Sejak diperkenalkan semasa peradaban Yunani, ilmu hitung berperanan sebagai instrumen utama membantu proses membuat keputusan. Ilmu hitung telah diperkembangkan ke Babylon dan Mesir; nama, usia, jantina, pekerjaan dan jumlah anggota keluarga, didapati tercatat dalam rekod dua negara tersebut.[1] Subjek menyentuh ilmu hitung dan peringatan ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA bahawa setiap perbuatan insan dicatatkan secara lengkap, terkandung di dalam Al-Quran seperti maksud ayat 94 Surah Maryam:
“Sesungguhnya ALLAH telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti.” [2]
Dan dalam ayat 12 Surah Yaasin, firman ALLAH bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan orang yang mati dan Kamilah yang mencatat apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab yang jelas (Lauh Mahfuz).” [3]
- Ilmu hitung telah dikembangkan dengan nama statistik pada abad ketujuh belas. Statistik berasal daripada istilah Latin, status, bermaksud ‘negara’, dan statista dalam bahasa Itali bermaksud ‘negarawan’. Pada tahun 1749, ahli falsafah Jerman, Gottfried Achenwall, mentakrifkan statistik sebagai ilmu tentang negara, kerana digunakan pada zaman tersebut dalam urusan pentadbiran, khususnya untuk mengukur kekuatan ketenteraan dan kadar cukai bagi tabungan negara.
- Istilah statistik, diperkemas dan diperluaskan sebagai satu kaedah mengumpul, menganalisis dan merumus kesimpulan secara saintifik berasaskan fakta. Statistik, membantu manusia dapat lebih mengenali dan memahami keadaan sebenar persekitarannya. Pengenalan dan pemahaman terhadap keadaan sebenar, dapat pula membantu manusia merumuskan sesuatu kesimpulan dengan pemilihan yang terbaik, ketika merangka sesuatu program dan ketika merancang sesuatu kegiatan.
- Pencapaian sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau melalui statistik. Statistik dijadikan rujukan untuk memandu kerajaan ketika merangka pelbagai rancangan pembangunan. Statistik mula berperanan dalam pembangunan sosioekonomi di Tanah Melayu dan Borneo, pada tahun-tahun sembilan belas, tiga puluhan (1930an).[4] Pengumpulan data rasmi perdagangan luar negeri dan pertanian, dilakukan sejajar dengan aktiviti pertanian sebagai sumber utama ekonomi negara ketika itu. Pada tahun-tahun sembilan belas, tujuh puluhan (1970an), pengumpulan statistik, diperluaskan kepada maklumat sosial dan maklumat ekonomi, merangkumi pelbagai sektor bagi mengukur pencapaian ekonomi yang semakin beralih kepada ekonomi berasaskan perindustrian, seterusnya kepada industri berteknologi tinggi pada tahun-tahun sembilan belas, sembilan puluhan (1990an). Berasaskan statistik yang terkumpul, sektor perkhidmatan ternyata semakin mendominasi ekonomi negara, dengan nilai ditambah mencecah 601.3 bilion ringgit, menyamai 54.3% Keluaran Dalam Negara Kasar tahun 2016. [5] Kini negara berhadapan ‘Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat’; gelombang revolusi yang menuntut agar segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat yang relevan, tepat, lagi terkini.
- Revolusi pantas teknologi maklumat dan komunikasi memberi impak besar kepada teknologi digital. Hampir lima puluh peratus warga dunia berusia lima belas tahun ke atas, menggunakan Internet. Ledakan maklumat yang terhasil pada masa ini, begitu mudah diakses dalam laman web melalui pelbagai peranti elektronik. Sehingga Jun 2017, tercatat 2.01 bilion pengguna Facebook; bilangan pengguna terus meningkat, lima profil pengguna baru, didaftarkan setiap saat,[6] dan hampir tiga puluh peratus (29.7%) pengguna Facebook, berusia antara 25 hingga 34 tahun.[7] Google memproses lebih 40,000 carian setiap saat, menyamai 3.5 bilion carian sehari.[8] Facebook dan Google, mempamerkan kekayaan maklumat yang boleh diperolehi dan dijadikan sumber rujukan berharga oleh pelbagai pihak. Gelombang yang dinamakan Big Data, dikenal pasti sebagai sumber yang berpotensi membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta. Keadaan ini, bukan sahaja menuntut kepada perlunya proses pengumpulan data dilakukan secara moden dan lengkap, malah turut menuntut agar penyebarannya dilakukan secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat.
- Pengetahuan dan kesedaran berkaitan ilmu statistik sangat relevan di dalam kehidupan masa kini. Ahli statistik Samuel S. Wilks memperingatkan, “Statistical thinking will one day be as necessary for efficient citizenship as the ability to read and write.” [9] Sempena sambutan Hari Statistik Sedunia 2015, Bahagian Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan kenyataan:
“Official statistics help decision makers formulate informed policies that impact millions of people. New and improved data sources, sound statistical methods, new technologies and strengthened statistical systems enable better decisions that result in better lives for all.”[10]
- Seyogia diingatkan, bahawa statistik terdiri daripada data-data yang dikumpul, digabung, dicantum, diolah, dianalisis dan kemudiannya ditafsiri oleh manusia. Sir David John Spiegelhalter, Winton Professor of the Public Understanding of Risk, University of Cambridge, memperingatkan, “There are three kind of lies; lies, damned lies, and statistics”. Kenyataan Spiegelhalter memberikan peringatan, bahawa manusia yang berada di belakang statistik terdiri daripada pelbagai watak dan latar belakang; dan setiap seorang manusia memiliki potensi mentafsir statistik menurut sudut dan lensa masing-masing. Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya perancangan yang silap, atau perumusan keputusan yang salah, mengakibatkan berlakunya perancangan yang tidak tepat serta tindakan yang tidak bijak; dan pada akhirnya gagal memenuhi matlamat yang disasarkan.
- Oleh itu tiga faktor amat perlu dihormati untuk membolehkan statistik berupaya berperanan sebagai instrumen yang benar-benar dapat membantu, demi memastikan perancangan dapat dirangka secara tepat dan betul, agar tidak akan mencetuskan masalah kepada para pelaksana:
Pertama: Statistik hendaklah dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif.
Kedua: Statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti.
Ketiga: Statistik ditafsiri secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif dan tanpa sebarang prejudis.
- Modal insan terlatih adalah tenaga penentu kepada prestasi pencapaian dan kejayaan sesebuah organisasi. Penubuhan Institut Latihan Statistik Malaysia amat bertepatan dalam hasrat mahu memperkukuhkan daya saing dan tahap kepakaran sumber insan dalam bidang statistik. Penubuhan institut ini, merupakan satu pelaburan jangka panjang berimpak tinggi kepada sumber insan terlatih, supaya lebih bersedia menguasai profesion baru ahli sains data (data scientist) dalam menghadapi revolusi teknologi digital yang berkembang begitu pesat.
- Beta menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memilih Sungkai di negeri Perak Darul Ridzuan sebagai tapak Institut ini. Sungkai kini mempunyai sebuah institut latihan profesional. Semoga Institut ini akan terus berkembang hingga diiktiraf sebagai institut latihan bertaraf antarabangsa. Semoga Institut ini akan dianggotai oleh tenaga pengurusan, tenaga latihan dan tenaga sokongan yang berdedikasi lagi komited untuk memekarkan Institut ini dengan keharuman kejayaan. Semoga usaha baik dan amal bakti oleh setiap insan yang membangun dan memajukan Institut ini, diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai amar makruf yang diberikan ganjaran dunia – ganjaran akhirat.
Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Institut Latihan Statistik Malaysia.
[1] http://surwandono.staff.umy.ac.id/2010/06/26/files/2010/07/SEJARAH-STATISTIK.pdf
[2] Al-Quran, Maryam [19: 93, 94] Tafsir Mahmud Yunus AlQuran Nul Karim Rasm Uthmani
[3] Al-Quran, Yaasin [36:12] Tafsir Mahmud Yunus AlQuran Nul Karim Rasm Uthmani
[4] Jabatan Perangkaan Malaysia: 60 Tahun Menjana Statistik Negara
[5] Keluaran Dalam Negeri Kasar 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia
[6] https://zephoria.com/top-15-valuable-facebook-statistics/
[7] https://zephoria.com/top-15-valuable-facebook-statistics/
[8] http://www.internetlivestats.com/google-search-statistics/
[9] Quote from the presidential address in 1951 of mathematical statistician Samuel S. Wilks (1906 – 1964) to the American Statistical Association found in JASA, Vol. 46, No. 253., pp. 1-18. Wilks was paraphrasing Herbert G. Wells (1866 – 1946) from his book Mankind in the Making.
http://www.abs.gov.au/websitedbs/a3121120.nsf/home/Why+understanding+statistics+matters
[10]United Nations Statistics Division Celebrates Second World Statistics Day; http://www.un.org/press/en/2015/obv1538.doc.htm