Perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak

“MENGHADAPI ERA MASYARAKAT BERMAKLUMAT”

Arkib ialah tempat menyimpan naskhah-naskhah, rekod umum dan dokumen-dokumen sejarah sesebuah negara,[1] berperanan sebagai pusat sumber rujukan.  Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629), mentakrifkan arkib bererti ‘rekod yang dipelihara bagi nilai kebangsaan atau sejarahnya yang kekal dan lama bertahan atau kedua-duanya’.[2]  Bahan-bahan yang disimpan di dalam arkib mempunyai ciri-ciri kesahihan (authenticity), keandalan (reliability), keutuhan (integrity) dan kebolehgunaan (useability);[3] meletakkan status bahan-bahan tersebut sebagai bahan bukti yang dapat dipertahankan ketepatan dan kebenarannya.

2.      Semenjak zaman silam, institusi arkib diletakkan di bawah tanggungjawab, kelolaan dan pengawasan pemerintahan sesebuah negara.  Emperor Justinian, pemerintah Empire Byzantium pada tahun-tahun 527 ke 565 sebelum Masihi menzahirkan titah:

“Let Your Eminence give orders throughout each and every province that a public building be allocated, in which building the magistrate (Defensor) is to store the records, choosing someone to have custody over them so that they may remain uncorrupted and may be found quickly by those requiring them, and let there be among them an archives, and let that which has been neglected in the cities be corrected.”[4]

3.      Amalan yang diperkenalkan semasa tamadun Yunani (Greek) purba, sejak abad kelima sebelum Masihi, memelihara dan menyimpan rekod-rekod penting secara baik, kemas dan teratur di tempat yang khusus, di Temple of the Mother of Gods, yang terletak berhampiran mahkamah, di dataran awam Athens; telah membolehkan generasi terkemudian berpeluang melakukan rujukan, kajian dan analisis mengenai pelbagai dokumen berharga, merangkumi undang-undang, perjanjian, kenyataan pembelaan Socrates, manuskrip teater dan senarai juara Sukan Olimpik.  Amalan yang diperkenalkan oleh pemimpin Yunani purba yang sangat berwawasan (visionary) sifatnya, dan turut disambut oleh para pemimpin lain zaman silam, telah membolehkan generasi kemudian mewarisi khazanah ilmu yang amat berharga.   

4.      Sejarah menunjukkan koleksi bahan arkib tidak terlepas daripada ancaman dimusnahkan, seperti yang berlaku pasca Revolusi Perancis, apabila para revolusioner yang radikal mendesak dimusnahkan semua bahan abad kedua belas berkaitan ‘royal council’; namun desakan tersebut tidak dilaksanakan kerana dibantahi oleh suara-suara daripada kalangan konservatif yang lebih berpengaruh.  Dipercayai ada dokumen-dokumen sejarah yang bernilai di negara China, telah hilang atau dimusnahkan ketika berlakunya Revolusi Budaya pada tahun 1966-1976, yang menyasar untuk menghapuskan adat lama, budaya lama, tabiat lama dan idea lama.  Dunia menyaksikan kehancuran ketamadunan bangsa apabila beberapa institusi arkib dimusnahkan sekitar tahun sembilan puluhan di Liberia, di Burundi dan di Rwanda.[5]   Pada tahun 2003, akibat serangan Amerika Syarikat, 12 juta buku, manuskrip dan ukiran batu yang disimpan di Perpustakaan dan Pusat Arkib Negara Iraq telah musnah.[6]  Dilaporkan banjir besar yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur pada tahun 2014 telah mengakibatkan berlaku kerosakan terhadap dokumen dan rekod kerajaan.[7]

5.      Kehilangan bahan arkib ialah kehilangan yang amat merugikan, menyamai kehilangan memori seseorang manusia, kehilangan yang tiada gantinya.  Rekod sejarah yang lengkap berperanan amat penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan.  Kejayaan Malaysia memenangi kes tuntutan Pulau Sipadan – Ligitan pada tahun 2002, disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh, sementara kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan Pulau Batu Puteh pada tahun 2008, disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama dalam pembuktian kes.   

6.      Sejarah berperanan menghubung masa lampau dengan masa kini, dan sejarah wajar dijadikan kompas ketika melayari perjalanan menuju masa hadapan.  Oleh itu,  merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan.  Perbuatan mengubah fakta sejarah ialah perbuatan tidak adil, satu perlakuan jenayah intelek, satu perbuatan jenayah keilmuan, yang menafikan hak generasi terkemudian memperoleh fakta sebenar.

7.      Kini data berperanan semakin penting dalam kehidupan insan.  Dunia pada abad kedua puluh satu, sedang melalui era memperoleh maklumat dalam talian dengan kandungan maklumat dan bilangan pelanggan (clientele) yang semakin meningkat.  Dokumen semakin berbentuk elektronik, rekod semakin bersifat sejagat, membolehkan dan dibolehkan untuk diakses oleh warga dunia.  Tugas arkivis kini bertambah kompleks – semakin mencabar untuk memenuhi permintaan para penyelidik yang memerlukan maklumat secara mudah – secara tepat – secara cepat. 

8.      Kejayaan program pendidikan telah melahirkan lebih ramai anggota masyarakat yang berpengetahuan; anggota masyarakat yang semakin menghargai maklumat dan dahagakan maklumat.  Masyarakat dunia kini dirujuk sebagai masyarakat bermaklumat (informative society), yang berada dalam era ekonomi bermaklumat.  Daya saing dan daya tahan diri dan negara, tidak boleh sekadar bergantung pada kekayaan sumber semula jadi, tembok atau pagar, tetapi lebih bergantung pada keupayaan mendapatkan, memahami, mentafsir dan menggunakan maklumat.[8]

9.      Alhamdulillah, para arkivis, terbukti peka dengan dinamik yang sedang berlaku.  Para arkivis telah mengambil langkah aktif berhijrah daripada paradigma kerja yang didorong oleh keperluan penyelidikan akademik (academic research driven) berasaskan ‘keperluan untuk mengetahui’ (need to know) kepada kegiatan mempromosi maklumat dan memudahkan akses maklumat kepada masyarakat dunia.[9]   Arkib kini tidak lagi berperanan sekadar mengumpul dan menyimpan bahan-bahan secara pasif tetapi beralih untuk membangunkan peranan sebagai pemboleh akses (enabler of access), bertukar daripada penyimpan rekod kepada pembekal maklumat; berusaha untuk menghidupkan minat dan mencetuskan keghairahan masyarakat terhadap sejarah.

10.    Kekuatan, penerusan, relevansi dan kejayaan sesebuah organisasi bergantung pada kesediaan dan kapasiti melakukan penghijrahan minda serta menyesuaikan diri dengan dunia yang terus berubah.  Oleh itu, keperluan perkhidmatan baharu hendaklah dipadankan dengan prasarana perkhidmatan yang baharu, juga kesediaan para arkivis berhijrah menerokai budaya kerja baharu; bermakna sumber manusia yang lebih profesional serta dana yang lebih tinggi diperlukan demi memastikan arkib tidak berakhir menerima nasib sebagai kawasan perkuburan terbiar yang terpinggir sunyi dan profesion arkivis tidak menerima nasib dinosaur yang pupus ditelan zaman, kerana ditinggalkan oleh teknologi elektronik yang begitu pesat berkembang.  Perkembangan persekitaran yang berlaku tidak harus ditafsirkan sebagai ancaman, di sebaliknya hendaklah dilihat sebagai hamparan peluang baharu yang menyuntik dimensi lebih dinamik kepada profesion para arkivis.

11.    Berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan Arkib Negara dalam usaha Beta menghasilkan dua buah buku sebelum ini, dan pada masa ini dalam proses menghasilkan buku ketiga, Beta yakin dengan tahap profesionalisme para arkivis, begitu juga dengan kualiti, keandalan dan kesahihan khazanah maklumat yang berada dalam simpanan Arkib Negara.  Secara peribadi, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah dan kakitangan Arkib Negara yang telah membekalkan pelbagai bahan dan maklumat, membantu kerja-kerja penyelidikan Beta. 

12.    Cawangan Arkib Negara di negeri Perak ditubuhkan 27 tahun lalu, pada 1 Oktober 1993.  Hari ini Arkib Negara di negeri Perak telah memiliki bangunan tersendiri.  Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukan membina Bangunan Arkib yang moden di negeri Perak.  Semoga Arkib Negara Malaysia terus mara ke hadapan, berupaya berdiri sama tinggi dengan institusi arkib antarabangsa.  Semoga usaha baik dan amal bakti setiap insan yang membangun dan memajukan institusi ini, diterima oleh ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA sebagai amar makruf yang dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat. Amen Ya Rabul Alamin.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Bangunan Arkib Negeri Perak.

[1] Kamus Dewan Edisi Keempat (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007), 78.

[2] Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629)

[3]Panduan Pengurusan Rekod Sektor Awam, 2016.

[4] T. R. Schellenberg, Modern Archives: Principle and Techniques,  (Chicago: The Society of American Archivist, 1956).

[5] Hans van Der Hoeven, Joan van Albada, Memory of the World Lost Memory: Libraries and archives destroyed in the twentieth century, (UNESCO, 1996)

[6] The US National Archives and Records Administration (NARA) https://www.archives.gov/reserach/alic/reference/military/war-in-iraq.html.

[7] BERNAMA; 25.2.2015.

[8] Natalie Ceeney, ‘The Role of a 21st-century National Archive-The Relevance of the Jenkisonian Tradition, and a Redifination for the information Society’, Journal of the Society of Archivists, Volume 29, 2008-Issue 1.

[9] Ibid.

In the News:

https://www.sinarharian.com.my/article/103399/EDISI/Perak/Rekod-sejarah-lengkap-bantu-pertahan-kedaulatan-negara-Sultan-Nazrin

https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/10/01/sultan-nazrin-important-to-archive-history-to-protect-nations-sovereignty

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/737156/ubah-fakta-sejarah-adalah-jenayah-intelek-keilmuan-sultan-nazrin

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1885311

%d bloggers like this: