Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Negeri Perak Darul Ridzuan kini mempunyai daerah pentadbiran kesebelas yang telah Beta perkenan, dinamakan Daerah Muallim. Perkataan mualim berasal daripada perkataan Arab, perkataan yang berkaitan dengan ilmu dan ilmuwan, bermaksud orang yang ahli dalam agama. Nama tersebut amat bertepatan diabadikan kepada daerah ini berdasarkan latar belakang tertentu sejarah. Di daerah inilah, Sultan Idris Training College atau SITC telah dirasmikan pembukaannya oleh Sir George Maxwell pada 29 November 1922. SITC ialah pusat ilmu, pusat pengajian tertinggi tempatan untuk anak Melayu pada era pra merdeka, dibangunkan untuk memberi latihan perguruan kepada anak-anak Melayu yang berlatar belakang persekolahan dalam bahasa Melayu. Dari pusat ini telah lahir barisan inteligensia Melayu, yang berperanan penting meniupkan kebangkitan kesedaran bangsa, menghidupkan semangat nasionalisme bangsa serta menyalakan api perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.
2. Terkandung dua unsur dalam perkataan mualim, ia itu ilmu dan agama. Dua unsur tersebut wajib dijadikan kompas panduan – wajib dijadikan pegangan ketika merancang dan merangka pembangunan daerah ini supaya tidak berlaku dan tidak akan berlaku kontradiksi antara nama dengan kandungan. Unsur ilmu dan agama hendaklah dijadikan identiti daerah ini. Amatlah bertepatan dengan namanya, jika daerah Muallim dapat memberikan fokus untuk dibangunkan sebagai wilayah ilmu dan kota pelajar.
3. Pembangunan yang seimbang adalah pembangunan yang berjaya mengimbangkan pembangunan fizikal selari dengan pembangunan intelek dan pembangunan spiritual, agar terbina sebuah masyarakat sivil yang bertamadun. Ciri-ciri pembangunan bandar yang telah berjaya membina tamadun agung berkonsepkan Islam wajar dijadikan teladan, berpandukan contoh-contoh dalam sejarah pembangunan bandar-bandar ternama pada era kegemilangan Islam di Iraq, di Syam, di Mesir, di Afrika dan di Andalus, selepas terbentuknya Madinah sebagai bandar pertama bercirikan Islam. Dalam kitabnya Muqaddimah, Ibnu Khaldun menegaskan sebuah bandar Islam tidak terletak pada nama, pengasas dan ciri fizikal yang lestari, tetapi yang lebih penting ialah penghayatan nilai kudus penghuninya. Kesan utama perbandaran terhadap masyarakat Islam ialah kelahiran institusi politik, ekonomi dan sosial bagi pembangunan tamadun.[1] Perbandaran berteraskan Islam melambangkan kehidupan masyarakat kota yang maju daripada aspek keagamaan dan keduniaan. Dari sudut keagamaan, penduduknya patuh dan taat hanya kepada Allah, dengan penuh keyakinan dan patuh kepada syariat dan akhlak. Dari sudut kekotaan, mereka mengutamakan perancangan yang ideal dan rapi, dan memberikan perhatian kepada kedamaian, kebersihan, kesihatan, perhubungan yang erat antara penghuni, keselamatan dan keselesaan persekitaran.[2]
4. Daerah Muallim mengandungi penduduk daripada pelbagai agama, kumpulan etnik, budaya dan bahasa, di samping terlibat dalam pelbagai profesion dan memiliki tahap pencapaian sosioekonomi yang berbeza. Perancangan pembangunan daerah Muallim sewajibnya berupaya memenuhi keperluan penduduk daerah ini, terutama kemudahan-kemudahan perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, perhubungan dan perumahan.
5. Salah satu isu penting yang amat wajib diberikan perhatian, baik oleh pihak kerajaan lebih-lebih lagi oleh pihak pemaju, adalah keperluan perumahan rakyat. Istilah ‘rumah mampu lihat dan bukan mampu milik’ semakin disuarakan oleh rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi di kalangan orang Melayu dan bumiputera. Pemaju hartanah, kelihatan dan dianggap lebih berminat membina rumah harga mahal untuk mengaut keuntungan besar. Rumah-rumah yang siap dibina, dijual pada harga di luar kemampuan majoriti penduduk tempatan. Pemaju kelihatan lebih berminat membangunkan rumah dengan harga mahal untuk dijual kepada bukan warganegara dan aktif melakukan promosi jualan di kalangan hartawan di luar negara. Kepentingan perniagaan jangan sampai ke peringkat mengakibatkan warga kehilangan hak di buminya sendiri, berakhir dengan menerima nasib ayam kelaparan di kepuk – itik kehausan di air, disebabkan perbuatan dagang lalu ditanakkan. Bumi dan negeri ini wajiblah mengutamakan warganya sendiri. Negara wajib berhati-hati dan meletakkan kepentingan jangka panjang untuk melindungi daripada berlakunya sekali lagi penjajahan di bumi merdeka ini melalui instrumen pemilikan hartanah; dan pada akhirnya peribumi merintis sendiri kerana bumi dipijak milik orang.
6. Semoga para pemimpin, pentadbir serta penduduk di daerah Muallim sama-sama memahami, menghayati dan melaksanakan hasrat untuk membangunkan negeri Perak sebagai sebuah negeri yang mencapai tahap sosioekonomi dan pendapatan per kapita yang tinggi. Semoga Daerah Muallim akan menjadi salah sebuah daerah yang termaju dan pemimpin, pentadbir serta penduduknya sama-sama mendukung hasrat Kerajaan Beta di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir untuk menjadikan negeri Perak, sebuah negeri yang aman lagi berjaya. Kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala, sama-sama kita pohonkan semoga Daerah Muallim ini akan mendapat rahmat, dilimpahkan rezeki dan kemakmuran serta penduduknya hidup dalam harmoni, aman lagi sejahtera.
7. Pada pagi Isnin, 1 RABIULAKHIR Tahun Hijrah 1437, bersamaan 11 Januari 2016 ini, dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan penuh kesyukuran mengisytiharkan DAERAH MUALLIM, PERAK DARUL RIDZUAN.
Wabillahitaufik, walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.