasional yang terserlah, berpegang kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan menjunjung prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan perlindungan, taufik dan hidayah dan melimpahkan kemakmuran kepada Raja, rakyat dan negeri. Amin Ya Rabul Alamin.
- Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, BETA dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang Kesebelas.
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar
Bertarikh 11 Rabiulawal 1427
Bersamaan 10 April 2006